52602727_739474253112843_7001189372749938688_n

SEMENYIH, SELANGOR – 23 FEBRUARI 2019: Kempen Pilihanraya Kecil (PRK) kawasan DUN Semenyih sudah berjalan separuh pada hari ini. Jentera Kempen PSM untuk PRK Semenyih telah mengemukakan penilaiannya terhadap perjalanan kempen setakat ini dalam sidang akhbar yang diadakan pada hari ini.

Setakat ini, sudah terbukti bahawa calon PSM untuk PRK Semenyih, Nik Aziz Afiq, paling menyerlah dan berjaya menunjukkan dirinya jauh lebih berkualiti berbanding calon yang lain. Beliau telah menjadi satu-satunya calon yang menunjukkan komitmen melawan rasuah dengan mengisytihar harta, mengemukakan manifesto yang relevan dengan keperluan rakyat setempat dan berpendirian tegas dalam menentang politik perkauman. Nik Aziz juga bersedia untuk berdebat dengan calon lain tentang isu-isu rakyat dan visi politik untuk kesejahteraan rakyat terbanyak.

Nik Aziz Afiq berpandangan bahawa kempen PSM mendapat sambutan positif daripada rakyat setempat dan terdapat ruang untuk PSM bergerak. “Ketika orang lain bergaduh dan bertengkar sesama sendiri tentang isu-isu yang bukan isu rakyat sebenar, PSM mengambil peluang untuk mengetengahkan isu-isu rakyat biasa.”

Mood Pengundi

Daripada pengamatan pasukan kempen PSM di Semenyih, secara keseluruhannya pengundi-pengundi di Semenyih tidak menunjukkan keghairahan yang luarbiasa ataupun teruja dengan PRK ini. Mood di lapangan dalam PRK ini, walaupun banyak bertia tentang PRK Semenyih dalam media sosial dan media cetak.

Adalah dijangkakan bahawa jumlah pengundi keluar mengundi akan berkurangan.

Kempen PSM 

Dari awal lagi, PSM telah berhasrat menggunakan PRK ini untuk mendedahkan beberapa isu tempatan dan mengetengahkan cadangan untuk penyelesaian, antaranya yang sudah dikemukakan setakat ini ialah:

  • Meningkatkan status Klinik Kesihatan Semenyih kepada Hospital
  • Isu tol yang membebankan rakyat setempat

PSM juga membangkitkan beberapa isu nasional yang penting, termasuk isu skim insurans kesihatan mySalam yang menguntungkan syarikat insurans swasta tetapi mengancam kesihatan awam, dan juga masalah harga rumah yang melambung tinggi.

PSM cuba menggunakan PRK ini untuk meningkatkan tahap dan kualiti calon kepada piawaian yang lebih tinggi. Antara perkara yang telah dilakukan oleh calon PSM untuk menetapkan standard untuk calon yang lain, adalah pengisytiharan harta calon, ikrar anti-perkauman dan berpegang teguh pada prinsip tidak menyerang peribadi calon parti lawan.

PSM juga menonjolkan dirinya sebagai sebuah parti yang benar-benar melakukan kerja di lapangan, di mana calon sendiri dan jentera PSM di kawasan memang menangani banyak isu yang dibawa oleh penduduk setempat. PSM juga berjaya membawa kepada kemenangan perjuangan dalam beberapa isu setempat, seperti perjuangan pekerja ladang menuntut hak perumahan yang akhirnya mendapat penyelesaian. PSM juga memainkan peranan penting dalam mendesak untuk pelaksanaan gaji minimum di negara kita.

Peluang PSM

Berbanding dengan calon-calon lain, calon PSM Nik Aziz Afiq telah berjaya menonjolkan dirinya sebagai calon yang terbaik dan paling berkualiti. Nik Aziz memang arif tentang isu tempatan dan dapat menyampaikan idea-ideanya dengan jelas. Nik Aziz juga dapat menjawab soalan daripada media dan orang awam.

“Nik Aziz tidak perlukan tukang menjawab untuk menjawab soalan yang dituju kepadanya oleh pihak media,” begitu katanya S. Arutchelvan, Pengarah Jentera Kempen PSM untuk PRK Semenyih.

Kempen PSM di PRK Semenyih kali ini juga mendapat liputan media yang baik dan positif. Manifesto PSM berkenaan dengan isu-isu tempatan turut diterima baik oleh rakyat.

Menurut S. Arutchelvan, pasukan PSM tidak merasakan cabaran daripada calon-calon yang lain, kerana calon PSM Nik Aziz ialah calon yang paling menyerlah dari segi kualitinya setakat ini.

PSM mensasarkan untuk mendapatkan penambagan sokongan undi daripada empat kumpulan masyarakat, iaitu golongan anak muda, masyarakat cina, ahli-ahli atau penyokong-penyokong PAS yang kecewa dan mereka yang hendak membuang undi protes.

Cabaran

Jentera Kempen PSM telah menggariskan 4 cabaran untuk seminggu akan datang:

1. Peratus keluar mengundi yang rendah kerana kecewa dengan kedua-dua PH dan BN.

  • Pengundi-pengundi yan kecewa, khususnya mereka yang mengundi untuk Pakatan Harapan untuk perubahan rejim di peringkat Persekutuan tetapi tidak melihat perubahan yang berpihak pada mereka, berkemungkinan besar tidak akan keluar mengundi.
  • PSM menyeru pada pengundi yang kecewa supaya jangan melepaskan peluang ini untuk menyuarakan ketidakpuasan hati mereka dengan mengundi calon yang mampu bersuara lantang dalam DUN.

2. Tuduhan PSM sebagai sebuah parti yang pecahkan undi daripada parti yang boleh menang.

  • PSM seringkali menerima tuduhan sebegini setiap kali menyertai pilihanraya.
  • Namun, situasi sekarang amat berbeza, dengan Dewan Undangan Negeri telah dikuasai oleh Pakatan Harapan dengan majoriti yang amat selesa, iaitu 50 daripada 56 kerusi sudahpun dalam tangan Pakatan Harapan. Lebih-lebih lagi, kerajaan Selangor turut dikuasai oleh Pakatan Harapan (Pakatan Rakyat sebelum ini) untuk lebih 10 tahun. Rakyat Selangor memerlukan suara alternatif yang boleh mengetengahkan isu rakyat biasa dan memperjuangkan kesejahteraan rakyat terbanyak.

3. Merayu pada orang ramai untuk mengundi calon dan bukan sekadar parti.

  • PSM akan merayu pada pengundi Semenyih untuk membandingkan calon-calon dan memilih yang terbaik.

4. Pimpinan Heavyweight daripada parti-parti aliran utama vs rakyat marhean yang cuba ditonjolkan oleh PSM

  • Ketika parti-parti gergasi membawa ahli-ahli politik kanan yang dikatakan heavyweight untuk berkempen di Semenyih, PSM sebaliknya cuba menonjolkan rakyat biasa dalam kempen dan membangkitkan isu-isu yang dihadapi rakyat biasa. Antara isu-isu yang dibawa oleh PSM semasa kempen termasuklah isu perumahan setempat, pekerja kontrak dan sebagainya.
  • PSM sedang melawan untuk mendapatkan ruang media daripada gergasi-gergasi politik.

Beberapa Kritikan terhadap PSM dan calon  

Terdapat beberapa kritikan terhadap PSM, antaranya PSM ialah parti India. Namun, ini hanyalah persepsi yang cuba diwujudkan oleh pihak lawan. Pasukan kempen terdiri daripada sukarelawan yang berbilang kaum, dan juga mendapat sambutan mesra di kawasan kampung Melayu yang merupakan kubu kuat UMNO sebelum ini.

Menjawab tentang dakwaan bahawa seorang wakil rakyat PSM sahaja tidak boleh membawa perubahan, S. Arutchelvan berkata bahawa kita patut lihat pada pencapaian yang dikecapi oleh Dr. Jeyakumar Devaraj sebagai satu-satunya ahli parlimen dalam Dewan Rakyat yang membawa pelbagai isu rakyat untuk didebatkan. Walaupun tanpa wakil rakyat yang berpuluhan dalam Dewan, PSM mampu mendesak untuk pelaksanaan gaji minimum, Skim Insurans Pekerjaan dan sebagainya. Jikalau wakil rakyat boleh melakukan pelbagai perkara, sudah pastinya PSM dapat menyuarakan isu-isu rakyat dengan lebih lantang dan berkesan sekiranya ada wakil rakyat PSM dalam dewan.

Ada juga tuduhan Nik Aziz Afiq dipilih sebagai calon PSM kerana beliau seorang Melayu. Sebenarnya, PSM tidak pernah mengambilkira faktor kaum dalam pemilihan calonnya.

PSM mempunyai satu mekanisme demokrasi dalaman untuk menentukan calon pilihanraya. Calon PSM dipilih berdasarkan kerja akar umbi mereka, iaitu perlu berkhidmat di kawasan berkenaan untuk sekurang-kurangnya selama 2 tahun. Nik Aziz sudah berkhidmat untuk 4 tahun di kawasan Semenyih. Nik Aziz juga sepatutnya menjadi calon untuk Semenyih dalam PRU-14 tetapi digugurkan setelah perbincangan dalam PSM Semenyih berikutan persempadanan semula.

Semua calon pilihanraya PSM dipilih di peringkat cawangan di mana ahli-ahli akan membuat keputusan dan keputusan ini akan dibawa ke peringkat untuk dibincang. Nik Aziz telah dipilih oleh cawangan Semenyih untuk bertanding dalam PRK dan keputusan ini disokong oleh Pusat tanpa sebarang halangan. PSM tidak akan menyokong calon payung terjun. PSM juga tidak memilih calonnya berdasarkan kaum atau status akademik atau kewangan.

Seruan PSM 

Dalam seminggu akan datang ini, PSM akan merayu pada pengundi Semenyih supaya membandingkan calon-calon dan memilih calon yang terbaik. Calon PSM Nik Aziz telah berjaya menonjolkan dirinya calon yang berkualiti dan terbaik antara 4 orang yang bertanding dalam PRK Semenyih.

PSM menyeru pada pengundi supaya memilih pembangkang yang mampu menyuarakan hasrat rakyat tanpa sebarang tekanan daripada golongan berkuasa dalam Dewan Undangan Negeri.

PSM juga menyeru pada pengundi Semenyih supaya menolah calon yang tidak manu berdebat di depan orang ramai.

style.jpg

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *