10nt18let2.transformed.jpg

oleh Wan Zamzahidi bin Wan Zahid

Semalam, telah riuh di media bahawa moratorium perlombongan bauksit yang telah berjalan sejak tahun 2015, tidak akan disambung selepas 31 Mac ini. Ini bermakna, perlombongan akan berjalan semula dan kebimbangan rakyat terhadap ancaman-ancaman berasaskan industri ini juga akan kembali semula.

Umum mengetahui dan faham tentang bagaimana dalam satu tempoh sehingga moratorium itu berjalan, Kuantan telah berubah wajah dengan teruk sekali di beberapa kawasan disebabkan oleh aktiviti perlombongan dan pengangkutan bauksit ini. Di kawasan terbabit, segalanya menjadi kemerahan dipenuhi dengan lekatan dan habuk tanah bauksit ini. Pada masa itu, sebahagian Kuantan digelar sebagai Bumi Marikh kerana warna merah yang meliputi bumi disebabkan masalah ini.

Sekiranya diteliti, ada beberapa kebimbangan berkaitan aktiviti perlombongan dan pengangkutan bauksit ini. Yang pertamanya adalah pencemaran alam sekitar disebabkan habuk bauksit ini. Dari kawasan perlombongan, melalui laluan utama dan terus ke pelabuhan, kita boleh lihat betapa teruknya pencemaran disebabkan aktiviti ini. Di kawasan perlombongan sendiri, di mana tanah-tanah dikaut dan dimuatkan ke dalam lori, kita boleh melihat pokok-pokok sawit berhampiran telah diselaputi debu-debu bauksit ini menjadikan segalanya kotor sekali. Di jalanraya yang dilalui oleh lori-lori yang mengangkut bauksit, kita boleh lihat segalanya menjadi kotor, dengan rumput-rumput di tepi jalan juga menjadi mangsa. Tiang lampu, pemisah jalan, papan tanda semuanya menjadi kotor dan berhabuk akibat bauksit ini. Debu bauksit ini, sekiranya melekat pada kenderaan, agak susah untuk dicuci sehingga ada pusat mencuci kereta mengenakan bayaran yang lebih tinggi untuk menanggalkan lekatan bauksit ini. Dan lebih malang lagi, sekiranya lambat ditanggalkan, akan menghakis cat dan juga badan kenderaan itu sendiri.

Dengan wujudnya pencemaran disebabkan bauksit ini juga, risiko untuk mendapat masalah kesihatan berkaitan pernafasan juga adalah tinggi. Habuk yang disedut ini akan bersarang di dalam paru-paru dan menyebabkan seribu satu masalah kesihatan bagi penduduk sekitar. Anak-anak yang berjalan kaki ke sekolah akan terdedah kepada bahaya debu oren ini, tambahan pula kalau mereka membeli makanan yang dijual di tepi jalan yang juga terdedah kepada habuk-habuk yang berterbangan.

Keduanya, proses pencucian bauksit akan mengakibatkan logam-logam berat dilepaskan ke punca-punca air. Logam seperti kadmium ini dalam jangka panjang boleh menyebabkan masalah kesihatan kepada pengguna air. Tambahan pula, kawasan utama perlombongan di Bukit Goh terletak di hulu Sungai Kuantan yang membekalkan sumber air domestik kepada ribuan penduduk Kuantan. Bayangkan, semasa perlombongan sebelum ini, bauksit tidak 100% dicuci sebelum dieksport dan dalam keadaan tersebut, air sungai telah turun tahap dari tahap 3 ke tahap 5. Dan mengikut khabar terbaru, eksport kali ini hanya untuk bauksit yang telah dicuci, bermakna 100% bauksit akan melalui proses pencucian sebelum dihantar ke pelabuhan. Ini akan menjejaskan lagi kualiti air sungai dan kita tidak tahu apa lagi masalah yang akan timbul berkaitan isu ini.

Yang ketiganya, terdapat risiko kemalangan jalanraya dengan bertambahnya bilangan lori yang mengangkut bauksit ini. Dalam masa perlombongan sebelum ini, terdapat banyak sekali kemalangan melibatkan lori-lori ini yang antara lain menyebabkan kematian seorang guru sepertimana tersiar di berita-berita utama negara pada masa itu. Lori-lori dibayar mengikut jumlah bilangan perjalanan yang mereka lakukan dan disebabkan itu, mereka berlumba-lumba serta mengabaikan aspek keselamatan malahan membahayakan pengguna jalanraya yang lain. Dan secara jujurnya, penguatkuasaan yang dilakukan oleh pihak berkuasa berkenaan diragui dapat menyelesaikan masalah ini.

Difahamkan, seperti dinyatakan oleh Xavier Jayakumar, akan ada satu Prosedur Standard Operasi (SOP) untuk perlombongan dan pengangkutan bauksit yang akan dilaksanakan, tetapi tetap kita perlu rasa terancam. Pertamanya kerana SOP tersebut tidak pernah dikemukakan untuk orang awam membuat penilaian, dan yang keduanya, apabila ada pertembungan antara keuntungan sesetengah pihak dan kepentingan orang awam, seribu SOP pun tidak dapat menyelamatkan kepentingan orang awam.

Justeru, saya ingin menyeru pihak kerajaan untuk mengkaji semula keputusan untuk tidak menyambung moratorium ini, dan meletakkan kepentingan rakyat melebihi permintaan pihak tertentu untuk mengaut keuntungan.

==========

Wan Zamzahidi bin Wan Zahid ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Ahli Perwakilan Negeri Pahang dan Terengganu untuk PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *