Jika seseorang itu tiada wang untuk membeli sesuatu barang, dia pergi meminjam wang daripada seorang yang lain. Orang yang mendapat wang pinjaman itu adalah penghutang, manakala orang yang meminjam keluar wangnya itu adalah pemiutang. Wang yang dipinjamkan oleh pemiutang kepada penghutang itu perlu dipulangkan kepada pemiutang. Jika pemiutang itu sangat murah hati dan tidak mengharapkan apa-apa keuntungan daripada tindakan meminjamkan wang itu, maka hutang itu dapat dijelaskan apabila penghutang membayar balik jumlah wang yang dipinjam itu sahaja. Namun, jika pemiutang itu adalah seorang lintah darat, dia meminjamkan wangnya bukan disebabkan dia seorang yang baik hati atau suka menolong orang dalam kesusahan, sebaliknya dia mengharapkan pulangan yang lebih daripada tindakan meminjamkan wang kepada orang lain itu. Lintah darat akan mengenakan syarat kepada penghutangnya, supaya wang yang dipinjam itu dipulangkan dengan jumlah yang lebih banyak. Tambahan kepada jumlah wang hutang yang perlu dibayar balik itu dipanggil faedah, bunga atau riba.
Hutang adalah jumlah pinjaman (yang biasanya dalam bentuk matawang pada masa sekarang) yang perlu dibayar balik oleh penghutang kepada pemiutang.
Turun naik nilai matawang boleh menimbulkan gangguan kepada hubungan antara pemiutang dan penghutang. Kenaikan nilai matawang akan menyusahkan penghutang, manakala penurunan nilai matawang pula akan merugikan pemiutang.
Dalam masyarakat kapitalis, tujuan memberi pinjaman (atau mewujudkan hutang) bukan lagi untuk memastikan pemiutang dapat terus hidup dengan keperluannya dipenuhi, tetapi membolehkannya mendapat lebih keuntungan (pengumpulan modal).
Perkembangan kapitalisme kewangan menjadikan hutang sebagai satu cara untuk pengumpulan modal kapitalis (tanpa menjalankan apa-apa aktiviti pengeluaran komoditi yang sebenar).
Terdapat 3 peringkat hutang:
- Peringkat mikro – hurang peribadi atau hutang isi rumah
- Peringkat makro – hutang negara atau hutang kerajaan (sovereign debt)
- Peringkat super-makro – hutang antarabangsa ataupun defisit daripada imbangan perdagangan
Ketiga-tiganya adalah saling berkait secara rapat. Untuk hutang di peringkat makro dan super-makro, komponen-komponen mereka tergolong dalam akaun negara yang sama.
Hutang isi rumah: Keuntungan untuk yang kaya, beban untuk yang miskin
Hutang peribadi atau hutang mikro, merupakan pinjaman (kredit) kewangan kepada individu dan isi rumah. Hutang ini diwujudkan sama ada untuk membeli barangan harian (dengan menggunakan kad kredit), atau pinjaman untuk membeli barangan pengguna yang tahan lama (seperti kereta), atau pinjaman untuk membeli harta domestik (seperti rumah untuk kediaman). Orang yang bekerja sendiri atau peniaga perseorangan (seperti penjaja, pemandu teksi, pelabur hartanah individu dan sebagainya) boleh juga mendapatkan bahan-bahan, alat-alat atau harta untuk membangunkan bisnisnya sendiri melalui saluran kewangan begini, iaitu hutang peribadi. Walau bagaimanpun, sebahagian besar hutang peribadi masih adalah untuk penggunaan peribadi (atau keluarga).
Perluasan hutang peribadi adalah satu fenomena yang agak baru dalam sejarah ekonomi kapitalis. Perkembangan bentuk hutang peribadi seperti “kontrak sewa beli” dan kemudiannya kad kredit, tidak berlaku secara umum hingga tahun 1970-an. Sejak fahaman ekonomi neoliberal semakin menular di peringkat dunia, wujudnya usaha di hampir semua negara maju dan sebahagian negara sedang membangun (seperti negara Malaysia sejak tahun 1990-an) untuk “menggalakkan” (atau memaksa secara halus dalam erti kata lain) pekerja supaya membeli rumah sendiri melalui pinjaman bank, mendapatkan pinjaman pengguna untuk membeli kereta dan barangan isi rumah, serta menggunakan kad kredit untuk membeli barangan penggunaan harian.
Semakin tinggi hutang yang ditanggung oleh rakyat biasa, semakin besar keuntungan yang akan dikaut oleh kapitalis kewangan. Inilah logik di sebalik pengwujudan hutang yang memastikan “kelangsungan” ekonomi kapitalis yang terus menjana keuntungan kepada golongan pemodal.
Hutang peribadi diwujudkan dalam sistem kapitalis yang mengalami krisis ekonomi (permintaan yang tidak mencukupi) untuk merangsang kuasa beli orang ramai. Jurang dalam permintaan agregat diisikan dengan perbelanjaan kepenggunaan isi rumah persendirian yang didorong oleh kredit (pinjaman).
(Permintaan agregat atau permintaan kasar, merupakan satu konsep yang dibawa oleh teori ekonomi Keynesian, iaitu jumlah permintaan untuk barangan dan perkhidmatan dalam sesuatu ekonomi pada masa tertentu. Dasar Keynesian adalah meningkatkan permintaan agregat melalui perbelanjaan kerajaan, supaya dapat memberangsangkan ekonomi. )
Golongan pekerja meminjam wang untuk membeli rumah, kereta dan sebagainya. Ini bermakna kuasa belinya tidak mencukupi dan terpaksa meminjam wang. Kuasa beli yang diwujudkan melalui pemberian kredit ini adalah kuasa beli yang dijana secara tiruan. Pekerja itu sebenarnya membelanja pada tahap yang melebihi kemampuannya. Dia perlu memulangkan pinjaman itu dengan faedah kepada pemiutangnya (iaitu bank) secara beransur-ansur, dan ini bermakna gaji sebenar yang diperolehinya selepas itu akan berkurang (kerana sebahagian digunakan untuk membayar faedah pinjaman).
Kebanyakan hutang isi rumah persendirian disokong oleh nilai hartanah (rumah) milik isi rumah tersebut. Perbezaan antara perbelanjaan defisit kerajaan dengan hutang isi rumah persendirian adalah, sekiranya berlaku krisis kredit, kerajaan boleh menggunakan bank pusat yang dikawalnya untuk menjana (mencetak) wang atau mengurangkan hutang kerajaan melalui inflasi, tetapi isi rumah persendirian tidak mempunyai kuasa sebegitu untuk berbuat demikian. Oleh itu, mana-mana ekonomi yang berasaskan perluasan penggunaan isi rumah persendirian (yang didorong oleh kredit) akan terperangkap dalam kemelesetan jangka masa panjang, apabila kredit yang mendorong penggunaan itu runtuh bersama dengan harga rumah yang menyokongnya.
Krisis Kewangan Sedunia 2007-2008 bermula dengan Krisis Gadai Janji Subprima di Amerika Syarikat. Sebelum berlakunya krisis, wujudnya gelembung harga perumahan apabila kapitalis besar melakukan spekulasi ke atas harga rumah dengan mengumpan rakyat biasa mengambil pinjaman perumahan walaupun tidak mampu bayar balik (melalui pemberian pinjaman perumahan dalam bentuk gadai janji boleh laras “subprima”). Apabila semakin ramai orang tidak dapat membayar balik pinjaman itu dan harga rumah menurun, seluruh sistem kewangan itu mengalami krisis keruntuhan.
Hutang: Alat penjajahan susunan global yang neoliberal
Hutang negara secara konsepnya adalah hutang yang dikumpulkan daripada sebarang desifit yang timbul daripada perbezaan antara pendapatan dan perbelanjaan kerajaan. Jika adanya defisit, iaitu perbelanjaan melebihi pendapatan, maka wujudnya hutang kerajaan.
Hutang antarabangsa pula secara konsepnya adalah akibat daripada ketidakseimbangan antara import dan eksport sesuatu negara dengan negara yang lain. Sesuatu negara “berhutang” sekiranya importnya melebihi eksportnya.
Perlu kita ingat bahawa, manusia yang hidup di muka bumi ini tidak berdagang dengan planet lain, perdagangan dijalankan antara negara-negara di dunia ini. Maka, sudah pasti adanya negara yang importnya lebih daripada eksport atau sebaliknya. “Hutang antarabangsa” akan sentiasa wujud.
Walaupun hutang negara dan hutang antarabangsa berbeza secara konsepnya, tetapi sebenarnya hutang atau surplus bersih yang dikumpulkan oleh kerajaan wujud dalam satu akaun kira-kira yang sama untuk tujuan praktikal, iaitu desifit dalam pendapatan-perbelanjaan domestik boleh diimbangi dengan surplus perdagangan, dan begitu juga sebaliknya.
Pendapatan kerajaan datang daripada percukaian dan hasil bukan cukai (seperti pendapatan syarikat milik kerajaan, denda, kutipan bayaran daripada pengeluaran permit atau lesen, pinjaman kerajaan, penjualan aset kerajaan dan sebagainya). Perbelanjaan kerajaan pula digunakan untuk memastikan seluruh jentera kerajaan itu berfungsi secara normal dan memberi perkhidmatan kepada rakyat. Sekiranya wujud defisit dalam imbangan kira-kira, kerajaan boleh selesaikannya dengan menggunakan simpanan dana kerajaan yang sedia ada ataupun mewujudkan hutang negara (meminjam terus dari bank atau mengeluarkan bon).
Kerajaan mengeluarkan bon secara amnya menjanjikan kepada pemegangnya bahawa adanya pembayaran faedah secara berkadar dan akan membayar semua nilai muka pada tarikh kematangan bon. Bon yang dikeluarkan oleh kerajaan biasanya dikira dalam matawang domestik negara itu sendiri. Kerajaan juga boleh mengeluarkan bon dalam bentuk matawang asing, yang biasanya dijual kepada bank-bank di peringkat antarabangsa.
Pada peringkat kapitalisme monopoli, modal yang dikumpulkan oleh kapitalis besar adalah begitu banyak sekali. Mereka tidak simpan modal itu dalam peti keselamatan yang tersembunyi dalam rumahnya, tetapi melaburkannya semula untuk mendapatkan keuntungan yang lebih lumayan lagi. Dengan perkembangan pesat kapitalisme kewangan, kitaran nilai surplus dalam bidang kewangan jauh lebih menguntungkan daripada melaburkan modal dalam pengeluaran industri. Maka, bank-bank dan kapitalis kewangan memegang semakin banyak modal kewangan daripada modal-modal yang dibuang ke dalam pasaran modal kewangan.
Penjanaan hutang telah menjadi satu kaedah untuk memperhebatkan pengumpulan modal. Bank-bank dengan bantuan daripada dasar kerajaan, memaksa pekerja untuk mendapatkan pinjaman bagi memenuhi keperluan hidup mereka. Bank-bank multinasional pula mengumpan negara-negara yang mengalami defisit atau memerlukan dana besar untuk pembangunan supaya mendapatkan pinjaman daripada mereka. Oleh yang demikian, hutang semakin bertimbunan. Penimbunan hutang yang semakin banyak bermakna pengumpulan modal yang semakin besar untuk kapitalis kewangan.
Ambil contoh Krisis Hutang Negara Greece sejak 2009. Hutang kerajaan Greece bertimbunan besar apabila bank-bank besar di Eropah (seperti bank-bank di Perancis dan Jerman) mengumpannya untuk meminjam wang sejumlah besar yang mungkin. Bank-bank itu dengan ghairahnya meminjam keluar wang itu kerana mereka mempunyai terlalu banyak nilai surplus yang perlu dikitarkan semula untuk nilai surplus yang lebih banyak. Apabila terjadinya Krisis Kewangan Sedunia pada tahun 2008, bank-bank di Eropah menghadapi masalah likuiditi yang tidak mencukupi, dan mulai bimbang bahawa kerajaan Greece yang tidak mampu bayar balik hutang (kerana kadar hutangnya sudah terlalu tinggi) akan membankrapkan mereka. Pada masa itu, Suruhanjaya Eropah (Eurogroup), Bank Pusat Eropah (ECB) dan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) telah mencampurtangan untuk membantu bank-bank yang bermasalah. Jawatankuasa yang dibentuk oleh ketiga-tiga institusi tersebut untuk menangani krisis hutang di Eropah itu digelar “Troika”. Troika menyelamatkan bank-bank yang meminjam wang kepada Greece dengan membayar hampir semua hutang itu, dan Troika pula menjadi pemiutang kepada kerajaan Greece selepas itu. Troika memaksa kerajaan Greece untuk melaksanakan dasar-dasar penjimatan (austerity) sebagai syarat-syarat itu mendapat “bantuan” tersebut, dan kerajaan Greece perlu teruskan pembayaran balik hutangnya dengan faedah kepada Troika.
Negara-negara Dunia Ketiga atau negara-negara sedang membangun terjerumus dalam perangkap hutang, akibat daripada pemangsaan oleh sistem kitaran modal kewangan kapitalis. Negara-negara Dunia ketiga hampir kesemuanya pernah dijajah oleh kuasa-kuasa besar (iaitu negara barat yang paling awal melangkah masuk ke dalam mod pengeluaran kapitalis). Negara-negara Dunia Ketiga dijadikan miskin dan mundur akibat daripada penjajahan kuasa imperialis. Selepas mencapai kemerdekaan, negara-negara Dunia Ketiga berada dalam keadaan yang tidak seimbang dari segi pembangunan ekonomi berbanding dengan negara-negara kapitalis yang maju. Melalui institusi kewangan antarabangsa seperti Bank Dunia dan IMF, negara-negara kapitalis maju meminjam wang kepada negara-negara sedang membangun, dengan syarat negara-negara sedang membangun perlu melaksanakan “Program Pengubahsuaian Struktur” ke atas ekonominya supaya membolehkannya membayar balik pinjaman itu. “Program Pengubahsuaian Struktur” sebenarnya adalah membuka pintu kepada penjajahan dalam bentuk baru (iaitu secara halusnya melalui penguasaan ekonomi) dan memastikan negara-negara sedang membangun terus dikuasai oleh kuasa kapitalis negara maju. Negara-negara sedang membangun yang berhutang banyak membelanjakan lebih banyak wang untuk membayar balik pinjamannya daripada membasmi kemiskinan dan menyediakan perkhidmatan asas kepada rakyatnya. Oleh sebab tahap hutang yang tinggi, negara-negara penghutang akan terus tertakluk pada syarat-syarat pemiutangnya yang mendesak supaya melaksanakan dasar-dasar kerajaan yang membolehkan kapitalis transnasional untuk memeras lebih keuntungan.
Hutang telah menjadi alat untuk pengumpulan modal dalam kitaran nilai surplus kapitalis tanpa aktiviti pengeluaran yang sebenar. Hutang juga menjadi senjata kepada kapitalis monopoli transnasional untuk meneruskan penjajahan ke atas negara-negara yang kurang membangun.