11 - monnopoly.jpg

Walaupun ekonomi kapitalis digerakkan oleh persaingan, tetapi apabila modal semakin tertumpu dalam tangan kapitalis perindustrian yang terlibat dalam pengeluaran komoditi, wujudnya pelbagai bentuk persetujuan monopoli antara kapitalis-kapitalis untuk memusatkan modal dan memastikan keuntungan yang berterusan, seperti:

  • Mewujudan cartel ataupun syndicate dalam sektor industri tertentu, di mana pesertanya (syarikat-syarikat swasta) mengekalkan kebebasan untuk beroperasi sebagai syarikat yang berasingan.
  • Mewujudkan trust ataupun penggabungan syarikat, di mana syarikat-syarikat yang bergabung akan memindahkan kuasanya kepada lembaga pengarah syarikat yang digabungkan itu.
  • Menubuhkan konsortium atau syarikat saham, di mana kapitalis besar menguasai syarikat dan sektor industri sebagai pemegang saham utama.

Makna beberapa istilah yang berkaitan:

Cartel: Persetujuan yang dicapai antara syarikat-syarikat yang bersaing untuk mengawal harga ataupun mengecualikan kemasukan pesaing lain ke dalam pasaran. Syarikat yang bergabung dalam cartel masih mempunyai kebebasan untuk beroperasi secara sendiri. Cartel merupakan bentuk monopoli yang paling biasa.

Syndicate: Kumpulan yang dibentuk oleh beberapa syarikat korporat yang mempunyai kepentingan bersama dalam pasaran (tetapi biasanya bukan pesaing secara langsung). Syarikat besar mewujudkan sindiket untuk memperkuatkan kedudukannya dalam pasaran. Ini merupakan bentuk monopoli yang lebih stabil berbanding cartel, tetapi syarikat yang menggangotainya kehilangan kebebasannya dalam urusniaga. 

Trust: Istilah yang digunakan untuk merujuk pada syarikat besar yang memonopoli pasaran di Amerika Syarikat khususnya pada abad ke-19 dan awal abad ke-20. Ini merupakan bentuk monopoli yang lebih tinggi, di mana syarikat-syarikat yang berkaitan rapat dalam pengeluaran bergabung menjadi sebuah syarikat raksasa, sehingga syarikat yang menganggotainya kehilangan kebebasan dan menjadi pemegang saham dalam syarikat gergasi.

Selain sektor industri, penumpuan dan pemusatan modal juga berlaku pada sektor perbankan.

Fungsi utama bank dalam sistem kapitalis adalah meminjam wang kepada syarikat-syarikat (yang menjalankan aktiviti pengeluaran komoditi). Apabila pemusatan modal kewangan mencapai ke tahap yang tinggi dalam sektor perbankan, segelintir kecil bank gergasi akan memonopoli pinjaman. Ini bermakna bank-bank gergasi ini bukan lagi menerima secara pasif faedah modal yang dipinjamkannya dan menunggu pemulangan pinjaman yang tamat tempohnya. Bagi bank yang meminjam wang kepada syarikat-syarikat yang menjalankan bisnes yang lebih kurang sama, ia perlu memastikan syarikat itu dapat bertahan dan mempunyai kebolehan untuk membayar balik pinjaman. Maka, bank ini akan mencampurtangan dalam mendorong (ataupun memaksa) penumpuan dan pemusatan industri. Pendekatan yang pro-aktif oleh bank adalah menggalakkan penggabungan syarikat, dan adakala juga menggunakan monopoli kredit untuk mendapatkan sebahagian modal syarikat besar sebagai syarat untuk meminjam keluar wangnya. Inilah caranya modal kewangan dibangunkan.

Modal kewangan (finance capital) adalah modal bank yang menembus masuk ke dalam sektor industri dan mendominasi sektor industri itu.

Kapitalis monopoli berkembang daripada korporat yang menguasai bank, institusi kewangan lain (seperti syarikat insurans), syarikat gergasi (dalam sektor perindustrian dan pengangkutan), rangkaian kedai-kedai francais dan sebagainya pada masa yang sama.

Kemunculan monopoli, tidak bermakna persaingan kapitalis itu telah dihapuskan. Ini juga tidak bermakna setiap sektor industri dikuasai penuh oleh sebuah syarikat sahaja. Dalam keadaan monopoli, persaingan biasanya tidak lagi berlangsung dengan kaedah pengurangan harga. Syarikat monopoli dapat memperoleh keuntungan yang jauh lebih lumayan daripada syarikat bukan monopoli. Persaingan antara syarikat monopoli biasanya akan menggunakan pendekatan selain daripada penurunan harga, misalnya pengurangan kos atau penggunaan teknik pengiklanan. Kadang-kadang dalam situasi yang luar biasa, kaedah “perang harga” (iaitu mengurangkan harga secara berterusan supaya pesaingnya juga akan berbuat demikian sehingga mematikan pesaingnya) juga akan digunakan.

Apabila penumpuan modal mencecah tahap di mana hanya tinggal beberapa syarikat gergasi sahaja dalam sesuatu sektor industri di dunia, syarikat-syarikat gergasi itu boleh menubuhkan kartel antarabangsa untuk membahagikan pasaran sesama sendiri.

Syarikat monopoli mengawal pasaran, dan hanya boleh berkembang dengan menghadkan pengeluaran. Ini juga akan menghadkan pertumbuhan pengumpulan modal. Namun, syarikat monopoli ini memegang modal yang sangat banyak, kerana keuntungan yang sangat lumayan hasil daripada monopolinya. Ini mewujudkan satu fenomena yang khas dalam era kapitalis yang mencapai peringkat imperialis, iaitu golongan monopoli di negara-negara kapitalis yang maju mempunyai modal berlebihan dan mereka terdesak untuk mencari tempat pelaburan yang baru untuk modal berlebihan itu.

Pengeksportan modal menjadi satu ciri khas dalam zaman imperialisme. Modal berlebihan yang dimiliki oleh kapitalis monopoli dieksport ke negara lain, dan mendapat keuntungan yang lebih tinggi berbanding dengan keuntungan dalam sektor ekonomi negara imperialis yang adanya persaingan. Pengeksportan modal ini juga merangsang aktiviti ekonomi yang berfaedah untuk negara imperialis, seperti membangunkan perlombongan dan penanaman bahan mentah di negara-negara yang belum membangun (di Asia, Afrika dan Amerika Latin).

Selagi aktiviti kapitalis dalam pasaran dunia hanyalah untuk menjual barangan dan membeli bahan mentah atau makanan, maka tiada keperluan yang besar untuk menggunakan kekuasaan tentera dalam menakluk wilayah jajahan yang baru. Namun, apabila pengeksportan modal menjadi sesuatu yang utama dalam aktiviti antarabangsa, situasi pun berubah.

Penjualan komoditi dapat mengutip balik wang hasil jualannya pada masa yang singkat, paling lama pun beberapa bulan. Tetapi pelaburan di negara lain pula memakan masa yang lama untuk mendapatkan pulangannya, berkemungkinan mengambil masa beberapa tahun. Oleh itu, kuasa-kuasa besar melihat keperluan untuk mewujudkan pengawalan secara berpanjangan ke atas negara di mana kapitalisnya melabur, untuk memastikan pulangan dan keuntungan pelaburan itu dapat terjamin. Inilah motifnya untuk penjajahan.

 

 

 

One thought on “Kapitalisme Monopoli

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *