51136500_2375206522709555_8498548013042499584_n

KANGAR – 28 JANUARI 2019: Pejabat Menteri Besar Negeri Perlis telah dikunjungi oleh satu rombongan penduduk dari Kampung Seri Kesinai, Padang Besar, Perlis, pada hari ini yang membawa tuntutan supaya Menteri Besar Perlis Azlan bin Man mencampurtangan untuk menyelesaikan masalah pengusiran paksa yang sedang dihadapi mereka.

Sebanyak 15 buah keluarga yang menetap untuk selama 35-40 tahun di atas tanah Lot 598 di Kampung Seri Kesinai, sedang menghadapi ancaman pengusiran apabila pemilik geran hak milik tanah Lot 598 mengheret mereka ke mahkamah. Tanah di Kampung Seri Kesinai yang diduduki lebih 50 buah keluarga telah dipecahkan kepada beberapa lot tanah dan diberikan kepada orang luar sejak tahun 1990-an. Tanah Lot 598 telah dipindahmilik kepada seorang dari luar yang tidak pernah menetap di situ pada tahun 1992, sedangkan penduduk yang sudah lama tinggal di situ langsung tidak diiktiraf hak ekuiti mereka dalam meneroka tanah tersebut.

Penduduk-penduduk yang sedang menetap di Kampung Seri Kesinai telah meneroka tanah kampung ini sejak akhir tahun 1970-an dan 1980-an. Beberapa kali dalam 35 tahun yang lalu, penduduk-penduduk di sini telah  memohon secara lisan kepada pihak pentadbir tanah dan juga pemimpin politik (termasuk Ahli Parlimen dan ADUN) untuk geran hak milik tanah, tetapi mereka beritahu  bahawa ini adalah tanah kerajaan dan penduduk sedia ada boleh menetap di situ.

Akan tetapi, penduduk-penduduk Kampung Kesinai terkejut apabila tanah di kampung tersebut telah dipecahkan dan diberikan kepada individu yang tidak pernah menduduki tanah ini, termasuklah tanah Lot 598. Kesemua tanah di Kampung Kesinai dan kawasan sekitarnya telah dipecahkan kepada lot-lot pertanian dan diberikan hak milik kepada pihak luar. Pemberian geran-geran ini berlaku sekitar tahun 1990 hingga 1992.

Penduduk-penduduk Kampung Seri Kesinai telah dituduh oleh pemilik geran tanah sebagai “penceroboh”, sedangkan mereka yang paling awal datang dan meneroka tanah ini. Pemberian geran tanah kepada pihak lain hanya berlaku selepas kampung ini didirikan. Oleh yang demikian, penduduk-penduduk Kampung Seri Kesinai mengemukakan permintaan kepada pihak Menteri Besar Perlis supaya menyiasat kenapa dan bagaimana tanah yang diduduki oleh orang kampung yang berpendapatan rendah boleh diluluskan kepada pihak ketiga oleh Pentadbir Tanah sebelum ini.

Pada masa kini, kes berkaitan dengan tanah Lot 598 di Kampung Seri Kesinai sedang berjalan di mahkamah dan penduduk-penduduk kampung ini berisiko untuk  diusir keluar dari tanah kampung ini. Sistem undang-undang berkaitan dengan tanah di negara kita memang tidak berpihak kepada peneroka miskin dan tidak mengiktiraf hak ekuiti mereka sebagai penghuni asal tetapi hanya mengiktiraf pemilik geran hak milik tanah tanpa mengambilkira bagaimana geran itu diperolehi.

Selain 15 buah keluarga yang diheret ke mahkamah oleh pemilik geran dari luar, keluarga lain yang tinggal di Kampung Seri Kesinai turut menghadapi masalah yang sama, yang belum lagi berhadapan dengan kes mahkamah. Selain Kampung Seri Kesinai, kampung-kampung di sekitar kawasan tersebut turut menghadapi masalah tanah kampung dipecahkan lot dan diberikan hakmilik kepada pihak luar.

50717537_338307746771693_9219057621946859520_n

Dalam memorandum yang diserahkan kepada Pejabat Menteri Besar Perlis pada hari ini, penduduk-penduduk Kampung Seri Kesinai telah mengemukakan tuntutan kepada Menteri Besar Perlis supaya:

  1. Mencampurtangan dalam isu tanah Kampung Seri Kesinai dan mencari satu jalan penyelesaian adil;
  2. Menyiasat prosespemberian tanah kampung ini dan juga kampung-kampung di sekitar pada tahun 1990-1992. Siapakah pihak yang memutuskannya, dan mengapa kepentingan golongan berpendapatan rendah tidak diambilkira dalam perkara ini?
  3. Menasihatkan pemilik tanah untuk menangguhkan kes pengusiran terhadap penduduk-penduduk kampung buat masa ini supaya pihak Kerajaan Negeri mempunyai lebih banyak masa untuk melakukan siasatan;
  4. Mempertimbangkan kaedah penggunaan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk mengambil semula sebahagian daripada lot-lot yang diberikan kepada pihak-pihak ketiga pada tahun 1990-1992, dan melaksanakan Skim Perumahan Mampu Milik / Sewa Beli untuk penduduk-penduduk yang diancam pengusiran paksa ini.

Memorandum daripada penduduk-penduduk Kampung Seri Kesinai ini telah diterima oleh Harmizan Abdul Halim selaku Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Perlis. Turut bersama dengan penduduk-penduduk Kampung Seri Kesinai semasa penyerahan memorandum ialah Dr. Jeyakumar Devaraj selaku Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan R. Karthiges selaku Penyelaras Biro Perumahan PSM.

50933596_289972955000303_2809968446303895552_n

One thought on “Penduduk Kampung Seri Kesinai diancam pengusiran

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *