KANGAR, PERLIS – 17 NOVEMBER 2020: Penduduk-penduduk dari Kampung Seri Kesinai, Padang Besar, Perlis, telah menyerahkan satu memorandum pada hari ini kepada Pejabat Menteri Besar Perlis, dengan seruan supaya pihak Kerajaan Negeri Perlis menyelesaikan isu pengusiran paksa yang sedang dihadapi mereka dengan mewujudkan skim perumahan kos rendah sewa beli.

Penduduk-penduduk yang sedang menetap di Kampung Seri Kesinai telah meneroka tanah kampung ini sejak akhir tahun 1970-an dan 1980-an. Mereka pernah memohon secara lisan kepada pihak pentadbir tanah dan juga pemimpin politik (termasuk Ahli Parlimen dan ADUN) untuk geran hak milik tanah, tetapi mereka diberitahu bahawa tanah tersebut ialah tanah kerajaan dan penduduk sedia ada boleh menetap di situ. Namun begitu, tanah di Kampung Seri Kesinai yang diduduki lebih 50 buah keluarga telah dipecahkan kepada beberapa lot tanah dan hak milik diberikan kepada orang luar sejak tahun 1990-an, sedangkan penduduk yang sudah lama tinggal di situ langsung tidak diiktiraf hak ekuiti mereka dalam meneroka tanah tersebut.

Penduduk-penduduk Kampung Seri Kesinai yang menetap di atas Lot 598 telah diheret ke mahkamah oleh pemilik tanah yang dikatakan mendapat geran hak milik sejak tahun 1992. Kes di Mahkamah Tinggi akan sampai ke tahap penghujungnya dan kemungkinan Mahkamah Tinggi akan menerima permohonan daripada pemilik tanah dan mengeluarkan perintah untuk mengarahkan penduduk di situ mengosongkan rumah mereka tanpa sebarang bayaran pampasan.

“Kami, penduduk di atas Lot 598, bukannya orang yang berada, dan kami tidak mempunyai rumah lain di luar Kampung Seri Kesinai. Pengusiran ini akan meningkatkan lagi beban kewangan bagi kami kerana kami terpaksa mencari rumah sewa, sementara besar kemungkinan kos pengangkutan ke tempat kerja dan sekolah juga akan meningkat. Ini akan menjejaskan kualiti kehidupan kami dan juga pendidikan anak-anak kami, kerana pendapatan kami yang sedikit itu terpaksa diagihkan lebih lanjut lagi untuk menampung kos sewa romah dan pengangkutan,” begitu katanya memorandum daripada penduduk Kampung Seri Kesinai. “Kami berharap pihak Kerajaan Negeri Perlis dapat bersimpati terhadap golongan rakyat daripada lapisan B20 dan membantu kami dalam mengendalikan cabaran yang kami hadapi pada ketika pendapatan kami terjejas oleh kemelesetan ekonomi yang disebabkan oleh wabak COVID-19.”

Sebelum ini, penduduk-penduduk Kampung Seri Kesinai pernah menyerahkan satu surat kepada pihak Menteri Besar Perlis pada 28 Januari 2019, dengan tuntutan kepada Kerajaan Negeri Perlis supaya mengambil semula sebahagian daripada lot-lot tanah yang diberikan kepada pihak ketiga yang bukan penduduk tempatan untuk melaksanakan skim perumahan mampu milik sewa beli bagi penduduk yang diancam pengusiran. Terdapat banyak tanah di sekitar Kampung Seri Kesinai yang masih belum dihuni penduduk dan dibangunkan. Pengambilan tanah dan pelaksanaan skim perumahan teres boleh menyelesaikan masalah pengusiran yang dihadapi oleh penduduk di situ.

Memorandum daripada penduduk Kampung Seri Kesinai telah diterima oleh Harmizan Abdul Halim selaku Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Perlis. Penduduk-penduduk Kampung Seri Kesinai mengemukakan cadangan supaya lot tanah kerajaan yang berdekatan dengan kampung itu ditawarkan kepada mereka untuk tujuan perumahan, tetapi Harmizan memberitahu bahawa tanah tersebut bukan untuk tawaran. Namun begitu, Harmizan menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Perlis boleh menawarkan rumah kerajaan dengan harga RM35,000 seunit, tetapi lokasi perumahan tersebut terletak sejauh 20 km dari perkampungan mereka sekarang. Penduduk-penduduk Kampung Seri Kesinai akan berbincang tentang tawaran ini sesama mereka sendiri dahulu sebelum memberi maklum balas.  

Turut hadir bersama semasa penyerahan memorandum penduduk Kampung Seri Kesinai kepada Pejabat Menteri Besar Perlis, ialah Dr. Jeyakumar Devaraj (Pengerusi PSM) dan R. Karthiges (Ketua Biro Perumahan PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *