Unequal-Scenes2.png

Pemusatan kekayaan dalam tangan golongan mahakaya semakin serius dengan 26 orang hartawan terkaya di dunia memiliki aset sebanyak yang dimiliki oleh 50% rakyat termiskin di dunia (iaitu bersamaan dengan 3.8 bilion orang). Inilah fakta yang didedahkan oleh Oxfam, sebuah badan amal yang memfokus pada bantuan dan pembangunan antarabangsa, dalam laporan tahunannya tentang pengagihan kekayaan dunia yang diterbitkan bersempena dengan persidangan Forum Ekonomi Dunia yang diadakan di Davos setiap tahun.

Menurut Oxfam, tahun 2018 merupakan satu tahun di mana yang kaya menjadi semakin kaya dan yang miskin pula semakin miskin.

“Ekonomi kita sudah rosak, dengan ratusan juta rakyat hidup dalam kemiskinan yang melampau sementara ganjaran yang lumayan pergi kepada mereka yang berada di lapisan paling atas. Bilangan hartawan dengan harta berbilion-bilion telah berganda sejak krisis kewangan dan kekayaan mereka telah bertumbuh dengan kadar USD 2.5 bilion sehari, tetapi golongan mahakaya dan korporat sedang membayar kadar cukai yang lebih rendah berbanding beberapa dekad lalu.” Begitulah yang tertulis dalam laporan Oxfam tahun ini yang berjudul “Kebaikan Awam atau Kekayaan Swasta?” (Public Good or Private Wealth?).

Walaupun dunia dilanda krisis kewangan pada 10 tahun dahulu, tetapi golongan teratas yang mahakaya nampaknya tidak menerima kesan buruk daripadanya, sebaliknya menjadi semakin kaya sementara golongan miskin pula yang paling terasa kesannya. Kekayaan golongan hartawan dengan harta melebihi sebilion telah meningkat sebanyak USD 900 bilion pada tahun lepas sahaja, bersamaan dengan pertumbunan USD 2.5 bilion sehari; sementara itu, kekayaan untuk separuh penduduk dunia yang termiskin, iaitu 3.8 bilion orang, telah menurun sebanyak 11% pada satu tahun yang lalu.

Poor-and-ruch-1.jpg

Golongan hartawan dengan harta berbilion-bilion dollar sekarang ini memiliki kekayaan yang paling banyak berbanding sebelum ini. Antara tahun 2017 hingga 2018, setiap dua hari akan munculnya seorang hartawan dengan harta melebihi USD 1 bilion (billionaire) yang baru. Namun, penambahan bilangan hartawan ini tidak mendatangkan berita baik kepada golongan bawahan yang terus terperangkap dalam kehidupan yang semakin susah.

Orang yang terkaya di dunia, Jeff Bezos, pemilik syarikat Amazon, telah menyaksikan kekayaannya meningkat kepada USD 112 bilion. 1% daripada kekayaan Jeff Bezos bersamaan dengan dengan belanjawan kesihatan untuk negara Ethiopia yang mempunyai seramai 105 juta orang penduduk.

Pada ketika kekayaan golongan teratas semakin bertimbunan tinggi, 3.4 bilion orang di dunia ini (hampir separuh daripada jumlah penduduk dunia) hidup dengan pendapatan kurang daripada USD 5.50 (≈ RM22.60) sehari.

Dari segi ketidakadilan gender, golongan lelaki memiliki 50% lebih daripada jumlah kekayaan berbanding wanita. Jika semua kerja penjagaan yang tidak dibayar yang dilakukan oleh wanita seluruh dunia dilakukan oleh sebuah syarikat, ia akan menjana pendapatan tahunan sebanyak USD 10 trilion, iaitu 43 kali ganda apa yang diperoleh syarikat Apple.

Pada ketika golongan terkaya terus menikmati pengumpulan harta mereka yang begitu hebat, mereka ini dan korporat yang dimiliki mereka juga sedang menikmati kadar cukai yang paling rendah dalam beberapa dekad kebelakangan ini. Kekayaan golongan terkaya memang kurang dicukai, dengan hanya 4 sen daripada setiap dollar pendapatan cukai datang daripada cukai ke atas kekayaan. Di negara kaya, kadar purata cukai pendapatan perseorangan teratas telah menurun daripada 62% pada tahun 1970 kepada 38% pada tahun 2013; sementara di negara-negara sedang membangun, kadar purata cukai pendapatan hanyalah 28%. Di sesetengah negara seperti Brazil dan UK, golongan 10% termiskin sekarang ini sedang membayar bahagian pendapatan yang lebih tinggi dalam cukai berbanding golongan 10% terkaya.

Golongan mahakaya sedang menyembunyi sebanyak USD 7.6 trilion kekayaan mereka daripada pihak berkuasa percukaian. Syarikat korporat turut menyembunyi bahagian keuntungan yang besar di tempat berlindung cukai. Tindakan penyembunyian kekayaan oleh golongan mahakaya dan syarikat korporat telah menafikan pendapatan sebanyak USD 170 bilion setiap tahun untuk negara-negara sedang membangun.

Laporan Oxfam menyatakan bahawa dengan hanya mengenakan golongan 1% terkaya untuk membayar 0.5% cukai tambahan terhadap kekayaan mereka, akan dapat menjana dana yang mencukupi untuk membiayai pendidikan untuk kesemua 262 juta orang kanak-kanak yang tidak bersekolah pada masa ini dan membekalkan perkhidmatan kesihatan yang dapat menyelamatkan nyawa 3.3 juta orang!

Ketidaksamarataan yang wujud akibat pengagihan kekayaan yang tidak adil, telah menyumbang kepada perkembangan politik yang semakin diracuni oleh golongan berhaluan kanan lampau, seperti yang dapat kita lihat di Amerika Syairkat, Brazil, Eropah dan Filipina. Jurang antara yang kaya dengan yang miskin yang semakin melebar sedang membantu dalam menjana politik bersifat autoritarianisme yang menyekat kebebasan bersuara dan demokrasi. Pemimpin-pemimpin politik yang berfahaman kanan khususnya lebih suka mengapi-apikan sentimen yang membenci imigran, rasis, nasionalis sempit, anti-wanita dan memalukan golongan miskin untuk meraih sokongan, bukannya berusaha untuk menutupi jurang antara yang kaya dengan yang miskin. Masyarakat yang tidak samarata melahirkan rakyat yang lebih tertekan, kurang bahagian dan mempunyai tahap penyakit mental yang lebih tinggi.

howefight.png

“Kita perlu mentransformasi ekonomi kita untuk menyampaikan kesihatan universal, pendidikan dan perkhidmatan awam yang lain. Untuk menjadikan ini berkemungkinan, orang terkaya dan korporat perlu membayar secara saksama bahagian cukai mereka. Ini akan membawa kepada pengurangan dramatic dalam jurang antara yang kaya dengan yang miskin dan antara wanita dengan lelaki,” begitulah saranan daripada Oxfam.

Oxfam menyeru pada kerajaan-kerajaan di seluruh dunia untuk menetapkan sasaran konkrit mengikut jadual masa dan pelan tindakan untuk mengurangkan ketidaksamarataan. Perancangan ini perlu merangkumi tindakan dalam 3 bidang berikut:

  1. Membekalkan penjagaan kesihatan universal, pendidikan dan perkhidmatan awam lain yang percuma. Berhenti menyokong penswastaan perkhidmatan awam. Memberikan pencen, bantuan kepada kanak-kanak dan perlindungan sosial yang lain untuk semua. Merekabentuk semua perkhidmatan untuk memastikan dapat juga memanfaatkan wanita dan kanak-kanak perempuan.
  1. Melapangkan lebih masa untuk wanita dengan mengurangkan berjuta-juta jam tidak dibayar yang dihabiskan mereka untuk menjaga keluarga dan rumah tangga mereka. Biarkan mereka yang menjalankan kerja penting ini untuk bersuara dalam keputusan belanjawan dan menjadikan “meluangkan masa wanita” sebagai objektif utama belanjawan kerajaan. Melabur dalam perkhidmatan awam termasuk air, elektrik dan penjagaan kanak-kanak yang mengurangkan masa yang diperlukan untuk melakukan kerja tidak dibayar ini. Merekabentuk semua perkhidmatan awam supaya memanfaatkan mereka yang hanya mempunyai sedikit masa lapang.
  1. Hentikan percukaian yang rendah untuk individu dan korporat yang kaya-raya. Kenakan cukai ke atas kekayaan dan modal pada tahap yang lebih adil. Hentikan perlumbaan ke bawah untuk cukai pendapatan dan cukai korporat. Hapuskan pengecualian dan pengelakan cukai oleh korporat dan golongan mahakaya. Setuju dengan set peraturan global dan institusi yang baru untuk merekabentuk semula sistem cukai supaya menjadikannya lebih adil, dengan negara-negara sedang membangun mempunyai perwakilan yang samarata dalam meja rundingan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *