Wages.jpg

oleh Sivaranjani Manickam

Parti Sosialis Malaysia (PSM) amat risau dengan penganiayaan yang berterusan terhadap pekerja kontrak. Menurut laporan suratkhabar The Star pada 14 Oktober 2018, pekerja-pekerja pengawal keselamatan sekolah kerajaan di sekitar Machang dan Kota Bharu, Kelantan, mengadakan protes di depan Pejabat Pendidikan Daerah kerana kontraktor ataupun majikan yang mengupah mereka tidak membayar gaji sejak bulan Ogos 2018.

Ini bukannya kes yang pertama, malah isu seperti ini berlaku secara berleluasa di banyak sekolah dan lain-lain premis kerajaan yang kontraktornya menganiayai pekerja tanpa membayar gaji untuk berbulan-bulan. PSM sendiri telah menghantar memorandum kepada Menteri Pendidikan pada tahun 2016 mengenai isu ini, tetapi tiada sebarang tindakan serius daripada Kerajaan.

Kita mempunyai hampir 10,200 buah sekolah kerajaan di seluruh negara, dan setiap sekolah adanya 4 orang pengawal keselamatan sekurang-kurangnya, maka hampir 40,800 orang pekerja pengawal keselamatan bekerja di sektor ini. Ini belum lagi diambilkira pekerja pembersihan di sekolah yang mengalami nasib yang sama dengan jumlahnya hampir 100,000 orang.

Tindakan kontraktor pembekal khidmat keselamatan dan juga pembersihan di jabatan kerajaan yang tidak bertanggungjawab ini amat berleluasa, sepertimana yang dilaporkan  3 bulan lepas, apabila  lebih 150 orang pekerja pembersih di Mahkamah Jalan Duta tidak dibayar gaji selama 4 bulan.

Kontraktor-kontraktor kerajaan sering memangsakan pekerja kontrak tanpa membayar gaji, menipu dalam pengiraan gaji, tiada mengeluarkan slip gaji, tiada kontrak kerja, tiada cuti tahunan, tiada cuti sakit dan banyak lagi faedah asas yang harus diperolehi pekerja tidak dipatuhi oleh kontraktor-kontraktor ini.

Jika majikan itu tidak menyeleweng pun, sistem kontrak itu sendiri sudahpun amat menindas pekerja. Kontraktor yang diambil oleh kerajaan boleh ditukar setiap 3 tahun. Walaupun pekerja-pekerja ini telah bekerja untuk tempoh lebih 3 tahun di sesebuah jabatan kerajaan, tetapi setiap 3 tahun mereka dianggap sebagai pekerja baru di bawah majikan (kontraktor) baru ataupun kontrak perkhidmatan berkenaan diperbaharui untuk kontraktor yang sama. Pekerja kehilangan faedah tempoh perkhidmatannya dan juga kenaikan gaji yang setimpal dengan khidmat dan pengalaman lamanya. Mereka tidak diberikan apaj-apa kenaikan gaji dan hanya bergantung pada pelarasan gaji minimum yang ditetapkan oleh Kerajaan.

Sekarang ini, pekerja-pekerja kawalan keselamatan di Machang dan Kota Bharu berani keluar dan mendedahkan penganiayaan ini. Akibat daripada tidak dibayar gaji untuk 2 bulan lepas, pekerja-pekerja ini tidak dapat membayar sewa rumah, bil elektrik dan menyediakan makanan untuk anak-anak mereka. Ini adalah satu situasi yang amat kritikal. Pekerja-pekerja kontrak ini adalah pekerja B40 yang masih menerima gaji pada paras gaji minimum, iaitu gaji asas hanya RM1,000.

Apakah jawapan Kementerian Pendidikan sebagai pihak yang melantik dan membayar kontrak-kontraktor ini? Adakah Kementerian Pendidikan bekerjasama dengan Kementrian Sumber Manusia dan Jabatan Tenaga Kerja untuk memantau dan memastikan kontraktor-kontrakor yang dilantiknya ini mematuhi undang-undang buruh? Ataupun mereka ini bersikap cuci tangan?

Adakah Kementerian Pendidikan mempunyai satu prosedur operasi standard (SOP) yang jelas dan ketat untuk memastikan hanya kontraktor yang berkemampuan sahaja dilantik?

Jelas daripada kes-kes yang berleluasa ini, PSM berpendapat bahawa sistem penyumberan luar (outsourcing) hanya mengkayakan segelintir kontraktor yang bertindak sebagai “orang tengah” antara kerajaan dan pekerja, sedangkan pekerja-pekerja yang diupah oleh kontraktor di bawah sistem penyumberan luar ini terus menghadapi pelbagai masalah. Sistem kontrak ini hanya berjaya menindas pekerja-pekerja bawahan yang bekerja di premis kerajaan.

Justeru, PSM dengan tegasnya menuntut supaya semua pekerja yang diupah untulk memberikan khidmat pembersihan dan keselamatan di sektor kerajaan diserapkan terus sebagai pekerja tetap kerajaan!

Para pekerja akan bekerja dengan lebih semangat lagi sebagai pekerja tetap kerajaan dengan segala faedah perkhidmatan awam. Tambahan pula, Kerajaan juga akan menjimat perbelanjaan kerana tidak perlu bayar kepada kontraktor yang berfungsi sebagai “orang tengah” untuk perkhidmatan sama yang diberikan oleh pekerja yang sama.

PSM sedang berkempen untuk pemansuhan sistem kontrak di premis kerajaan. PSM menuntut supaya Kerajaan harus menjadikan pekerja kontrak yang bekerja di premis kerajaan sebagai pekerja tetap kerajaan, sepertimana yang wujud dahulu sebelum tahun 1980-an. Hanya dengan pemansuhan sistem penyumberan luar, kita dapat selamatkan pekerja-pekerja bawahan ini daripada terus dimangsakan oleh kontraktor.

==========

Sivaranjani Manickam ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Penyelaras Biro Pekerja PSM.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s