20181014_081438

oleh Dr. Jeyakumar Devaraj

Kenyataan-kenyataan daripada Menteri Kesihatan dan Timbalannya dalam 2 bulan kebelakangan ini berkaitan Insurans Kesihatan membuatkan ramai aktivis kesihatan berasa amat khuatir.  Dalam keadaan butiran terperinci berkaitan Insurans Kesihatan yang dicadangkan ini belum lagi didedahkan oleh Kementerian Kesihatan, maklumat yang disaring melalui sumber-sumber yang sahih memberi gambaran bahawa kerajaan sedang merancang untuk memperkenalkan polisi insurans untuk keluarga B40 yang melayakkan mereka untuk menerima rawatan bernilai RM10,000 setahun di hospital swasta. Terdapat 3 juta keluarga B40 sekarang. Sekiranya diandaikan satu perempat dari mereka menggunakan insurans ini setiap tahun, jumlah bayaran akan mencecah RM7.5 bilion setahun (0.75 juta x RM10,000).

Polisi sebegini mungkin agak popular, sekurang-kurangnya pada peringkat awalnya. Keluarga B40 akan berasa gembira kerana mempunyai pilihan untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta tanpa perlu mencarum kepada skim ini. Hospital swasta akan lebih dari gembira! Mereka akan menggerakkan pasukan pemasaran mereka untuk mengiklankan rawatan mereka untuk menggalakkan keluarga B40 supaya menggunakan insurans mereka untuk penyaringan, siasatan dan rawatan yang sebenarnya tidak diperlukan oleh keluarga ini. Dan syarikat insurans akan turut teruja sekiranya mereka juga dapat sebahagian daripada faedahnya. Jadi, jika semua orang gembira, kenapa orang seperti saya tidak gembira dengan cadangan ini?

Ini adalah kerana kami melihatnya selari dengan apa yang berlaku pada hujung tahun 1980-an. Pada masa itu, Dr. Mahathir meliberalisasikan sistem penjagaan kesihatan dengan membenarkan pembinaan hospital swasta yang berasaskan keuntungan. Sebelum itu, hanya hospital swasta yang tidak berasaskan keuntungan dibenarkan wujud di Malaysia. Hujah yang digunakan oleh Dr. Mahathir pada masa itu adalah orang-orang kaya perlu digalakkan untuk membayar kos rawatan di hospital swasta dan dengan itu perbelanjaan kerajaan untuk penjagaan kesihatan dapat difokuskan kepada golongan miskin dalam masyarakat. Dr. Mahathir mengambil contoh kes-kes peniaga kaya yang datang ke hospital kerajaan menaiki kereta Mercedes mereka untuk mendapat rawatan yang sebahagian besarnya disubsidi oleh kerajaan.

Pada masa itu, hujah Dr Mahathir nampaknya agak munasabah bagi ramai rakyat Malaysia. Hanya pada masa sekarang, baru kita dapat saksikan bagaimana dasar tersebut telah merosakkan sistem penjagaan kesihatan awam kita. Pada masa sekarang, hanya 10% daripada doktor pakar yang mempunyai pengalaman lebih dari 10 tahun kekal dalam perkhidmatan kerajaan. 90% daripada pakar yang berpengalaman berada dalam sektor swasta yang menawarkan perkhidmatan untuk 25% pesakit dalam negara ini. Ini meninggalkan 10% daripada pakar berpengalaman untuk menangani 75% pesakit yang dimasukkan ke hospital kerajaan. Jadi, adakah sesuatu yang mengejutkan apabila sukar untuk mendapatkan rawatan pakar di hospital kerajaan, atau berlakunya kesilapan kerana kurangnya pakar yang mencukupi untuk menyelia doktor yang lebih muda?

Sistem penjagaan kesihatan 2-tingkat kemudiannya telah berkembang di Malaysia, di mana 25% yang mampu bayar, menerima rawatan yang canggih dan pantas di hospital swasta (kadang kala mendapat lebih daripada apa yang diperlukan), sementara 75% yang bergantung pada hospital kerajaan menghadapi masalah kelewatan, senarai menunggu yang panjang, sukar untuk mendapat khidmat pakar kanan dalam perkhidmatan kerajaan dan risiko komplikasi yang serius akibat penjagaan yang tidak mencukupi. Ini adalah kesan secara langsung daripada perubahan dasar yang diperkenalkan oleh Dr. Mahathir.

Skim yang dicadangkan oleh Menteri Kesihatan dan Timbalannya akan memburukkan lagi sebahagian masalah yang dihadapi oleh sistem penjagaan kesihatan kerajaan. Peningkatan kepada permintaan untuk penjagaan kesihatan swasta sebanyak RM 7.5 bilion akan mempercepatkan lagi penghijrahan keluar doktor pakar dari hospital kerajaan. Ini akan mengakibatkan kualiti perkhidmatan di hospital kerajaan bertambah merosot, memburukkan lagi krisis keyakinan di hospital kerajaan, sehingga menyebabkan golongan B40 terpaksa membayar lebih untuk menambah nilai insurans yang telah dimulakan oleh kerajaan bagi pihak mereka. Ini adalah kerana nilai RM10,000 yang diberikan kepada mereka tidak lagi mencukupi untuk menanggung keperluan kesihatan keluarga jika dilanda masalah kesihatan yang serius.

Lama kelamaan, sistem penjagaan kesihatan awam tidak lagi diambil peduli dan rakyat Malaysia akan dibebani dengan pembayaran insurans kesihatan yang tinggi. Dalam jangka sederhana, iaitu 10 hingga 15 tahun, skim insurans yang dicadangkan akan menjadi beban yang serius kepada ramai orang (golongan B40) yang akan menjadi penerima pemberian populis ini.

Masalah dengan cadangan insurans ini, seperti dasar liberalisasi yang diperkenalkan oleh Dr. Mahathir 30 tahun lepas, adalah ianya tidak mengambilkira sektor kesihatan secara holistik. Kedua-dua cadangan tidak mengakui bahawa perubahan dalam sektor swasta akan memberi kesan kepada sektor kesihatan awam dari berbagai sudut. Kita harus meneliti kesan yang mungkin wujud daripada perubahan sebegini dan mengelakkan daripada membuat keputusan yang boleh merosakkan sistem penjagaan kesihatan awam di negara kita. Inilah yang perlu diperhalusi oleh Menteri Kesihatan, kerana adalah menjadi mandat kepada beliau untuk memelihara serta menambahbaikkan  sistem penjagaan kesihatan awam. Sepertimana pepatah Latin menyebut – primum non nocere, yang bermaksud “yang paling utama, jangan mengakibatkan kerosakan”.

Saya ingin merayu pada Menteri Kesihatan supaya memaklumkan perincian berkaitan polisi insurans yang sedang dicadang oleh Kementerian untuk diperkenalkan, dengan itu semua pihak yang terlibat dan juga individu lain boleh membahaskan dan juga memberi maklumbalas. Terus memasukkannya dalam Bajet 2019 tanpa membincangkannya  bersama dengan “pihak yang berkepentingan” (stakeholders) akan merugikan rakyat Malaysia kerana isu ini akan dibahaskan dalam arena yang amat polarisasi dan boleh dicanang sebagai satu kemenangan untuk pembangkang sekiranya kerajaan tunduk dalam sesuatu isu, dan kerana itu, akan ditentang habis-habisan oleh ahli parlimen pihak kerajaan. Ianya bukanlah satu tempat di mana satu titik perubahan dalam dasar penjagaan kesihatan dapat dibahaskan secara bebas dan terperinci.

PSM berpegang bahawa Sistem Kesihatan Awam Malaysia adalah amat penting dalam masyarakat kita. Kami merasakan bahawa tujuannya adalah murni, dan ianya adalah antara aspek kemanusiaan dan keprihatinan rakyat Malaysia. Oleh itu, ianya mesti dilindungi dan diperkasakan. Antara cadangan kami untuk menambahbaik Sistem Kesihatan di Malaysia adalah seperti berikut:
– Menambah peruntukan kesihatan persekutuan sebanyak 15% setiap tahun sehingga mencapai 4% daripada KDNK. Sekarang, ianya hanya 2.1% daripada KDNK.  (RM 26 bilion daripada KDNK berjumlah RM 1273 bilion). Dalam sidang media pertama setelah dilantik, Menteri Kesihatan menyatakan bahawa beliau akan berusaha untuk meningkatkan belanjawan kesihatan ke 3.5% daripada KDNK (The Star Online 22/5/2018). Adalah sangat bagus sekiranya beliau dapat meneruskan apa yang dikatakannya ini.
– Mengisytiharkan Moratorium terhadap penambahan hospital swasta. Hospital swasta yang sedia ada masih dibenarkan untuk beroperasi, namun mereka tidak boleh dibenarkan untuk meningkatkan kapasiti katil atau menambah cawangan baru. Jangan meluluskan mana-mana hospital swasta yang baru buat masa ini. Ini akan menyekat pengaliran keluar pakar-pakar dari hospital kerajaan.
– Membentuk satu Suruhanjaya Perkhidmatan berasingan untuk pekerja penjagaan kesihatan kerajaan dan mengambil skala gaji sepertimana digunapakai oleh Institut Jantung Negara (IJN), supaya menjadikan perkhidmatan kerajaan lebih menarik untuk kakitangan kesihatan. Juga perlu memperimbangkan untuk memberikan cuti sabatikal selama 3 bulan setiap 5 tahun perkhidmatan kerajaan supaya mereka boleh keluar negara dan mendapatkan kemahiran-kemahiran baru.
– Melakukan audit forensik terhadap bagaimana ubat-ubatan dan lain-lain bahan serta perkhidmatan diperolehi melalui pihak ketiga. Kebanyakan daripada kita merasakan bahawa sebahagian daripada bajet kesihatan ini telah diseleweng untuk kepentingan peribadi melalui kontrak-kontrak mega.

Rakyat Malaysia yang mengambil berat tentang keadilan sosial dan ingin membentuk solidariti di kalangan rakyat seharusnya bergerak ke arah mengekalkan (dan memperkasakan) sistem kesihatan awam yang akan membekalkan perkhidmatan yang berkualiti untuk semua orang, tanpa mengira status sosio-ekonomi mereka dan setiap rakyat Malaysia tidak akan dipaksa untuk membeli perlindungan tambahan dalam bentuk insurans kesihatan peribadi. Mempertahankan sistem kesihatan awam kita adalah sesuatu yang bermakna untuk kita semua.

==========

Dr. Jeyakumar Devaraj, Ahli Jawatankuasa Parti Sosialis Malaysia (PSM). Beliau juga merupakan bekas Ahli Parlimen untuk kawasan Sungai Siput. 

Diterjemahkan dari Bahasa Inggeris ke Bahasa Malaysia oleh Wan Zamzahidi Wan Zahid, dan disunting oleh Choo Chon Kai.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *