20180110_101330.jpg

oleh Karthiges Rajamanickam

Merujuk kepada laporan akhbar The Star dan The Sun Daily bertarikh 9 Oktober 2018, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, telah mengeluarkan satu kenyataan bahawa Kerajaan Persekutuan sedang mengusahakan projek perumahan mampu milik dan mampu sewa, tetapi bergantung kepada Kerajaan Negeri sama ada mahu memberi tanah untuk projek tersebut atau tidak. Lima agensi perumahan kerajaan akan bergabung untuk membentuk Majlis Perumahan Mampu Milik dan mengkordinasi pembangunan skim perumahan tersebut.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengalu-alukan usaha untuk memperluaskan pembinaan skim perumahan mampu milik untuk rakyat B40, tetapi pada masa yang sama masih tidak memadai memandang kenyataan tersebut menunjukkan bahawa Kerajaan Persekutuan hanya mengharapkan Kerajaan Negeri untuk menyediakan tanah di lokasi bersesuaian dalam menjayakan perumahan mampu milik.

Isu pertama di sini ialah tanah untuk projek perumahan sedemikian. Walaupun Kerajaan Negeri mempunyai kuasa dalam pentadbiran tanah, sekiranya projek pembangunan yang dijalankan adalah untuk kepentingan rakyat, maka Kerajaan Persekutuan ada caranya untuk mendapatkan tanah tersebut walaupun Kerajaan Negeri berdegil untuk tidak memberi tanah. Selain Akta Pengambilan Tanah 1960 boleh digunakan dengan bayaran pampasan yang minimum, sebenarnya Kerajaan Persekutuan mempunyai simpanan tanah yang luas di seluruh negara melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC), seperti Sime Darby, dan tanah tersebut boleh digunakan untuk kepentingan umum. Jangan menggunakan alasan sebegini untuk tidak membina rumah mampu milik di negeri-negeri yang bukan dikuasai kerajaan Pakatan Harapan. Bagaimana pula dengan kes-kes yang dibongkarkan mengenai tanah Kerajaan di lokasi utama dijual kepada pihak swasta dengan harga yang murah?

PSM mencadangkan pada Kerajaan Pakatan Harapan supaya mengenakan satu moratorium untuk tanah Persekutuan dan juga Negeri bagi tujuan menghentikan transaksi tanah ke  tangan pihak swasta. Satu Jawatankuasa khas harus ditubuhkan untuk meneliti perkara ini demi mengekalkan simpanan tanah Kerajaan yang boleh digunakan untuk projek perumahan mampu milik.

Isu kedua ialah pemahaman kerajaan tentang hak perumahan rakyat terbanyak. PSM berpendirian bahawa ‘perumahan adalah hak rakyat’ dan harus menjadi tanggungjawab kerajaan. Pengalaman lampau membuktikan bahawa perbadanan kerajaan terlibat dalam pengusiran paksa peneroka bandar dan menggunakan alasan bahawa tanah diperlukan untuk projek perumahan kerajaan. Pada masa yang sama, tanah yang diperuntukkan kepada perbadanan kerajaan disalurkan kepada syarikat kroni swasta untuk membangunkan skim perumahan. Kami risau tabiat lama ini masih berterusan dan sejauh mana kerajaan baru akan mengatasi masalah sedemikian.

Isu ketiga yang sama penting juga ialah harga perumahan mampu milik atau mampu sewa yang akan dibawa kelak. Jika dibiarkan, spekulasi harga tetap berlaku kerana niat terutama kaum korporat masih berpaksikan keuntungan.

Pengumuman gaji minimum sebanyak RM 1,050 yang mengecewakan bermaksud dalam ertikata lain, seorang pekerja hanya mampu membeli rumah dengan harga di bawah RM 67,000 dengan gaji tersebut (iaitu dengan kiraan bayaran ansuran bulanan perumahan tidak boleh melebihi satu pertiga daripada gaji penuhnya). Persoalannya, adakah kerajaan Pakatan Harapan berniat untuk membina rumah mampu milik dengan harga sekitar RM 42,000 hingga RM70,000?

Ataupun adakah Kerajaan Pakatan Harapan juga terpengaruh dengan hujah pemaju yang mendefinisikan semula rumah mampu milik sebagai rumah yang berharga RM 300,000? Apakah rasionalnya kita memanggil rumah sedemikian mampu milik? Tidakkah ini satu penipuan?

Bagaimana pula dengan harga sewa Program Perumahan Rakyat (PPR) atau projek mampu sewa yang dicadangkan? Adakah Menteri sedar bahawa kerajaan negeri Pakatan Harapan pernah melakukan pengusiran paksa terhadap penduduk PPR kerana tidak mampu bayar sewa bulanan? Cadangan harga sewa RM 110 untuk rumah dua bilik dan RM 90 untuk satu bilik adalah sesuatu yang munasabah dan tidak harus dinaikkan! Sekiranya ada yang tidak mampu untuk bayar walaupun dengan harga yang sedemikian, jangan halau mereka! Rumah PPR ialah alternatif terakhir kaum miskin untuk hidup berbumbung dan jangan menggunakan alasan tidak membayar untuk mengusir mereka. Carilah alternatif lain termasuk peruntukan sebahagian daripada rumah mampu sewa ini sebagai rumah majlis atau rumah kerajaan dan memberi subsidi sewa kepada mereka yang tidak mampu.

Kerajaan Persekutuan baru Pakatan Harapan harus sedar bahawa perumahan selesa mampu milik / sewa adalah hak asasi rakyat, dan harus menjadikannya tanggungjawab kerajaan. Skim ini adalah sepatutnya untuk semua rakyat B40 dan M40. Hentikan pengusiran paksa. Kemudahan perumahan rakyat biasa tidak harus dijadikan komoditi untuk keuntungan golongan pemodal. Keluarkan penyediaan perumahan rakyat daripada pasaran demi menghentikan harga rumah yang melambung naik.

==========

Karthiges Rajamanickam ialah Penyelaras Biro Perumahan dan Peneroka Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s