Apakah asal usul mod pengeluaran kapitalis? Bagaimana masyarakat kapitalis itu bermula?
Masyarakat kapitalis terjadi hasil daripada perkembangan 3 perkara:
i. Pemisahan antara pengeluar dengan sumber pengeluaran
ii. Kemunculan kelas kapitalis
iii. Kemunculan kelas pekerja
Ketiga-tiga perkara ini telah menghasilkan mod pengeluaran kapitalis, sementara itu juga menjadi ciri asas kepada sistem kapitalis itu.
Pemisahan antara pengeluar dengan sumber pengeluaran
Pemisahan antara pengeluar dengan sumber-sumber pengeluaran, merupakan syarat asas kepada kewujudan sistem kapitalis. Maknanya adalah, pengeluar atau orang yang melakukan buruh itu tidak lagi memiliki langsung apa-apa sumber pengeluaran pun, termasuklah tenaga kerjanya yang juga menjadi komoditi yang boleh dijual beli.
Pada awal zaman pertengahan di Eropah, wujudnya sistem hamba tani (serf), di mana pengeluar (petani) merupakan hamba tani yang terikat pada tanah kepunyaan tuan tanah. Namun, oleh sebab hamba tani itu terikat pada tanah itu, maka tanah itu juga “terikat” pada hamba tani itu. Ini bermakna, kelas hamba tani sentiasa adanya satu tapak tanah untuk membekalkan barangan keperluan kepada mereka sendiri; sentiasa ada tanah untuk hamba tani bekerja supaya dapat membekalkan keperluan hidup kepada keluarganya, walaupun hanya mempunyai alat pengeluaran yang sangat sederhana. Dalam masyarakat sebegini, tidak wujudnya tekanan secara ekonomi untuk seseorang itu menjual tenaga buruhnya kepada kapitalis. Kapitalisme tidak dapat berkembang dalam masyarakat sebegini.
Cara sistem kapitalis itu berkembang adalah melalui kekerasan dan pemaksaan untuk memisahkan pengeluar itu daripada cara pengeluarannya. Misalnya,
- Pada penghujung zaman pertengahan sehingga abad ke-18 di Eropah, berlakunya satu gerakan “pemagaran” (enclosure), di mana tanah ladang kecil dan tanah lapang awam telah dipagarkan untuk mewujudkan bidang tanah ladang yang besar. Ini telah menyebabkan ramai petani kecil kehilangan tanah, iaitu satu-satu sumbernya untuk mendapatkan keperluan hidup mereka (pengeluar pertanian dipisahkan daripada tanah pertanian), dan terpaksa berhijrah ke bandar untuk menjual tenaga kerjanya kepada kilang-kilang pembuatan industri demi mendapatkan wang untuk membeli keperluan hidupnya.
- Apabila penjajah Eropah mula menduduki benua Afrika, untuk membawa masuk mod pengeluaran kapitalis, mereka telah “memiliknegarakan” tanah dengan keluasan yang besar, di mana tanah orang Afrika telah dijadikan hak milik kerajaan penjajah ataupun hak milik swasta syarikat kapitalis Eropah. Orang Afrika yang asalnya tinggal di situ dipaksa untuk pindah ke kawasan pengasingan, yang digelar sebagai “kawasan simpanan”, di mana tanah tersebut tidak mencukupi untuk membekalkan keperluan hidup untuk mereka. Ada juga penjajah yang mengenakan levi (cukai mengikut kepala) ke atas orang Afrika di tanah jajahan, dan memaksa mereka membayarnya dengan matawang. Ini telah menyebabkan orang Afrika di tanah jajahan terpaksa bekerja untuk mendapatkan gaji supaya dapat membayar cukai dengan matawang, dan membeli bekalan makanan untuk menampung kehidupan mereka.
Kelas kapitalis dan kelas pekerja
Ciri utama yang kedua dalam sistem kapitalis adalah sumber pengeluaran (tanah, mesin, alatan, bahan mentah dan modal) tertumpu secara monopoli dalam tangan satu kelas masyarakat yang baru, iaitu kelas kapitalis atau kelas borjuasi.
Untuk berlakunya penumpuan sumber pengeluaran itu dalam tangan kelas kapitalis, perlunya satu pra-syarat, iaitu alat pengeluaran yang sentiasa diperbaharui, sekurang-kurangnya alat pengeluaran itu menjadi semakin kompleks dan semakin mahal untuk permulaan sesuatu bisnes korporat.
Pada zaman pra-kapitalis, misalnya pada zaman pertengahan di Eropah, perkembangan alat pengeluaran berada pada keadaan yang agak stabil, misalnya untuk pembuat kain, alat penenun secara manual itu diwariskan daripada satu generasi kepada generasi yang lebih muda. Harga untuk mesin tersebut tidak sangat mahal, maka seorang tukang itu dapat mendapat balik kos mesin penenunnya selepas bekerja keras untuk beberapa tahun. Apabila berlakunya Revolusi Industri, mesin telah menjadi semakin kompleks dan mahal, maka jumlah modal yang diperlukan untuk memulakan sesuatu bisnes pun menjadi semakin besar. Sejak itu, majoriti orang yang memperoleh pendapatan melalui makan gaji, tidak lagi dapat memiliki alat pengeluaran. Hak milik alat pengeluaran adalah eksklusif untuk satu-satu kelas masyarakat sahaja, iaitu kelas kapitalis.
Kelas kapitalis memiliki modal dan simpanan modal. Oleh sebab mereka sudah pun memiliki modal, maka mereka dapat memperoleh lebih modal melalui pelaburan. Dengan hakikat bahawa kelas kapitalis itu memiliki modal, maka kelas yang tidak memiliki modal tidak akan dapat memperoleh modal, dan kelas ini akan sentiasa menaburkan buruhnya untuk orang lain.
Oleh itu, wujudnya satu lagi kelas masyarakat, iaitu kelas pekerja atau kelas proletariat. Kelas pekerja tidak memiliki apa-apa cara pengeluaran pun kecuali tubuh badannya. Satu-satu caranya untuk hidup adalah dengan menjual tenaga buruhnya. Kelas pekerja mempunyai “kebebasan” untuk menjual tenaga kerjanya kepada kapitalis (pemilik alat pengeluaran).
Kelas pekerja adalah tenaga kerja yang “bebas”. Berbanding dengan hamba tani pada zaman pertengahan, kelas pekerja moden memang telah mara satu langkah ke hadapan, kerana hamba tani tiada kebebasan untuk bergerak. Namun, berbanding dengan hamba tani, kelas pekerja moden juga melangkah ke belakang, kerana hamba tani terikat pada tanah, tetapi kelas pekerja moden “dibebaskan” daripada tanah, iaitu mereka telah dirampas alat pengeluaran untuk selama-lamanya.
Modal dan pemerasan terhadap pekerja
Modal (capital) adalah nilai yang diwujudkan atau ditambahnilai dengan nilai surplus. Dalam masyarakat kapitalis, kelas kapitalis memiliki modal, tetapi modal datang daripada nilai surplus yang dihasilkan oleh pekerja, iaitu bahagian buruh yang disumbangkan oleh pekerja tanpa apa-apa pampasan. Kelas kapitalis memiliki modal melalui pemerasan dan penindasan terhadap kelas pekerja.
Kita selalu dengar hujah macam ini, “kita perlu menggalakkan pelaburan daripada kapitalis untuk mewujudkan peluang pekerjaan”. Namun, pernahkah kita bertanya, di mana datangnya modal milik para pelabur (kapitalis) itu? Jikalau modal itu bukannya datang daripada penipuan, perompakan siang atau pencurian, maka ia pastinya datang daripada nilai surplus yang dihasilkan oleh pekerja, iaitu pemerasan terhadap pekerja. Oleh yang demikian, tanpa pekerja, tidak mungkin akan adanya nilai surplus dan tidak akan ada juga modal bagi kapitalis untuk dilaburkan. Jadi peluang pekerjaan adalah diwujudkan oleh pekerja itu sendiri, bukannya pelabur (kapitalis).