nz-march01-040920.jpg

55 tahun dahulu, pada 16 September 1963, “Persekutuan Malaysia” ditubuhkan. Persekutuan Malaysia semasa penubuhannya merupakan penggabungan antara Persekutuan Tanah Melayu (ataupun dikenali sebagai Malaya), Sabah, Sarawak dan Singapura. Namun, penubuhan Malaysia berlaku pada zaman yang penuh gelora politik perjuangan yang diiringi dengan penindasan keras terhadap gerakan politik yang menentang pengaruh kuasa imperialis di rantau ini.

Sebelum penubuhan Malaysia, hanya Persekutuan Tanah Melayu merupakan sebuah negara yang “merdeka”, entiti politik yang lain seperti Sabah dan Sawarak masih dijajah British. Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya, mencapai kemerdekaan daripada pemerintahan penjajah British pada 31 Ogos 1957, semasa ia masih berada dalam Darurat yang diumumkan oleh penjajah British. Sejarah kemerdekaan Malaya bukannya suatu perjalanan yang lancar, dan bukannya suatu proses yang tidak melibatkan pertumpahan darah seperti yang didakwa dalam buku teks sejarah rasmi.

Sejarah ringkas penjajahan British di Malaysia

Perluasan kuasa penjajah Eropah ke rantau Asia Tenggara boleh dijejaki seawal abad ke-16, apabila penjajah Portugis menawan Kesultanan Melaka pada tahun 1511. Penjajahan British bermula di Pulau Pinang pada tahun 1791 setelah merampasnya secara rasmi daripada Kesultanan Kedah. Pertelingkahan antara kuasa penjajah British dengan Belanda telah diselesaikan melalui Perjanjian Inggeris-Belanda 1824, membolehkan British menguasai beberapa tanah jajahan di sekitar Semenanjung Tanah Melayu dan menubuhkan pentadbiran Negeri-negeri Selat (yang terdiri daripada Pulau Pinang, Dinding, Melaka dan Singapura) pada tahun 1826.

Perjanjian Pangkor pada tahun 1874 yang ditandatangani antara pihak British dengan Raja Muda Abdullah yang kemudiannya menjadi Sultan Perak ke-26, dengan secara rasminya membenarkan British mencampurtangan dalam urusan negeri Melayu dan membuka ruang untuk perkembangan kuasa imperialis British di Tanah Melayu selepasnya. Golongan feudal di Tanah Melayu telah menggadaikan kedaulatan negeri sendiri kepada penjajah Eropah untuk kepentingan diri dalam perebutan kuasa ataupun untuk mendapat “perlindungan” daripada kuasa besar. Walaupun adanya menyesal selepas membenarkan campurtangan British dalam hal ehwal politik-ekonomi, tetapi sudahpun terlalu lambat apabila menyedari kesannya.

Penjajah British menubuhkan Negeri-negeri Melayu Bersekutu (yang terdiri daripada Pahang, Perak, Selangor, dan Negeri Sembilan) pada tahun 1895; sementara untuk Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu di utara (Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis) dialihkan penguasaan daripada Siam kepada British melalui Perjanjian Bangkok 1909 yang kemudiannya membolehkan British memaksa negeri-negeri berkenaan menerima Penasihat British seperti Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang menerima seorang Residen British. Johor yang juga merupakan Negeri Melayu Tidak Bersekutu telah menerima “Penasihat” British selepas Perjanjian Persahabatan dengan British yang ditandatangani pada tahun 1885.

Negeri Sabah yang dikenali sebagai Borneo Utara, mula ditadbir oleh Syarikat Berpiagam Borneo Utara British pada tahun 1882 dan kemudiannya menjadi “negeri naungan” British pada tahun 1888. Sarawak pula dikuasai keluarga Brooke dari Britain mulai tahun 1841.

Seluruh Semenanjung Tanah Melayu, termasuk Singapura, Sabah dan Sarawak, jatuh dalam tangan penjajah Jepun semasa Perang Dunia II. Selepas tamatnya Perang Dunia II, penjajah British kembali ke sini. Penjajah British memperkukuhkan penguasaannya terhadap Malaya dengan menubuhkan “Malayan Union” (yang tidak termasuk Singapura) pada tahun 1946, namun mencetuskan penentangan yang hebat daripada rakyat Malaya pada masa itu yang semakin menginginkan kemerdekaan daripada tangan penjajah Eropah. Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan pada tahun 1948. Sabah, Sawarak dan Singapura dijadikan Tanah Jajahan Mahkota yang berasingan.

Gerakan perjuangan kemerdekaan yang radikal ditindas

Gerakan perjuangan menuntut kemerdekaan yang radikal di Tanah Melayu telah ditindas dengan kejamnya oleh penjajah British, sehingga konflik memuncak pada tahun 1948 apabila British mengisytiharkan Darurat. Ramai aktivis pejuang kemerdekaan ditahan oleh pihak berkuasa penjajah British, malah ada juga dibunuh. Parti Komunis Malaya terpaksa mengangkat senjata untuk melawan British dan tercetusnya peperangan yang meragut banyak nyawa.

Semasa Persekutuan Tanah Melayu mendapat “kemerdekaan” daripada British, seluruh Persekutuan Tanah Melayu masih berada dalam Darurat yang diperkenalkan oleh British. Pengaruh British dari segi ekonomi dan “keselamatan” masih kuat di Semenanjung Tanah Melayu walaupun sudah Malaya mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

Pada tahun 1961, Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaya pada masa itu, telah mencadangkan idea untuk membentuk Malaysia, yang terdiri daripada Malaya, Brunei, Borneo Utara, Sawarak dan Singapura. Tujuan penubuhan entiti politik baru ini adalah untuk membolehkan kerajaan pusat untuk mengawal dan membanteras aktiviti komunis, yang dianggap ancaman utama kepada kuasa imperialis British dan Amerika Syarikat di rantau ini.

Pada tahun 1960-an, Perang Dingin antara Blok Barat (yang diketuai oleh Amerika Syarikat) dengan Blok Timur (yang dipimpin oleh Kesatuan Soviet) sedang memuncak. Persekutuan Tanah Melayu yang masih di bawah pengaruh kuasa imperialis barat menjadi sekutu penting untuk Blok Barat dalam menangkis perluasan pengaruh politik anti-imperialis, khususnya melalui parti-parti komunis dan parti-parti kiri yang lain. Indonesia yang dipimpin Sukarno pada awal tahun 1960-an, dengan gerakan nasionalis dan parti komunis yang kuat, serta hubungan dengan Kesatuan Soviet yang rapat di samping menerajui Pergerakan Negara-negara Berkecuali, menjadi satu ancaman besar kepada kepentingan geopolitik kuasa imperialis di rantau Asia Tenggara.

Parti kiri membantah projek neo-kolonialisme

Cadangan Tunku Abdul Rahman untuk penubuhan Malaysia dibantah oleh parti-parti kiri di kelima-lima wilayah yang terlibat. Pemimpin Barisan Sosialis Rakyat Malaya (yang terdiri daripada Parti Buruh Malaya dan Parti Rakyat Malaya) pada masa itu, Ahmad Boestamam, telah menyarankan untuk menganjurkan satu persidangan parti-parti sosialis dari Malaya, Brunei, Singapura, Sabah dan Sawarak. Persidangan tersebut telah diadakan pada bulan Januari 1962 di Kuala Lumpur, dengan penyertaan daripada parti-parti politik seperti Parti Rakyat Malaya (PRM), Parti Buruh Malaya, Barisan Sosialis Singapura, Parti Rakyat Singapura, Parti Tindakan Rakyat Singapura, Parti Pekerja Singapura, Parti Rakyat Bersatu Sarawak dan Parti Rakyat Brunei. Sabah masih tiada parti yang berhaluan kiri pada masa itu. Parti Tindakan Rakyat Singapura dipecat dari persidangan parti-parti kiri tersebut kerana pendiriannya yang menyokong projek penubuhan Malaysia yang diterajui oleh golongan pro-imperialis.

Pandangan parti-parti kiri di rantau Nusantara pada masa itu tentang projek penubuhan Malaysia adalah:

  • Ia hanya ditubuhkan untuk menyekat perluasan pengaruh komunis di Asia Tenggara yang mengancam kepentingan kuasa imperialis Blok Barat di rantau ini;
  • Ia merupakan produk neo-kolonialisme;
  • Ia bertujuan untuk menyekat gerakan pembebasan demokratik di wilayah yang berlainan di rantau ini;
  • Kuasa imperialis barat akan meneruskan penguasaan terhadap politik-ekonomi dan ketenteraan di rantau ini melalui kerajaan bonekanya, serta meneruskan perampasan sumber-sumber di rantau ini.

Gerakan kiri di Nusantara sejak awal lagi menuntut kemerdekaan sepenuhnya daripada penjajahan Barat. Mereka berjuang untuk menubuhkan kerajaan demokratik untuk pembebasan rakyat di negara yang dijajah. Kemerdekaan sepenuhnya bermakna rakyat biasa dapat menentukan nasib sendiri secara demokratik, dan menguasai sepenuhnya kekayaan tanahair.

Namun, gerakan kiri di rantau ini telah ditindas dengan ganasnya oleh golongan pemerintah yang rapat yang kuasa imperialis.

Pembangkang yang anti-imperialis ditangkap

Cadangan untuk penubuhan Malaysia juga ditentang oleh kerajaan Filipina yang cuba menuntut haknya terhadap Sabah, dan juga kerajaan Indonesia yang dipimpin oleh Sukarno pada masa itu yang menganggap penubuhan Malaysia adalah plot neo-kolonialis. Ketegangan hubungan antara Malaya dan Indonesia memuncak sehingga tercetusnya Konfrontasi.

Kerajaan Perikatan di Malaya telah menggunakan kesempatan berlakunya Konfrontasi untuk menjalankan operasi penangkapan besar-besaran terhadap aktivis politik pembangkang yang berhaluan kiri pada bulan Februari 1963, iaitu beberapa bulan sebelum pembentukan Malaysia. Antara yang ditahan dalam penangkapan besar-besaran terhadap pembangkang termasuk Ahmad Boestamam (Presiden PRM), Ishak Haji Muhammad atau lebih dikenali sebagai “Pak Sako” (Presiden Parti Buruh), Abdul Aziz Ishak (Ketua GERAM), Kampo Radjo (Timbalan Pengerusi Parti Perhimpunan Kebangsaan, yang kemudiannya menjadi Presiden PRM), Tan Hai Hee (pemimpin Parti Buruh), Tan Hock Hin (Pemimpin Parti Buruh), Dr. Rajakumar (Parti Buruh), Tajuddin Kahar (PRM) dan ramai lagi.

Di Singapura, kerajaan pimpinan Lee Kuan Yew turut melakukan penangkapan besar-besaran terhadap pembangkang berhaluan kiri dengan alasan keselamatan dalam negeri. Mereka yang ditahan termasuk wartawan, anggota kesatuan sekerja, pelajar dan sebagainya. Operasi penangkapan besar-besaran tersebut digelar “Operation Coldstore”.

Apabila Persekutuan Malaysia dibentuk, hampir semua pemimpin pembangkang yang anti-imperialis ditahan dalam penjara atau kem tahanan. Ini merupakan satu ironi kepada “kemerdekaan” yang dicapai pada masa itu.

Pembentukan kapitalis nasional

Malaysia telah melalui beberapa peringkat sejarah selepas pembentukannya. Singapura berpisah dari Malaysia selepas 2 tahun bergabung dalam Malaysia. Pemerintahan Parti Perikatan pimpinan Tunku Abdul Rahman yang rapat dengan kuasa imperialis Barat dan mengamalkan dasar ekonomi yang bersifat laissez-faire (iaitu campurtangan kerajaan yang minimum dalam ekonomi) telah menyebabkan kontradiksi masyarakat semakin hebat. Selepas peristiwa rusuhan 13 Mei 1969, golongan kapitalis nasional mengambilalih kuasa daripada elit politik lama apabila Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri dan melancarkan Dasar Ekonomi Baru. Walaupun masih rapat dengan kuasa imperialis, tetapi pembentukan kapitalis nasional melalui sokongan dasar daripada kerajaan, membolehkan negara Malaysia dapat membebaskan diri daripada campurtangan langsung kuasa imperialis. Selepas Mahathir memegang jawatan Perdana Menteri pada tahun 1980-an, dasar kerajaan yang mendukung pembangunan kapitalis nasional telah mewujudkan satu lapisan kroni perniagaan yang rapat dengan pemerintah dan mendapat manfaat besar daripada dasar penswastaan. Dasar mendukung kapitalis nasional telah menyebabkan gaji pekerja biasa terus ditekan pada paras yang rendah, kesatuan sekerja dicacatkan dan ruang demokrasi dihakis dengan undang-undang zalim.

Walaupun gerakan kiri telah ditindas dengan teruk, namun oleh sebab kerajaan takut kepada pengaruh fahaman politik kiri yang masih kuat, banyak dasar yang bertujuan untuk merapatkan jurang kekayaan dan mempertingkatkan kebajikan rakyat telah dilaksanakan, supaya menarik semula sokongan rakyat. Gerakan kiri pada zaman sebelum kemerdekaan sehingga tahun 1960-an, walaupun dihancurkan dengan cara yang kejam oleh pemerintah, tetapi tanpa perjuangan mereka, banyak dasar yang pro-rakyat tidak akan dilaksanakan.

Perjuangan pembebasan yang tidak boleh dilupakan

Dalam kemeriahan kita menyambut Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia, di bawah naratif golongan pemerintah yang dibawa sejak zaman penjajahan, kita patut juga merenung kembali sejarah tanahair kita melalui perspektif yang berbeza.

Banyak tragedi sejarah timbul dalam perjalanan negara kita mencapai kemerdekaan. Ramai pejuang kemerdekaan yang berkorban, sama ada kehilangan nyawa ataupun dirampas kebebasan, dalam proses melawan penjajah barat dan ejen-ejen penjajah. Keazaman pejuang-pejuang kiri untuk pembebasan yang sepenuhnya telah mendorong kemajuan masyarakat kita, walaupun hakikat ini tidak diterima oleh golongan elit pemerintah yang menulis sejarah rasmi.

 

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s