C_PC0011492

16 September setiap tahun ialah Hari Malaysia, iaitu hari untuk memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963. Tahukah anda bahawa Malaysia dibentuk berasaskan Perjanjian Malaysia? Tahukah anda pula bahawa Perjanjian Malaysia tidak ditandatangani di mana-mana tempat di Malaysia, sebaliknya di London, ibu negara United Kingdom?

Kemerdekaan negara-negara yang dijajah dan proses penyahjajahan merupakan satu trend yang hebat selepas Perang Dunia II. Gerakan pembebasan nasional yang hebat di negara-negara Asia dan Afrika telah membawa kemerdekaan kepada banyak negara. Oleh sebab, kuasa imperialis Barat takut terus kehilangan pengaruh terhadap negara-negara yang dijajahnya sebelum ini, mereka telah cuba memanipulasi dan “memudahkan” proses penyahjajahan di beberapa negara supaya kerajaan yang ditubuhkan selepas mencapai kemerdekaan masih akan rapat dengan kuasa imperialis dan melindungi kepentingan bekas penjajah di situ. Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu ataupun Malaya, adalah salah satu contoh proses kemerdekaan yang dipersetujui oleh pihak penjajah sendiri.

Tunku Abdul Rahman mencadangkan idea pembentukan Malaysia (yang terdiri daripada Malaya, Singapura, Borneo Utara, Sarawak dan Brunei) pada bulan Mei 1961. Pada masa itu, semua negeri berkenaan kecuali Malaya masih di bawah pemerintahan terus oleh penjajah British. Rancangan Tunku Abdul Rahman telah mendapat persetujuan daripada Kerajaan Britain (bekas penjajah Malaya yang masih mempunyai pengaruh politik-ekonomi dan ketenteraan yang besar terhadap Malaya pada masa itu), dengan syarat memungut pandangan rakyat dari negeri-negeri yang terlibat.

suruhanjaya_cobbold-800px
Suruhanjaya Cobbold

Suruhanjaya Cobbold kemudiannya ditubuhkan pada  bulan Januari 1962, diketuai oleh Lord Cameron Cobbold (bekas Gabenor Bank England), dan dianggotai oleh Wong Pow Nee (Ketua Menteri Pulau Pinang), Mohd Ghazali Shafie (Setiausaha Tetap ke Kementerian Luar Negeri),    Anthony Abell (bekas Gabenor Sarawak) dan David Watherston (bekas Setiausaha Utama Malaya). Suruhanjaya ini bertujuan untuk memungut pandangan rakyat Borneo Utara (iaitu Sabah sekarang) dan Sarawak sama ada menyokong cadangan untuk menubuhkan Persekutuan Malaysia atau tidak, dan juga bertanggungjawab atas penyusunan semula perlembagaan yang akan dijadikan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Semasa Suruhanjaya Cobbold memungut pandangan dari negeri yang terlibat, golongan elit masyarakat Borneo Utara (yang kemudiannya dikenali sebagai Sabah selepas penubuhan Malaysia) telah mengemukakan syarat-syaratnya untuk menyertai dalam pembentukan Malaysia yang dikenali sebagai “Perjanjian 20 Perkara”. Sarawak juga menyediakan memorandum yang serupa, yang dikenali sebagai “Perjanjian 18 Perkara”. Perkara-perkara yang dikemukakan dalam kedua-dua memorandum tersebut adalah bertujuan untuk mengekalkan autonomi Borneo Utara (Sabah) dan Sawarak dalam Persekutuan Malaysia. Perkara-perkara yang dikemukakan ini diterima dalam bentuk berbeza-beza, di mana ada yang dimasukkan dalam Perlembagaan Malaysia dan ada yang cuma diterima secara lisan sahaja.

Perjanjian Malaysia ditandatangani di London, ibu negara United Kingdom, pada 9 Julai 1963. Perjanjian ini ditandatangani antara Kerajaan United Kingdom dengan Kerajaan Malaya, Kerajaan Borneo Utara, Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Singapura. Semasa penandatanganan Perjanjian Malaysia, hanya Malaya yang mencapai kemerdekaan secara rasmi; Singapura sudah melaksanakan pemerintahan sendiri tetapi masih dikuasai British pada masa itu; sementara Borneo Utara dan Sarawak masih merupakan Jajahan Mahkota British. Sarawak mendapat taraf pemerintahan sendiri pada 22 Julai 1963, sementara Sabah mencapai pemerintahan sendiri pada 31 Ogos 1963, sebelum kedua-duanya bergabung dalam Persekutuan Malaysia. Singapura keluar dari Malaysia pada tahun 1965, selepas berlakunya persengketaan kuasa antara elit pemerintah UMNO dengan elit pemerintah Singapura yang diwakili oleh Lee Kuan Yew.

Perjanjian Malaysia dimeterai secara rasminya pada 31 Julai 1963, ketika Akta Malaysia 1963 yang diluluskan oleh Parlimen United Kingdom mula berkuatkuasa.

page2-784px-Malaysia_Act_1963.pdf

Semak semula status Perjanjian Malaysia

Selepas penubuhan Malaysia, Sabah dan Sarawak sentiasa menghadapi masalah hak autonomi kedua-dua negeri tersebut dihakis oleh Kerajaan Persekutuan yang berpusat di Semenanjung Malaysia. Sumber kekayaan semulajadi di Sabah dan Sarawak telah dieksploitasi dengan hebatnya untuk memperkayakan elit politik-ekonomi yang rapat dengan pemerintah yang berpusat di Putrajaya, sementara rakyat biasa di Sabah dan Sarawak masih terperangkap dalam belenggu kemiskinan.

Mengikut Perjanjian Malaysia, Sabah dan Sarawak sepatutnya mempunyai status yang setaraf dengan Persekutuan Tanah Melayu (Semenanjung Malaysia), bukannya setaraf dengan negeri-negeri yang bergabung dalam Persekutuan Tanah Melayu. Oleh sebab itu, Sarawak dan Sabah berkuasa mengawal hal-hal imigresen seperti berhak menghalang warganegara Malaysia yang berasal dari Semenanjung untuk memasuki kedua-dua negeri itu. Penduduk di Semenanjung harus mempunyai permit untuk belajar atau bekerja di situ, sementara sesiapa dari Semenanjung Malaysia yang melawat Sarawak dan Sabah harus mengisi borang imigresen terlebih dahulu.

Akan tetapi, status yang samarata untuk negeri Sabah dan Sarawak tidak dicerminkan sepenuhnya dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Dalam Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan, termaktub bahawa “negeri-Negeri Persekutuan terdiri daripada Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu”. Ini bermakna bahawa Sabah dan Sarawak, dua entiti yang mempunyai taraf yang sama dengan Persekutuan Malaya semasa Perjanjian Malaysia, telah diturunkan taraf yang sama seperti negeri-negeri yang bergabung di bawah Persekutuan Tanah Melayu.

Isu-isu ekonomi seperti royalti minyak dan dasar kabotaj (syarat kepada syarikat perkapalan supaya menghantar barangan ke Pelabuhan Klang terlebih dahulu sebelum ia diedarkan ke pelabuhan, namun dasar ini telah dikecualikan untuk Sabah dan Sarawak sejak 1 Jun 2017), telah membelenggu Sabah dan Sarawak untuk sekian lama, sehingga menjadi isu politik yang menjadi tumpuan parti-parti politik yang saling bersaing.

UMNO-BN yang menguasai pemerintahan Persekutuan sebelum ini selalunya menaburkan janji kepada Sabah dan Sarawak untuk hak autonomi yang lebih besar, tetapi janji hanya tinggal janji selepas pilihanraya.

Dalam Buku Harapan, iaitu Manifesto Pakatan Harapan semasa PRU-14, telah menjanjikan bahawa Kerajaan Pakatan Harapan akan “menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk segera menyemak dan melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963” (Janji 8 dalam Sepuluh Janji Seratus Hari).

Mengikut laporan berita pada bulan Julai lalu, Kabinet telah bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet seperti yang dijanjikan dalam Manifesto Pakatan Harapan, tetapi ahli-ahli yang menganggotai jawatankuasa tersebut masih tidak diketahui selepas 100 hari penubuhan Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan.

Jawatankuasa Khas Kabinet ini dikatakan akan mengkaji semula dan mencadangkan langkah-langkah memperbetulkan status Perjanjian Malaysia berhubung perkara-perkara seperti:

  • Status Perjanjian Malaysia 1963 dalam perundangan sekarang;
  • Usaha meningkatkan kefahaman rakyat mengenai Perjanjian Malaysia 1963 melalui sistem pendidikan kebangsaan;
  • Pelaksanaan konsep federalisme (persekutuan) untuk ketiga-tiga wilayah – Semenanjung, Sabah dan Sarawak;
  • Hak-hak Sabah dan Sarawak terhadap hasil semulajadi negara serta hasil minyak dan gas;
  • Perkara-perkara pentadbiran yang sewajarnya diturunkan untuk kuasa negeri;
  • Jumlah peruntukan yang seharusnya menjadi hak Sabah dan Sarawak;
  • Pindaan kepada Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Tibalah waktunya untuk mengembalikan autonomi sebenar kepada Sabah dan Sarawak, dua negeri yang menjadi pengasas Persekutuan Malaysia yang setaraf dengan Persekutuan Malaya. Sambutan Hari Malaysia tidak akan bermakna sekiranya kita tidak melayan Sabah dan Sarawak sebagai entiti politik yang samarata dengan Semenanjung Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *