Tahukah anda berapa jam kerja lebih masa (OT) dibenarkan dalam sehari?
Mengikut Seksyen 60A(3)(b) Akta Kerja 1955, “kerja lebih masa” (OT) ditakrif sebagai jumlah jam berlebihan selepas waktu kerja biasa dalam sehari.
Mengikut Peraturan-peraturan Kerja (Had Kerja Lebih Masa) 1980, seseorang pekerja dibenarkan membuat kerja lebih masa sehingga 104 jam dalam mana-mana satu bulan. Maksudnya adalah, seseorang pekerja boleh dikenakan kerja OT sebanyak 4 jam sehari. Ini tidak termasuk kerja lebih masa pada hari rehat atau pada 11 hari cuti umum yang diwartakan.
Peraturan-peraturan Kerja (Had Kerja Lebih Masa) 1980 pada awalnya menghadkan kerja lebih masa kepada 64 jam sebulan, tetapi telah dipinda pada tahun 1991 apabila Perdana Menteri pada masa itu (juga Perdana Menteri sekarang) Mahathir Mohamad beria-ia mengemukakan Wawasan 2020 untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju. Adalah aneh sekali untuk sebuah negara maju apabila pekerja di negara tersebut terpaksa bekerja lebih masa (OT) sebanyak 4 jam sehari!
Pekerja suka OT?
Di Malaysia, kebanyakan pekerja membuat kerja lebih masa (OT) selepas kerja 8 jam sehari. Pekerja melakukan OT bukan sebab mereka sukakan OT, tetapi oleh kerana gaji mereka yang terlalu rendah. Gaji rendah memaksa pekerja membuat kerja OT. Walaupun negara kita adanya peraturan gaji minimum, tetapi parasnya amat rendah dan pekerja terpaksa membuat OT supaya pendapatannya mencukupi untuk menampung keperluan hidup.
Cuba tanya mana-mana pekerja kawalan keselamatan, adalah amat sukar untuk anda tidak dapat menemui seorang pengawal keselamatan yang tidak bekerja 12 jam sehari!
Semasa semakin ramai pekerja melakukan OT, iaitu bekerja dengan masa yang lebih panjang, ada pula semakin ramai pekerja hilang kerja atau susah mencari kerja, kerana kerja tersebut sedang dilakukan oleh mereka yang membuat OT! Ini telah menimbulkan keadaan di mana kehidupan pekerja bawahan semakin susah sementara jurang kekayaan semakin melebar.
Teknologi perindustrian telah berkembang pesat dan cukup canggih untuk menggantikan tenaga kerja manusia dalam pengeluaran dengan automasi. Ini bermakna kadar pengeluaran pekerja secara puratanya sudah meningkat. Oleh itu, masa kerja yang diperlukan oleh seseorang pekerja untuk melakukan sesuatu kerja yang sama sepatutnya menjadi lebih pendek. Ini membolehkan seseorang pekerja dapat bekerja kurang daripada 8 jam sehari tanpa perlu kurangkan gajinya.
Hakikatnya pada hari ini, masih ramai pekerja terpaksa bekerja dengan masa kerja yang panjang kerana gaji rendah, sedangkan keuntungan lumayan yang dihasilkan daripada peningkatan pengeluaran dibolot sepenuhnya oleh golongan 1% teratas. Masa kerja panjang tidak bermakna produktiviti pekerja itu meningkat, sebaliknya kadar produktiviti pekerja berkurang apabila masa kerjanya dipanjangkan. Pekerja-pekerja yang bekerja dengan masa kerja yang panjang terpaksa menghadapi masalah seperti:
– Masalah kesihatan. Kepenatan terlampau akibat daripada masa kerja panjang menyebabkan pekerja kehilangan penumpuan dalam kerja, penurunan dalam daya imunisasi dan senang jatuh sakit.
– Tiada masa bersama keluarga.
– Tiada masa lapang untuk memperkembangkan potensi diri sendiri, seperti mengambil bahagian dalam aktiviti sukan, kesenian, kemasyarakatan dan sebagainya.
– Masalah tekanan jiwa.
Kerja 8 jam sehari, ataupun pengurangan masa kerja tanpa mengurangkan gaji, adalah hasil daripada perjuangan pekerja sejak abad ke-19. Sekarang ini kita telah berada di abad ke-21 dengan perkembangan teknologi yang hebat, adalah tidak masuk akal untuk seseorang pekerja terpaksa bekerja untuk masa yang panjang.
Kerajaan patut mengambil langkah yang konkrit untuk meminda undang-undang supaya masa kerja dapat dikurangkan tanpa mengurangkan gaji sebenar pekerja. Had masa kerja biasa 48 jam seminggu (iaitu 8 jam sehari untuk kerja 6 hari seminggu) dalam Akta Kerja 1955 sudah ketinggalan zaman, dan patut dikurangkan kepada 40 jam seminggu (atau 8 jam sehari untuk kerja 5 hari seminggu), sebagai langkah permulaan untuk mengurangkan masa kerja dengan lebih lanjut lagi. Peraturan-peraturan Kerja (Had Kerja Lebih Masa) 1980 juga perlu dipinda supaya menghadkan kerja lebih masa (OT) tidak melebihi 2 jam sehari (sebenarnya kerja 10 jam sehari pun sesuatu yang amat keterlaluan pada masa kini).