sebuah cerpen oleh K. Z. Iskandar Zulfaqar

Kerajaan kleptokrat masih mendabik dada mengagumi kehebatan mereka. Jutaan ringgit ditaburkan kepada rakyat untuk memastikan mereka kekal diberi mandat untuk mentadbir. Bukan itu sahaja, kempen politik kebencian turut diadakan. Pelbagai isu sensitif ditiupkan termasuklah berkaitan perkauman, keagamaan dan lain-lain lagi.

Kesemua parti lawan menjadi mangsa kerajaan kleptokrat. Gabungan parti lawan dimaki hamun oleh mereka di samping dihembur dengan pelbagai fitnah. Bukan gabungan parti itu sahaja yang menjadi mangsa, sebuah parti berhaluan kiri yang turut bertanding dalam pilihanraya turut menjadi mangsa.

Parti berhaluan kiri itu dilabel sebagai pendokong komunis, menyokong keganasan dan juga mampu menjejaskan perpaduan kaum. Kesemua usaha itu jelas menunjukkan parti kleptokrat semakin terdesak kerana kebanyakan rakyat sudah menolak mereka. Namun, oleh kerana mahu menunjukkan mereka berkuasa, pelbagai cara kotor digunakan termasuklah memanipulasi media. Media diarahkan untuk memaparkan kebaikan mereka sahaja di samping memaparkan fitnah kepada parti lawan termasuklah parti berhaluan kiri.

Selain itu, pemimpin kleptokrat yang terpalit dengan skandal terbesar dunia turut menutupi skandalnya itu dengan cara memberi ‘gula-gula’ kepada rakyat. Pelbagai inisiatif tiba-tiba diberikan menjelang pilihanraya seperti bantuan kewangan yang digelar Bantuan BRO2M, KADSO2M dan macam-macam lagi dengan bertujuan supaya rakyat menyukai mereka seterusnya memberi mandat mentadbir kepada mereka.

Bukan itu sahaja, pemimpin kleptokrat turut memberikan alasan yang tidak masuk akal apabila disoal tentang penglibatan dirinya dalam skandal yang melibatkan berbillion ringgit duit rakyat disonglap. Beberapa tahun lepas, sejumlah 1.4 billion wang yang dilaburkan rakyat hilang dan didapati berada dalam akaun pemimpin kleptokrat.

Apabila disoal, beliau menuduh pemimpin parti lawan mencuri wang tersebut dan wang yang berada dalam akauannya adalah didermakan oleh seorang ahli perniagaan dari Costa Rica. Malangnya, setelah disiasat, tiada langsung bukti bahawa wang itu didermakan oleh seseorang. Demi menutup temberangnya, pemimpin kleptokrat memberikan pelbagai lagi inisiatif untuk mengaburi mata rakyat.

Pada kempen pilihanraya kali ini, pemimpin kleptokrat terpaksa menelan air liur pahit apabila mendapati setiap edisi ceramah dan kempen yang mereka jalankan begitu kurang sambutan daripada rakyat. Terbaru, ceramah mega yang mereka jalankan di ibu negara hanya dihadiri lebih kurang 300 orang penyokong sahaja.

Runsing pemimpin kleptokrat dibuatnya. Mereka telah berkuasa selama 60 tahun dan pilihanraya kali ini sangat berbeza daripada pilihanraya-pilihanraya sebelumnya. Jika pilihanraya sebelum ini, ribuan manusia akan membanjiri program yang mereka jalankan tetapi kali ini hanya beberapa kerat sahaja. Adakah itu petanda bahawa mereka akan tumbang dalam pilihanraya akan datang?

Pemimpin kleptokrat terduduk di kerusi di dalam pejabatnya sambil menggaru kepalanya. Dia runsing memikirkan nasib partinya dalam pilihanraya yang bakal diadakan beberapa hari lagi.

“Adakah kau rasa kita mampu pertahankan kuasa pada pilihanraya kali ini?” tanya pemimpin kleptokrat kepada naib pemimpin kleptokrat yang menemaninya di pejabat itu.

“Jangan bimbang! Bukankah kita sudah 60 tahun berkuasa. Sudah 13 kali edisi pihanraya diadakan dan kita menang kesemua 13 pilihanraya itu. Kita sudah menang 13-0. Pastinya pilihanraya kali ini kita menang lagi. Tidak mungkin boleh terjadi 13-1, mesti akan jadi 14-0 dan memihak kepada kita lagi kali ini. Lagipun, pelbagai inisiatif kita beri. Rakyat mesti termakan dengan janji-janji kita. Usaha terakhir yang kita boleh buat adalah menipu dalam pilihanraya nanti. Seperti yang kita buat pada pilihanraya lepas. Kita masih boleh menggunakan taktik blackout seperti pilihanraya yang lalu.”

“Betul juga tu.” Pemimpin kleptokrat mula berasa sedap hati.

Setelah sekian lama menunggu akhirnya hari pengundian pun tiba. Hari itu hari Rabu, hari keramat di mana rakyat akan membuang undi buat kali ke 14. Suruhanjaya Penipu Rakyat Negara (SPRN) diberikan tanggungjawab untuk mengendalikan pilihanraya ini. Pemimpin kleptokrat telah pun memberikan rasuah kepada ketua SPRN untuk memastikan mereka menang dalam pilihanraya kali ini.

Sebaik sahaja semua rakyat membuang undi, proses pengiraan undi pun bermula pada sebelah petang itu. Pada masa inilah ketua SPRN ingin membuat onar. Dia telah mengarahkan kesemua petugas untuk memasukkan kertas undi palsu bagi menambahkan undi buat parti kleptokrat. Dia juga mengugut petugas yang tidak mahu bekerjasama dengannya.

Namun, nasib tidak menyebelahi mereka apabila rancangan mereka itu berjaya digagalkan oleh sekumpulan rakyat Malaysia yang secara sukarela menjadi Agen Pengundian. Mereka telah berjaya membuktikan temberang Suruhanjaya Penipu Rakyat Negara (SPRN) dan berjaya menggagalkannya. Sekali lagi ketua SPRN menelan air liur pahit. Dia terus menghubungi pemimpin kleptokrat.

“Maafkan saya. Rancangan gagal!” katanya sebak.

“Celaka kau! Bodoh! Tak boleh diharap!” pemimpin kleptokrat kecewa dan memaki hamunnya.

Malam itu, majlis pengumuman pemenang pun dijalankan. Ketua Suruhanjaya Penipu Rakyat Negara (SPRN) menggunakan taktik jahat iaitu ingin mengira semula undi untuk membuat penipuan namun malang menimpanya apabila rancangan jahat itu tidak dipersetujui oleh rakyat. Ketua SPRN semakin terdesak menyebabkan beliau melambatkan pengumuman pemenang hingga pukul 3 pagi. Buat pertama kali dalam sejarah pengumuman pemenang ditangguhkan sehingga jam 3 pagi.

Desakan demi desakan telah dibuat kepada ketua Suruhanjaya Penipu Rakyat Negara (SPRN) supaya segera mengumumkan keputusan pilihanraya. Akhirnya, ketua SPRN terpaksa mengumumkan keputusan tersebut kerana tidak tahan dengan desakan rakyat. Keputusan diumumkan. Parti kleptokrat kalah teruk dalam pilihanraya kali ini. Mereka juga gagal mendapat mandat untuk mentadbir negara kali ini.

Ketua kleptokrat yang mengikuti pengumuman pemenang pilihanraya dari rumahnya terduduk. Peluh resah membasahi dahinya. Air liur pahitnya terpaksa ditelan. Air matanya mengalir mengenangkan nasibnya yang sudah jatuh ditimpa tangga. Lebih teruk adalah kamar besi sedang menanti ketibaannya tidak lama lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *