(foto: Adriano Machado / REUTERS)

Selepas aksi mogok dan protes besar-besaran selama 18 hari di negara Ecuador, dengan sekurang-kurangnya 6 orang terbunuh, satu perjanjian dicapai pada 30 Jun 2022 antara organisasi-organisasi yang menggerakkan aksi mogok dengan kerajaan Ecuador, di mana kerajaan Ecuador bersetuju dengan sebahagian besar daripada tuntutan yang dibawa oleh gerakan sosial yang bermobilisasi di jalanan. Organisasi-organisasi yang menganjurkan mogok telah bersetuju untuk menggantungkan semua aksi protes, sementara kerajaan Ecuador diberi tempoh masa selama 90 hari untuk menunaikan segala janjinya dalam persetujuan yang dicapai itu.

Aksi mogok dan gelombang protes besar-besaran mula tercetus di Ecuador pada 13 Jun 2022, untuk menyatakan ketidakpuasan hati rakyat terhadap masalah inflasi yang teruk dan dasar ekonomi neoliberal yang menyusahkan rakyat bawahan. Ratusan ribu rakyat Ecuador yang berani telah turun beraksi di jalanan, walaupun menghadapi penindasan dan keganasan yang hebat daripada pihak berkuasa. Aksi protes ini digerakkan oleh organisasi-organisasi masyarakat orang asal dan petani di Ecuador. Para demonstran membuat sekatan jalan di seluruh negara. Hasil daripada kegigihan rakyat Ecuador dalam memperjuangkan tuntutan mereka, akhirnya mereka mencapai kemenangan.

Konfederasi Bangsa-bangsa Orang Asal Ecuador (CONAIE), Konfederasi Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Petani, Orang Asal dan Warga Afrika Ecuador (FENOCIN) dan Majlis Masyarakat dan Pertubuhan Orang Asal Evangelis Ecuador (FEINE), merupakan antara organisasi-organisasi utama yang memobilisasi rakyat untuk beraksi. Tuntutan-tuntutan yang dikemukakan oleh gerakan sosial Ecuador semasa aksi protes terbaru ini termasuklah mengurangkan harga bahan api, mengawal inflasi, meningkatkan peluang pekerjaan, menghentikan penswastaan syarikat awam, meningkatkan perbelanjaan dalam kesihatan dan pendidikan, menetapkan harga yang adil untuk hasil tanaman petani, memberi bantuan ekonomi kepada keluarga miskin, mengenakan moratorium ke atas perluasan industri perlombongan dan minyak yang mendatangkan kesan sosio-ekologi buruk kepada wilayah masyarakat orang asal, menghormati hak kolektif masyarakat orang asal, serta mewujudkan dasar awam yang efektif dalam menangani jenayah keganasan.

Kerajaan Ecuador telah bersetuju dengan sebahagian besar daripada tuntutan yang dikemukakan oleh gerakan sosial yang mengadakan protes. Aksi protes ini berjaya memaksa kerajaan pimpinan Presiden Guillermo Lasso untuk menurunkan harga bahan api, meningkatkan bayaran bulanan kepada keluarga miskin sebanyak 10%, mensubsidi baja, mengurangkan hutang bagi petani kecil, meningkatkan belanjawan pendidikan bagi sekolah-sekolah yang mengajar bahasa orang asal, dan sebagainya. Pihak kerajaan Ecuador juga bersetuju untuk mengadakan rundingan dengan masyarakat orang asal mengenai pembangunan perlombongan dan minyak pada masa hadapan di samping mengehadkan perluasan sektor ini.

(foto: Agencia Press South / Getty Images)

Sebelum ini, kerajaan pimpinan Lasso cuba meredakan protes dengan mengumumkan pengurangan dalam harga bahan api, tetapi kadar penurunannya jauh lebih rendah berbanding apa yang dituntut oleh demonstran. Organisasi-organisasi masyarakat orang asal telah menolak tawaran yang diberikan dalam pengumuman tersebut, dengan mengatakan bahawa langkah yang diambil itu tidak mencukupi, tidak peka pada kesusahan rakyat, dan tidak bersimpati dengan keadaan kemiskinan yang dihadapi oleh jutaan keluarga di Ecuador. Hasil daripada ketegasan masyarakat orang asal Ecuador memperjuangkan tuntutan mereka, kerajaan Ecuador bersetuju dengan penurunan harga bahan api yang lebih besar.

Organisasi-organisasi orang asal dan hak asasi manusia di Ecuador juga mengecam tindakan kerajaan Ecuador yang menggunakan keganasan sepanjang aksi mogok yang melanda negara itu. Presiden Lasso mengisytihar darurat di beberapa buah wilayah dan mengerahkan pasukan keselamatan untuk menyuraikan aksi protes dengan menggunakan keganasan yang melampau. Menurut anggaran Perikatan Pertubuhan Hak Asasi Manusia, antara 13 hingga 29 Jun 2022, pasukan keselamatan Ecuador telah melakukan sebanyak 76 jenis pelanggaran hak asasi manusia terhadap warga Ecuador yang menyertai aksi mogok. Sebanyak 6 orang telah dilaporkan terbunuh akibat keganasan pihak berkuasa, sementara 331 orang cedera dan 152 orang ditahan.

Organisasi-organisasi masyarakat Ecuador juga mengkritik Patricio Carrillo, Menteri Dalam Negeri Ecuador, atas kenyataannya yang mengapi-apikan sentimen kebencian, rasisme dan keganasan terhadap demonstran orang asal. Mereka menggesa pemecatan Patricio Carrillo daripada jawatannya. Salah satu tuntutan yang dibawa dalam perjanjian antara gerakan sosial dengan kerajaan ialah pelaku-pelaku keganasan fizikal dan psikologikal terhadap demonstran-demonstran harus disiasat secara bebas.

Perkembangan terbaru di Ecuador sekali membuktikan bahawa kuasa rakyat yang bermobilisasi dari bawah secara berani dan tegas dalam memperjuangkan tuntutan mampu menundukkan golongan pemerintah. Sekiranya kerajaan Ecuador pimpinan Presiden Lasso gagal menunaikan apa yang dijanjikan dalam persetujuannya dengan gerakan sosial, sudah pasti rakyat Ecuador akan kembali dengan aksi massa yang lebih hebat lagi.

One thought on “Ecuador: Rakyat menang selepas aksi mogok dua minggu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *