oleh Rani Rasiah

Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyeru pada kerajaan supaya mematuhi Perintah Gaji Minimum 2022 baharu yang ditetapkan oleh kerajaan sendiri, dan memastikan pembayaran gaji minimum baharu RM1,500 sebulan dibuat kepada semua pekerjanya di lebih 10,000 buah sekolah dan kolej kerajaan di seluruh negara.

Satu tinjauan ringkas yang meliputi tempat yang berbeza di dalam negara ini menunjukkan bahawa syarikat yang mengupah pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan di 7 daripada 10 buah sekolah telah melanggar undang-undang dengan tidak membayar mengikut ketetapan gaji minimum untuk bulan Mei 2022.

Syarikat-syarikat kontraktor yang mengupah pekerja-pekerja ini telah memberi alasan standard yang berikut untuk tidak membayar kadar gaji minimum RM1,500:

  • Kontrak yang ditandatangani oleh mereka dengan kerajaan adalah dibuat sebelum perintah gaji minimum terbaru, di mana gaji minimum pada masa itu ialah RM1,200 atau RM1,100, dan masih belum lagi diubahsuai untuk mencerminkan kadar gaji minimum yang baharu.
  • Mereka belum lagi menerima apa-apa arahan mengenai pembayaran mengikut kadar gaji minimum baharu daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Kedua-dua alasan ini tidak boleh dijustifikasi kerana kerajaan sepatutnya sudah pun menyedari sepenuhnya tentang kenaikan gaji yang pasti akan dilaksanakan untuk semua pekerja kontrak di premis-premisnya yang berpendapatan rendah. Kenapa kontrak-kontrak tidak diubah suai, ataupun membuat aturan sementara untuk gaji bulan Mei 2022? Adakah benar bahawa Kementerian Pendidikan masih belum lagi memberi taklimat mengenai penyelarasan Gaji Minimum 2022 kepada kontraktor-kontraktornya? Bagaimana hendak mengharapkan pematuhan gaji minimum daripada sektor swasta sedangkan kerajaan sendiri gagal membayar pekerja-pekerja yang bekerja di bawah bumbungnya?

Bilakah Kementerian Pendidikan merancang untuk membayar RM1,500 sebulan kepada semua pekerja sokongan yang bekerja di premisnya? Bagaimana tunggakan gaji itu akan dibayar?

Pada tahun 2013, apabila gaji minimum mula-mula diperkenalkan, kebanyakan pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan di sekolah menerima kadar gaji lama mereka untuk tempoh setahun, menghasilkan tunggakan RM1,200 bagi setiap orang pekerja pada penghujung tahun itu. Pembayaran mengikut kadar gaji minimum hanya bermula pada tahun berikutnya tetapi RM1,200 yang tertunggak itu dilupakan. Apabila isu ini dibangkitkan, Kementerian berkata bahawa pihak kontraktor boleh mengemukakan tuntutan bayaran kepada kerajaan. Kontraktor pula tidak dapat mengemukakan tuntutan mereka kerana mereka tidak bayar gaji minimum itu. Kementerian sendiri tidak akan proaktif dan membuat pelarasan kepada mekanisme pembayaran mereka untuk memastikan pekerja-pekerja berpendapatan rendah ini mendapat balik tunggakan gaji yang sepatutnya.

Apakah jaminan bahawa pekerja-pekerja ini tidak ditipu lagi RM300 untuk semua bulan mereka dinafikan kadar gaji minimum? “Pencurian upah” ialah istilah yang digunakan apabila pihak majikan tidak membayar gaji yang sepatutnya kepada pekerja tanpa sebarang alasan yang kukuh. Kerajaan harus memastikan bahawa pekerja-pekerja kontrak yang bekerja di premis-premisnya tidak dimangsakan lagi.

PSM menggesa pada Kementerian Pendidikan supaya memainkan peranan yang lebih besar dalam melindungi kebajikan dan hak pekerja-pekerja kontraknya. Melencongkan aduan daripada pekerja-pekerja mengenai kegagalan pembayaran gaji minimum kepada pejabat buruh, tidak boleh diharapkan untuk memperbetulkan keadaan. Masalah ini berpunca daripada Kementerian Pendidikan di mana kontrak itu direka, dan di mana kontraktor itu dipilih. Aduan terhadap kontraktor-kontraktor yang ingkar adalah tidak berkesudahan dan terus berulang. Ini hanya akan membebankan agensi-agensi Kementerian Sumber Manusia yang sudah kekurangan kakitangan secara kronik. Kementerian Pendidikan harus bertanggungjawab dan membayar mengikut kadar minimum kepada semua pekerjanya tanpa berlengah-lengah lagi.  

==========

Rani Rasiah ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

2 thoughts on “Mengecewakan! Kementerian Pendidikan gagal bayar gaji minimum kepada pekerja

  1. harga barang dh naik…harga naik separuh dari harga dulu .sepatutnya gaji naik bila harga barg naik.fikir2 kn lh wahai kerajan.kalau mcm ni bukan perihatin rakyat ..mana perginya keperihatin untuk rakyat tu .

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *