IPOH, PERAK: Petani-petani di kawasan Kanthan, Chemor, Perak, berjaya mendapat injunksi interim daripada Mahkamah Tinggi Ipoh untuk menghalang pengusiran paksa terhadap mereka buat masa ini.

Pada 7 Jun 2022, hakim di Mahkamah Tinggi Ipoh telah membenarkan permohonan injunksi interim daripada 4 orang petani Kanthan untuk menghentikan ancaman pengusiran paksa oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) sehingga isu pertikaian tanah berkaitan dengan kawasan pertanian yang diusahakan mereka itu diselesaikan dalam perbicaraan mahkamah.

4 orang petani Kanthan yang memfailkan kes saman sivil terhadap PKNP di Mahkamah Tinggi Ipoh tersebut ialah sebahagian daripada lebih 130 orang petani kecil yang mengusahakan sebidang tanah di kawasan Kanthan yang mengeluarkan banyak hasil pertanian seperti jagung, terung, bendi, kacang panjang, telepok, pelbagai jenis sayur-sayuran berdaun, ikan air tawar dan kelapa sawit. Mereka merupakan generasi ketiga kepada petani-petani yang meneroka tanah tersebut sejak zaman sebelum Perang Dunia II. Tapak pertanian di kawasan Kanthan ini mengeluarkan hasil lebih kurang 50 hingga 60 tan sehari, dan komuniti petani kecil di situ merupakan aset ekonomi yang penting kepada negara kita serta menyumbang kepada jaminan makanan masyarakat tempatan.

Tanah tersebut merupakan tanah kerajaan sebelum ini, dan kemudiannya dipindah milik kepada PKNP. Kehadiran petani yang bercucuk tanah di kawasan Kanthan tidak menghadapi masalah berdekad-dekad lamanya sehingga PKNP hendak membangunkan tanah tersebut tanpa menawarkan alternatif yang bersesuaian kepada petani-petani di situ.

PKNP telah memberikan notis kepada petani-petani di kawasan Kanthan pada bulan Disember 2021 yang mengkehendaki petani-petani keluar dari situ dalam tempoh masa 30 hari. Ini diikuti dengan satu tindakan mahkamah sivil oleh PKNP terhadap petani-petani Kanthan. Pihak PKNP cuba menggunakan Aturan 89 Kaedah-kaedah Mahkamah 2012 untuk mendapatkan penghakiman terus supaya ia dapat mengusir keluar petani-petani dan mengosongkan tanah tersebut. Pada 8 April 2022, seorang petani Kanthan ditahan polis di rumahnya pada waktu malam kerana cuba menghalang pencerobohan masuk PKNP ke dalam tapak kebun petani-petani Kanthan tanpa sebarang perintah mahkamah pada waktu pagi hari itu.

Semasa kes pertikaian tanah ini masih berjalan di mahkamah, pihak PKNP cuba mengusir petani-petani Kanthan melalui Pejabat Tanah yang mengeluarkan notis di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (berkaitan pendudukan secara tak sah di tanah kerajaan, tanah rizab atau tanah perlombongan). Setelah peguam daripada kedua-dua pihak petani dan PKNP mengemukakan hujahan bertulis, mahkamah telah menetapkan tarikh 25 Mei 2022 untuk penjelasan dan keputusan. Namun, pihak peguam PKNP telah menarik balik kes samannya terhadap petani-petani Kanthan pada saat terakhir, kerana bimbang keputusan mahkamah mungkin berpihak kepada petani-petani Kanthan. PKNP hendak meneruskan muslihatnya mengusir keluar petani melalui Pejabat Tanah dengan menggunakan Seksyen 425 Kanun Tanah Negara.

Selepas pihak PKNP menarik balik kesnya di mahkamah, peguam yang mewakili petani-petani Kanthan telah memulakan tindakan writ saman terhadap PKNP pada 26 Mei 2022. Petani-petani Kanthan mengatakan bahawa mereka telah dihalang daripada memasuki tapak kebun mereka selepas 25 Mei 2022.

Apabila salinan writ saman termeterai diekstrak daripada Mahkamah Tinggi Ipoh pada 27 Mei 2022 dan cuba diserahkan kepada PKNP, penyerahan dokumen tersebut tidak berjaya kerana pejabat PKNP ditutup dua hari berturut-turut (pada 27 dan 28 Mei 2022) atas alasan mesin pendingin hawa di pejabat itu rosak. Pada 30 Mei 2022, ejen PKNP menceroboh masuk ke tanah kebun petani-petani Kanthan dengan bantuan polis. Walau bagaimanapun, writ saman tersebut berjaya diserahkan kepada PKNP pada 1 Jun 2022. Pihak peguam PKNP juga pada awalnya enggan menerima writ saman atas alasan tiada arahan daripada PKNP.

Pada 3 Jun 2022, 4 orang petani di kawasan Kanthan memfailkan permohonan ex parte untuk mendapatkan injunksi interim supaya menghalang ancaman pengusiran paksa yang berterusan daripada pihak PKNP.

Pada 7 Jun 2022, petani-petani Kanthan berjaya mendapatkan perintah injunksi interim daripada Mahkamah Tinggi Ipoh, untuk menghalang pihak PKNP daripada terus memasuki kawasan kebun petani-petani kecil di Kanthan. Su Tiang Joo, Hakim di Mahkamah Tinggi Ipoh yang mengeluarkan perintah interim tersebut, telah menetapkan tarikh 21 Jun 2022 untuk perbicaraan inter partes mengenai injunksi ini.

Sidang akhbar di luar Mahkamah Tinggi Ipoh selepas peguam yang mewakili petani-petani Kanthan mendapat perintah injunksi interim.

Menurut Rabinder Singh, peguam yang mewakili 4 orang petani Kanthan tersebut, perintah injunksi interim yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh adalah untuk mengekalkan status quo supaya petani-petani di situ dapat memasuki tapak kebun mereka dan meneruskan aktiviti pertanian mereka sementara waktu yang menyumbang kepada pembekalan makanan kepada negeri Perak.

Menurut K. Kunasekaran, peguam cara bagi petani-petani Kanthan, perintah injunksi interim tersebut telah diserahkan kepada pihak PKNP, dan PKNP harus patuh pada perintah injunksi interim daripada Mahkamah Tinggi Ipoh itu dengan tidak mengganggu petani-petani Kanthan sehingga kes ini diselesaikan di dalam mahkamah.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah berulang kali menegaskan pendiriannya dalam menyokong perjuangan petani-petani kecil di Perak untuk mempertahankan jaminan bekalan makanan masyarakat tempatan. Petani-petani kecil ini menuntut supaya semua kawasan pertanian yang mengeluarkan makanan dapat dikekalkan dan jangan mengusir petani secara paksaan tanpa sebarang tanah alternatif yang bersesuaian untuk mereka meneruskan aktiviti pertanian secara mampan.  

One thought on “Petani Kanthan dapat injunksi interim untuk halang pengusiran paksa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *