(Berikut ialah kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh PSM Perak pada 21 Jun 2022.)

Pada 30 Mei 2022, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), dengan bantuan pihak polis di Ibupejabat Pejabat Daerah (IPD) Ipoh, telah memasuki kawasan kebun Kanthan dan memusnahkan tanaman 4 orang petani.

Petani Kanthan membantah pencerobohan ini kerana:

  • Petani telah mengusahakan kawasan ini sejak zaman sebelum Perang Dunia Kedua dengan izin para pentadbir.
  • PKNP belum menunaikan janji-janji yang diberikan kepada petani Kanthan. Antara janji-janji itu ialah tanah gantian untuk petani dengan pajakan 30 tahun.
  • PKNP tidak menghormati proses Mahkamah. Peguam petani telah menfailkan tindakan mahkamah pada 26 Mei 2022 berkaitan tanah ini.
  • Negara kita sedang mengalami masalah kekurangan makanan. Ini bukanlah masanya untuk memusnahkan kebun-kebun sayur.

Pada 7 Jun 2022, peguam petani telah mendapatkan injunksi interim ex parte yang mengarahkan PKNP untuk berhenti kerja dan keluar dari kawasan yang dicerobohi oleh PKNP. Mahkamah Tinggi Ipoh menetapkan tarikh 21 Jun 2022 untuk pendengaran inter partes. (Kemas kini: Pendengaran inter partes ini telah ditangguhkan sehingga 3 September 2022.)

Tuntutan pekebun sayur

  1. Pihak PKNP mesti menghormati undang-undang dan mengelakkan daripada menggunakan kekerasan untuk mengusir petani.
  2. Pihak polis juga mesti mematuhi undang-undang dan elak daripada membantu PKNP ataupun pemaju dalam melakukan tindakan yang melanggar undang-undang.
  3. Semua kawasan tanaman sayur harus dikekalkan sebagai kawasan pengeluaran makanan demi kepentingan rakyat Malaysia – Jaminan Makanan Rakyat.
  4. Kawasan tanaman sayur yang telahpun dilupuskan kepada pemaju tetapi masih diusahakan oleh pekebun, harus diambil balik oleh kerajaan dan pekebun dibenarkan meneruskan dengan penanaman sayur.
  5. Kawasan penanaman sayur harus diberi pajakkan tempoh 10 tahun kepada para petani dengan syarat-syarat: 
    • Tidak boleh menanam kelapa sawit ataupun getah.
    • Tidak boleh buat projek perumahan atau perindustrian. Mesti tanam sayur.
    • Jika terbiar untuk lebih daripada satu tahun, boleh diambil balik oleh kerajaan dan dipajak kepada pekebun lain.
  6. Tubuhkan Suruhanjaya Diraja di peringkat negeri Perak untuk menyiasat sama ada tanah di Perak diuruskan secara yang beramanah. Satu surat rayuan berkaitan permohonan ini telah dihantar oleh Gabungan Petani kepada DYMM Sultan Perak pada 15 Mei 2022.
  7. Wujudkan mekanisme semak-dan-imbang (check and balance) untuk memastikan pelupusan tanah kerajaan dilakukan untuk kebaikan rakyat negeri Perak dan tidak disalahguna untuk memberi manafaat kepada golongan elit.   

Posisi PSM

  • Keluasan Malaysia ialah 32 juta hektar. Daripada jumlah ini, 8 juta hektar digunakan untuk pertanian. Daripada jumlah ini pula
    • Kelapa sawit           5.5 juta hektar
    • Getah                        1.1 juta hektar
    • Padi                           0.7 juta hektar
    • Sayur-sayuran        0.3 juta hektar
  • Pada masa ini, hanya 4% tanah pertanian digunakan untuk mengeluarkan sayur-sayuran.
  • Negara kita sedang mengimport lebih kurang 50% sayur-sayuran yang dimakan oleh rakyat Malaysia.
  • Bil import makanan sudah mencecah RM60 bilion tahun lalu.
  • Harga makanan sedang melambung naik dan ini menyusahkan rakyat kita.
  • Tidak masuk akal untuk memusnahkan kebun-kebun sayur pada takat ini.

Hentikan pengusiran terhadap pekebun sayur!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *