Rakyat Sudan turun ke jalanan untuk berprotes selepas pihak tentera melancarkan kudeta pada 25 Oktober 2021. (foto: AFP)

Tentera Sudan yang dipimpin oleh Jeneral Abdel Fattah al-Burhan melancarkan rampasan kuasa pada 25 Oktober 2021 untuk menjatuhkan kerajaan orang awam dan menghentikan proses transisi demokratik yang dimulakan berikutan Revolusi Sudan 2019. Tindakan rampasan kuasa oleh pihak tentera ini mencetuskan protes besar-besaran di seluruh negara Sudan, kerana rakyat Sudan yang baru menjatuhkan pemerintahan kediktatoran dua tahun lalu enggan membiarkan usaha peralihan demokratik ini dihancurkan dalam tangan kepimpinan tentera yang reaksioner.

Beberapa orang pemimpin kanan dalam kerajaan telah ditahan oleh pihak tentera, termasuk Abdalla Hamdok, Perdana Menteri Sudan yang dilantik pada bulan Ogos 2019 selepas Majlis Tentera Peralihan untuk bersetuju memindahkan kuasa kepada Majlis Kedaulatan Sudan yang terdiri daripada kedua-dua pihak tentera dan perwakilan orang awam. Abdalla Hamdok diculik oleh pihak tentera dan dibawa ke satu tempat yang tidak diketahui lokasinya selepas dia enggan mengisytihar sokongannya terhadap rejim ketenteraan yang baharu. Jeneral Abdel Fattah mengisytihar darurat dan membubarkan Majlis Kedaulatan Sudan yang merupakan badan kepimpinan negara tertinggi yang melibatkan perkongsian kuasa antara tentera dengan orang awam sebelum ini.

Kumpulan-kumpulan masyarakat yang pernah terlibat dalam gerakan rakyat yang menjatuhkan pemerintahan kediktatoran Omar al-Bashir pada tahun 2019, termasuk Persatuan Profesional Sudan (SPA) dan Kuasa Kebebasan dan Perubahan (FFC), menyeru rakyat Sudan untuk melakukan aksi keingkaran awam dan menolak untuk bekerjasama dengan pihak tentera yang merampas kuasa itu.

Protes jalanan besar-besaran tercetus sejurus selepas berita mengenai kudeta tentera ini tersebar. Pihak tentera telah merespon dengan keganasan.

Sekurang-kurangnya 7 orang awam dibunuh dan lebih 140 orang cedera pada 25 Oktober 2021 kerana keganasan pihak tentera. Di Khartoum, ibu negara Sudan, pihak tentera melepaskan tembakan ke arah demonstran yang berprotes di luar markasnya. Tentera membuat sekatan di kebanyakan jalan utama dan jambatan yang memasuki bandar Khartoum, sementara demonstran yang membantah kudeta mendirikan sekatan jalan di dalam bandar. Di Omdurman, bandar yang bertentangan dengan Khartoum di seberang Sungai Nil, pasukan keselamatan menyerbu ibupejabat radio dan televisyen kerajaan, dan menahan sebilangan pekerja di situ, untuk mengawal penyebaran maklumat. Sambungan talian internet juga diputuskan sebagai usaha pihak tentera untuk membendung rakyat daripada terus menyertai aksi protes. Namun, ramai rakyat Sudan yang marah tetap bertekad untuk melawan kudeta tentera ini, dengan berarak di jalan-jalan utama dan melaungkan slogan revolusioner.

(foto: AFP)

Parti Komunis Sudan (SCP) dan kesatuan-kesatuan sekerja serta jawatankuasa penentangan di kawasan kejiranan yang bersekutu dengannya, telah menyeru untuk melancarkan mogok politik dan keingkaran awam secara menyeluruh demi melawan kudeta tentera ini. Persatuan Profesional Sudan (SPA) menyeru pada massa rakyat Sudan di semua bandar dan kampung untuk menduduki jalanan dan membuat sekatan di semua jalanraya. Kesatuan Profesor Universiti Khartoum mengumumkan bahawa semua anggotanya telah bermogok di samping menyeru kepada semua institusi profesional dan perkhidmatan, selain perkhidmatan kecemasan perubatan, untuk mengadakan keingkaran awam.

Kudeta tentera yang berlaku pada 25 Oktober 2021 terjadi hanya sebulan selepas satu cubaan kudeta oleh sebahagian pegawai tentera pada bulan September 2021. Pihak tentera menyalahkan pentadbiran yang diterajui oleh orang awam gagal dalam menjalankan tugasannya sehingga mencetuskan huru-hara di dalam negara itu. Pihak tentera juga menghasut penyokongnya untuk mengadakan demonstrasi dengan tuntutan tentera mengambilalih kuasa. Ternyata kudeta tentera yang terbaru ini merupakan usaha golongan reaksioner, khususnya kepimpinan tentera, untuk menghalang proses peralihan demokratik yang bakal menggugat kekuasaan mereka.

Revolusi Sudan yang belum selesai

Episod rampasan kuasa oleh pihak tentera yang terbaru ini, menunjukkan bahawa perjuangan rakyat Sudan untuk demokrasi dan keadilan sosial masih jauh belum selesai, malah sedang menghadapi cabaran yang amat hebat daripada serangan golongan reaksioner.

Gerakan rakyat Sudan yang tercetus pada bulan Disember 2018, berjaya menjatuhkan pemerintahan Omar al-Bashir yang berkuasa hampir 30 tahun pada 11 April 2019. Jeneral Ahmed Awad Ibn Au yang mengambilalihkuasa pada 11 April 2019 sebagai Pengerusi Majlis Tentera Peralihan (TMC) terpaksa meletak jawatannya sehari selepas itu kerana rakyat Sudan yang berprotes enggan meninggalkan jalanan pada masa itu, dan digantikan dengan Jeneral Abdel Fattah al-Burhan. Semasa pemerintahan TMC yang dipimpin oleh Jeneral Abdel Fattah al-Burhan, protes jalanan masih berterusan untuk menuntut perubahan demokratik yang sebenar. Pihak tentera telah melakukan pelbagai kezaliman, termasuk membunuh lebih 100 orang di Khartoum pada 3 Jun 2021 dalam satu tindakan mematahkan protes rakyat. TMC mencapai persetujuan dengan Kuasa Kebebasan dan Perubahan (FFC) yang mewakili gerakan protes rakyat untuk mewujudkan perkongsian kuasa antara pihak tentera dengan orang awam melalui penubuhan Majlis Kedaulatan Sudan, di samping memulakan proses pemulihan demokrasi yang berjangka masa selama 39 bulan. Kumpulan-kumpulan yang lebih radikal seperti SCP dan SPA, enggan menyertai kerajaan tetapi terus memberi tekanan kepada pemimpin orang awam dalam kerajaan supaya mereka tidak tunduk kepada kehendak pihak tentera. SCP dan SPA telah memobilisasi massa setiap kali kerajaan orang awam diancam oleh pihak tentera. Pihak tentera tidak pernah berhenti dalam cubaannya menghalang proses peralihan demokratik di Sudan sejak awal lagi. Dengan Majlis Kedaulatan Sudan dibubarkan oleh pihak tentera, ternyata proses peralihan demokratik yang dimulakan dua tahun lepas telah dihancurkan oleh golongan yang tidak inginkan demokrasi yang menggugat kekuasaan mereka. Sekali lagi, rakyat Sudan perlu menyusun semula barisan perjuangan mereka untuk melawan rejim kudeta tentera dan meneruskan revolusi yang belum selesai.

5 thoughts on “Sudan: Kudeta tentera cuba hentikan peralihan demokratik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *