(foto: AFP)

Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengecam sekeras-kerasnya rampasan kuasa tentera yang terbaru di Sudan, dalam satu kenyataan yang dikeluarkannya pada 1 November 2021.

Menurut Choo Chon Kai, Ahli Jawatankuasa Pusat PSM merangkap Penyelaras Biro Antarabangsa PSM, rampasan kuasa yang dilakukan oleh pihak tentera Sudan di bawah kepimpinan Abdel Fattah al-Burhan pada 25 Oktober 2021 untuk menjatuhkan kerajaan peralihan perkongsian kuasa antara orang awam dengan tentera itu adalah bertujuan untuk menghentikan proses peralihan demokratik di negara itu dan memperkukuhkan genggaman kuasa pihak tentera.

“Rampasan kuasa terbaru ini merupakan satu halangan kepada kemajuan yang dicapai oleh rakyat Sudan yang gagah dalam Revolusi Sudan 2019 yang menggulingkan pemerintahan autoritarian Omar al-Bashir yang sudah wujud selama 30 tahun pada masa itu selepas gelombang protes berbulan-bulan. Majlis Tentera Peralihan (TMC) yang mengambilalih kuasa selepas penyingkiran Omar al-Bashir, telah menunjukkan dari semasa ke semasa keengganannya untuk menyerahkan kuasa kepada pemerintahan orang awam yang demokratik, termasuklah melakukan jenayah kekejaman dalam pembunuhan beramai-berami di Khartoum pada bulan Jun 2019 yang membunuh sekurang-kurangnya 128 orang. Sekarang ini, pihak tentera Sudan telah mendedahkan sifat sebenarnya dengan memungkiri janjinya dalam persetujuan perkongsian kuasa untuk proses peralihan ke demokrasi selama 39 bulan. Puluhan orang telah dibunuh dalam beberapa hari yang lepas kerana berprotes menentang rampasa tentera,” kata Choo Chon Kai dalam kenyataannya.

“Walaupun menghadapi penindasan yang kejam, rakyat Sudan meneruskan perjuangan mereka untuk melawan pemerintahan tentera dengan keazaman kuat untuk menuntut semula demokrasi. Perjuangan rakyat Sudan melawan kediktatoran tentera ini, juga merupakan perjuangan untuk keadilan sosial dan kawalan demokratik rakyat ke atas kekayaan dan sumber semulajadi negara itu yang telah dirompak oleh kuasa-kuasa imperialis dan pesubahat tempatan mereka,” tambah Choo.

“Kami menyeru pada komuniti antarabangsa, termasuk kerajaan di seluruh dunia dan pertubuhan antarabangsa, untuk mengambil satu pendirian yang tegas dalam membantah kediktatoran tentera di Sudan,” begininya seruan PSM dalam kenyataannya. “Kami bersolidariti bersama rakyat Sudan dalam perjuangan tanpa berhenti mereka demi demokrasi, keadilan sosial dan hak mereka untuk menentukan masa hadapan mereka sendiri.”

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *