KAJANG, SELANGOR – 12 APRIL 2021: Selepas peristiwa perobohan kedai dan gerai di Kampung Manickam pada minggu lepas, satu lagi ancaman perobohan rumah berlaku pada hari ini di negeri Selangor. Namun, operasi perobohan rumah sebuah keluarga yang tinggal di rumah kuarters Hospital Kajang di Sungai Jelok, Kajang, dapat diberhentikan, setelah aktivis-aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang turun bersolidariti dengan penduduk berjaya mendesak pihak Kerajaan Selangor untuk memberhentikan tindakan yang tidak berperikemanusiaan itu.
S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi PSM, telah hadir di tempat kejadian pengusiran paksa untuk menghalang operasi perobohan pada hari ini. Setelah rundingan dengan pasukan penguatkuasa dan berkomunikasi dengan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, pihak Kerajaan Negeri Selangor telah menghentikan perobohan rumah pada hari ini.
Rumah yang menghadapi pengusiran paksa dan ancaman perobohan tersebut diduduki oleh M. Suppaya dan keluarganya. Keluarga tersebut tinggal di rumah ini sejak tahun 1960-an, apabila ibu kepada Suppaya dibenarkan untuk mendirikan rumah di atas tanah kuarters Hospital Kajang kerana dia ialah seorang kakitangan yang lama bekerja di pejabat Majlis Daerah Kajang pada masa itu. Ibu Suppaya pernah membuat permohonan untuk mendapatkan hak milik tanah yang diduduki mereka pada tahun 1970-an, tetapi ditolak dan hanya diberikan lesen tumpangan sementara (TOL). Suppaya pernah mengemukakan permohonan untuk geran tanah dengan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat pada tahun 2013, tetapi juga tidak mendapat kelulusan.
Komuniti yang tinggal di atas tanah kuarters hospital tersebut menghadapi pengusiran pada tahun 2016 apabila 6 buah keluarga menerima notis pengosongan tanah daripada Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat kerana tanah tersebut akan digunakan untuk membina hospital bersalin yang baharu oleh Kementerian Kesihatan. Rumah Suppaya tidak termasuk dalam 6 buah rumah yang menerima notis pengusiran pada masa itu kerana dikatakan tidak mengganggu projek pembinaan hospital. 6 buah keluarga tersebut menghadapi pengusiran pada tahun 2017 tetapi akhirnya kemelut mereka diselesaikan apabila mereka ditawarkan penempatan semula di kawasan sekitar Jalan Reko, Kajang. Rumah Suppaya tidak diganggu pada masa itu dan juga tidak diberikan tawaran penempatan semula kerana dikatakan tidak kena mengena dengan projek pembinaan hospital itu.
Namun, Suppaya mula menerima notis pengosongan tanah daripada Pejabat Daerah dan Tanah pada 4 Disember 2017, atas alasan tanah yang diduduki rumahnya diambil untuk projek pembinaan hospital. Setelah isu berlarutan selama hampir dua tahun tanpa penyelesaian, keluarga Suppaya menerima notis amaran yang dikeluarkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 pada 29 Julai 2020, iaitu ketika negara kita dilanda ancaman pandemik COVID-19.
Keluarga Suppaya bersama dengan Arutchelvan telah berjumpa dengan ADUN Kajang, Hee Loy Sian, dan Hee telah menjanjikan untuk menghentikan pengusiran. Dalam satu mesyuarat yang diadakan di Pejabat Daerah dan Tanah pada 1 September 2020 yang dipengerusikan oleh ADUN Kajang, diputuskan bahawa keluarga Suppaya akan diberi tempat ganti di Jalan Reko, seperti 6 buah keluarga yang dikehendaki berpindah sebelum ini.
Namun, sebelum mendapat apa-apa tawaran untuk penempatan semula, keluarga Suppaya menerima satu lagi notis perobohan rumah pada minggu yang lalu dan pasukan penguatkuasa telah dikerahkan untuk melakukan operasi perobohan pada hari ini atas arahan Pengawai Daerah Hulu Langat.
Usaha untuk memberhentikan perobohan rumah tanpa penempatan semula pada hari ini akhirnya berjaya, setelah pihak Menteri Besar Selangor mengarahkan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat untuk memberhentikan perobohan rumah.
Operasi perobohan rumah ini tidak sepatutnya dijalankan dan drama seperti hari ini tidak sepatutnya timbul, sekiranya pihak Kerajaan Negeri Selangor bertindak awal untuk menawarkan tempat ganti untuk penempatan semula bagi keluarga yang terbabit.
Arutchelvan yang hadir di tempat kejadian perobohan rumah di Sungai Jelok, mengingatkan kepada Kerajaan Pakatan Harapan di negeri Selangor mengenai janjinya untuk tidak mengusir rakyat Selangor secara paksa dan tidak merobohkan rumah sebelum mendapatkan perumahan alternatif.
“Kerajaan harus melakukan dengan cara yang betul sekiranya hendak mengambil rumah yang diduduki oleh rakyat miskin. Mereka pernah menduduki tempat ini secara sah sebagai kuarters mereka. Janganlah layan mereka sebagai penceroboh! Sediakan rumah alternatif terlebih dahulu sebelum merobohkan rumah itu!” tegas kata Arutchelvan. “Kenapa rakyat miskin dimangsakan setiap kali kerana wujudnya ketidakprofesionalan pada pihak ahli politik dan birokrat kerajaan?”
==========
Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.
3 thoughts on “Perobohan rumah penduduk di Sungai Jelok berjaya diberhentikan”