1. Kerja pengurusan rumahtangga (homemaking) atau kerja rumah, termasuklah kerja-kerja membersihkan rumah, mencuci baju, memasak untuk keluarga, menjaga kanak-kanak kecil dan sebagainya. Kerja ini biasanya dilakukan oleh golongan wanita berkahwin yang tidak kerja di luar. Wanita yang hanya melakukan kerja rumah dipanggil “suri rumahtangga”.
2. Suri rumahtangga tidak dibayar apa-apa upah untuk kerja yang dibuatnya, sedangkan semua kerja yang dilakukan itu merupakan kerja yang penting untuk memastikan kehidupan sesebuah rumahtangga dapat berlangsung secara licin.
3. Kita biasanya menganggap “kerja” yang menghasilkan nilai dan perlu dibayar upah itu adalah kerja yang menghasilkan sesuatu barangan dalam kilang atau memberikan sesuatu perkhidmatan di kedai, di luar lingkungan keluarga. Namun, kerapkali kita terlupa bahawa kerja rumah yang dilakukan oleh suri rumahtangga itu juga kerja yang menghasilkan nilai.
4. Kerja rumah ialah kerja yang menggunakan tenaga buruh manusia.
5. Kerja rumah menghasilkan sebahagian penting daripada kekayaan masyarakat.
6. Kerja rumah yang memastikan kelangsungan hidup keluarga golongan tenaga kerja masyarakat, merupakan komponen yang penting dalam penjanaan kekayaan dan pembangunan masyarakat.
7. Kerja rumah membantu sektor perindustrian untuk menyediakan tenaga kerja yang dapat menyumbang kepada penjanaan ekonomi, kerana kerja-kerja ini telah menguruskan segala keperluan tenaga kerja sebelum masuk kerja di kilang-kilang atau firma-firma. Kerja rumah merupakan asas kepada ekonomi perinustrian moden.
8. Kerja rumah yang melibatkan penjagaan kanak-kanak, sebenarnya merupakan kerja-kerja yang mempersiapkan tenaga kerja untuk masa hadapan. Firma-firma atau syarikat-syarikat mengupah tenaga kerja, memang perlu membayar kos tenaga kerja itu, tetapi adakah majikan juga membayar kos yang termasuk pertumbuhan dan persiapan tenaga kerja itu sebelum masuk ke dunia kerja?
9. Jika sebuah keluarga yang mempunyai sumber kewangan yang lebih dan mampu mengupah seorang pembantu rumah, semestinya akan membayar gaji kepada pembantu rumah itu. Kerja pembantu rumah itu adalah lebih kurang sama dengan kerja suri rumahtangga. Oleh itu, suri rumahtangga seolah-olah pembantu rumah yang tidak dibayar gaji!
10. Jika kerja rumah tidak dibayar dengan upah, suri rumahtangga yang melakukan kerja rumah ini bagaikan pekerja percuma untuk golongan suami. Dalam erti kata lain, suri rumahtangga yang tidak dibayar upah bagaikan hamba domestik.
11. Seorang suri rumah melakukan kerja hampir setiap hari, tetapi tidak dibayar upah. Adakah ini adil? Mungkin jika pasangannya seorang tauke besar atau bekerja yang gaji yang tinggi, maka pasangan itu boleh membayarnya; tetapi bagaimana pula dengan seorang suri rumahtangga dengan pasangan yang bergaji tidak seberapa?
12. Jika seorang wanita berkahwin yang terpaksa bekerja di luar kerana pendapatan keluarga tidak mencukupi untuk menampung kehidupan, maka keadaannya akan menjadi lebih teruk lagi, sama ada terpaksa buat dua kerja (dengan gaji hanya untuk satu kerja), ataupun terpaksa mengabaikan kerja rumah.
13. Berapakah nilai sesuatu kerja rumah? Katakan kita mengupah seorang tukang pembersih rumah mengikut jam, dengan bayaran RM 100 untuk kerja 4 jam. Jika tukang pembersih itu pekerja yang bebas (tiada majikan), dan jika dia bekerja 8 jam sehari serta 26 hari sebulan, bayaran upahnya boleh mencecah RM 5,200 sebulan. Ini adalah nilai sebenar untuk kerja rumah! Jika kita kira dengan hanya mengikut kadar gaji minimum yang amat rendah itu pun, seseorang yang melakukan kerja rumah, jika dibayar, perlu juga sekurang-kurangnya RM 1,000 sebulan.
14. Wanita yang menjadi suri rumahtangga, bukannya wanita yang tidak bekerja, tetapi kerja rumah yang dilakukannya tidak diiktiraf sebagai kerja.
15. Oleh itu, kerajaan perlu mewujudkan dasar atau undang-undang untuk mengiktirafkan kerja rumah atau kerja pengurusan rumahtangga sebagai sejenis pekerjaan. Ini bermakna sesiapa yang melakukan kerja rumah patut dibayar ganjaran yang setimpal dengan usaha yang ditaburkannya.
16. Kita perlu sedar bahawa, kerja rumah adalah asas kepada semua kerja pengeluaran industri dalam masyarakat moden kita ini. Kerja-kerja ini adalah penting untuk masyarakat secara keseluruhan dan tidak boleh dielakkan, maka adalah tidak adil untuk kita memeras tenaga buruh suri rumahtangga yang melakukan kerja-kerja ini tanpa dibayar apa-apa pun.
17. Dengan adanya pengiktirafan kerja rumah, kerajaan boleh membuat dasar untuk memastikan kerja rumah yang dilakukan oleh salah seorang pasangan keluarga yang tidak bekerja di luar, dapat dibayar sesuatu. Kerajaan boleh membayar “elaun kerja” atau “upah sosial”, sekurang-kurangnya pada kadar gaji minimum.
18. Upah sosial boleh dibayar kepada sesiapa yang melakukan kerja rumah dalam sesebuah keluarga. Dalam sesuatu keluarga, tidak semestinya wanita yang menjadi suri rumahtangga, malah lelaki pun boleh melakukan kerja rumah sementara pasangan wanitanya bekerja di luar.
19. Upah sosial dikatakan sebagai “upah”, kerana ia ialah bayaran ganjaran kepada kerja-kerja yang dilakukan seseorang, bukannya bantuan kewangan atau sedekah kepada seseorang.
20. Dari segi ekonomi, upah sosial atau bayaran elaun kerja rumah kepada salah seorang pasangan keluarga yang tidak bekerja di luar, sebenarnya boleh menjamin kuasa beli masyarakat dan memantapkan pasaran domestik untuk pertumbuhan ekonomi. Jika rakyat yang merupakan pembeli barangan itu mampu belanja, pengusaha kilang dan peniaga penjualan barangan juga akan mendapat keuntungan. Perniagaan untuk peniaga hanya dapat dijamin jika kehidupan rakyat biasa dijamin, bukan sebaliknya.
21. Bagi keluarga dengan pasangan suami isteri yang kedua-duanya perlu bekerja di luar, kerajaan boleh juga menyediakan pembantu rumah untuk melakukan kerja-kerja rumah dalam satu tempoh masa tertentu sehari. Langkah sebegini, bukan sahaja dapat mempermudahkan pengurusan kehidupan pasangan suami isteri pekerja, tetapi juga dapat mewujudkan lagi peluang pekerjaan di samping membantu dalam pertumbuhan ekonomi negara.
22. Kerja rumah bukannya perkara yang remeh, begitu juga dengan mereka yang melakukan kerja rumah. Masyarakat kita tidak akan dapat maju ke hadapan sekiranya kita tidak menghargai usaha yang ditaburkan oleh setiap tenaga buruh dan menjamin kesejahteraan tenaga kerja.