sebuah cerpen oleh K. Z. Iskandar Zulfaqar
Aku mula mengaut rezeki sebagai penjaja jalanan sejak beberapa bulan lepas. Di bahu jalan raya yang berbekalkan ruang sedikit inilah, aku menapak dan membuka kanopi kecil untuk berlindung daripada hujan dan terik mentari demi satu tujuan. Rezeki!
Berbekalkan resepi tradisi yang diturunkan oleh arwah mak kepada aku, hari ini gerai nasi lemak kecil aku ini hampir dikenali di seluruh pelusuk bandar Alor Setar. Setiap pagi seawal jam 7 pagi, pelanggan sudah berpusu-pusu datang. Kadang-kala akan terjadi barisan panjang di hadapan geraiku daripada pelanggan yang ingin memuaskan selera dengan resipi nasi lemak di geraiku.
Begitulah yang dikatakan rezeki. Ini sahaja mata pencarian yang aku ada. Ingin bekerja dengan kerajaan, sememangnya aku tidak layak. Bukan sahaja kerana pencapaianku kurang cemerlang, faktor pilih bulu juga turut menambahkan lagi luka dalam diriku. Bayangkan seorang rakan aku yang bersekolah sekelas dengan aku. Namanya Syahir. Pencapaiannya dalam pendidikan sangatlah tidak memuaskan. Majoriti subjek yang diambil dalam SPM semuanya gagal.
Namun, oleh kerana keluarganya merupakan penyokong kuat parti pemerintah, hari ini dia selesa bekerja di pejabat kerajaan yang berhawa dingin dan bergaji tetap, sedangkan aku yang memperoleh pencapaian lebih cemerlang daripada Syahir terpaksa meredah terik dan ribut di bawah kanopi kecil untuk mencari rezeki.
Begitulah sistem kronisme yang semakin kuat melanda pemerintahan negara pada hari ini. Hingga ada segelintir rakyat yang merasakan mereka terpaksa menganggotai dan mengundi parti pemerintah tersebut demi kepentingan diri mereka.
Itulah persoalannnya kini. Adakah patut sistem dipolitikkan dan dicabul untuk kepentingan sebuah parti politik sahaja. Bagaimana pula dengan parti-parti yang lain yang tidak sealiran dengan parti pemerintah? Di manakah hak mereka? Sedangkan pemerintah selalu berteriak dan menyalak negara ini negara demokrasi, semua rakyat mendapat hak yang sama.
Aku adalah salah seorang daripada mangsa kepada sistem gila ini. Aku adalah bukti kepincangan sistem kerajaan yang melebihkan kroni untuk menyerap masuk penjawat awam.
Aku redha dengan semua itu. Biarlah! Itu semua rezeki. Rezeki orang Allah beri dengan cara berbeza. Aku masih mampu berfikiran positif walaupun jelas-jelas aku menjadi mangsa kepada sistem kroni.
“Nasi lemak tiga bungkus bos!” Suara pesanan makanan itu menyedarkan aku daripada termenung panjang mengenang nasib diri yang ditindas.
Suara tersebut datang daripada Encik Chew, seorang ahli perniagaan berjaya yang juga merupakan pelanggan setia gerai nasi lemakku. Encik Chew berniaga produk-produk kesihatan. Perniagaannya telah dikenali seluruh negara. Siapa sahaja yang tidak kenal dengan nama Chew? Sebut sahaja produknya, semua orang sudah tahu.
“Eh kau rupanya. Aku ingat siapa tadi! Awal kau hari ni. Nak ke mana?” tanyaku kepada Encik Chew. Aku sudah rapat dengan dia sehinggakan kami berbual pun menggunakan gelaran ‘aku’.
“Aku ada meeting kat Thailand. Sebab tu lah kena awal. Meeting kat mana sekalipun, nasi lemak kau mesti kena ada, bro.” Kata-kata Chew itu diikuti dengan tawanya.
“Terima kasih jadi pelanggan setia aku. Terima kasih juga tolong promote gerai aku. Aku tak mampu nak balas jasa baik kau ni kawan.”
“Jangan risau! Aku tolong kau sebab aku bangga dengan kau. muda-muda sudah rajin mau berniaga. Aku nak kau jadi usahawan berjaya nanti. Memang ramai orang cakap dalam perniagaan ni kita kena tolong bangsa sendiri. Kalau dari segi kemanusiaan dan kesaksamaan, adil ke aku mau tolong sama bangsa aku saja?” soal Chew kepadaku.
“Betul tu Chew. Aku tak pernah jumpa orang sebaik kau. Patutlah Tuhan bagi kau kejayaan dalam bidang perniagaan kerana hati kau baik,” puji aku ikhlas menyantuni akhlak baik Chew itu.
Tiga bungkus nasi lemak yang dipesannya siap dibungkus. aku menghulurkan nasi lemak itu kepadanya dan dibalas dengan huluran duit. Dia berlalu pergi selepas membayar nasi lemaknya itu. Aku pula sempat melabuhkan punggung sementara menanti pelanggan lain datang membeli.
Hari ini rezeki aku tidak sebanyak selalu. hari ini aku masih ada waktu untuk berehat kerana sebelum ini aku tidak sempat untuk berehat kerana tidak menang tangan melayani pelanggan yang berpusu-pusu menyerbu gerai kecilku ini.
Sedang aku berehat menunggu pelanggan, tiba-tiba retina mataku menangkap sesuatu yang tidak menyenangkan hati. Perkara inilah yang aku takutkan selama ini. Hari ini mimpi ngeri aku itu bakal menjadi suatu kenyataan.
Sebuah trak yang tertera logo serta tulisan majlis perbandaran berhenti betul-betul di hadapan geraiku. Dua orang pegawai majlis perbandaran yang berpakaian uniform kemas turun daripada trak tersebut dan menghampiri geraiku.
“Maafkan saya, encik. Kami mendapat arahan untuk merobohkan gerai encik. Encik tidak mendapat sebarang lesen untuk menjalankan urusan perniagaan. Oleh itu, kami akan robohkan gerai encik sekarang!” kata salah seorang daripada mereka.
“Tunggu dulu encik. Saya tahu saya salah tetapi mengapa mesti nak roboh terus. Bukankah saya sepatutnya diberi notis terlebih dahulu?” Aku cuba meminta penjelasan.
“Maafkan kami. Itu bukan urusan kami. Kami hanya mengikut arahan pihak atasan!” Kali ini lelaki itu lebih serius.
Seraya itu juga sebuah jentolak tiba di hadapan geraiku. Aku berdiri di hadapan gerai kecilku dan mendepa tanganku seluasnya dengan bertujuan ingin menghalang mereka daripada merobohkan kedai yang banyak berjasa kepadaku itu.
“Encik tak boleh buat saya macam ni! Saya ada hak!” jerit aku kuat.
“Pergi mati dengan hak kau. Tiada siapa mampu melawan keputusan kerajaan.” Sebaik kata-kata itu habis terpacul, salah seorang pegawai itu menghampiriku dan menghadiahkan sebuah penumbuknya tepat ke mukaku.
Aku tertiarap dan meraung kesakitan. Ketika itu jugalah aku melihat gerai kecil yang sangat berjasa kepadaku itu dilanyak tanpa perasaan oleh jentolak tersebut. Habis kuah nasi lemak dan nasi tumpah di atas jalan. Hanya air mata mampu menemani nasib malangku. Jentolak itu terus ghairah mengerjakan geraiku sehingga ranap.
“Itulah aku dah cakap jangan melawan kerajaan! Jangan nak sembang tentang hak, Orang bodoh macam kau ni takdak hak!” Mereka berdua berlalu pergi setelah puas melihat geraiku diranapkan.
Aku tidak mampu menahan sebak. Terpaksa aku tundukkan kepala dan menangis sepuasnya. Ketika itu juga aku merasa seseorang memegang bahuku dari belakang. Aku menoleh. Encik Chew berdiri betul-betul di belakangku sekarang ini.
“Sabarlah bro. Beginilah kezaliman kerajaan. Jangan risau bro. Nanti saya kasi tolong bro. Saya belum sempat lagi ke airport tergerak hati nak berpatah balik dan semasa melalui jalan ini, saya nampak gerai bro sudah roboh. Sabarlah! Saya akan bantu bro. saya janji!” Chew memberiku harapan.
“Terima kasih Chew, rakanku selamanya!”
Aku bersyukur kerana ada Chew yang sudi menolong. Aku juga sedih dengan realiti. Seorang penjaja jalanan yang menjual nasi lemak tanpa permit dianggap salah sedangkan seorang kleptokrat yang berkuasa dengan cara menipu menggondol wang rakyat serta menggadai negara diagungkan.