oleh Dr. Jeyakumar Devaraj

Terdapat beberapa aspek dalam ucapan pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz yang tidak menyenangkan untuk saya.

Yang pertama adalah, isteri saya dan saya akan menerima bayaran sekali gus (one-off) RM300 masing-masing kerana kami ialah pesara kerajaan. Adakah kerajaan mempunyai lebihan dana yang begitu besar sehingga ia boleh memberi ganjaran kepada orang seperti kami yang tidak mengalami kehilangan pendapatan pada ketika ini? Bukankah dana kerajaan yang terhad itu patut ditumpukan pada mereka yang dijejaskan oleh pandemik dan kemelesetan ekonomi? Golongan wanita yang bekerja sebagai pembantu bergaji harian di restoran, pekerja-pekerja di hotel-hotel dan syarikat-syarikat pelancongan yang diberhentikan kerja, pengusaha-pengusaha gerai di pasar-pasar malam di seluruh negara, pengusaha-pengusaha kantin sekolah dan orang yang lain seperti mereka – inilah golongan yang kehidupan mereka telah dijejaskan oleh pandemik. Sesetengah antara mereka ini menghadapi masalah menyajikan makanan di atas meja mereka. Bukankah mereka ini sepatutnya merupakan penerima bantuan kerajaan yang utama?

Bantuan Prihatin Rakyat sebanyak RM1,800 kepada setiap keluarga dengan pendapatan isi rumah di bawah RM2,500 sebulan akan membantu golongan yang disebut di atas, tetapi ia masih tidak mencukupi. Keluarga dengan pendapatan bulanan kurang daripada RM1,000 sebulan akan memerlukan pemindahan wang sebanyak RM500 hingga RM1,000 untuk membolehkan mereka memenuhi keperluan asas.

Menteri Kewangan berkata di perenggan 9 dalam ucapannya bahawa, “Kerajaan meletakkan keutamaan melindungi rakyat melebihi segala perkara lain.” Dalam keadaan di mana kemerosotan ekonomi telah menjejaskan pelbagai sektor ekonomi pada tahap yang berbeza, bukankah Kerajaan patut memfokus lebih banyak pada 700,000 keluarga yang benar-benar bersusah payah untuk memenuhi keperluan asas? Kecuali niat sebenar adalah untuk mewujudkan perasaan senang hati dan modal politik bagi tujuan menghadapi pilihanraya yang  mungkin diadakan dalam beberapa bulan yang akan datang.

Perkara kedua yang tidak menyenangkan bagi saya adalah perenggan 14 dalam ucapan Menteri Kewangan, di mana beliau berkata bahawa Kerajaan menjangkakan ekonomi negara akan pulih kembali dan berkembang pada kadar pertumbuhan KDNK antara 6.5% hingga 7.5%. Beliau berkata lebih lanjut lagi bahawa KDNK global adalah diunjur lebih baik dengan pertumbuhan sebanyak 5.2% pada tahun 2021.

Adalah hebat jika unjurannya ini adalah betul, tetapi dengan hakikat bahawa vaksin yang selamat dan berkesan untuk mencegah COVID-19 masih belum lagi diperoleh, malah ia akan mengambil masa berbulan-bulan lamanya untuk vaksin sebegini diberikan kepada penduduk di seluruh dunia, kebenaran yang membingungkan adalah kemelesetan yang diburukkan lagi oleh COVID-19 akan berterusan untuk kebanyakan masa pada tahun 2021 dan mungkin lebih lama lagi.

Ini menimbulkan persoalan bahawa sama ada unjuran pendapatan Kerajaan Persekutuan pada tahun 2021 oleh Kementerian Kewangan dan tahap kehendak ekonomi dalam penduduk dan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berdasarkan jangkaan Menteri Kewangan yang terlalu optimis terhadap pertumbuhan KDNK pada tahun 2021. Jika begitu, maka defisit akan menjadi lebih besar daripada 6% yang diumumkan oleh Menteri Kewangan.

Perkara ketiga yang tidak menyenangkan adalah gajah di dalam bilik yang langsung tidak diakui – sumber dana. Pada ketika kemelesetan ekonomi, pendapatan cukai kerajaan akan merosot – perniagaan mendapat keuntungan yang berkurangan, dan kerajaan memberi potongan cukai untuk merangsang permintaan agregat. Dalam situasi Malaysia, pendapatan negara kita daripada Petronas telah terjejas kerana penurunan harga petroleum. Kita sudah pun menggunakan 13% daripada belanjawaan operasi kita untuk membayar hutang – membayar faedah Sekuriti Kerajaan (MGS) sebanyak RM850 bilion yang kita apungkan pada tahun-tahun sebelum ini. Bergantung pada pasaran untuk semua perbelanjaan defisit yang kita perlu dalam tahun 2021 akan meningkatkan lagi kos pembayaran hutang ke tahap yang lebih tinggi lagi.

Sebelum ini, Parti Sosialis Malaysia (PSM) pernah mencadangkan supaya Pengewangan Hutang digunakan untuk mendapatkan RM60 bilion daripada sejumlah lebih kurang RM190 bilion yang kita perlu pinjam untuk tahun 2021 – iaitu RM80 bilion untuk MGS yang bergulung matang pada tahun 2021, dan RM110 bilion selebihnya untuk perbelanjaan defisit pada tahun 2021. Pengewangan hutang merujuk pada penjualan bon kerajaan kepada bank pusat negara kita sendiri (iaitu Bank Negara Malaysia) pada kadar faedah yang rendah. Ini pernah dilakukan di beberapa buah negara seperti Australia, India dan Indonesia.

Sesi perbahasan Belanjawan akan menyediakan satu forum yang baik untuk mendebatkan kelebihan dan kelemahan pendekatan sebegini di samping menentukan garis panduan bagaimana pengewangan hutang boleh digunakan dalam konteks Malaysia. Namun malangnya sekali, isu di mana akan datangnya dana ini tidak dibincangkan secara terperinci oleh Menteri Kewangan.

Kita sedang berada dalam keadaan yang luar biasa. Menteri Kewangan sendiri mengakui hakikat ini di perenggan 6 dan 7 dalam ucapannya. Namun yang mengecewakan adalah pembentangan Menteri Kewangan menumpu pada banyak program tetapi tidak menyentuh tentang isu-isu yang utama. Walau bagaimanapun, ahli-ahli parlimen kita mempunyai 2 minggu untuk menyampaikan input mereka. Saya berharap mereka akan membawa isu-isu yang diutarakan di atas ini dan juga isu-isu lain yang berkaitan kepada perhatian dalam sidang parlimen.

==========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

One thought on “Terlepas pandang pada masalah yang lebih besar – Pandangan sepintas lalu Belanjawan 2021

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *