(Tulisan ini diterbitkan bersempena dengan ulangtahun ke-50 Pemberontakan Petani Naxalbari pada tahun 2017.)
Pada bulan Mei 1967, satu pemberontakan bersenjata petani tercetus di sebuah kawasan perkampungan yang bernama Naxalbari, terletak di daerah Darjeeling, negeri Bengal Barat, di bahagian Timur India. Pemberontakan di Naxalbari membuka tirai kepada gerakan perjuangan Maois yang dikenali sebagai Naxalite.
Perpecahan CPI
Parti Komunis India (CPI) yang ditubuhkan tahun 1925 telah mengalami perpecahan pada tahun 1960-an. CPI pernah memimpin pemberontakan bersenjata menentang tuan tanah feudal pada tahun 1940-an di negeri-negeri seperti Telangana, Tripura dan Kerala. Namun tidak lama kemudian, CPI telah meninggalkan garis juang revolusi yang menggunakan kekerasan, beralih kepada garis reformis yang menjalankan perjuangan berparlimen dalam sistem pemerintahan borjuasi. Pada waktu itu, di mana dunia sedang dilanda Perang Dingin, pemimpin CPI telah mengikuti sepenuhnya arahan daripada Kesatuan Soviet, ketua untuk Blok Timur yang dikuasai golongan Stalinis. Oleh sebab Kesatuan Soviet pada masa itu menjalin hubungan kerjasama erat dengan Kerajaan Parti Kongres Kebangsaan India (INC, atau dikenali sebagai Kongres) yang dipimpin oleh Jawaharlal Nehru, maka CPI diarahkan supaya melembutkan kritikannya terhadap INC, dan memainkan peranan sokongan untuk kerajaan pimpinan INC. Akan tetapi, kerajaan pusat India di bawah penguasaan INC tidak menunjukkan apa-apa sikap mesra terhadap CPI, malah mencampurtangan urusan negeri Kerala yang ditadbir CPI, dengan mengambilalih kuasa pemerintahan melalui kerajaan pusat pada tahun 1959 dan membubarkan kerajaan pimpinan E.M.S. Namboodiripad.
Sejak akhir tahun 1950-an, sudah wujudnya ketidakpuasan hati dan pandangan yang berbeza di kalangan ahli-ahli CPI terhadap kepimpinan mereka. Ramai anggota CPI di peringkat akar umbi menganggap bahawa India masih merupakan sebuah negara semi-feudal, sementara itu CPI tidak patut menggadaikan garis juang politik yang berlandaskan perjuangan kelas hanya kerana kepentingan perdagangan dan diplomasi Kesatuan Soviet. Pada masa yang sama, hubungan Parti Komunis Kesatuan Soviet dengan Parti Komunis China juga semakin merosot ketika itu. Parti Komunis China yang dipimpin oleh Mao Zedong telah mengkritik Parti Komunis Kesatuan Soviet kerana ia telah mengambil jalan “reviosionis”, khususnya selepas Nikita Khrushchev menjadi Setiausaha Agung Parti Komunis Kesatuan Soviet menggantikan Joseph Stalin. Lebih-lebih lagi, apabila tercetusnya perang sempadan China-India pada tahun 1962, wujudnya dua puak dalam CPI, di mana salah satu puak pro-China dan satu lagi sokong kerajaan Kongres India (juga pro-Soviet). Ribuan anggota CPI yang dituduh pro-China telah ditahan kerajaan India.
Pada bulan April 1964, dalam satu mesyuarat Jawatankuasa Nasional CPI, 32 orang Ahli Jawatankuasa beredar keluar dari mesyuarat sebagai tanda protes terhadap S. A. Dange, Pengerusi CPI pada masa itu yang berpendirian pro-Soviet. S. A. Dange digolongkan sebagai puak kanan dalam CPI, sementara puak kiri diwakili oleh pemimpin seperti E.M.S. Namboodiripad. Puak kiri dalam CPI yang terdiri daripada 32 orang Ahli Jawatankuasa berkenaan telah mengadakan persidangan di Tenali, Andhra Pradesh, pada bulan Julai 1964.
Pada bulan November 1964, anggota komunis puak kiri mengadakan kongres parti di
Calcutta (dikenali sebagai Kolkata sekarang), manakala CPI yang diketuai S. A. Dange pula mengadakan kongres di Bombay (dikenali sebagai Mumbai sekarang). CPI berpecah secara rasminya. Dalam kongres di Calcutta, puak kiri yang dikatakan mewakili 60% daripada jumlah ahli CPI yang asal, telah menubuhkan Parti Komunis India (Marxis) [dengan nama singkatan CPI(M)].
Walaupun CPI(M) berpecah daripada CPI kerana mengambil pendekatan yang lebih radikal, tetapi tidak lama selepas CPI(M) ditubuhkan, parti tersebut juga semakin hari semakin menumpukan perhatiannya dalam perjuangan parlimen, khususnya apabila CPI(M) menang dalam pilihanraya negeri di Bengal Barat dan Kerala pada tahun 1967, secara bekerjasama dengan CPI.
Puak kiri radikal dalam CPI(M) tidak berpuas hati dengan peralihan ke garis perjuangan parlimen oleh parti, kerana ini menjadikan CPI(M) tidak berbeza dengan CPI.
Pemberontakan petani di Naxalbari
Sebelum tercetusnya Pemberontakan Naxalbari lagi, anggota CPI(M) daripada sayap yang radikal telah pun mula menjalankan kerja-kerja agitasi di kawasan Siliguri, Bengal Barat, iaitu kawasan di mana terletaknya Naxalbari. Mereka mengedarkan risalah yang menyeru supaya melakukan perjuangan bersenjata. Golongan revolusioner daripada CPI(M) ini mengorganisasi kumpulan petani di kawasan-kawasan di bawah Siliguri, mengumpulkan senjata, dan menjalin hubungan dengan golongan Maois yang bersenjata di Nepal, yang berada tidak jauh dari situ.
Pada tahun 1960-an, keadaan sosio-ekonomi di India masih agak mundur, sistem kasta dan budaya politik feudal masih amat berpengaruh di kawasan luar bandar. Tambahan pula, pemerasan oleh tuan tanah ke atas petani juga semakin hebat, menaburkan benih pemberontakan petani.
Charu Majumdar, salah seorang pemimpin utama puak berhaluan kiri dalam CPI(M) berpandangan bahawa, memandangkan revolusi yang dipimpin parti komunis telah berjaya di China (1949), Vietnam (1945) dan Kuba (1959), maka juga tiba masa juga untuk melancarkan “perang rakyat berpanjangan” di India.
Pada 3 Mac 1967, sekumpulan petani tanpa tanah di Naxalbari telah menduduki sebidang tanah di kawasan itu, memagar tanah tersebut dengan bendera merah dan menjalankan kegiatan pertanian di situ. Pada 18 Mac 1967, petani-petani lain di kawasan Naxalbari mula mengambilalih tanah milik petani kaya atau tuan tanah besar.
Kerajaan campuran di Bengal Barat yang turut disertai CPI(M) pada masa itu, cuba mengumumkan beberapa langkah-langkah reformasi tanah untuk meredakan api pemberontakan petani. Namun, dalam tempoh masa beberapa bulan sahaja, dengan sokongan daripada aktivis yang radikal, petani-petani telah menubuhkan jawatankuasa petani di banyak tempat dalam lingkungan kawasan Siliguri.
Pemimpin utama kebangkitan petani Naxalbari terdiri daripada Charu Majumdar, Kanu Sanyal dan Jangal Santhal.
Jawatankuasa-jawatankuasa petani yang baru dibentuk itu telah menganjurkan demonstrasi-demontrasi jalanan. Para petani membawa lathi (sejenis kayu digunakan untuk bertempur), lembing dan panah, berarak mara ke depan dalam lautan bendera merah. Kumpulan bersenjata yang ditubuhkan jawatankuasa petani mula bertindak menduduki dan mengambilalih tanah kepunyaan tuan tanah, serta merampas makanan yang disorok tuan tanah.
Pemimpin CPI(M) yang mentadbir negeri Bengal Barat pada masa itu, mula-mulanya cuba menenangkan pimpinan gerakan Naxalbari dengan cara yang halus, tetapi gagal membendung penularan kebangkitan petani. Jyoti Basu, Menteri Dalam Negeri untuk Bengal Barat pada masa itu, telah mengarahkan polis untuk menindas gerakan Naxalbari, Pada penghujung bulan Mei 1967, kebangkitan petani di kawasan Naxalbari telah bertukar menjadi pemberontakan bersenjata.
Pada 23 Mei 1967, apabila seorang petani cuba menjalankan aktiviti bercucuk tanam di atas tanah yang dibahagikan kepadanya, dia telah dipukul oleh samseng upahan tuan tanah. Ini telah mencetuskan pertempuran antara petani dengan orang upahan tuan tanah. Pada hari keesokannya, sepasukan polis datang ke kampung Jharugaon untuk menangkap petani, tetapi telah diserang hendap oleh sekumpulan kecil petani bersenjata yang dipimpin oleh Jangal Santhal. Pada 25 Mei 1967, polis bertindak ganas dengan membunuh 9 orang wanita dan kanak-kanak di Naxalbari. Maka, dengan itu gerakan Naxalbari memasuki peringkat perjuangan menggunakan kekerasan.
Pada bulan Jun 1967, jawatankuasa petani yang melakukan pemberontakan bersenjata telah berjaya menguasai kawasan Naxalbari, Kharibari and Phansidewa. Petani memperoleh senjatapi dengan menyerang dan menyita kediaman tuan tanah. Jawatankuasa petani juga menubuhkan mahkamah rakyat.
Pekerja ladang teh di daerah Darjeeling melakukan mogok kerja untuk menyokong pemberontakan petani. Di pusat bandar, pelajar-pelajar dan golongan intelek turut menganjurkan aksi solidariti untuk Naxalbari.
Pada 19 Julai 1967, kerajaan mengerahkan pasukan separa tentera ke kawasan kebangkitan petani untuk melenyapkan pemberontakan. Sebahagian pemimpin pemberontakan petani telah ditangkap. Ada yang terpaksa menyembunyikan diri dan meneruskan aktiviti secara bawah tanah. Ada pula yang terkorban dalam pemberontakan.
Jangal Santhal telah ditahan polis, sementara Charu Majumdar dan Kanu Sangal bersembunyi untuk mengelakkan diri daripada ditangkap. Pejuang yang terbunuh dalam pemberontakan Naxalbari termasuk Tribheni Kanu, Sobham, Ali Gorkha Majhi dan Tilka Majhi.
Kebangkitan petani Naxalbari yang berlarutan untuk 4 bulan akhirnya dilenyapkan, tetapi peristiwa tersebut telah mencetuskan gerakan Naxalite yang berlanjutan untuk 50 tahun selepasnya.
CPI(ML) dan selepasnya
Semasa tercetusnya kebangkitan petani Naxalbari, golongan revolusioner berhaluan kiri dalam CPI(M) di Calcutta, iaitu ibu negeri Bengal Barat, telah menubuhkan “Jawatankuasa Bantuan Perjuangan Petani Naxalbari”, dan melancarkan gerakan besar-besaran untuk menyokong kebangkitan Naxalbari.
Gerakan rakyat menyokong kebangkitan Naxalbari telah ditindas polis. CPI(M) yang memegang kuasa pentadbiran di Bengal Barat telah memecat anggota-anggota parti yang menyokong Naxalbari, termasuk Charu Majumdar, Souren Bose, Mahadeb Mukherjee dan Dilip Bagchi. Sushital Ray Chowdhary, Ahli Jawatankuasa CPI(M) untuk negeri Bengal Barat dan ketua pengarang akhbar parti dalam bahasa Bengali turut dipecat.
Selepas kegagalan pemberontakan petani Naxalbari, Charu Majumdar dan Kanu Sanyal telah mengumpulkan golongan berhaluan kiri dalam CPI(M) yang membantah garis juang “revisionis” yang diambil oleh pimpinan CPI(M) pada masa itu. Golongan anti-revisionis (yang kebanyakannya juga mengambil pendirian pro-China atau berfahaman Maois) telah menubuhkan “Jawatankuasa Penyelarasan Revolusioner Komunis Seluruh India” (AICCCR) pada bulan November 1967.
Dalam persidangan AICCCR yang diadakan pada tahun 1969 di Calcutta, telah diputuskan untuk menubuhkan sebuah parti politik yang baru, iaitu Parti Komunis India (Marxis-Leninis), dengan nama singkatan CPI(ML).
Namun, tidak sampai dua tahun ditubuhkan, CPI(ML) telah mengalami perpecahan. Pemimpin CPI(ML) dari negeri Bihar, Satyanarayan Singh, tidak bersetuju dengan pendekatan “keganasan individu” yang dibawa oleh Charu Majumdar dalam usahanya menghapuskan tuan tanah. Perpecahan pertama dalam CPI(ML) berlaku pada tahun 1971, di mana parti berpecah kepada dua, satu adalah CPI(ML) yang masih dipimpin Charu Majumdar, dan satu lagi adalah Jawatankuasa Pusat Sementara CPI(ML) yang dipimpin Satyanarayan Singh.
Selepas Charu Majumdar meninggal dunia semasa dalam tahanan polis pada tahun 1972, CPI(ML) berpecah lagi kepada puak yang pro-Majumdar dan anti-Majumdar. Pada bulan Disember 1972, Jawatankuasa Pusat CPI(ML) yang pro-Majumdar, yang dipimpin oleh Sharma dan Mahadeb Mukherjee, telah meluluskan resolusi untuk mengikuti garis juang Majumdar sepenuhnya, tetapi tidak dipersetujui oleh puak yang anti-Majumdar.
CPI(ML) yang pro-Majumdar kemudiannya berpecah lagi kepada puak yang pro- dan anti- Lin Biao. (Lin Biao merupakan pemimpin utama Parti Komunis China pada masa itu dan memainkan peranan penting dalam mewujudkan kultus personaliti Mao Zedong tetapi berkonflik dengan Mao pada tahun 1970.) Puak yang pro-Lin Biao membentuk CPI(ML)(Mahadev Mukherjee), manakala puak yang anti-Lin Biao kemudiannya membentuk CPI(ML) Pembebasan. Nama CPI(ML) Pembebasan berasal daripada nama akhbar partinya, Pembebasan (Liberation).
CPI(ML) Pembebasan merupakan serpihan daripada CPI(ML) yang terbesar sekarang ini. CPI(ML) Pembebasan mempunyai organisasi di hampir semua negeri di India, dan merupakan kuasa penting dalam politik kiri di India pada hari ini.
Banyak parti Maois yang terbentuk merupakan serpihan CPI(ML), parti-parti itu seringkali mengalami perpecahan, penyusunan semula dan penggabungan.
Pegangan politik Maois
Dari segi ideologi, Maois di India membantah dengan tegasnya fahaman revosionisme dan segala bentuk fahaman kelas borjuasi. Maois mendukung kuat “Marxisme-Leninisme-Maoisme” sebagai satu-satunya fahaman Marxisme yang sah. Golongan Maois di India menganjurkan kempen besar-besaran untuk memperkembangkan pemikiran Mao Zedong.
Tambahan pula dengan pengaruh Revolusi Budaya di China pada masa itu, golongan Maois di India juga menyambut dengan penuh semangat seruan Mao untuk memberontak menentang reaksioner.
Gerakan Maois di India yang mula berkembang pesat pada penghujung tahun 1960-an, telah disemai semangat “menentang kepentingan diri dan menolak revisionisme”. Gerakan Maois telah memaparkan semangat pengorbanan diri yang tidak takut mati, kesetiaan yang menyeluruh pada massa yang tertindas, dan permusuhan kelas terhadap pelaku eksploitasi dalam masyarakat India. Semangat ini telah memikat hati ramai anak muda yang radikal.
Maois di India mengkritik pendirian CPI dan CPI(M) yang dianggap bersifat “revisionisme”. Maosi menganggap India bukannya sebuah negara kapitalis yang mempunyai saki-baki feudalisme, tetapi sebuah negara yang semi-feudal dan semi-kolonial. Menurut analisis mereka, kelas pemerintah di India adalah kelas kapitalis komprador (iaitu ejen atau orang perantara untuk kapitalis luar negara menjalankan aktiviti pelaburan, perdagangan dan ekploitasi di negara kurang maju), maka kemederkaan negara India adalah palsu.
Maois di India menyalin sepenuhnya konsep “Demokrasi Baru” yang dibawa oleh Mao untuk menggambarkan peringkat revolusi India pada takat itu. Mengikut teori revolusi Demokrasi Baru ini, musuh utama revolusi adalah imperialisme, feudalisme dan kapitalisme birokrat komprador, sementara itu kelas pekerja, petani, kelas menengah dan kelas borjuasi nasional adalah kawan atau sekutu untuk revolusi. Kelas pekerja memainkan peranan memimpin revolusi, manakala petani merupakan kekuatan utama dalam revolusi.
Maois India membantah garis juang “peralihan secara aman” yang dipegang oleh CPI dan CPI(M). Dari segi taktik, mereka menolak fahaman parlimentarisme dan menyeru massa memboikot pilihanraya. Mereka menentang ekonomisme (iaitu menghadkan perjuangan kelas pekerja kepada tuntutan ekonomi sahaja), legalisme (iaitu bergerak dalam lingkungan undang-undang borjuasi) dan reformisme (iaitu pendekatan yang sekadar menambahbaikkan sistem yang sedia ada) dalam cara-cara gerak kerja dan organisasi perjuangan.
Maois India memegang pada strategi revolusi yang berasaskan teori “Perang Rakyat yang Berpanjangan”. Berdasarkan strategi ini, Maois India mendirikan tentera rakyat yang revolusioner, dan mewujudkan zon pembebasan di kawasan luar bandar sebagai tapak revolusi, yang kemudiannya secara beransur-ansur menghasilkan keadaan di mana tapak-tapak revolusi di luar bandar akan mengepung bandar-bandar.
Matlamat serta-merta Maois India adalah mewujudkan pemerintahan demokratik rakyat (iaitu pemerintahan gabungan 4 kelas – pekerja, petani, kelas menengah dan kelas borjuasi nasional), sebagai langkah pertama untuk beralih ke sosialisme. Matlamat akhirnya adalah komunisme.
Dalam konteks Perang Dingin pada lewat tahun 1960-an, Maois India menganggap imperialisme AS dan “imperialisme sosial” Kesatuan Soviet, iaitu dua kuasa besar di dunia pada masa itu, sebagai musuh utama seluruh rakyat Dunia.
Maois India menekankan bahawa India adalah sebuah negara yang multi-nasional. Mereka menyokong hak setiap bangsa dalam negara India untuk menentukan nasib sendiri, termasuk hak untuk berpisah dari India.
Golongan Maois India yang dipengaruhi oleh kebangkitan petani Naxalbari dan mengambil pendekatan strategi pemberontakan petani bersenjata dikenali sebagai golongan Naxalite.
Semarak api Naxalbari merebak
Pemberontakan petani Naxalbari telah menyalakan semarak api perjuangan di kawasan luar bandar. Hasil inspirasi Naxalbari telah mencetuskan pemberontakan petani yang serupa di banyak tempat, termasuklah Srikakulam di negeri Andhra Pradesh, Birbhum di negeri Bengal Barat, Debra-Gopiballavpur (Bengal Barat), Mushahari di negeri Bihar dan Lakhimpur-Kheri di Uttar Pradesh. Kebangkitan Naxalbari juga mempengaruhi ramai anak muda radikal sehingga menyertai organisasi-organisasi Maois yang berpendirian lebih radikal daripada CPI dan CPI(M). Organisasi-organisasi politik Maois timbul di hampir semua negeri di India.
Pada bulan November 1967, tercetusnya pemberontakan petani di Srikakulam. Sebelum tercetusnya pemberontakan tersebut, seawal penghujung tahun 1950-an, dua orang guru yang berhaluan kiri, Vempatapu Sathyanarayana dan Adibhatla Kailasam sudahpun mula membuat kerja-kerja organisasi massa akar umbi di daerah Srikakulam. Ini telah mendirikan asas kepada gerakan komunis yang radikal kemudiannya. Petani di Srikakulam menentang pemerasan oleh tuan tanah, dengan menggunakan cara seperti menduduki tanah pertanian dan menuai secara paksa. Penentangan mereka kemudiannya berkembang menjadi pertempuran dengan polis. Apabila berita tentang pemberontakan Naxalbari sampai ke Sirkakulam, aktivis-aktivis seperti Vempatapu Sathyanarayana telah mengikut jejak Naxalbari untuk melancarkan pemberontakan petani.
Pada 31 Oktober 1967, 2 orang yang penyokong parti komunis, Koranna dan Manganna, telah ditembak mati oleh tuan tanah. Peristiwa tersebut mencetuskan kemarahan petani di Srikakulam sehingga mengangkat senjata untuk memberontak. Petani-petani telah mengambilalih tanah, harta dan hasil pertanian milik tuan tanah. Aksi pemberontakan merebak ke banyak kampung di sekitar daerah Srikakulam, sehingga melumpuhkan polis tempatan.
Pada bulan Mac 1968, kerajaan mengerahkan polis dalam bilangan besar untuk menjalankan operasi penindasan di daerah Srikakulam. Petani tempatan pada awalnya menghadapi kesukaran apabila diserang pihak kerjaan, tetapi selepas pemberontak di Srikakulam berhubung dengan AICCCR, mereka mula mengorganisasi pasukan gerila, dan menjalankan penentangan bersenjata yang lebih teratur. Pasukan gerila membantu petani mengambilalih hartanah milik tuan tanah, dan menangkis serangan pasukan keselamatan yang cuba melenyapkan kebangkitan petani. Charu Majumdar pernah menggambarkan Srikakulam sebagai “Yan’an di India”. (Yan’an merupakan pusat operasi revolusi China pada tahun 1936-1948.)
Pada tahun 1969, kerajaan India mengerahkan seramai 12,000 orang Pasukan Polis Simpanan Pusat (CRPF) ke Srikakulam untuk melenyapkan pemberontakan di situ. Pertempuran telah berlarutan hampir 6 bulan. Pemimpin-pemimpin pemberontakan seperti Vempatapu Sathyanarayana dan Adibhatla Kailasam telah terbunuh dalam pertempuran. Namun, mereka ini telah menjadi lagenda masyarakat tempatan sebagai simbol menentang kezaliman golongan pemerintah.
Perkembangan Gerakan Naxalite
Gerakan Naxalite yang bermula di negeri Bengal Barat, telah merebak ke negeri-negeri yang lain. Selepas sunyi untuk seketika pada pertengahan 1970-an, gerakan Naxalite muncul aktif kembali pada tahun 1980-an, berkembang secara berterusan di kawasan luar bandar yang mundur, khususnya di bahagian Timur dan Selatan India. Kawasan-kawasan Gerakan Naxalite bergerak aktif termasuklah Karnataka, Chhattisgarh, Odisha, Andhra Pradesh, Maharashtra, Jharkhand, Bihar, Uttar Pradesh dan tempat asalnya Bengal Barat. Wilayah di mana Gerakan Naxalite aktif digelar sebagai “koridor merah”.
Kondapalli Seetharamaiah menubuhkan Parti Komunis India (Marxis-Leninis) Perang Rakyat (atau dikenali sebagai Kumpulan Perang Rakyat, PWG) pada tahun 1980 di Andhra Pradesh. Kondapalli Seetharamaiah pernah menganggotai salah satu puak serpihan CPI(ML) yang dikenali sebagai Jawatankuasa Organisasi Pusat CPI(ML).
PWG bergabung dengan CPI(ML) Perpaduan Parti yang aktif di negeri Bihar pada tahun 1998, di samping mula membina organisasi di Haryana, Kerala dan Punjab. PWG berpegang pada pendirian politik Marxis-Leninis (sebenarnya Stalinis).
Pada tahun 2004, PWG bergabung dengan satu lagi organisasi Maois yang dianggap paling besar ketika itu, iaitu Pusat Komunis Maois. Penggabungan dua organisasi tersebut telah mewujudkan Parti Komunis India (Maois). Selepas penubuhan Parti Komunis India (Maois), Setiausaha Agung PWG, Ganapathy (nama sebenarnya Muppalla Lakshmana Rao) dilantik sebagai Setiausaha Agung parti baru tersebut.
Parti Komunis India (Maois) merupakan salah satu aliran yang penting dalam Gerakan Naxalite pada masa kini. Parti Komunis India (Maois) berpegang pada fahamam Marxisme-Leninisme-Maoisme, dengan pendiriannya yang tidak berbeza banyak dengan pegangan asal Maois, iaitu menganggap India sebagai sebuah negara yang berfungsi di bawah persekongkolan imperialis, kelas kapitalis komprador dan tuan tanah feudal. Parti Komunis India (Maois) juga mengambil pendekatan “Perang Rakyat Berpanjangan” untuk merampas kuasa pemerintahan negara, mendirikan “pemerintahan rakyat” melalui Revolusi Demokratik Baru. Parti Komunis India (Maois) menganggap globalisasi sebagai satu perang oleh fundamentalis pasaran bebas ke atas rakyat.
Aktiviti organisasi bersenjata Naxalite-Maois, dianggap sebagai “terrorisme” oleh kerajaan India. Kerajaan India sentiasa mengerahkan polis dan tentera untuk menghapuskan gerakan Naxalite, tetapi masih tidak dapat melenyapkannya.
Masalah Abad ke-20 yang belum selesai
Walaupun perjuangan penentangan bersenjata oleh Naxalite tidak dapat merampas kuasa pemerintahan negara India, tetapi aktivitinya tetap membawa ancaman yang agak besar kepada golongan pemerintah di India. Faktor utama kepada perkembangan Gerakan Naxalite adalah ketidaksamarataan ekonomi dan ketidakadilan sosial yang wujud di India sehingga hari ini.
Rakyat bawahan yang tinggal di kawasan luar bandar di India rata-ratanya hidup dalam kemiskinan, khususnya golongan Dalit yang merupakan kelas terbawah dalam sistem kasta India.
Negara India masih merupakan sebuah negara berasaskan ekonomi pertanian pada hari ini. 70% daripada rakyat India hidup bergantung secara langsung atau tidak langsung dengan pertanian. Walaupun kerajaan India telah memulakan reformasi tanah sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1947, namun tidak dilaksanakan secara penuhnya. Sebahagian besar tanah masih dikuasai oleh golongan tuan tanah atau orang kaya, sementara ramai petani tidak mempunyai tanah sendiri untuk diusahakan. Petani-petani yang tiada tanah, bermakna mereka kehilangan punca rezeki untuk menampung kehidupan, dan membiak kemiskinan di kalangan mereka. Tambahan pula dengan amalan diskriminasi dan penindasan di bawah sistem kasta, rakyat bawahan India amat tertekan sekali. Oleh itu, revolusi yang diperjuangkan Naxalite yang mengajukan idea kesamarataan, memang dapat menyentuh hati golongan petani miskin dan dianggap sebagai jalan keluar daripada kesengsaraan mereka.
Negara India mula menjalankan “reformasi” yang berlandaskan liberalisasi ekonomi pada tahun 1990-an. Kerajaan India melaksanakan dasar-dasar yang menyokong liberalisasi perdagangan, penswastaan dan mendukung globalisasi neoliberal. Dasar-dasar sebegini telah memburukkan lagi situasi yang dihadapi oleh petani-petani di kawasan luar bandar. Ramai petani berhutang tinggi kerana terpaksa membeli biji benih dan baja kimia yang dikuasai oleh korporat besar. Tambahan pula, perubahan iklim yang disebabkan oleh pencemaran alam oleh aktiviti perindustrian kapitalis sedunia juga menyebabkan kegagalan tanaman yang merupakan malapetaka kepada petani. Sejak tahun 1990-an, terdapat beribu-ribu petani India membunuh diri setiap tahun kerana tidak dapat tahan pada kesengsaraan yang diwujudkan oleh sistem kapitalis global ini.
Walaupun pemikiran revolusi Maois yang dibawa oleh Naxalite nampaknya sudah ketinggalan zaman (kerana ia seolah-olah sesuatu yang tersangkut pada zaman abad ke-20), tetapi realiti kehidupan rakyat India bawahan di luar bandar yang masih susah dan tertindas, telah membolehkan idea Naxalite masih diterima ramai. Tuntutan politik Naxalite untuk reformasi tanah dan menentang sistem kasta, memang dapat meraih sokongan daripada rakyat bawahan di luar bandar.
Oleh sebab dua parti komunis tradisional yang utama, CPI dan CPI(M), tidak dapat memajukan lagi perjuangan sosialis melalui garis juang politik parlimentarisme, malah adakalanya mereka berpihak pada penindas dalam memukul penentangan golongan petani miskin, semua ini telah memaksa petani miskin tiada pilihan lain kecuali menyokong golongan Naxalite atau Maois yang berpendirian lebih radikal.
Namun, oleh sebab kebanyakan organisasi Maois mempunyai kecenderungan dogmatik dan sektarian yang kuat, maka menjadi penghalang kepada perkembangan lanjut gerakan Maois dan Naxalite itu sendiri. Organisasi Maois berpecah-belah kepada banyak parti-parti dan organisasi-organisasi kecil, semuanya ada asas massanya sendiri, tetapi tidak dapat bergabung menjadi satu kuasa yang mampu menjatuhkan kelas pemerintahan India yang sedia ada.
Sejak penghujung tahun 1990-an, perjuangan bersenjata Naxalite yang berterusan telah menyebabkan sekurang-kurangnya 2000 orang polis dibunuh, sementara organisasi Naxalite sendiri pun kehilangan sekurang-kurangnya 3000 orang. Di samping itu, hampir 8000 nyawa orang awam diragut akibat konflik bersenjata yang melibatkan Naxalite. Ini adalah sesuatu yang menyedihkan tetapi menggambarkan realiti negara India yang masih dihantui dengan ketidakadilan sosial.
Pemikiran politik dan cara perjuangan Naxalite nampaknya masih tersangkut dalam abad ke-20, tetapi ini juga mencerminkan bahawa masalah yang dihadapi masyarakat luar bandar India pada abad yang lalu masih belum selesai lagi. Selagi petani miskin dan rakyat bawahan tidak dapat membebaskan diri mereka daripada kitaran ganas kemiskinan, selagi penindasan kelas masih wujud, maka semarak api Naxalbari tetap akan terus membara.
One thought on “Kebangkitan Naxalbari”