oleh Nik Aziz Afiq bin Abdul

Saya tertarik dengan laporan akhbar di mana YB Syed Saddiq diberitakan tidak menyertai parti Pejuang yang ditubuhkan “bos”” beliau, sebaliknya bercadang untuk menubuhkan parti baru berteraskan anak muda dan lebih utama ia berbilang kaum. Ketertarikan saya itu cepat pula pudar apabila kenyataan seterusnya dibaca bahawa meskipun menubuhkan parti lain, beliau tetap berikan sokongan pada Tun Mahathir.

Tepuk dahi.

Sebenarnya saya kira kerap kali saya mendengar daripada pelbagai orang bahawa perlunya anak muda mempunyai parti sendiri, atas alasan ia lebih bersifat mandiri, tidak duduk di bawah telunjuk orang tua lalu boleh memfokus sekaligus menarik anak muda sertai parti tersebut.

Saya berpendapat sekalipun perkara itu benar terjadi, itu bukanlah sesuatu asbab utama mengapa sesuatu parti perlu ditubuhkan. Ada sesuatu perkara lebih besar daripada isu-isu teknikal sebegitu.

syed saddiq
 Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

Tubuh parti untuk apa?

Parti adalah salah satu (bukan satu-satunya!) instrumen perjuangan. Sebagai satu kenderaan yang perlu digunakan untuk pergi ke sesuatu destinasi. Jadi, soal kenderaan jenis apa, nombor plat apa, jenama apa itu, semua bukan dalam senarai utama. Yang paling awal adalah apakah muatan yang ingin dibawa, berapa ramai kapasiti, dan ke mana destinasi yang ditetapkan.

Ibarat ada dua buah teksi, satu teksi yang standard, satu lagi teksi yang agak advance, ada speaker kuat main lagu-lagu hits semasa. Penumpang mahu ke Semenyih, tetapi teksi standard sahaja yang boleh bawa ke Semenyih, teksi advance tadi hanya boleh bawa ke Muar. Jadi, penumpang akan pilih yang mana?

Program parti perlu digerakkan oleh dasarnya, sedangkan dasar parti dibina berdasarkan ideologinya. Maka apa guna membina puluhan parti baru jika ia tidak berpijak pada ideologi yang kukuh dan jelas? Janganlah buat parti seperti tukar pakaian semata-mata.

Adalah sesuatu yang bercanggah apabila sebuah parti untuk anak muda ingin ditubuhkan tetapi dalam masa sama memberikan sokongan kepada ahli politik tertua negara. Sepatutnya jika Syed Saddiq benar-benar radikal dalam memastikan ruang politik buat anak muda, beliau tidak sewajarnya memberikan sokongan kepada Tun Mahathir bahkan harus mencadangkan beberapa idea seperti ahli politik mesti bersara seperti umur penjawat awam, iaitu maksimum 68 tahun ketika ini, mengehadkan tempoh seseorang ahli parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri hanya boleh dilantik selama dua penggal sahaja.

Tetapi pasti idea ini tidak akan dibawa bagi seseorang yang menyokong seorang yang sudah memegang rekod menjadi Perdana Menteri paling lama (dan paling sekejap) dalam sejarah negara. Jadi di mana sifat “muda”nya?

Saya suka idea bahawa parti baru ini akan jadi parti berbilang kaum. Itu perkiraan yang tepat. Saya pernah menyarankan bahawa parti berasaskan satu kaum perlu dibubarkan kerana ia menjadi salah satu faktor utama persengketaan kaum dalam negara ini tidak berkesudahan.

Tetapi saya juga agak alergik pada beberapa parti yang dikatakan untuk pelbagai kaum tetapi merekalah yang menjadi jaguh dalam mencetuskan api-api permusuhan kaum. Bahasa mudahnya adalah parti kosmetik. Sengaja ditempelkan beberapa muka “kaum lain” sebagai ikon sekadar nak tunjukkan “kepelbagaian”. Ini tidak berlaku secara organik dan penuh kejijikan.

Sebagai penutup, kita perlu me-muda-kan politik kita. Politik negara kita masih terperangkap di takuk lama. Kita masih mengangkat dan bergantung harap pada ikon tertentu. Mutu perbahasan parlimen kita juga begitu bersifat rendahan, pertandingan debat ala parlimen di sekolah menengah pun jauh lebih matang dan intelektual. Kita masih memperlihatkan seseorang YB itu seakan “Tuan” kepada rakyat, rakyat hanya jadi pengikut tanpa punyai kuasa apa-apa melainkan secebis kertas dan dua garis disilang membentuk pangkah setiap 5 tahun sekali. Demokrasi jenis apa ini?

Alangkah indah, jika semua yang kita kata, bukan sekadar kata-kata.

==========

Nik Aziz Afiq bin Abdul ialah Ketua Pemuda Parti Sosialis Malaysia (Pemuda PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *