(Siri wawancara “Kesenian dan Keadilan Sosial” – 01)

Bersempena dengan bulan Merdeka ini, Sosialis.net akan mula menerbitkan siri wawancara khas bersama dengan beberapa orang pengamal seni untuk membincangkan “Kesenian dan Keadilan Sosial”.

Dalam wawancara yang pertama dalam siri ini, Sosialis.net menemuramah Al Jafree Md Yusop, seorang penulis lakon layar dan pengarah filem mandiri yang pernah menghasilkan skrip-skrip filem seperti Dukun, P Ramlee The Muzikal, Melur VS Rajawali dan Tulus Ikhlas. Telefilem Tulus Ikhlas merupakan pemenang Drama Tunggal Terbaik dalam Asian Television Awards (ATA) yang ke-21 di Singapura pada tahun 2016. Filem arahan Al Jafree Md Yusop yang pertama untuk tayangan layar perak, Mencari Rahmat, akan ditayangkan di pawagam mulai 31 Disember 2020.

20200822-118153522_330972554750013_7241069649870650880_n (2)

========== 

S: Sosialis.net

J: Al Jafree Md Yusop

==========

S: Bilakah saudara mula menceburi dalam bidang seni filem? Apakah sebab ataupun motivasi yang mendorong saudara untuk melibatkan diri dalam kesenian filem?

J: Saya menulis skrip pertama saya pada tahun 1999. Ia adalah sebuah telemovie yang diarahkan pengarah Adman Salleh. Telemovie yang bertajuk ‘Sumbangsih’’. Saya memang meminati seni filem sejak kecil lagi, iaitu selepas ayah saya membawa saya ke panggung wayang pada usia 6 tahun. Di situlah bermula minat saya terhadap filem dengan mendalam.

***

S: Adakah apa-apa motivasi di sebalik karya seni saudara? Ataupun adakah saudara mempunyai apa-apa pandangan yang hendak disampaikan semasa menulis skrip atau mengarahkan sebuah filem?

J: Arahan pertama saya ialah sebuah telemovie yang bertajuk “Senandong Malam”. Ia adalah sebuah penerokaan terhadap subjek manusia yang kadangkala terperangkap antara realiti dan imej di dalam filem. Ia juga adalah “tribute” (penghormatan) kepada seniman agung Tan Sri P. Ramlee dan kecenderungan beliau terhadap subjek pertembungan kelas. Filem pertama saya, Mencari Rahmat, ialah adaptasi daripada karya Oscar Wilde, iaitu The Importance of Being Earnest. Saya mula membacanya ketika berusia 15 tahun. Yang menariknya ialah apa yang saya lihat sebagai kritikan Wilde terhadap “society” atau masyarakat sebagai penjara paling dahsyat buat manusia. Motivasi mengadaptasikan Earnest wujud apabila saya membaca esei Wilde yang bertajuk The Soul of a Man Under Socialism.

20200822 - 20245788_1563362227071353_7542669825339961409_n
“Mencari Rahmat” (2017), filem yang ditulis dan diarahkan oleh Al Jafree Md Yusop untuk tayangan di layar perak, dibintangi oleh Namron, Amerul Affendi, Nadia Aqilah, Sharifah Amani, Adibah Noor, Fauziah Nawi, Eric Fuzi dan Azman Hassan.

***

S: Apakah detik yang paling tidak dapat dilupakan sepanjang pengalaman saudara melibatkan diri dalam bidang seni filem?

J: Melihat karya kita sendiri dipancarkan ke layar lebar buat pertama kalinya adalah sesuatu yang tidak boleh dilupakan.

***

S: Apakah pandangan saudara tentang fungsi filem dalam masyarakat?

J: Lenin sendiri pernah mengatakan bahawa filem adalah cabang seni yang paling penting. Filem adalah seni visual. Oleh itu, ia adalah sebuah cabang seni yang paling senang dan efektif dalam mempengaruhi pemikiran masyarakat.

***

S: Sejauh mana seni filem itu dapat mencerminkan realiti dunia kita dan bolehkah ia mengubah realiti masyarakat?

J: Seperti juga cabang seni yang lain, seperti sastera, teater dan muzik, filem secara sedar dan luar sedarnya adalah cerminan terhadap masyarakat. Ini bukan bermaksud realiti dan realiti filem itu adalah perkara yang sama. Seni tidak berbentuk “superficial” (luaran) tetapi ianya adalah cerminan serta eksplorasi terhadap kedua-dua aspek zahir dan juga batin. Oleh itu, interpretasinya terhadap realiti mungkin tidak berbentuk “blatant” apa yang kita nampak dalam realiti. Namun memang sudah terbukti yang filem boleh mempengaruhi masyarakat.

20200822-melur rajawali telemovie
“Melur VS Rajawali” (2015), sebuah telefilem yang ditulis dan diarahkan oleh Al Jafree Md Yusop, dibintangi oleh Mohd Syafie Naswip, Sharifah Amani, Amerul Affendi, Eric Fuzi, Shahrin Zainurin, Rasyeed Ahmad dan lain-lain.

***

S: Pada pandangan saudara, apakah isu masyarakat yang paling kritikal yang perlu kita tangani sekarang?

J: Pada awal tahun ini sebuah filem dari Korea Selatan yang bertajuk “Parasite” arahan Bong Joon-ho telah memenangi anugerah Oscar. Sebelum itu, Parasite juga telah memenangi anugerah Palm dÓr di Cannes Film Festival, iaitu antara anugerah tertinggi dalam dunia perfileman. Parasite ialah sebuah filem berkenaan pertembungan kelas di Korea Selatan dan itu jelas sekali subjek yang paling popular sekarang.

***

S: Apakah pandangan saudara tentang filem-filem di Malaysia?

J: Filem di Malaysia sudah menampakkan perkembangan yang baik dalam kalangan pembikinnya. Cuma saya berpendapat ianya belum mendapat sokongan yang cukup daripada pihak kerajaan. Dua perkara yang masih belum diambil serius oleh kerajaan ialah berkenaan pengarkiban dan sokongan terhadap gerakan pembikin filem mandiri. Ini terbukti pada tahun 1980-an di mana Robert Redford telah menubuhkan Sundance Institute yang dengan agresif telah menyokong gerakan filem mandiri sehingga melahirkan nama-nama besar seperti Quentin Tarantino, Christopher Nolan, Wes Anderson dan ramai lagi.

***

S: Apakah prospek bidang seni filem di Malaysia dalam mewujudkan suasana masyarakat yang berpemikiran progresif?

J: Seni filem memang boleh membawa pemikiran rakyat ke arah yang lebih progresif.

***

S: Ada apa-apa pesanan kepada anak-anak muda yang hendak menceburi diri dalam dunia seni filem?

J: Seni filem masih lagi sukar di Malaysia walaupun teknologi kini sudah menjadi mampu milik. Ini adalah kerana persepsi yang ianya semata-mata bahan hiburan telah meletakkan seni ini pada tempat tidak berapa penting dalam kalangan masyarakat. Filem mendapat tempat yang tinggi di negara-negara Eropah dan kini ia juga seni yang penting di negara-negara Amerika Selatan. Namun kita perlu lebih ramai pembikin filem muda yang progresif.

***

S: Kita akan menyambut ulangtahun ke-63 kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dan ulang tahun ke-57 pembentukan Persekutuan Malaysia, apakah pandangan saudara tentang makna kemerdekaan kepada seni filem negara kita?

J: Kemerdekaan dalam seni filem bukannya semata-mata datangnya daripada pihak lembaga penapisan filem yang lebih ringan, tetapi kemerdekaan dalam berseni dalam filem itu hanya akan wujud dengan pemikiran yang matang dan terbuka. Contohnya, negara Iran dengan lembaga penapisan filemnya yang jauh lebih ketat daripada Malaysia tetapi telah wujud pembikin filem yang berani seperti Abbas Kiarostami, Majid Majidi, Jafar Panahi, Asghar Farhadi dan ramai lagi. Ilmu adalah kunci untuk pemikiran yang terbuka dan itulah bagi saya pembebasan yang sebenar-benarnya.

20200822-118168531_597255067824121_6875831118502939407_n (2)

===========

Rencana yang lain dalam siri wawancara “Kesenian dan Keadilan Sosial”:

2. Seni sebagai penghubung masyarakat dengan mesej yang serius (Wawancara bersama Tan Lay Heong)

One thought on “Ilmu kunci pemikiran terbuka (Wawancara bersama Al Jafree Md Yusop)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *