20200223 - coronavirus-2

oleh Dr Jeyakumar Devaraj

Masyarakat manusia sedang melalui satu tempoh yang luar biasa. Pandemik COVID-19 telah menundukkan ekonomi global. Corak hidup kepenggunaan yang biasa telahpun diterbalikkan. Kita boleh menjangkakan kemelesetan ekonomi yang teruk untuk tahun ini dan juga tahun hadapan. Sebilangan pakar ekonomi mengatakan ini mungkin akan menjadi seburuk Zaman Meleset (Great Depression) yang melanda dari penghujung tahun 1920-an hingga 1930-an. Pada masa yang sama, kadar kematian akibat jangkitan COVID-19 juga semakin meningkat dengan pantas di kebanyakan tempat di dunia, dan negara yang paling kaya dalam dunia ini terus mengambil mudah dan gagal menangani krisis kesihatan ini.

Malaysia berada di kedudukan yang agak baik sekarang, dengan 5389 kes setakat 18 April 2020 dan 89 kematian, iaitu pada kadar 1.65%. Kita bernasib baik kerana kerajaan negara kita mengambil serius tentang masalah ini dan mengambil polisi untuk menyekat COVID-19 [1] dan tidak bermain dengan pendapat untuk membiarkan penularan secara terkawal wabak ini dalam masyarakat dengan harapan ianya akan membawa kepada “keimunan kelompok” (herd imunity). Negara-negara yang melayani idea untuk membenarkan penularan wabak COVID-19 pada kadar perlahan (Pendekatan Mitigasi) telah menyebabkan hospital mereka dibanjiri oleh ribuan pesakit yang terdesak dan melampaui kapasiti kemudahan Unit Jagaan Rapi (ICU) yang sedia ada. Kadar kes kematian di Sepanyol, Itali dan Britain melebihi 10%, dan ramai petugas kesihatan barisan hadapan di negara-negara tersebut terkorban kerana peralatan perlindungan diri yang tidak mencukupi.

Bilangan kes baru di Malaysia sedang menunjukkan penurunan sejak minggu lepas, dan ada kemungkinan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilonggarkan dalam sedikit masa lagi. Namun, kita sebenarnya berada dalam situasi yang baru dan tidak pasti. Tiada siapa tahu apakah cara terbaik untuk maju ke hadapan dari sini. Adalah menjadi keperluan untuk kita membincangkan dengan tenang dan secara rasional, apakah prinsip-prinsip panduan utama yang perlu kita patuhi untuk beredar keluar dari PKP dan mengaktifkan semula ekonomi. Ini bukanlah masa untuk bermain politik atau bersikap kepartian. Terlalu banyak perkara yang perlu diberikan perhatian. Kita perlu membangunkan konsensus yang meluas di peringkat seluruh masyarakat tentang bagaimana kita perlu maju ke hadapan sebagai satu negara.

Adanya sesetengah orang yang berpegang kepada kepercayaan bahawa semuanya akan kembali kepada keadaan normal dalam dua atau tiga bulan. Itu hanyalah angan-angan. Malaysia adalah terikat dengan keadaan ekonomi dunia dan sebarang bencana kepada ekonomi di Amerika Syarikat, Eropah ataupun China akan memberikan impak yang negatif kepada kita di sini. Kita mungkin perlu melalui kemelesetan ekonomi – sesuatu yang tidak boleh disangkal lagi. Jumlah eksport kita akan menurun. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kita akan menyusut beberapa titik peratusan. Persoalannya sekarang adalah, bagaimana kita menghadapi perubahan ini dengan impak yang minimum kepada ekonomi kita, kepada rakyat dan juga kepada keamanan dan kestabilan negara kita? Inilah yang perlu untuk kita fokuskan sekarang. Parti Sosialis Malaysia (PSM) ingin mengemukakan cadangan kepada perbincangan penting ini dengan enam idea utama yang perlu kita fikirkan sebagai strategi nasional.

1. Mengawal wabak COVID19 

Kita telah berjaya melenturkan lengkungan (kes-kes baru COVID-19) ke bawah, tetapi masih ada risiko untuk ianya memuncak kembali. Seperti yang kita telah bincangkan sebelum ini, ini bukan masanya untuk kita menurunkan perisai kita [2], dan kita perlu untuk meluaskan capaian dan mendapatkan keyakinan daripada pekerja migran serta pelarian yang berada di dalam negara kita agar mereka tidak menjadi saluran  yang akan mencetuskan gelombang kedua untuk wabak ini. Pendirian bersifat autoritarian seperti ditunjukkan oleh Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob [3] itu tidak membantu dalam mendapatkan keyakinan populasi migran supaya bersama kita dalam usaha menangani. Beliau perlu diberi nasihat bahawa mengugut pekerja tanpa dokumen dengan tahanan dan pengusiran bukanlah cara yang baik untuk memujuk mereka supaya tampil ke hadapan untuk ujian saringan! Kita perlukan kerjasama mereka bagi mengelakkan penularan COVID-19 di dalam negara kita. PSM telah mencadangkan moratorium untuk kesalahan imigresen bagi tempoh satu tahun akan datang. Hanya apabila pekerja-pekerja asing tanpa dokumen ini menyedari bahawa mereka tidak akan ditangkap, ditahan, dihukum dan/atau diusir keluar, barulah mereka akan tampil untuk menjalani saringan dan bersetuju untuk berada di pusat kuarantin. Bertindak secara kasar terhadap mereka hanya akan mengakibatkan mereka bersembunyi dan menjadi satu takungan yang akan menyebarkan wabak COVID-19 ini dalam masyarakat kita.

Memulakan semula ekonomi negara merupakan objektif yang penting – kita memerlukan makanan dan juga barangan serta perkhidmatan yang lain; kita memerlukan pertukaran wang asing untuk mengimport ubat-ubatan dan peralatan penting. Majlis Keselamatan Negara telah mengelaskan daerah di Malaysia mengikut warna, iaitu hijau, kuning atau merah, bergantung kepada jumlah kes COVID-19 pada bulan sebelumnya. Kami perlu untuk mewujudkan protokol yang menentukur tahap aktiviti ekonomi yang dibenarkan di sebuah daerah mengikut kod warnanya. Tetapi buat masa ini, kita perlu mengekalkan sekatan yang ketat ke atas acara sosial, sukan dan keagamaan sambil berusaha mengembalikan ekonomi ke landasan yang betul. Daerah yang mempunyai kes yang aktif perlu mengamalkan lebih banyak penjarakan fizikal dan lebih banyak sekatan terhadap aktiviti ekonomi. Daerah berkod merah hanya dibenarkan perniagaan yang berurusan dengan pengedaran makanan dan penjagaan kesihatan sahaja. Protokol ini mesti sentiasa dikaji dan diperbaiki agar kita dapat memulihkan ekonomi tanpa membiarkan gelombang kedua wabak ini timbul.

2. Memastikan keperluan asas seluruh penduduk dipenuhi

Keadaan tidak akan kembali normal apabila PKP dilonggarkan atau dihentikan. Ramai rakyat Malaysia akan kehilangan pekerjaan. Sektor penerbangan, sektor pelancongan dan hotel akan mengalami kesulitan dan perlu dibantu untuk terus hidup. Kita akan memerlukan sektor ini sekali lagi dalam satu atau dua tahun setelah kita akhirnya menewaskankan ancaman COVID-19 dengan vaksin yang berkesan dan selamat, maka perniagaan-perniagaan ini tidak boleh dibiarkan terus musnah. Namun, kita tidak patut melayani jangkaan yang tidak realisti bahawa sektor-sektor ini akan dapat “bangkit kembali” dalam beberapa bulan akan datang. Syarikat-syarikat perkilangan yang pasaran eksportnya terjejas akibat pandemik ini akan mengurangkan saiznya dan memberhentikan pekerja. Oleh itu, akan adanya peningkatan pengangguran yang ketara – mungkin meningkat hingga 20% daripada jumlah tenaga kerja atau 3 juta orang.

Menyedari hakikat ini, kita perlu, sebagai sebuah masyarakat, memastikan bahawa barangan dan perkhidmatan asas – makanan dan penjagaan kesihatan khususnya – dapat sampai kepada semua keluarga termasuk mereka yang terjejas akibat kehilangan pekerjaan. Ini mesti menjadi keutamaan dan rakyat harus tahu bahawa kita semua perlu komited untuk menyelesaikan cabaran ini secara bersama. Hanya dengan itu, kita dapat memperolehi kerjasama luas yang kita perlukan dalam  beberapa bulan akan datang untuk mengetatkan dan melonggarkan langkah-langkah kawalan COVID-19 bergantung kepada keadaan. Rusuhan makanan akan berlaku apabila orang terhimpit dalam kesusahan dan terdesak, sementara pihak berkuasa nampaknya tidak mempedulikan kesusahan mereka. Selain daripada masalah perampasan barang dan konfrontasi yang tidak perlu antara orang yang lapar dengan penguatkuasa undang-undang, kerosakan dibawa kepada solidariti masyarakat mendatangkan  rintangan yang hebat kepada masyarakat. Ini adalah sesuatu yang setiap kerajaan harus berusaha untuk mengelakkannya.

Untuk memastikan bahawa keperluan asas semua keluarga dipenuhi, bukan sahaja kita perlu memastikan bahawa pengeluaran komoditi makanan mencukupi untuk seluruh penduduk kita tetapi juga perlu memastikan semua keluarga (termasuk yang terjejas oleh pemberhentian pekerja) mempunyai pendapatan untuk membeli barangan asas yang diperlukan mereka. Ini bermakna bahawa kita harus melancarkan skim faedah pengangguran yang akan memastikan setiap keluarga mempunyai wang untuk mendapatkan makanan, tempat tinggal dan rawatan kesihatan. Skim Insurans Pekerjaan yang digubal pada tahun 2017 tidak cukup komprehensif kerana hanya merangkumi 6 juta orang pekerja yang mencarum kepada PERKESO dan hanya untuk tempoh enam bulan selepas pemberhentian pekerja sahaja. Skim Insurans Pekerjaan yang hanya wujud untuk 2 tahun ini, tidak dapat diharapkan dalam mengumpulkan dana yang mencukupi untuk menangani pengangguran pada skala yang kita jangkakan dalam beberapa bulan akan datang. Kita memerlukan skim yang lebih kukuh yang dapat menyokong mereka yang menganggur sehingga ekonomi pulih secukupnya agar mereka dapat bekerja semula – dan itu mungkin memakan masa setahun atau mungkin lebih. Sebagai anggaran kasar, sokongan pendapatan RM1,000 sebulan untuk 3 juta orang penganggur memerlukan RM3 bilion sebulan pada permulaannya, dan diharapkan ianya semakin berkurangan ketika ekonomi mula meningkat. (Kita juga perlu membincangkan sumber dana untuk perkara ini dan inisiatif lain yang kami cadangkan).

Perincian skim pengangguran ini harus dilakukan dengan berunding dengan kesatuan-kesatuan sekerja, kumpulan-kumpulan pekerja dan juga ahli-ahli akademik. Sebaiknya ia perlu mencukupi untuk memenuhi keperluan asas keluarga tetapi tidak menjadi penghalang bagi mereka yang terlibat untuk memasuki semula pasaran pekerjaan ketika ekonomi semakin pulih.

3. Mempertingkatkan Jaminan Makanan

Malaysia menunjukkan prestasi yang buruk dari segi jaminan makanan (food security). Pengeluaran beras domestik adalah 1.9 juta tan setahun, atau kira-kira 70% daripada penggunaan tahunan kita. Kita tidak menghasilkan gandum secara tempatan dan mengimport 1.7 juta metrik tan gandum pada tahun 2017 (untuk pengeluaran roti, capati, roti canai, dan sebagainya). Pada tahun 2017, Malaysia juga mengimport sekitar 3.7 juta tan bijirin jagung yang bernilai kira-kira RM3 bilion untuk pengeluaran bahan makanan ternakan. Tahap kecukupan makanan di negara kita adalah 22% untuk daging lembu, 14% untuk daging kambing, 67% untuk ikan dan 100% untuk unggas, telur dan daging khinzir. Kita mengimport sayur-sayuran dan buah bernilai RM8.5 bilion pada tahun 2018. Import makanan Malaysia pada tahun 2017 adalah RM51.3 bilion [4] atau sekitar 28% daripada jumlah perbelanjaan makanan di Malaysia untuk tahun tersebut.

Negara kita agak terdedah kepada risiko kekurangan makanan asas kerana negara kita terlalu bergantung pada makanan import, dan rantaian bekalan kita terdedah kepada risiko kenaikan harga barang makanan yang kita perolehi dari luar negara. Adalah bodoh bagi kita jika tidak mengambil langkah segera untuk mengatasi kerentanan ini. Ini adalah masalah besar yang tidak dapat kita bincangkan secara menyeluruh di sini, tetapi kami mencadangkan agar idea-idea berikut dipertimbangkan:

  • Syarikat perladangan besar perlu dikehendaki untuk memperuntukkan semula 10% tanah mereka untuk pengeluaran bijirin – beras atau jagung. (Pada masa ini, daripada sejumlah3 juta hektar tanah pertanian di Malaysia, 6 juta hektar adalah untuk kelapa sawit dan 1 juta hektar untuk getah. Hanya 700,000 hektar digunakan untuk penanaman padi.) Ketidakseimbangan dalam penggunaan tanah pertanian harus diberi perhatian dan diatasi. PSM menentang idea untuk menebang lebih banyak hutan bagi tujuan mengembangkan sektor pertanian. Kita harus berusaha untuk menstukturkan semula tanah yang sudah diusahakan bagi tujuan pertanian.
  • Ramai penanam sayur sedang mengusahakan pertanian di atas tanah kerajaan. Setiap tahun, ramai dalam kalangan mereka ini menerima  notis pengusiran daripada Pejabat Tanah atau syarikat yang memperolehi hak milik ke atas tanah yang diusahakan mereka. Pengusiran petani sayur sebegini perlu dihentikan segera. Mereka harus diberi pajakan selama 20 atau 30 tahun supaya mereka dapat melabur dalam infrastruktur yang dapat meningkatkan hasilnya, dengan syarat bahawa mereka tidak dibenarkan untuk menggunakan tanah yang dipajak kepada mereka untuk tujuan bukan pertanian yang lain.
  • Kita mempunyai beberapa ratus penternak lembu yang kini ditekan oleh Sime Darby  untuk berhenti menggunakan ladang Sime Darby sebagai kawasan meragut rumputuntuk ternakan mereka. Kerajaan perlu mencampurtangan untuk mendapatkan kompromi yang membenarkan penternak-penternak lembu ini untuk meneruskan aktiviti. Ramai penternak lembu di pinggiran bandar kita menghadapi kesukaran dalam mencari tanah sebagai padang ragut bagi lembu mereka. Isu ini perlu dilihat secara lebih mendalam.
  • Pemilik dusun buah mengadu tentang masalah lambakan dalam pasaran semasa musim buah. Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) patut menandatangani kontrak hadapan dengan petani-petani buah-buahan ini dan memberi komitmen untuk membeli sebilangan hasil buah daripada mereka pada harga yang tertentu. Jadi, sekurang-kurangnya sebahagian hasil buah-buahan ini mempunyai pembeli, dan petani tidak dibiarkan dengan banyak buah busuk di atas FAMA harus mencari jalan alternatif, seperti mengetinkan atau menjadikan buah-buahan ini sebagai produk beku, atau dijadikan jem atau minuman dalam botol dan lain-lain, bukan dengan memasarkannya ke pasaran tempatan secara terus.

Majlis Keselamatan Negara harus menubuhkan sebuah Pasukan Petugas Khas untuk bertemu dengan kumpulan petani, ahli akademik dan pemegang taruh yang lain supaya satu rancangan yang komprehensif untuk meningkatkan jaminan makanan boleh dipersetujui dan dilaksanakan dengan segera.

4. Memelihara Kapasiti Produktif Negara

Sebilangan besar syarikat dalam sektor pembuatan akan terus menghadapi masalah aliran tunai dalam beberapa bulan akan datang. Pengeluaran mungkin dipengaruhi oleh keperluan untuk mematuhi penjarakan sosial di dalam kilang dan mungkin juga disebabkan PKP peringkat daerah yang berulang. Dari aspek permintaan, pasaran tradisional mereka mungkin tidak berfungsi buat masa ini, maka penjualan mereka mungkin terjejas. Walau bagaimanapun, gaji, pinjaman dan sewa harus dibayar tanpa mengira sama ada syarikat itu mampu mencapai sasaran penjualan atau tidak. Bahkan pengurangan saiz operasi juga memerlukan kos awalan yang tinggi dalam bentuk pampasan pemberhentian pekerja.

Pasti ada risiko bahawa sebilangan besar syarikat akan terjejas kerana masalah aliran tunai ini. Ini akan merugikan negara. Sekiranya syarikat-syarikat ini diberi sokongan untuk terus bertahan dalam masa sukar ini, kebanyakan mereka akan dapat berfungsi dengan keadaan yang menguntungkan apabila pasaran mereka kembali pulih. Negara memerlukan syarikat-syarikat ini kerana mereka menghasilkan barangan untuk rakyat, menyediakan peluang pekerjaan, dan pertukaran wang asing yang diperlukan. Sama seperti kita semua akan rugi sekiranya sebahagian penduduk kita kelaparan kerana kelembapan ekonomi ini, kita juga akan rugi sekiranya membenarkan syarikat pembuatan kita musnah kerana masalah aliran tunai.

Kerajaan telah mewujudkan beberapa program untuk membantu syarikat-syarikat ini – moratorium ke atas hutang, penangguhan pembayaran KWSP dan cukai, penyediaan kredit mudah dan subsidi upah untuk pekerja dalam Industri Kecil dan Sederhana (IKS). Kecukupan bantuan harus dinilai dari semasa ke semasa, dan mungkin langkah-langkah lebih lanjut harus dilaksanakan jika masih banyak syarikat kekal dibebani oleh masalah aliran tunai. Harus diingatkan bahawa langkah-langkah yang diambil untuk memastikan setiap keluarga mempunyai wang untuk membeli keperluan asas akan membantu sektor perniagaan kita dengan menghidupkan semula sebahagian permintaan pengguna dan menyediakan pasaran untuk barangan dan perkhidmatan yang dibekalkan oleh IKS ini.

Satu lagi strategi yang mungkin berguna pada tahap ini adalah kerajaan mengambilalih kilang-kilang yang hendak berhenti operasi dan menggunakan semula kilang-kilang untuk mengeluarkan barangan keperluan. Sebagai contoh, Imperial Garment, sebuah syarikat tekstil di Ipoh telah memberi notis bahawa perniagaannya akan berakhir. Sekiranya kerajaan boleh mengambilalih kilang ini dan menggunakannya untuk menghasilkan peralatan perlindungan peribadi (PPE) bagi Malaysia dan juga negara-negara lain di rantau ASEAN, sudah pasti akan sangat membantu dan juga boleh membina semangat setiakawan dengan negara-negara  jiran kita.

5. Mempertimbangkan Dasar Ekonomi Heterodoks [5]

Semua langkah di atas memerlukan perbelanjaan kerajaan. Belanjawan berjumlah RM297 bilion yang diluluskan pada bulan Disember 2019 menjangkakan defisit sebanyak RM52 bilion atau 3.2% daripada KDNK. Ia harus difahami daripada perbincangan sebelum ini, bahawa Kerajaan persekutuan akan mempunyai defisit belanjawan yang lebih besar untuk menstabilkan keadaan dan mengemudi negara kita untuk mengharungi kemelut ini. Oleh itu, kita perlu menangani masalah kewangan kerajaan. Dan kita harus “berfikir di luar kotak ”semasa melakukannya. Berikut ini merupakan cadangan daripada PSM berkenaan dengan isu ini. Terlebih dahulu, kita perlu faham bahawa masalah ini adalah kompleks dan saling berkaitan. Kami juga masih belajar tentang perkara ini, dan bersedia untuk terlibat dalam perbahasan mengenai cadangan ini.

a/ Belanjawan defisit yang jauh lebih besar  

Pada bulan Disember 2019, Parlimen meluluskan Belanjawan Persekutuan berjumlah RM297 bilion. Belanjawan ini menjangkakan pendapatan sebanyak RM245 bilion yang cukup untuk menampung perbelanjaan operasi , yang dianggarkan berjumlah RM244 bilion. Ini selari dengan Akta Pendanaan Kerajaan 1983 [6] yang menyatakan bahawa perbelanjaan mengurus tidak boleh melebihi hasil pendapatan Kerajaan Persekutuan. Perbelanjaan defisit hanya untuk perbelanjaan pembangunan sahaja. Akta ini juga menetapkan bahawa Hutang Persekutuan tidak boleh melebihi 55% daripada KDNK. Hutang Persekutuan semasa kita adalah RM750 bilion yang mana sangat hampir dengan had tersebut.

Kita perlu mengetepikan peraturan ini untuk tempoh ini kerana pakej rangsangan yang diumumkan setakat ini telah memperuntukkan perbelanjaan tambahan sebanyak RM30 bilion daripada Belanjawan Operasi. Sebagai tambahan, kita perlu melaksanakan dana pengangguran yang akan memerlukan sekitar RM20 bilion dalam tempoh 8 bulan akan datang. Kita juga akan memerlukan dana untuk membantu sektor perniagaan dalam menangani masalah aliran tunai mereka dan bertahan dalam melalui kemelesetan ini. Pada masa yang sama, hasil pendapatan kerajaan tidak mungkin memenuhi anggaran yang dibuat dalam belanjawan 2020 kerana cukai korporat (yang berdasarkan keuntungan) akan turun dengan ketara, dan harga petroleum dunia telah jatuh dengan hebat. Dua perkara ini biasanya merupakan penyumbang terbesar kepada hasil pendapatan Kerajaan Persekutuan. Belanjawan 2020 menjangkakan defisit sebanyak RM 52 bilion – atau 3.2% daripada KDNK. Defisit yang kita jangkakan kini akan menjadi 3 hingga 4 kali lebih tinggi!

b/ QE untuk rakyat

QE atau Peringanan Kuantitatif (Quantitative Easing) [7] digunakan secara meluas untuk mengeluarkan ekonomi dunia dari krisis kewangan pada tahun 2008. QE melibatkan pembelian bon secara besar-besaran oleh Bank Pusat. Bon dan Sekuriti Kerajaan, yang membayar kadar faedah tertentu setiap tahun, biasanya dipegang oleh dana pelaburan, dana pencen dan individu kaya. Teori di sebalik QE adalah ketika bank pusat membeli bon ini, sebahagian besar kekayaan pelabur dan golongan mahakaya akan berada dalam bentuk wang tunai (dalam akaun bank mereka). Harapannya adalah ketersediaan dana yang lebih besar ini akan mendorong para peniaga untuk melabur dalam aktiviti perniagaan baru dan dengan itu mewujudkan peluang pekerjaan.

Sesetengah ahli ekonomi heterodoks mencadangkan bahawa berbanding membeli bon daripada sektor swasta, pihak Bank Pusat seharusnya membeli bon (sekuriti kerajaan) secara langsung daripada kerajaan dan dalam kadar faedah rendah – iaitu QE untuk rakyat. Ini akan memberikan kerajaan kita dana untuk membiayai pelbagai program yang diperlukan untuk kita melalui proses ini. Pada masa ini, angka pembayaran hutang Malaysia (faedah yang kita bayar setiap tahun ke atas Sekuriti Kerajaan bernilai RM750 bilion yang ada di pasaran) adalah kira-kira RM33 bilion. Ini mencapai kadar faedah sekitar 4.4% dan ia merupakan pengaliran keluar yang banyak dari belanjawan operasi kita. (Sebagai perbandingan, Belanjawan Kesihatan Persekutuan dalam Belanjawan 2020 adalah RM30 bilion.) Ahli ekonomi heterodoks mengesyorkan agar kita membiayai sebahagian daripada defisit belanjawan dengan menjual bon kepada bank pusat pada kadar faedah rendah (katakanlah 0.5%) untuk memberikan dana yang diperlukan oleh kerajaan untuk pakej rangsangannya tanpa menambahkan kos membayar hutang yang terlalu banyak.

c/ Penggunaan Cukai Kepenggunaan untuk memerangi Inflasi 

Menyalurkan wang ke dalam tangan rakyat (ada yang menggelarkannya sebagai “wang helikopter”) melalui pakej rangsangan akan mewujudkan permintaan pengguna yang akan mendorong perniagaan untuk menghasilkan barangan dan perkhidmatan yang diperlukan oleh rakyat. Orang ramai akan mendapat barangan asas yang diperlukan mereka dan perniagaan mendapat pasaran untuk menjual barangan, dan dengan IKS berkembang, mereka akan mengupah lebih ramai pekerja. Rantaian bekalan untuk perniagaan ini juga akan mendapat keuntungan daripada peningkatan permintaan, dan ekonomi dapat mulai meningkat semula. Ia boleh menjadi kitaran yang baik di mana wujudnya keadaan menang-menang-menang untuk semua. Kerajaan juga “menang” kerana apabila perniagaan menjana keuntungan, pendapatan kerajaan daripada cukai juga akan bertambah. Apabila perniagaan bertambah dan mengupah lebih ramai orang, jumlah dana yang diperlukan untuk faedah pengangguran juga akan berkurang.

Tetapi semuanya tidak semudah itu. Masalahnya timbul apabila tidak cukup barangan dan perkhidmatan bagi penerima “wang helikopter” untuk membeli. Ini mungkin timbul sekiranya wujud kesendatan (bottleneck) dalam rantaian bekalan yang membatasi pengeluaran barangan dan perkhidmatan yang diinginkan oleh pengguna. Jadi, kita akan mempunyai permintaan pengguna yang tidak terpenuhi dan ini akan menyebabkan inflasi. Inflasi akan mengurangkan kuasa beli kumpulan termiskin dan kerajaan mungkin perlu untuk mengatasinya dengan meningkatkan pembayaran subsidi mereka. Tetapi itu boleh menyebabkan hiperinflasi.

Sesetengah ahli ekonomi heterodoks mencadangkan bahawa cukai kepenggunaan seperti GST dalam keadaan ini, akan mengurangkan jumlah wang di tangan pengguna untuk mengelakkan inflasi tidak terkawal. Untuk mengatasi  hakikat cukai kepenggunaan adalah regresif (ia membebankan golongan termiskin), pakar ekonomi ini mencadangkan rebat RM300 setiap bulan kepada semua keluarga B40, di mana ini akan membolehkan GST yang ditetapkan pada kadar 10%, menjadi neutral nilai untuk keluarga yang berpendapatan RM3,000 sebulan. Keluarga yang berbelanja lebih daripada RM3,000 akan membayar cukai bersih sementara keluarga yang berbelanja kurang daripada itu sebenarnya akan mendapat lebih banyak lagi daripada rebat GST berbanding cukai GST yang dibayar oleh mereka.

Ini sesuatu yang patut difikirkan. Masalah inflasi ini boleh timbul dari mana pun sumbernya dana untuk pakej rangsangan. Ini bukan fenomena yang dikaitkan secara khusus dengan QE untuk rakyat.

d/ Pengharaman ke atas jualan singkat (shot selling) matawang 

Matawang negara-negara sedang membangun secara umumnya berada dalam tekanan pada masa krisis ekonomi. Perkara ini dapat difahami dengan lebih baik sekiranya kita bertanya kepada diri sendiri, mengapa orang bukan Malaysia mahu menukar matawang mereka dengan ringgit Malaysia. Ini kerana mereka mahu membeli produk yang dihasilkan oleh Malaysia, atau kerana mereka mahu melabur dalam ekonomi Malaysia atau dalam Bursa Malaysia, atau mereka mahu membeli Sekuriti Kerajaan Malaysia. Pada masa seperti ini, akan wujud penurunan eksport negara kita kerana permintaan pengguna di seluruh dunia telah terjejas dengan pandemik ini. Terdapat juga kecenderungan pelabur asing untuk melepaskan pegangan saham mereka dalam pasaran [8]. Pelabur kemudian menjual sebahagian daripada saham mereka dan menukar wang itu ke dalam USD atau matawang asing lain kerana mereka ingin meletakkan dana mereka di negara lain. Tindakan ini akan berkecenderungan menghasilkan lambakan Ringgit Malaysia di pasaran kewangan antarabangsa dan mengakibatkan tekanan penurunan nilai pada ringgit. Sekiranya kita memutuskan untuk melaksanakan QE, ia juga akan mengurangkan jumlah ringgit yang akan dibeli oleh orang asing bagi tujuan membeli Sekuriti Kerajaan Malaysia.

Apa yang mungkin dilakukan oleh sesetengah pedagang matawang yang tidak bertanggungjawab dalam situasi apabila terdapat lebihan relatif untuk ringgit dalam pasaran antarabangsa, yang mengakibatkan tekanan penyusutan nilai ke atas ringgit, adalah “jualan singkat” matawang ringgit. Jualan singkat bermaksud pedagang menjual sesuatu yang tidak dimilikinya dengan harapan bahawa apabila tiba masanya untuk dia membuat penghantaran, wang ringgit akan menyusut nilai di bawah nilai sebelum ini ketika dia “menjualnya” – supaya dia dapat membelinya dengan harga yang lebih rendah dan kemudian membuat penghantaran dan mendapat keuntungan daripada perbezaan nilainya[9]. Jumlah jualan singkatnya ini jika cukup besar, akan mengakibatkan lebihan matawang ringgit dalam pasaran kerana pedagang-pedagang lain juga akan mula menjual ringgit yang dipegang mereka kerana mereka bimbang nilai ringgit akan turun.

Amalan keji ini harus diharamkan. Kejatuhan nilai matawang sesebuah negara akan menimbulkan masalah serius bagi rakyat. Malaysia mengimport kira-kira 28% makanan yang kita makan. Sekiranya nilai matawang kita jatuh, harga bahan makanan akan naik. Kita juga perlu mengimport ubat-ubatan, peralatan untuk hospital kita, mesin untuk kilang kita, baja untuk tanaman kita, makanan haiwan, dan sebagainya. Penurunan nilai matawang negara kita sebanyak 20% akan menjadikan kehidupan masyarakat kita lebih sukar sukar, dan seperti biasa orang yang paling miskin akan menjadi golongan yang paling menderita antara kita.

Malaysia harus bekerjasama dengan negara-negara lain di ASEAN dan kumpulan negara G77 untuk secara formalnya mencadangkan bahawa jualan singkat mana-mana matawang melebihi jumlah tertentu adalah  dianggap sebagai satu bentuk pembunuhan beramai-ramai dan harus diharamkan.

6. Menghijaukan masyarakat dan memperbaiki keadaan hidup

Dengan ramalan kadar pengangguran sekitar 20%, kita akan mempunyai lebihan tenaga kerja untuk satu tahun akan datang. Sekiranya kita dapat menyusun secara bijak, kita dapat menggunakan sumber yang bernilai ini untuk memperbaiki kerosakan yang berlaku pada alam sekitar kita. Kita boleh menjadikan syarat untuk mereka yang menerima faedah pengangguran supaya menyumbang 10 hari dalam sebulan dalam projek-projek awam. Kita kemudiannya harus memutuskan secara kolektif tentang apa yang sepatutnya projek awam ini, dan menggunakan pasukan kerja yang terdiri daripada individu-individu yang mendapat faedah pengangguran untuk melaksanakan projek-projek ini. Berikut merupakan projek yang boleh dipertimbangkan:

a/ Menanam semula hutan yang telah ditebang.

b/ Membina tempat pembuangan sampah di setiap daerah

c/ Memperbaiki kemudahan di kawasan perumahan kos rendah, seperti longkang dan taman permainan.

d/ Memulihara sungai-sungai.

e/ Membina 200 unit rumah teres kos rendah di setiap kawasan parlimen.

f/ Kelas pendidikan dewasa yang memfokuskan kepada literasi bahasa, kemahiran vokasional mudah, perakaunan, dan sebagainya.

Kerajaan juga harus menyediakan bahan-bahan dan mesin-mesin untuk projek-projek ini, serta memberi tunjukajar atau kepimpinan dalam memastikan bahawa aktiviti-aktiviti ini berjalan secara demokratik dan terdapat kawalan kualiti untuk pelbagai projek yang dilaksanakan. Kaedah inovatif untuk berkongsi idea dan penyelarasan antara pasukan yang bekerja di daerah yang berbeza perlu diwujudkan. Sekiranya dilaksanakan dengan baik, projek-projek awam ini akan meningkatkan kualiti hidup rakyat kita. Permintaan untuk bahan-bahan juga akan turut meningkatkan permintaan kasar dan memainkan peranan dalam mengaktifkan semula ekonomi negara.

Kesimpulan 

Cadangan yang dikemukakan secara ringkas di atas bukanlah rangka tindakan (blueprint) yang lengkap. Kami mengemukakannya sebagai satu bentuk cadangan yang mungkin berguna dalam menangani situasi yang mencabar untuk negara kita dan seluruh dunia pada masa kini. Kita perlu membincangkan pilihan ini dan dan juga pilihan-pilihan lain supaya kita dapat membuat keputusan yang betul. Perbezaan tahap kesakitan dan kematian yang dialami oleh masyarakat yang berbeza dalam menangani Pandemik COVID-19 menunjukkan hakikat bahawa keputusan dasar yang betul adalah penting dalam mengharungi kemelut ini. Ia menggariskan juga peranan penting kerajaan dalam menyelaraskan respon negara, dan dalam usaha memperolehi kepercayaan dan kerjasama rakyat seluruh negara.

Dari sudut pandangan yang lazim, tahun ini akan menjadi bencana sepenuhnya! Eksport kita akan mengalami kemerosotan, pengangguran akan mencapai tahap tertinggi dan KDNK kita akan mengecut. Tetapi jika kita dapat mengenalpasti apa yang benar-benar penting dan memfokus dalam menjaga keselamatan rakyat daripada ancaman COVID-19, memastikan semua orang mendapat makanan dan perkhidmatan penting, mengambil langkah untuk memastikan keupayaan produktif masyarakat kita tidak terhakis, dan sementara itu menggunakan ketersediaan tenaga kerja untuk membersihkan alam sekitar kita melalui projek-projek awam, kita akan muncul lebih cergas dan kuat sebagai sebuah negara. Kami di PSM berfikir bahawa ini dapat dilakukan, dan kunci kejayaan adalah bertindak secara demokratik berdasarkan solidariti masyarakat.

(Ditulis pada 22 April 2020.)

=========

Dr.Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

=========

Nota

  1. Kemungkinan ada faktor lain yang memainkan peranan di sini. Statistik menujukkan bahawa negara-negara yang memberikan suntikan BCG kepada semua bayi yang baru lahir mempunyai kadar kematianyang rendah untuk COVID-19. Ini mungkin disebabkan BCG telah mematangkan sistem imunisasi untuk bertindak dengan lebih berkesan terhadap jangkitan COVID- Masih banyak lagi yang kita tidak tahu tentang virus ini!
  1. 18/4/2020
  1. Those without documents will be arrested and send to Immigration Depots for further action” Ismail Sabri. https://www.nst.com.my/news/nation/2020/04585968/mco-not-over-yet
  1. Dalam tahun 2018, perbelanjaan untuk makanan per kapita di Malaysia adalah USD 1,410.7. (Themalaysianreserve.com)

(USD 1410.7 x 4 x 32 juta = RM 180 569.6 juta = RM 180.6 billion)

Makanan yang diimport pada tahun 2018

Bijirin RM7.1 billion

Kopi, koko, teh dan rempah RM7 billion

Bahan asas makanan RM5.9 billion.

Sayuran  RM4.6 billion

Ikan dan makanan laut RM4.1 billion

Buah-buahan RM3.9 billion

Daging RM3.9 billion

Gula RM3.8 billion

Produk tenusu RM3.8 billion. (The Malaysian Reserve 19/11/19)

  1. Ekonomi heterodoks ialah analisis dan kajian prinsip ekonomi yang dianggap sebagai di luar pemikiran ekonomi aliran utama atau ortodoks… Aliran pemikiran ini sering menggabungkan pandangan makroekonomi yang terdapat dalam ekonomi Keynesian dengan pendekatan yang kritikal terhadap ekonomi neoklasikal. (Investopedia)
  1. Akta Pinjaman (Tempatan) 1959 and Akta PendanaanKerajaan  (1983) secara bersama telah menggariskan bahawa perbelanjaan mengurus kerajaan mesti dibiayai melalui pendapatan tahunan dan hutang kerajaan persekutuan tidak boleh melebihi 55% KDNK.
  1. Quantitative easing (QE) merupakan satu bentuk dasar monetari yang bukan konvensional di mana bank pusat membeli sekuriti jangka panjang daripada pasaran terbuka supaya meningkatkan bekalan matawang dan menggalakkan pinjaman serta pelaburan. (Investopedia)
  1. Penjualan ekuiti tempatan di Bursa Malaysia melonjak kepada RM638.6 juta pada minggu lepas, berbanding RM326.0 juta pada minggu sebelumnya, menurut penyelidik MIDF, Adam M Rahim (The EDGE markets 20.4.2020).
  1. Pada tahun 1987, Andy Krieger, seorang pedagangmatawang berusia 32 tahun di  Bankers Trust, melakukan urusniaga jualan singkat ke atas dollar New Zealandbernilai ratusan juta dollar. Dikatakan bahawa ianya melebihi bekalan matawang di New Zealand.  Tekanan jualan ditambah dengan kurangnya matawang dalam pasaran telah menyebabkan nilai matawang dollar New Zealand jatuh secara mendadak. Kerugian adalah sekitar 3-5% sementara Krieger telah mengaut keuntungan berjuta dollar bagi majikannya. Krieger kemudiannya meninggalkan Bankers Trust untuk pergi bekerja dengan George Soros.

One thought on “COVID-19: Cara untuk Malaysia maju ke hadapan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *