
Kejadian banjir kilat dan gelongsoran lumpur pada 26 Ogos 2026 di sempadan Nepal-China, di sepanjang Sungai Trishuli, telah meragut nyawa ribuan orang dan membunyikan amaran kepada dunia bahawa krisis iklim boleh membunuh ramai orang dalam sekelip mata.
Bencana banjir kilat maut itu berlaku dalam keadaan tiadanya hujan atau amaran awal. Kamera video telah merakamkan babak ngeri yang menyaksikan air bah, gelongsoran lumpur dan aliran puing terus menelan seluruh bangunan pusat pemeriksaan sempadan di Gyirong, Wilayah Autonomi Tibet, China. Banjir kilat dan aliran puing kemudiannya melanda puluhan petempatan di sepanjang 72 km Sungai Trishuli di Nepal. Setakat 3 September 2026, sekurang-kurangnya 1,259 orang mati dan 5,083 orang hilang di Nepal, sementara 21 orang disahkan mati dan 541 orang lagi hilang di Wilayah Autonomi Tibet, China. Adalah dilaporkan bahawa 51 orang warga Malaysia turut hilang dalam bencana yang mengerikan itu.
Adalah dipercayai bahawa gelongsor lumpur dan banjir kilat itu berpunca daripada keruntuhan glasier di puncak gunung Lantang Lirung di Banjaran Himalaya. Salji yang melebur kerana peningkatan suhu telah melemahkan struktur sebuah glasier besar di atas puncak gunung sehingga ia jatuh menegak lebih 1 km ke dalam lembah dan mencetuskan gelongsoran lumpur yang hebat.
Bencana terbaru ini merupakan kesan langsung daripada krisis iklim global. Ia mendedahkan kerapuhan ekosistem Himalaya beraltitud tinggi di bawah perubahan iklim. Peningkatan suhu dan kitaran pembekuan-pencairan yang semakin cepat sedang merosakkan permafros dan ikatan kriogenik yang mencantumkan batuan dasar gunung, sekali gus menyebabkan cerun gunung semakin terdedah kepada keruntuhan.
Peningkatan suhu permukaan bumi yang diakibatkan oleh pelepasan karbon yang hebat dalam atmosfera dalam tempoh 250 tahun yang lalu, iaitu apabila dunia melangkah masuk ke zaman perindustrian kapitalis, telah membawa kepada perubahan iklim yang semakin tidak menentu sehingga mengancam kehidupan masyarakat sedunia. Dunia yang semakin panas memerangkap haba dalam sistem iklim. Ini telah membawa kepada kejadian cuaca yang semakin hebat dan tidak dapat diramalkan, seperti gelombang haba yang teruk dan taufan yang lebih kerap lagi besar.
Seperti pengagihan kekayaan dunia yang tidak sama rata di bawah kapitalisme global, kesan perubahan iklim yang melampau ini juga ditanggung secara tidak sama rata. Nepal hanya melepaskan kira-kira 0.04% daripada jumlah karbon dioksida yang dilepaskan di seluruh dunia, dengan pelepasan 5 tan per kapita setahun, jauh kurang berbanding Amerika Syarikat (11.7%, 13.59 tan per kapita) dan China (33.1%, 9.13 tan per kapita), tetapi rakyatnya menerima kesan yang lebih teruk berbanding negara maju yang dibangunkan melalui pelepasan karbon yang besar sebelum ini. Tambahan pula dengan tahap ekonomi yang lebih mundur, Nepal semestinya menghadapi cabaran yang lebih besar untuk menangani kesan krisis iklim berbanding negara-negara maju.
Begitu juga dengan Maldives, sebuah negara kepulauan di Lautan Hindi, walaupun pelepasan karbon dioksida negara itu kurang daripada 0.01%, dengan pelepasan 3.89 tan per kapita setahun, ia menghadapi ancaman ditenggelami air akibat kenaikan paras laut yang disebabkan oleh peningkatan suhu global.
Dengan dunia semakin panas dan cuaca semakin sukar diramalkan, di samping kesan perubahan iklim yang berlaku secara beransur-ansur sehingga ia menjelma ke dalam bencana ngeri seperti kejadian banjir kilat dan gelongsoran lumpur di Nepal-China baru-baru ini, masyarakat dunia semakin terdesak untuk membangunkan keupayaan untuk menghadapi bencana alam, mengurangkan kesannya dan mencegah bencana yang seterusnya. Negara-negara maju yang kaya, hasil daripada eksploitasi terhadap tenaga buruh dan sumber alam melalui penjajahan di Dunia Ketiga, mempunyai tanggungjawab sejarah untuk membiayai usaha adaptasi dan mitigasi di negara-negara yang lebih miskin.
Dunia kita juga perlu mengambil tindakan segera untuk menghentikan penggunaan bahan api fosil dan menghentikan pengekstrakan bahan api fosil yang lebih lanjut. Setiap molekul karbon dioksida yang dilepaskan ke atmosfera pada hari ini sedang memburukkan keadaan masa hadapan kita. Mungkin sukar untuk kita mencegah setiap banjir atau kebakaran liar, tetapi tindakan pantas untuk kita bersiap sedia pada hari ini boleh mengurangkan kesan bencana alam yang terbentuk daripada pelepasan karbon yang telah berlaku sekian lama.
Dunia kita sedang melangkah masuk ke zaman bencana besar akibat kapitalisme. Kita perlu mengorientasi masyarakat kita secara radikal supaya ia beralih ke arah di mana kehidupan rakyat di muka bumi tidak lagi diancam oleh keuntungan bahan api fosil.
