oleh Choo Chon Kai

Parti Sosialis Malaysia (PSM) Pulau Pinang mengecam tindakan Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) yang mengusir penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis, George Town, Pulau Pinang, yang dikatakan “kehilangan kelayakan” tanpa menawarkan alternatif berkekalan yang sewajar.

PSM Pulau Pinang telah dimaklumkan bahawa 5 buah unit PPR Taman Manggis telah dikunci oleh pihak berkuasa pada 3 September 2026 dengan niat untuk mengusir penduduk yang sedia ada. Adalah dikhabarkan bahawa terdapat beberapa buah unit lagi bakal diusir. Alasan yang digunakan untuk mengusir penduduk ialah mereka telah kehilangan kelayakan, tetapi keadaan di mana yang dikatakan sebagai pelanggaran syarat kelayakan itu tidak munasabah, seperti terdapat penduduk dikatakan kehilangan kelayakan kerana berkahwin dengan warga asing sedangkan dia telah berkahwin lama, dan juga terdapat penduduk yang merupakan waris kepada penduduk asal yang sudah meninggal dunia dan terus dikehendaki untuk berpindah keluar.

Penduduk-penduduk unit PPR Taman Manggis yang dikatakan kehilangan kelayakan untuk tinggal di situ telah mengemukakan rayuan kepada pihak LPNPP. Namun, mereka masih tidak menerima jawapan daripada pihak LPNPP, sebaliknya terdapat sebahagian unit rumah dikunci secara mengejut tanpa notis pemakluman awal. Tindakan LPNPP ini adalah tidak berperikemanusiaan dan gagal dalam menegakkan visinya. Pihak LPNPP harus menawarkan alternatif yang kekal bagi mereka yang dikehendaki untuk mengosongkan unit PPR, seperti skim rumah sewa beli, kecuali bagi mereka yang sudah memiliki rumah lain di luar. Tindakan mengosongkan unit PPR tanpa penawaran alternatif yang berkekalan hanya akan menyusahkan lagi rakyat yang susah.

PSM Pulau Pinang menggesa LPNPP dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menghentikan pengusiran terhadap penduduk miskin di PPR Taman Manggis. Pihak berkuasa harus mempertimbangkan secara teliti rayuan yang telah dikemukakan oleh penduduk-penduduk yang berkenaan. Bagi mereka yang didapati sudah kehilangan kelayakan untuk tinggal di unit PPR tetapi memerlukan perumahan, LPNPP dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang harus menawarkan skim pemilikan rumah yang mampu ditanggung oleh mereka, seperti skim rumah sewa beli di lokasi yang bersesuaian.

PSM Pulau Pinang juga sekali lagi menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menyemak semula syarat kelayakan Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Sewa Kerajaan Negeri (RSKN) yang sudah ketinggalan zaman, terutamanya syarat had pendapatan bulanan seseorang pemohon tidak boleh melebihi RM750 atau pendapatan seisi sekeluarga tidak boleh melebihi RM1,500. Syarat had pendapatan untuk layak memohon PPR dan RSKN ini langsung tidak mengambil kira realiti semasa dengan gaji minimum pun sudah mencecah RM1,700 sebulan. Syarat had pendapatan untuk PPR dan RSKN Pulau Pinang juga jauh ketinggalan berbanding syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), iaitu pendapatan kasar isi rumah tidak melebihi RM3,000 sebulan. Malah, di Perak yang merupakan negeri jiran Pulau Pinang, had pendapatan untuk layak memohon PPR sudah ditingkatkan kepada RM3,860 sebulan bagi seisi sekeluarga.

PSM Pulau Pinang mecadangkan supaya meningkatkan had pendapatan untuk syarat kelayakan memohon rumah sewa PPR/RSKN kepada RM3,500 sebulan, selaras dengan gaji minimum pekerja individu semasa.

PSM Pulau Pinang juga menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menambahkan pembinaan unit PPR/RSKN supaya dapat memenuhi keperluan golongan berpendapatan rendah yang masih menunggu sebuah unit rumah mampu sewa.

==========

Choo Chon Kai ialah Ahli Jawatankuasa Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Jurucakap PSM Pulau Pinang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *