
oleh K. Kunasekaran
Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri R. Ramanan, baru-baru ini menyatakan bahawa hanya kira-kira enam peratus (6%) daripada tenaga kerja Malaysia yang menyertai kesatuan sekerja. Angka ini bukan sekadar statistik, tetapi sepatutnya menjadi satu persoalan besar kepada kerajaan. Mengapa selepas sekian lama kita mengiktiraf kepentingan kesatuan sekerja, penyertaan pekerja masih begitu rendah? Jika kerajaan benar-benar mahu memperkukuh gerakan kesatuan sekerja, mungkin sudah tiba masanya untuk kita melihat persoalan ini dari sudut yang berbeza. Jika negara boleh mendaftarkan pengundi secara automatik bagi memastikan penyertaan rakyat dalam demokrasi, mengapa prinsip yang sama tidak boleh dipertimbangkan dalam demokrasi di tempat kerja?
Apabila sebuah kesatuan sekerja telah mendapat pengiktirafan yang sah dan boleh mewakili sesuatu unit perundingan (bargaining unit) atau kumpulan pekerja dalam rundingan bersama, mengapa pekerja dalam kumpulan tersebut tidak boleh didaftarkan secara automatik sebagai ahli kesatuan? Prinsip yang dicadangkan sebenarnya mudah. Apabila seseorang pekerja memasuki pekerjaan dalam unit perundingan yang mempunyai kesatuan yang diiktiraf, dia didaftarkan sebagai ahli kesatuan tersebut. Selagi dia bekerja dalam unit perundingan berkenaan, dia kekal sebagai ahli. Apabila dia berhenti kerja atau tidak lagi berada dalam unit perundingan tersebut, keahliannya tamat. Dalam erti kata lain, keahlian kesatuan berkait secara langsung dengan kedudukan seseorang pekerja dalam tempat kerja dan kumpulan pekerja yang diwakili.
Ini bukan cadangan untuk memberikan keahlian secara sewenang-wenangnya. Sebuah kesatuan yang telah mendapat pengiktirafan mempunyai kedudukan tertentu dalam sistem hubungan perusahaan dan mandat untuk mewakili pekerja. Kesatuan menjalankan rundingan bersama dengan majikan mengenai gaji, elaun, cuti, waktu bekerja, faedah pekerjaan, keselamatan dan kesihatan serta pelbagai syarat pekerjaan. Apabila perjanjian bersama (CA) dicapai, hasil rundingan tersebut memberi kesan kepada pekerja dalam kumpulan yang diwakili. Oleh itu, jika kesatuan mempunyai tanggungjawab untuk mewakili pekerja, pekerja dalam kumpulan tersebut juga sepatutnya mempunyai hubungan yang jelas dengan kesatuan yang menjalankan fungsi perwakilan itu.
Di sinilah timbul masalah “penumpang percuma” (free rider). Ahli kesatuan membayar yuran, menghadiri mesyuarat, menjalankan aktiviti dan menggunakan masa serta tenaga untuk memperjuangkan kepentingan pekerja. Dalam keadaan tertentu, mereka juga berhadapan dengan tekanan ketika mempertahankan hak bersama. Namun, apabila kesatuan berjaya mendapatkan peningkatan gaji, faedah, cuti atau syarat pekerjaan yang lebih baik melalui rundingan bersama, manfaat tersebut boleh dinikmati oleh pekerja dalam kumpulan yang sama walaupun mereka tidak menyumbang secara langsung kepada perjuangan kesatuan. Maka timbul persoalan yang sangat munasabah: apakah insentif kepada seorang pekerja untuk menjadi ahli dan membayar yuran kesatuan jika dia masih boleh menikmati hasil perjuangan kolektif tanpa menyertai kesatuan?
Masalah ini tidak boleh diselesaikan hanya dengan menyalahkan pekerja. Kerajaan juga perlu melihat sama ada sistem yang sedia ada telah membina struktur yang benar-benar menggalakkan pekerja untuk bersatu. Jika kita mahu kesatuan yang kuat, kita tidak boleh membina sistem yang membolehkan manfaat perjuangan kolektif dinikmati tanpa tanggungjawab kolektif. Kita perlu mewujudkan satu sistem yang mengiktiraf bahawa apabila seseorang pekerja berada dalam kumpulan yang diwakili oleh kesatuan, dia bukan sahaja mempunyai hak untuk menikmati hasil rundingan kolektif, tetapi juga mempunyai tanggungjawab untuk memperkukuhkan organisasi yang menjalankan perwakilan tersebut.
Pada asasnya, isu ini berkaitan dengan hak untuk berpersatuan (right to association). Hak tersebut tidak sepatutnya hanya bermaksud pekerja dibenarkan untuk menyertai kesatuan. Hak untuk berpersatuan perlu dapat direalisasikan secara berkesan supaya pekerja mempunyai organisasi yang kuat untuk mewakili kepentingan mereka. Matlamat cadangan ini bukan untuk menyekat pekerja, tetapi untuk merealisasikan semangat hak berpersatuan tanpa halangan yang tidak perlu. Jika kesatuan telah ditubuhkan secara sah, telah mendapat pengiktirafan dan mempunyai mandat untuk mewakili pekerja dalam unit perundingan, maka pekerja dalam kumpulan tersebut sepatutnya mempunyai hubungan keahlian yang jelas dengan kesatuan itu.
Sudah tentu, sebarang perubahan seperti ini perlu dibuat melalui pindaan undang-undang yang jelas dan teliti. Hak pekerja, demokrasi dalaman kesatuan, ketelusan kewangan, kadar yuran, hak mengundi dan mekanisme akauntabiliti semuanya perlu dilindungi. Namun, perbahasan mengenai perkara tersebut tidak sepatutnya menyebabkan kita takut untuk memikirkan model baharu. Kita perlu berani bertanya mengapa seorang pekerja boleh menikmati hasil perundingan kolektif tetapi tidak berkongsi tanggungjawab untuk mengekalkan kekuatan organisasi yang menjalankan perundingan tersebut.
Jika kerajaan serius dalam meningkatkan kadar keahlian kesatuan, Akta Kesatuan Sekerja 1959 dan Akta Perhubungan Perusahaan 1967 perlu dikaji semula. Reformasi ini bukan bertujuan sekadar menaikkan angka keahlian daripada 6% kepada angka yang lebih tinggi. Angka yang besar tanpa kesatuan yang demokratik, bebas dan berkesan tidak membawa makna. Matlamat sebenar ialah membina kekuatan kolektif pekerja supaya mereka mempunyai suara yang lebih seimbang dalam hubungan dengan majikan.
Kesatuan sekerja yang kuat bukan ancaman kepada ekonomi. Sebaliknya, kesatuan yang demokratik dan bertanggungjawab boleh menjadi sebahagian daripada mekanisme semak dan imbang dalam hubungan perusahaan. Pekerja yang mempunyai saluran perwakilan yang tersusun lebih mampu menyelesaikan persoalan pekerjaan melalui rundingan dan proses yang teratur. Dalam ekonomi moden, suara pekerja tidak sepatutnya bergantung semata-mata kepada kekuatan individu. Pekerja memerlukan kekuatan kolektif untuk memastikan hubungan antara pekerja dan majikan lebih adil dan seimbang.
Kita sering bercakap tentang demokrasi negara, tetapi kurang bercakap tentang demokrasi di tempat kerja. Kita mahu rakyat mempunyai suara dalam menentukan kerajaan, tetapi kita juga harus memastikan pekerja mempunyai suara dalam menentukan masa hadapan pekerjaan mereka. Undi18 memperluaskan penyertaan rakyat dalam demokrasi negara. Kesatuan sekerja yang kuat pula memperkukuhkan suara pekerja dalam demokrasi di tempat kerja.
Oleh itu, persoalan sebenar bukan sekadar mengapa pekerja tidak menyertai kesatuan. Persoalan yang lebih besar ialah sama ada sistem kita telah melakukan secukupnya untuk memastikan hak berpersatuan benar-benar dapat dinikmati oleh pekerja tanpa halangan yang tidak perlu. Jika kita benar-benar percaya kepada hak untuk berpersatuan, maka hak itu tidak boleh hanya disebut sebagai prinsip. Ia mesti diterjemahkan kepada realiti melalui undang-undang dan sistem yang memudahkan pekerja untuk bersatu dan memperkukuhkan organisasi mereka.
Masuk kerja, bersatu. Bekerja bersama, mempunyai suara bersama. Demokrasi bukan hanya di peti undi. Demokrasi juga mesti hidup di tempat kerja.
==========
K. Kunasekaran ialah Ahli Jawatankuasa PSM Perak.
