Kongres Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ke-28 telah berjaya diadakan pada 21-23 Ogos 2026 di Batu Caves, Selangor, dengan kehadiran lebih 150 orang perwakilan dan pemerhati dari seluruh negara. Kongres Nasional PSM yang pada awalnya dijadualkan untuk diadakan pada bulan Julai 2026 ditangguhkan ke bulan Ogos 2026 kerana penyertaan PSM dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor dan Negeri Sembilan. Walaupun calon PSM tewas dalam kedua-dua PRN baru-baru ini, ahli-ahli PSM menghadiri Kongres Nasional dengan semangat tinggi untuk memajukan perjuangan PSM.

Majlis perasmian Kongres Nasional PSM yang ke-28 telah dihadiri oleh lebih 200 orang ahli PSM dan tetamu jemputan khas. Turut hadir dalam majlis perasmian Kongres Nasional PSM tahun ini termasuk Amira Aisya Abdul Aziz selaku Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Koh Swee Yong selaku Setiausaha Agung Parti Rakyat Malaysia (PRM), Yadira Ledesma Hernández selaku Duta Kuba ke Malaysia, Radamés Gómez Azuaje selaku Duta Venezuela ke Malaysia, Chong Ton Sin daripada Gerakbudaya dan ramai lagi.

Kongres Nasional PSM tahun ini turut menerima mesej solidariti daripada pelbagai organisasi kiri di peringkat antarabangsa, termasuk Socialist Alliance dari Australia, Parti Pekerja Belgium (PTB-PVDA), Partido Lakas ng Masa (PLM) dari Filipina, Partai Pembebasan Rakyat dari Indonesia, Perserikatan Sosialis dari Indonesia, Die Linke dari Jerman, Socialist Workers Thailand dan Progressive International.

“Apabila PSM ditubuhkan hampir tiga puluh tahun dahulu, hasratnya adalah untuk menyatukan rakyat marhaen supaya menyuarakan tuntutan mereka dan berjuang demi sebuah masyarakat yang lebih adil di mana kekayaan negara dapat diagihkan secara saksama,” kata Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Nasional PSM, semasa menyampaikan ucapan dasar dalam majlis perasmian Kongres Nasional PSM yang ke-28. “Sebagai sebuah parti perintis yang ingin berjuang bersama rakyat marhaen adalah penting untuk kita membangunkan peta jalan dan strategi perjuangan kita, serta mengkaji cabaran yang kita hadapi.”

Ucapan dasar yang disampaikan oleh Dr. Jeyakumar telah menyentuh pelbagai perkara termasuk keadaan politik semasa di negara kita, ancaman kuasa imperialis yang masih ketara, cabaran yang dihadapi oleh parti-parti berhaluan kiri apabila berkuasa dan pendekatan untuk memperkasakan organisasi PSM.

“PSM menyasar untuk menjadi parti pembangkang terkuat menjelang tahun 2035,” tambah Dr. Jeyakumar. “Orang lain di luar parti mungkin menganggap ini satu matlamat yang mustahil. Seperti ungkapan Che Guevara yang sering diulangi oleh ahli-ahli PSM, ‘be realistic and do the impossible’, saya berasa PSM mencapai apa yang ‘mustahil’, jika kita sedia bersikap realistik, meneliti isu-isu yang saya bangkitkan dalam ucapan ini, dan mencari jawapan atau membangunkan program yang berpatutan untuk menangani setiap isu. Dengan itu, barulah kita berpotensi untuk mencapai apa yang ‘mustahil’.”

Sivaranjani Manickam, Setiausaha Agung PSM, membentangkan laporannya pada hari kedua Kongres Nasional PSM, diikuti dengan pembentangan laporan daripada Bendahari Nasional dan biro-biro dalam Jawatankuasa Pusat. Sivaranjani melaporkan beberapa perkembangan positif sepanjang tahun yang lalu, termasuk capaian dalam media sosial hasil daripada usaha Biro Komunikasi, pertambahan bilangan ahli yang memberangsangkan, penganjuran acara persidangan sosialis antarabangsa pada bulan November 2025 dan penyertaan PSM dalam dua PRN baru-baru ini. Selain itu, Sivaranjani juga membangkitkan beberapa kelemahan yang wujud dalam organisasi parti yang perlu diperbaiki bersama. Sivaranjani juga menyeru kepada ahli-ahli PSM supaya mula mengorak langkah dan merangka strategi untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) yang mungkin akan diadakan tidak lama lagi.

“Kini, kita mempunyai ramai ahli baharu dalam parti. Kita perlu mengaktifkan mereka dan membawa mereka lebih dekat kepada perjuangan parti,” kata Sivaranjani. “Luangkanlah lebih banyak masa untuk mengembangkan sosialisme di dunia kapitalis ini!” 

Soh Sook Hwa membentangkan laporannya selaku Bendahari Nasional PSM buat kali terakhir dalam Kongres Nasional PSM tahun ini, kerana dia telah menyempurnakan tugasnya sebagai Bendahari Nasional PSM selama lima penggal berturut-turut. PSM telah menetapkan bahawa empat jawatan utama dalam Jawatankuasa Pusat (iaitu Pengerusi Nasional, Timbalan Pengerusi Nasional, Setiausaha Agung dan Bendahari Nasional) tidak boleh dipegang oleh orang yang sama selama lima penggal berturut-turut. Soh Sook Hwa melaporkan bahawa PSM akhirnya berjaya membeli premis bangunan untuk ibu pejabat parti dan dijangkakan akan berpindah masuk pada penghujung tahun ini.

Satu sesi forum khas telah diadakan pada hari ketiga Kongres Nasional PSM tahun ini untuk membincangkan prospek dan persediaan yang patut dilakukan oleh Blok Progresif bagi menghadapi PRU-16. Ahli panel yang membuat pembentangan dalam sesi forum ini ialah Hisomuddin Bakar selaku Pengarah Eksekutif Ilham Centre dan Bawani KS selaku Penyelaras Biro Pilihan Raya PSM. Forum ini diikuti dengan bengkel untuk membincangkan gerak kerja yang perlu dilakukan bagi menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.

Kongres Nasional PSM tahun ini juga mengadakan pemilihan parti untuk memilih Jawatankuasa Pusat, Jawatankuasa Tatatertib dan Juruaudit bagi penggal tahun 2026-2028. Wakil daripada MUDA telah diberikan kepercayaan untuk mengendalikan pemilihan dalaman PSM kali ini.

Berikut ialah senarai barisan kepimpinan dalam Jawatankuasa Pusat PSM bagi penggal 2026-2028 yang dipilih dalam pemilihan parti tahun ini:

Pengerusi NasionalDr. Jeyakumar Devaraj
Timbalan Pengerusi NasionalArutchelvan Subramaniam
Setiausaha AgungSivaranjani Manickam
Timbalan Setiausaha AgungGandipan Nantha Gopalan
Bendahari NasionalMadhavi
Timbalan Bendahari NasionalBawani KS
Ahli Jawatankuasa PusatChoo Chon Kai

Soh Sook Hwa

Chong Yee Shan

Nik Aziz Afiq

Sivarajan Arumugam

Tinagaran Subramaniam

Amir Syafiq Ameer Soekre

Arveent Kathirtchelvan

R. Saratbabu Raman

Sebanyak 19 usul telah dibahaskan dalam Kongres Nasional PSM tahun ini, dengan 10 usul telah diluluskan oleh perwakilan Kongres Nasional PSM. Antara usul-usul yang diluluskan ialah perangkaan Pelan Ekonomi Tergempar untuk menangani krisis ekonomi yang terjadi akibat kejutan geopolitik antarabangsa, penganjuran pesta filem dan seni kiri, penubuhan Skuad Merah sebagai biro kekal untuk aktiviti-aktiviti amal, usaha memperjuangkan gaji sara hidup, kajian untuk menjadikan ibu pejabat PSM sebagai Zon Anti-Aparteid yang memboikot produk-produk berkaitan Zionis, penyediaan ruang sokongan penjagaan kanak-kanak semasa Kongres Nasional dan keperluan untuk membangunkan dasar mengenai penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam parti.

Selain itu, Kongres Nasional PSM yang ke-28 juga meluluskan resolusi yang mengandungi 21 perkara, termasuk peningkatan gaji minimum supaya ia selaras dengan gaji untuk sara hidup, selamatkan sistem kesihatan awam, kawalan terhadap harga rumah dan sewa rumah, hentikan pengusiran terhadap petani untuk melindungi keterjaminan makanan, peningkatan perkhidmatan pengangkutan awam, peningkatan cukai terhadap golongan kaya dan badan korporat besar, pelaksanaan pendidikan percuma dari peringkat pra-sekolah hingga ijazah pertama, penghapusan sistem kontrak untuk kerja tetap, hentikan perang Amerika Syarikat-Israel terhadap Iran, hentikan sekatan terhadap Kuba dan sebagainya.

Kongres Nasional PSM yang ke-28 berakhir dengan nyanyian lagu Internasionale yang penuh bersemangat. Ahli-ahli PSM pulang dengan semangat yang lebih tinggi untuk terus membangunkan organisasi parti, memantapkan gerak kerja parti, membina kuasa progresif dan memajukan perjuangan rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *