Protes berbasikal di Amsterdam pada tahun 1979.

oleh Cecilia Anthonysamy 

Laluan basikal harus diutamakan di jalan raya di bandar-bandar di Malaysia. Basikal ialah satu mod pengangkutan yang sangat bermanfaat.

Basikal menggunakan tenaga kayuhan manusia. Ia lebih murah. Penggunaan basikal tidak mencemar alam sekitar. Orang yang mengayuh basikal berpeluh, dapat melakukan senaman yang membina otot, malah boleh membuang rasa tekanan jiwa sambil berkayuh.

Jadi, jika basikal itu baik dari segi ekonomi, kesihatan dan alam sekitar, kenapa Malaysia tidak ada perundangan atau polisi yang menggalakkan lebih ramai orang mengayuh basikal?

Oh, orang yang menggunakan basikal tidak membayar cukai, tidak ada cara untuk menjana keuntungan kepada negara, tidak menyumbang kepada peningkatan angka KDNK. Adakah ia memang begitu?

Polisi yang menggalakkan orang ramai untuk berbasikal mungkin menggalakkan kemajuan kedai-kedai basikal, kedai membaiki dan servis basikal. Ia mungkin menggalakkan perniagaan kecil-kecilan, dan mungkin juga membangunkan rantai perniagaan besar-besaran. Adakah kita hanya mengutamakan aktiviti-aktiviti yang menjana hasil kewangan?

Di luar negara kita, China, Jepun, Thailand, Filipina, Belanda, Perancis, Denmark, Austria, Belgium, Jerman, Sweden, Norway dan Kanada, adalah antara negara-negara yang dengan sedar dalam melaksanakan polisi yang menggalakkan penggunaan basikal di jalan raya.

(grafik: Bicycle Network)

Amsterdam ialah ibu kota basikal dunia. Pada awal abad ke-20, terdapat lebih banyak basikal daripada kereta di negara Belanda, dan berbasikal dianggap sebagai mod pengangkutan yang “dihormati” untuk perempuan dan lelaki. Selepas Perang Dunia II, apabila ekonomi Belanda berkembang semula, polisi yang mengutamakan kereta diperkenalkan. Penggunaan basikal berkurangan 6% setiap tahun pada masa itu.  

(sumber: Bruheze and Veraart)

Perjalanan berbasikal telah menyusut daripada 80% kepada 20% antara tahun 1950-an dan 1970-an di Amsterdam. Akibatnya, kemalangan maut di jalan raya meningkat, dengan kemuncaknya 3,300 kematian pada tahun 1971. Lebih daripada 400 orang kanak-kanak terkorban pada tahun itu. Warga Amsterdam sangat marah. Antara kempen protes yang hangat pada masa itu ialah “Stop de Kindermoord” (“Hentikan Pembunuhan Kanak-kanak”).

Kempen Stop de Kindermoord berkembang pesat pada masa itu. Peserta-pesertanya telah berdemonstrasi secara beramai-ramai, menduduki tapak yang selalu berlaku kemalangan jalan raya, dan memilih hari-hari tertentu untuk menutup jalan raya supaya kanak-kanak boleh bermain dengan selamat. Pihak polis juga amat mendukung aktiviti-aktiviti sedemikian pada masa itu. 

Aktivis-aktivis Stop de Kindermoord telah berbasikal secara beramai-ramai ke rumah Perdana Menteri di Belanda. Mereka menyanyikan lagu-lagu dan meminta untuk minum teh bersama-sama Perdana Menteri. Perdana Menteri Belanda telah keluar dan berbincang.

(foto: Rob Mieremet / Anefo)

Dua tahun selepas itu, kesatuan pengayuh basikal yang pertama di Belanda ditubuhkan untuk menuntut lebih banyak ruang awam untuk basikal. Mereka telah menganjurkan kayuhan basikal di sepanjang jalan raya yang berbahaya dan mengemukakan senarai masalah yang dihadapi oleh pengayuh basikal. Mereka pada awalnya ditahan polis. Namun, masalah basikal mendapat perhatian orang ramai, dan akhirnya mereka memperoleh laluan basikal seperti yang dituntut. 

Krisis minyak 1973, di mana harga minyak meningkat 4 kali ganda, juga membantu dalam perjuangan berbasikal di Amsterdam. Perdana Menteri Belanda pada masa itu menyeru untuk mengamalkan cara hidup sihat dan menjimatkan kuasa tenaga. 

Bukankah kita menghadapi masalah yang sangat serupa? Bukankah Perdana Menteri kita berucap acap kali untuk menyeru cara hidup sihat dan penjimatan penggunaan kuasa tenaga? Ini perkara yang sama, betul? Namun, pengayuh basikal di Amsterdam sangat berani untuk turun ke jalan raya secara beramai-ramai, dan menuntut apa yang dipercayai mereka adalah baik untuk keselamatan kanak-kanak mereka. Mereka sangat beremosi. 

Menurut kajian antarabangsa, “Infrastructure, Programs, and Policies to Increase Bicycling: An International Review”, oleh John Pucher dan yang lain, terbitan Preventive Medicine, 2010 (50), muka surat S106-S125:- 

1. Mengayuh basikal ialah aktiviti sihat. Banyak kajian menunjukkan bahawa mengayuh basikal membawa impak positif kepada kesihatan fizikal, kadar obesiti, kesihatan kardiovaskular dan kadar kematian. (Anderson et al., 2000, Bassett et al., 2008, Bauman et al., 2008, BMA, 1992, Cavill et al., 2006, Dora and Phillips, 2000, Gordon-Larsen et al., 2009, Hamer and Chida, 2008, Hillman, 1993, Huy et al., 2008, Matthews et al., 2007, Roberts et al., 1996, Shephard, 2008).

2. Manfaat kesihatan daripada mengayuh basikal jauh melebihi risiko kesihatan daripada kecederaan akibat kemalangan jalan raya. Jadi, mengayuh basikal bukan aktiviti berbahaya. Kajian juga menunjukkan bahawa apabila kadar berbasikal meningkat, kadar kecederaan kemalangan jalan raya turut berkurangan. (Elvik, 2009, Jacobsen, 2003, Robinson, 2005).

3. Mungkin disebabkan peningkatan bukti manfaat kesihatan, banyak agensi kerajaan dan badan kesihatan awam telah berkempen supaya lebih banyak berbasikal sebagai cara untuk meningkatkan kesihatan individu, di samping mengurangkan pencemaran udara, pelepasan karbon, kesesakan lalu lintas, bunyi bising, bahaya trafik dan lain-lain bahaya penggunaan kereta. (BMA, 1992, Cavill et al., 2006, Godlee, 1992, OECD, 2004, USDHHS, 1996, USDHHS, 2008, USDOT, 1994, USDOT, 2004, WHO, 2002a, WHO, 2002b).

Persoalannya, bagaimana meningkatkan kadar berbasikal di Malaysia?

==========

Cecilia Anthonysamy ialah seorang ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *