oleh Dr. Jeyakumar Devaraj
Salam perjuangan dan selamat datang ke Kongres PSM yang ke-28.
Saya mengalu-alukan kehadiran semua tetamu kehormat, dan juga delegasi PSM dari seluruh negara. Terima kasih atas kehadiran anda semua. Semoga perbincangan kita dalam tiga hari akan datang akan menghasilkan keputusan-keputusan yang akan memacu perjalanan kita ke arah gerakan politik yang paling berpengaruh (most influential) di Malaysia.
Kita berada di satu titik lengkuk balas dalam perkembangan politik di Malaysia pada saat ini. Sebahagian besar rakyat Malaysia berasa kecewa dengan gabungan-gabungan politik yang pernah mentadbir negara Malaysia dalam tempoh 8 tahun yang lalu. Pakatan Harapan (PH) telah mengambil alih pentadbiran di peringkat persekutuan pada bulan Mei 2018. Ia digantikan oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada bulan Februari 2020 dengan Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri. Tan Sri Muhyiddin pula digulingkan oleh Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Dato’ Sri Ismail Sabri pada bulan Ogos 2021. Selepas PRU-15 pada bulan November 2022 pula, Kerajaan Perpaduan yang dianggotai oleh PH, BN serta gabungan-gabungan parti dari Sabah dan Sarawak telah mengambil alih kuasa.
Kerajaan telah berubah, tetapi situasi rakyat tetap sama
Walaupun gabungan politik yang memerintah telah bersilih ganti begitu kerap, dasar-dasar kerajaan tetap sama:
- Kerajaan menumpukan perhatian dan tenaga untuk menarik masuk lebih banyak pelabur asing ke negara kita. Langkah ini merupakan rancangan ekonomi utama mereka. Kejayaan mendapatkan FDI (Pelaburan Asing Langsung) dijadikan petunjuk prestasi utama (KPI) terpenting mereka dalam bidang ekonomi, dan diuar-uarkan dalam media sebagai bukti kecekapan mereka dalam mentadbir urus negara. Namun, adalah jelas bahawa strategi ekonomi ini hanya meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sambil mengekalkan rakyat dalam sistem gaji rendah1 (wage suppression) dan kesengsaraan ekonomi. KDNK Malaysia telah meningkat sebanyak 24 kali ganda dalam nilai sebenar2, tetapi gaji median di sektor formal adalah hanya RM2,864 sebulan pada tahun 20253. Ini bermakna bahawa 50% pekerja di sektor formal menerima gaji di bawah RM2,864 sebulan. Dan pendapatan bulanan median untuk mereka di sektor bukan formal – pekerja kontrak, pesawah padi, pekebun getah dan kelapa sawit, nelayan dan peniaga kecil – adalah lebih rendah lagi. Pihak Jabatan Perangkaan telah mengumumkan bahawa sebuah keluarga dengan dua orang anak bersekolah memerlukan RM5,000 sebulan untuk menampung semua keperluan asas keluarga. Jadi, lebih daripada 60% keluarga di Malaysia tidak memperolehi pendapatan yang mencukupi untuk hidup dengan selesa walaupun negara Malaysia kaya!
- Jaminan untuk mengurangkan ketirisan wang kerajaan dan rasuah adalah sekadar retorik sahaja. Tiada mana-mana gabungan parti politik yang memulakan proses mengasingkan institusi-institusi semak dan imbang daripada pengaruh Perdana Menteri dan Jemaah Menterinya. Masyarakat sivil telah lama mengesyorkan bahawa pelantikan kepimpinan badan-badan penting seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pejabat Pendakwa Raya, sistem kehakiman, Jabatan Audit Negara dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) harus diletakkan di bawah sebuah jawatankuasa pelantikan4 yang bebas daripada pengaruh Perdana Menteri dan Kabinet. Hanya dengan berbuat demikian, barulah institusi-institusi ini dapat memainkan peranan semak dan imbang dengan berkesan. Pada masa ini, SPRM dan Pendakwa Raya sedang disalahgunakan oleh PMX untuk mempertahankan posisi politiknya. Musuh diserang dengan penyiasatan SPRM dan pendakwaan di mahkamah, manakala “rakan politik” menerima ugutan “halus” supaya terus berkawan.
- Langsung tiada usaha untuk mengurangkan pengaruh korporat besar dalam sistem politik kita. Had terhadap sumbangan yang boleh diberikan oleh badan korporat kepada parti-parti politik belum ditetapkan. Pendanaan umum untuk parti-parti politik belum dilaksanakan. Amalan rasuah semasa PRU boleh disekat jika amalan “CSR” (tanggungjawab sosial korporat) oleh syarikat-syarikat korporat diharamkan sepanjang tempoh kempen pilihan raya – penajaan jamuan makan, cabutan hadiah bertuah (lucky draw), konsert percuma – harus dilarangkan sepanjang tempoh kempen pilihan raya. Pemimpin harus dipilih berdasarkan tawaran polisi mereka untuk kebaikan masyarakat, bukannya dalam bentuk dedak yang dibekalkan oleh mereka melalui penyokong korporat semasa kempen pilihan raya. Undang-undang berkaitan langkah ini belum dikemukakan di parlimen.
- Politik perkauman masih diteruskan. Dalam parti-parti politik yang mengatakan mereka merupakan parti majmuk pun, kepentingan orang India disuarakan oleh pemimpin India dalam parti itu, dan masalah kaum Cina dilaung oleh pemimpin Cina dan sebagainya. Apabila pemimpin-pemimpin ini bersaing satu sama lain untuk posisi dalam parti, mereka menonjolkan diri mereka sebagai jaguh terbaik bagi kumpulan etnik mereka. Ini memacukan pendirian perkauman yang ekstrem antara pemimpin-pemimpin politik yang bersaing untuk posisi dalam parti-parti mereka, dan seterusnya meningkatkan sentimen perkauman dan memecahkan masyarakat.
Tempoh masa dari sekarang hingga PRU-16 harus dipakai untuk meningkatkan lagi profil PSM dan menawarkan PSM sebagai parti masa depan Malaysia
Oleh kerana gabungan-gabungan parti politik yang sedia ada tidak melaksanakan banyak daripada janji-janji yang ditabur sebelum PRU-15, rakyat biasa berasa tertipu. Musim pilihan raya menjelang PRU-16 ini merupakan peluang yang baik untuk menaikkan lagi profil PSM dan mempamerkan visi alternatif kita untuk Malaysia. Kita harus menganjurkan forum, ceramah umum dan juga sesi dalam talian di mana calon-calon kita membentangkan analisis serta dasar PSM mengenai isu-isu pokok yang dihadapi oleh masyarakat kita – kos hidup, keterjaminan makanan, sistem kesihatan awam yang tercabar, pencen warga emas, pengangkutan awam, peluang kerja yang tidak mencukupi, darurat iklim dan lain-lain. Kita mahu menunjukkan pada rakyat bahawa PSM mengambil berat terhadap isu-isu penting ini dan sedang menyediakan polisi/program untuk mengendalikan setiap satunya.
20 tahun dahulu, pengedaran risalah kepada orang ramai merupakan aktiviti terpenting untuk menyampaikan mesej kepada rakyat jelata. Tetapi zaman sudah berubah, dan kini kita harus menggunakan media sosial secara yang efektif. Pasukan media kita, di pusat dan juga di kawasan, harus menyediakan klip-klip video pendek daripada perakaman lawatan calon, forum, ceramah dan sesi diskusi untuk disebarkan. Semua ahli PSM mempunyai tanggungjawab untuk membantu dalam pengedaran klip-klip video yang sesuai kepada kawan-kawan, saudara mara dan grup-grup anda.
PRU-16 dijangkakan akan diadakan dalam tempoh tiga bulan hingga dua puluh dua bulan dari sekarang5. Ia merupakan satu cabaran besar bagi PSM memandangkan kita telah hilang deposit dalam setiap pertandingan pilihan raya sejak tahun 2018. Dalam Kongres PSM pada tahun 2025, dan selepas itu, dalam Sesi Perbincangan Dalaman di Hulu Langat pada bulan September 2025, kita telah mengambil keputusan bahawa kita tidak akan bergabung dengan Pakatan Harapan ataupun Perikatan Nasional, tetapi harus menyambung usaha membina sebuah Gabungan Progresif dengan parti-parti lain yang bukan berasaskan politik perkauman. Sebab utama untuk pendirian ini adalah penilaian kita bahawa BN, PH dan PN semuanya terperangkap dalam pemikiran politik yang lama – neoliberal, perkauman dan politik kewangan. Kita tidak boleh membawa paradigma baharu untuk negara melalui gabungan-gabungan yang lama ini. Kita perlu menubuhkan sebuah kuasa politik baharu dengan visi dan budaya yang progresif.
Selaras dengan pendirian ini, kita telah menyambung perundingan dengan Parti MUDA, Parti Rakyat Malaysia (PRM), Parti Hijau dan Parti Orang Asli pada 18 April 2026, dan telah mencapai persetujuan untuk mengadakan program perbincangan/seminar berterusan untuk membina konsensus dalam isu-isu pokok yang dihadapi oleh negara kita. Tetapi isu bergabung untuk bertanding dalam PRU-16 belum diputus lagi.
Kesempatan yang baik untuk menonjolkan calon-calon baharu, merapatkan parti dengan rakyat tempatan dan memperkuatkan semangat ahli-ahli kita
PRU-16 merupakan satu peluang yang baik untuk menunjukkan kepada rakyat Malaysia bahawa PSM ada ramai pemimpin – yang muda, wanita, berbilang kaum dan sebagainya. Biro Pilihan Raya PSM telah menjemput cawangan-cawangan PSM untuk mengemukakan bakal calon bagi PRU-16. Dua puluh lapan orang individu telah dikenal pasti melalui usaha ini, tetapi tiga belas orang telah menolak “pencalonan” dan Biro Pilihan Raya sedang berbincang dengan mereka. Individu yang dikenal pasti telah difahamkan bahawa bukan semua yang dikenal pasti akan dicalonkan pada saat-saat akhir untuk bertanding dalam PRU-16, kerana PSM tidak ada kapasiti kewangan6 ataupun tenaga manusia untuk berbuat begitu. Jadi, bakal “calon” kita mesti kerja secara bijak untuk memastikan pengorbanan masa dan tenaga mereka dan juga cawangan mereka akan membawa manfaat kepada cawangan dan organisasi PSM dalam kedua-dua senario – iaitu jika dipilih untuk bertanding ataupun jika tidak bertanding dalam PRU-16.
Kita sedang berbincang dengan bakal calon yang dikenal pasti, kerja-kerja yang harus dilakukan di kawasan-kawasan mereka. Ini termasuk kerja-kerja elektoral seperti:
– Mengenal pasti sempadan kawasan yang akan ditandingi dan lokasi pusat-pusat mengundi;
– Mendapatkan senarai pengundi dan mengenal pasti taman-taman perumahan, rumah-rumah pangsa, kampung-kampung, dan juga pasar-pasar pagi dan pasar-pasar malam yang beroperasi di kawasan itu;
– Memperoleh pelan jalan raya dan persimpangan-persimpangan jalan utama di kawasan supaya mengenal pasti lokasi-lokasi terpenting untuk meletakkan bendera dan poster.
– Mencari pecahan undi di peringkat pusat-pusat mengundi dalam PRU-15 dan PRU-14, dan menganalisisnya.
Tetapi selain daripada persiapan elektoral, kita juga mahu cawangan yang terlibat untuk mengenal pasti kawasan-kawasan B40 di kawasan mereka dan mengaturkan strategi melawat kawasan-kawasan itu – mungkin untuk mengedar risalah “Selamatkan Sistem Kesihatan Awam” ataupun risalah lain. Kita harus menggunakan lawatan itu untuk mencari kesempatan berbual dengan orang tempatan dan mendapat tahu isu-isu tempatan dan perasaan orang biasa. Jika terdapat isu, kita harus mengkajinya, dan bersama-sama pengadu serta kawan-kawannya cuba melakukan sesuatu terhadap isu itu. Dengan pendekatan seperti ini, kita akan dapat memahami secara lebih mendalam situasi kehidupan rakyat marhaen, mengeratkan lagi hubungan parti dengan masyarakat tempatan, dan mungkin mendapat ahli baharu.
Kita juga harus menggunakan usaha turun ke kawasan B40 ini untuk membina pemahaman dan komitmen ahli-ahli cawangan kita. Selepas membuat lawatan, kita harus mengadakan “debriefing”7 di mana kita berbincang dengan ahli yang mengikuti lawatan – apakah pemerhatian (observations) mereka terhadap kawasan yang dilawati – apa masalah-masalah tempatan, apa pekerjaan-pekerjaan utama orang yang duduk di situ, apa isu-isu yang mereka hadapi di tempat kerja dan di tempat tinggal. Jika masih belum mengenal pasti isu-isu ini, ahli-ahli harus digalakkan untuk berbual lebih dengan penduduk di kawasan itu dalam lawatan susulan, supaya dapat mengenal pasti perkara2 ini. Selepas masalah tempatan dikenal pasti, kita harus melibatkan ahli cawangan dalam perbincangan bagaimana masalah itu dapat diatasi. Proses seperti ini ada potensi membina ciri-ciri kepimpinan dalam ahli kita dan menjadikan mereka lebih minat dalam kerja PSM.
Jika musim pilihan raya boleh digunakan untuk memperkembangkan hubungan PSM dengan akar umbi di kawasan-kawasan kita, dan membina kefahaman ahli kita terhadap isu-isu rakyat tempatan, penglibatan dalam kerja-kerja berkaitan “pencalonan” tidak akan dipandang sebagai sia-sia sahaja sekiranya tidak bertanding kali ini.
Pengajaran daripada perkembangan situasi di arena antarabangsa
Sebagai parti yang menganggap dirinya sebagai pejuang barisan hadapan kelas-kelas marhaen di Malaysia (“vanguard”) dan sedang mengajak rakyat Malaysia untuk bergerak ke arah baharu, adalah tanggungjawab kita untuk mengkaji cabaran dan kemusykilan yang perlu ditangani oleh projek sosialis abad-21. Jadi, adalah amat penting untuk kita memerhati perkembangan antarabangsa dengan teliti supaya dapat menyediakan strategi yang bernas untuk gerakan kita. Perkara-perkara yang saya dapati daripada penelitian terhadap perkembangan terkini di arena antarabangsa adalah:
1. Imperialisme masih merupakan paksi utama penindasan di dunia kita hari ini
Penculikan Presiden Nicolás Maduro pada 3 Januari 2026, sekatan ekonomi ketat terhadap Kuba dan serangan mengejut ke atas Iran pada 28 Februari 2026 mengingatkan kita semua bahawa kuasa imperialis masih menyerang, menekan dan cuba menakluki negara-negara di Asia, Afrika dan Amerika Latin, iaitu “Dunia Ketiga”. Sehingga kini, sebahagian besar daripada kekayaan dunia ketiga masih mengalir ke akaun bank syarikat-syarikat gergasi di negara Barat. Bahan-bahan galian dari Dunia Ketiga dibeli oleh syarikat-syarikat kaya dengan harga yang sangat rendah. Gaji pekerja di Dunia Ketiga adalah hanya 1/6 hingga 1/20 daripada gaji di negara-negara Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat1. Oleh kerana gaji yang rendah ini, barangan buatan di Dunia Ketiga dapat dibeli oleh syarikat kaya di negara-negara Barat dengan harga yang jauh lebih rendah berbanding jika ia dibuat di kilang di Barat. Tetapi barangan itu ditambah tokok harganya sebelum dijual kepada pelanggan di negara maju. Syarikat-syarikat gergasilah yang mengendalikan rantaian-rantaian global yang membawa keuntungan besar. Pekerja kilang di Dunia Ketiga terus hidup dalam kemiskinan.
Setiap tahun, berbilion-bilion ringgit mengalir8 dari Dunia Ketiga ke syarikat-syarikat gergasi di Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun. WTO (World Trade Organisation ataupun Pertubuhan Perdagangan Dunia) telah membantu negara-negara maju untuk memeteraikan undang-undang “perdagangan” yang membolehkan perompakan kekayaan ini.
Jika mana-mana negara di Dunia Ketiga cuba mengubah situasi ini dan memohon harga yang berpatutan untuk bahan galian, komoditi pertanian ataupun barangan buatan di negara mereka, kuku besi imperialisme boleh dilihat. Ugutan, sekatan ekonomi, perubahan rejim, pembunuhan pemimpin negara Dunia Ketiga dan penghancuran gerakan rakyat yang menuntut pengagihan kekayaan yang lebih adil boleh disaksikan. Inilah wajah imperialisme, dan ia boleh dilihat secara jelas apabila perampasan kekayaan dunia ketiga oleh syarikat-syarikat terkaya disoal, dicabar ataupun disekat.
Pemimpin politik yang menghadiri Persidangan Bandung pada tahun 1955 memang menyedari tentang hakikat bahawa imperialisme merupakan kontradiksi utama di dunia pada zaman itu. Mereka berazam untuk membina ekonomi yang berdikari, berdasarkan teknologi yang dikuasai oleh orang tempatan. Tetapi visi itu telah digagalkan oleh kuasa imperialis dalam dekad 1950-an hingga 1970-an. Mosaddegh, Árbenz, Nkrumah dan Sukarno digulingkan. Beberapa orang pemimpin lain, seperti Patrice Lumumba, Salvador Allende dan Thomas Sankara, telah dibunuh. Gerakan massa yang progresif dihancurkan di Indonesia, Chile dan beberapa buah negara lain. Ratusan ribu rakyat dikorbankan dalam Perang Indochina. Gerakan negara-negara berkecuali dilemahkan.
Malangnya, pemimpin BN, PH dan PN telah hilang skrip Bandung 1955 dan mereka juga tidak membaca skrip Samir Amin9 berkaitan strategi “de-linking” daripada negara imperialis dan membangunkan ekonomi yang berdikari serta bergantung pada kekuatan teknologi diri sendiri. Oleh itu, pemimpin politik kita beria-ia untuk mengikut nasihat Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang mengekalkan negara-negara Dunia Ketiga sebagai kawasan jajahan negara-negara Barat dari segi hal ehwal ekonomi. Neo-kolonialisme ataupun penjajahan baharu! Kita dibenarkan untuk mempunyai bendera kebangsaan sendiri, lagu kebangsaan sendiri dan juga parlimen kita sendiri. Tetapi dasar ekonomi kita di bawah kawalan kuasa Barat dan terpaksa akur kepada syarat-syarat WTO dan persetujuan-persetujuan perdagangan yang memberi hak istimewa10 kepada syarikat gergasi dari luar negara. Dan berbilion-bilion ringgit kekayaan negara, ciptaan rakyat kita, terus mengalir ke akaun bank syarikat-syarikat gergasi di luar negara.
2. Kerajaan dan masyarakat Barat masih terikat dengan pemikiran rasis dan penjajah
Rakyat Amerika Syarikat begitu peka terhadap kematian setiap askar mereka. Namun begitu, walaupun puluhan ribu rakyat, termasuk wanita dan kanak-kanak dibunuh di Gaza, Lubnan dan Iran, kebanyakan rakyat di negara-negara Barat berdiam sahaja. Nampaknya masyarakat Barat masih memandang rendah terhadap nilai nyawa orang yang bukan kulit putih. Hampir semua negara Eropah menyokong Israel dalam genosid di Gaza yang disaksikan secara terbuka melalui media massa. Tetapi mereka masih membekalkan senjata dan dana kepada Israel. Sikap penjajah masih wujud dalam pemikiran mereka.
Masih ada ramai dalam kalangan rakyat Dunia Ketiga yang mengagumi pencapaian masyarakat Barat dan terlalu menghormati orang kulit putih. Penghormatan ini telah ditanam dalam minda kita melalui sistem pendidikan dan sistem media massa sejak 100 tahun yang lalu. Kita mesti menghakis sikap “hero worship” terhadap orang putih dan budaya Barat daripada minda kita. Orang putih adalah manusia biasa seperti manusia berkulit kuning, coklat ataupun hitam. Dan apabila mereka melakukan/menyokong kekejaman seperti genosid di Gaza ataupun serangan terhadap Iran, kita harus mengkritik mereka, dan bersolidariti dengan rakyat Palestin, Venezuela, Kuba dan Iran.
- Rakyat di merata tempat menghargai hak memilih kerajaan
Pemberontakan rakyat telah menjatuhkan rejim Hosni Mubarak di Mesir (Februari 2011), rejim Gotabaya Rajapakse di Sri Lanka (Mei 2022), rejim Sheikh Hasina di Bangladesh (Julai 2024) dan Perdana Menteri KP Sharma Oli di Nepal, yang merupakan Pengerusi Parti Komunis Nepal (UML) pada bulan September 2025. Di semua negara ini, selepas pemberontakan, rakyat menerima jaminan bahawa pilihan raya bebas akan diadakan dalam jangka masa beberapa bulan, dan sambil menunggu masa itu, negara ditadbir oleh satu pihak berkecuali (kerajaan “caretaker”). Perkara ini mempamerkan satu hakikat yang penting – rakyat jelata di banyak negara menghargai hak mengundi untuk menentukan kerajaan.
Hak memilih pemerintah merupakan satu konsesi yang diberi oleh kelas kapitalis kepada pekerja di negara-negara Barat pada hujung abad ke-19 untuk menangani perjuangan kelas di negara-negara Barat dan mengelak daripada revolusi komunis. Sistem politik ini telah diperluaskan ke hampir seluruh dunia, dan ia merupakan satu sistem yang digemari dan dihargai oleh orang ramai di banyak negara.
Ada antara kumpulan kiri yang menolak pilihan raya dengan menafsirkannya sebagai tipu helah borjuis, dan mengatakan bahawa parti kiri yang benar-benar revolusioner akan menumpukan tenaganya untuk mencetuskan revolusi melalui pemberontakan rakyat. Tetapi sejarah 20 tahun yang lalu menunjukkan bahawa, di negara-negara di mana pemberontakan rakyat berjaya menjatuhkan rejim yang sedia ada, ia biasanya disusuli dengan pilihan raya umum dalam jangka masa beberapa bulan. Jika pihak kiri tidak menyediakan diri untuk bertanding dalam pilihan raya selepas kerajaan lama digulingkan melalui pemberontakan, ia terlepas peluang untuk mengambil alih kuasa. Ini pernah berlaku di Mesir dan Bangladesh. Tetapi di Sri Lanka, di mana parti JVP telah menyediakan diri untuk bertanding dalam pilihan raya. Gabungan yang diterajui oleh JVP, iaitu National People’s Power, telah memenangi 159 kerusi parlimen (70.7%) dalam pilihan raya pada bulan November 2025 dan sedang mentadbir negara Sri Lanka pada masa ini.
Daripada pemerhatian ini, nampaknya, perubahan kerajaan di negara-negara di Asia Tenggara (selain daripada negara-negara Indochina), akan melibatkan pilihan raya umum pada satu peringkat.
4. Adalah amat mencabar untuk gerakan kiri mengekalkan diri sebagai parti pemerintah negara dalam pilihan raya susulan walaupun menang besar dalam pilihan raya sebelumnya
Fenomena ini berlaku berulang kali – di Nicaragua pada tahun 1990 – Daniel Ortega, pemimpin Parti Sandinista telah kalah pilihan raya umum kepada parti berhaluan kanan-sentris yang diketuai oleh Violetta Chamarro. Di negara Greece, walaupun Parti SYRIZA di bawah pimpinan Alexis Tsipras telah menang besar dalam pilihan raya umum pada tahun 2015 dengan janji menghentikan dasar pemotongan perbelanjaan sosial (austerity), mereka kalah teruk dalam pilihan raya pada tahun 2019. Kerusi mereka dalam parlimen Greece jatuh daripada 145 kepada 86 (jumlah kerusi parlimen Greece = 300). Di negara Nepal pula, dua buah parti komunis (CPN-UML dan CPN-Maoist Centre) telah bergabung dan memenangi 69.6% dalam jumlah kerusi dalam pilihan raya umum pada tahun 2018. Mereka telah bergabung dan menubuhkan kerajaan, tetapi kerajaan ini telah digulingkan oleh pemberontakan rakyat pada bulan September 2025.
Fenomena ini berpunca daripada kondisi material Nepal, dan kondisi ini juga wujud di banyak negara Dunia Ketiga. Ekonomi negara-negara Dunia Ketiga dicacatkan oleh kerana terpaksa memainkan peranan membekalkan sumber asli dan tenaga buruh murah kepada syarikat besar dari negara “maju”. Teknologi kita juga tidak berkembang secara mandiri selepas kemerdekaan kerana sebahagian besar kilang-kilang di negara-negara Dunia Ketiga merupakan peserta dalam rantaian global yang diketuai oleh syarikat-syarikat gergasi di negara-negara maju. Syarikat-syarikat gergasi menyumberkan luar pembuatan kilang ke negara-negara Dunia Ketiga. Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dilakukan di negara-negara maju dan teknologi baharu yang dicipta mereka dilindungi oleh hak cipta intelek.
Kesetiaan kepada nasihat Bank Dunia dan IMF telah menghakis keterjaminan makanan negara-negara di Afrika dan Asia sehingga banyak negara Dunia Ketiga bergantung pada import bekalan makanan. Oleh kerana pembangunan yang songsang, apabila parti-parti komunis mengambil alih kerajaan Nepal, mereka mewarisi sebuah ekonomi yang:
– tidak mengeluarkan makanan yang mencukupi untuk rakyat Nepal. Sebahagian besar keperluan makanan adalah diimport;
– tidak menjana pekerjaan yang mencukupi untuk rakyat Nepal. Ratusan ribu11 orang rakyat Nepal terpaksa mencari kerja di Malaysia, India dan negara-negara Teluk.
– menghadapi situasi nilai import melebihi nilai eksport. Nepal di“selamatkan” dalam hal ini oleh kiriman wang oleh rakyat Nepal yang bekerja di luar negara;
– Nepal mempunyai hutang luar negara yang besar12 yang harus dibayar bunga setiap tahun;
– Kerajaan tiada sumber modal untuk melabur secara besar-besaran dalam pertanian ataupun perkilangan untuk mengeluarkan barangan makanan dan barangan pembuatan. Kerajaan berhutang dan kaum kapitalis enggan melabur kerana tidak percaya pada kerajaan komunis.
Di samping itu, parti-parti komunis yang berlainan itu tidak bersefahaman dalam strategi membangunkan ekonomi negara. Salah sebuah parti sedia menerima bantuan kewangan yang ditawarkan oleh Amerika Syarikat, tetapi sebuah lagi parti komunis menolak cadangan itu kerana mencurigai tentang udang di sebalik batu. Perkongsian kuasa antara parti-parti komunis menghadapi masalah serius dan Parti CPN(UML) telah pecah oleh kerana ada beberapa orang pemimpin dalam parti tersebut yang merasai diri mereka diketepikan dalam pentadbiran negara. Jadi, mereka menubuhkan sebuah lagi parti komunis yang dinamakan sebagai CPN (Unified Socialist). Jadi, parti-parti komunis tidak dapat mengendalikan ekonomi Nepal dengan baik dan kadar kemiskinan dan pengangguran telah meningkat. Ini merupakan antara sebab utama orang ramai Nepal marah dan kecewa dengan kerajaan komunis13. Akhirnya, selepas pemberontakan rakyat pada bulan September 2025, di mana 76 orang kehilangan nyawa, pilihan raya umum pada bulan Mac 2026 telah memenangkan Parti Rastriya Swatantra – sebuah parti berhaluan kanan sentris – dengan 182 kerusi (66% daripada jumlah kerusi di parlimen). CPN(UML) hanya memenangi 25 kerusi.
Apakah caranya untuk memastikan perkara yang serupa tidak akan berlaku di Malaysia pada satu hari nanti?
Walaupun PSM masih jauh daripada tahap menubuhkan kerajaan, kita harus merenung tentang soalan ini. Adalah jelas bahawa pentadbiran puak progresif harus memanfaatkan rakyat dalam jangka masa yang pendek (dari tahun pertama) dan berusaha meningkatkan sokongan rakyat untuk gerakan progresif dalam tahun pertama golongan kiri mengambil alih pentadbiran negara. Untuk melakukan ini, gerakan progresif harus menggubal sebuah rancangan terperinci dan menyeluruh berkaitan caranya gerakan progresif akan menangani cabaran-cabaran besar yang dihadapi oleh negara Malaysia. Rancangan menyeluruh ini harus disediakan dan dibahaskan dalam parti dan juga dengan rakan-rakan seperjuangan jauh sebelum kita mengambil alih kuasa!
5. Gerakan kiri, selepas berjaya memegang pentadbiran negara, terpaksa menguruskan sistem kapitalis untuk tempoh beberapa tahun malah beberapa dekad
Pengalaman Nepal dari tahun 2018 hingga sekarang harus dibandingkan dengan pengalaman Mexico. Andres Manuel López Obrador (AMLO) daripada Parti Morena (National Regeneration Movement) telah menjadi Presiden Mexico pada tahun 201814. Dalam 6 tahun yang berikutnya, beliau telah:
– menaikkan gaji minimum 20% setahun. Dalam tempoh kepresidenannya, gaji minimum telah naik 100%;
– meningkatkan pencen kakitangan kerajaan sebanyak 100% dan melaksanakan pencen warga emas untuk semua rakyat yang berumur 65 tahun ke atas;
– mengharamkan pekerjaan kontrak kerana ia menekan dan membuli pekerja;
– menggubal undang-undang yang menyatakan semua sumber litium dalam negara merupakan milikan kerajaan;
– Menyekat import jagung supaya harga jagung dapat dipulihkan dan petani kecil dapat bernafas.
Kondisi kehidupan harian rakyat Mexico telah bertambah baik dan sokongan kepada AMLO dan partinya telah meningkat – beliau memperoleh sokongan sebanyak 80% pada penghujung penggalnya. AMLO digantikan dengan Claudia Sheinbaum, seorang lagi pemimpin Parti Morena. Beliau menang jawatan Presiden Mexico dengan 60% undi. Beliau sedang meneruskan dan menambahbaikkan program AMLO.
Tetapi terdapat pakar-pakar analisis kiri yang mengritik AMLO kerana beliau tidak memiliknegarakan kilang dan lombong yang diusahakan oleh syarikat-syarikat besar dari Amerika Syarikat. Mexico juga tidak menarik diri daripada persetujuan NAFTA (North America Free Trade Agreement bersama Amerika Syarikat dan Kanada). Terdapat pengkritik yang mendakwa bahawa AMLO ialah seorang penakut kerana tidak mencabar kapitalis terbesar tetapi hanya melaksanakan program reformis demokrat sosial sahaja.
Aktivis sosialis di seluruh dunia harus meneliti kritikan seperti ini dan juga meneliti program yang dibawa oleh AMLO dan partinya. Ya, kita mahu menuju ke arah sosialisme. Tetapi bolehkah ia dicapai dalam sekelip mata selepas parti kiri menang dalam pilihan raya? Bolehkah kapasiti negara dari segi membuka kilang sendiri, menguasai teknologi yang diperlukan untuk kilang-kilang ini dan berdikari dalam bidang ekonomi antarabangsa dapat dibina dalam jangka masa beberapa bulan?
Apabila golongan kiri menganalisis prestasi sebuah kerajaan “reformis”, kita harus menggunakan pengukur yang lebih arif (discerning) untuk menilainya. Kita harus mempertimbangkan sama ada:
– Program reformis dapat mengalihkan kekayaan negara untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat biasa melalui kenaikan gaji ataupun pembekalan perkhidmatan asas yang lebih baik?
– Program reformis membantu ekonomi tempatan dalam memperolehi teknologi untuk beroperasi secara yang lebih berdikari?
– Keterjaminan makanan, tenaga dan ubat-ubatan bertambah baik?
– Kapasiti pekerja dibina supaya mereka dapat mengambil alih kilang jika perlu?
– Langkah-langkah diambil untuk menjadikan rakyat marhaen “protagonis” dalam perubahan yang sedang berlaku melalui kesatuan sekerja dan juga melalui jawatankuasa tempatan (communal council)?
– Parti kiri itu melaksanakan langkah-langkah untuk memastikan pemimpinnya tidak diumpan oleh puak korporat?
Pencapaian kerajaan reformis dalam semua paksi yang digariskan di atas harus dinilai satu demi satu untuk menentukan sama ada gerakan reformis itu sedang menuju ke arah sosialisme ataupun sebaliknya.
Adalah amat senang untuk mengkritik sahaja. Jauh lebih susah untuk melaksanakan program yang membawa sesebuah masyarakat, yang dipecahkan, dilemahkan dan dicacatkan ekonominya sepanjang tiga abad penindasan penjajahan dan imperialisme, ke arah sosialisme. Sebagai sebuah parti kiri yang serius, PSM harus mengkaji dan belajar daripada pengalaman negara-negara yang telah mencuba untuk bergerak ke arah sosialisme – termasuk mereka yang berjaya, mereka yang digulingkan oleh CIA, dan juga mereka yang ditolak oleh rakyat mereka sendiri. Ini kerana, di banyak negara yang gagal, punca utama kegagalannya bukan isu peribadi pemimpinnya tetapi melibatkan isu-isu struktural. Kajian sebegini akan melengkapkan gerakan progresif di Malaysia dengan pengetahuan dan strategi supaya kita dapat mengatasi cabaran yang sama pada masa depan.
Nota berkaitan usaha membina PSM
Saya ingin mengakhiri ucapan dasar tahun ini dengan menyampaikan pandangan saya tentang dua perkara penting berkaitan usaha memperkasakan PSM
A. Menyatukan tendensi-tendensi yang wujud dalam PSM
PSM dianggotai oleh ahli-ahli yang, walaupun menganggap diri sebagai seorang sosialis, menumpukan perhatian kepada isu-isu yang berbeza. Terdapat ahli kita yang mengutamakan perjuangan feminis; wujudnya kelompok yang sangat marah terhadap peminggiran masyarakat India di Malaysia; ada juga yang mementingkan usaha untuk melawan budaya feudal India dan sistem kasta; adanya yang sangat komited untuk memperjuangkan hak orang kurang upaya; adanya juga mereka yang berazam menegakkan kepentingan komuniti LGBT; aktivis alam sekitar juga merupakan satu golongan lagi dalam kalangan anggota PSM.
Adalah amat penting untuk parti kita menyatukan semua kelompok/puak ini supaya menjadikan PSM lebih berkesan sebagai penggerak gelombang progresif di Malaysia. Langkah pertama untuk menyatukan kepelbagaian ini adalah untuk menerima hakikat bahawa wujudnya beberapa paksi penindasan (multiple axes of discrimination/oppression) dalam masyarakat kita pada masa ini – dan perjuangan untuk menentang setiap paksi penindasan adalah selaras dengan hasrat kita membina masyarakat yang adil dan berkemanusiaan. Memang, sebagai sosialis, kita berpegang pada analisis bahawa percanggahan antara modal dan pekerja adalah antara dua paksi penindasan yang utama dalam dunia pada zaman ini. Paksi penindasan utama yang kedua adalah imperialisme – kontradiksi antara syarikat gergasi terbesar di dunia dengan negara-negara Dunia Ketiga. Tetapi, kita harus menyedari bahawa paksi penindasan yang lain, tidak akan hilang secara sendiri jika kita hanya menumpukan segala perhatian/tenaga kita kepada dua paksi penindasan utama yang disebut tadi. Setiap paksi penindasan harus dikenal pasti, difahami dan dilawan jika kita ingin menuju ke arah masyarakat yang adil.
Pada saat yang sama, ahli PSM yang berazam menentang penindasan melalui paksi yang lain daripada dua paksi utama, harus menyedari bahawa perjuangan mereka tidak akan berjaya selagi penindasan melalui dua paksi utama belum diatasi. Jadi, adalah tanggungjawab semua sosialis untuk menganalisis dan memahami bagaimana kepelbagaian masyarakat sedang digunakan oleh lapisan elit untuk memecah-belahkan dan mengelirukan rakyat, dan melemahkan gerakan marhaen. Wujudnya juga, batu api (agent provocateurs) yang cuba membawa tuntutan yang maksimum yang boleh memecahkan gerakan marhaen progresif. Kadang kala, batu api ini tidak bertujuan melemahkan gerakan sosialis – mereka hanya “angin” sedikit. Tetapi adanya pihak-pihak di luar parti yang menyedari potensi si batu api untuk melemahkan perpaduan parti, dan menggalakkan/membolehkannya melakukan serangan terhadap parti. Sosialis yang arif harus berusaha untuk mengintegrasikan perjuangan kita terhadap pelbagai bentuk penindasan, dengan perjuangan induk, iaitu untuk melahirkan sebuah masyarakat yang dipimpin oleh perwakilan marhaen (sebuah masyarakat sosialis).
B. Turun padang
Ini adalah ajaran Mao Zedong kepada Parti Komunis China – digelar sebagai “Mass Line”. Aktivis parti harus bergaul dengan orang biasa supaya dapat memahami isu-isu yang menyakiti rakyat. Barulah parti dapat menganalisis punca penindasan yang dialami oleh rakyat dan menggubal program-program untuk mengatasinya. Pendekatan sebegini akan memenangi lebih ramai penyokong dan ahli.
Pengasas PSM telah mengamalkan “mass line” jauh sebelum kami menubuhkan PSM dan sebelum kami membaca tulisan Mao, kerana pendekatan “mass line” mempunyai logiknya. Hanya dengan turun padang dan berinteraksi dengan orang biasa, kita dapat memahami isu-isu rakyat. Ramai daripada pengasas PSM adalah daripada kelas menengah (middle class). Ramai merupakan pelajar universiti. Tetapi pendekatan kami turun padang menyelamatkan kami daripada menjadi seorang kelas menengah yang biasa – yang mengutamakan kewangan, pemilikan kebendaan dan status.
Inilah sebabnya, kepimpinan PSM sentiasa mengajak ahli baharu untuk mengikut kami dan turun padang. Mustahil menjadi seorang sosialis yang berkesan, hanya dengan membaca teori. Kita perlu mendedahkan diri kepada realiti yang dialami oleh rakyat biasa. Ini digelar “praxis” – penyatuan teori dan praktik. Saya harap lebih ramai anak muda dan ahli baharu lain akan mengamalkan “mass line” dan turun padang untuk merapatkan parti dengan masyarakat marhaen.
Cabaran Trolak
Sesi Trolak pada tahun 2020 telah meletakkan satu cabaran besar di hadapan kita. Sasaran kita adalah untuk menjadi parti pembangkang terkuat dalam jangka masa 15 tahun – iaitu sebelum tahun 2035. Kita hanya mempunyai tempoh masa 9 tahun daripada tarikh itu. Orang di luar parti mungkin beranggapan bahawa ini adalah satu matlamat yang mustahil. Tetapi ahli PSM cenderung untuk mengulangi seruan Che Guevara – “Be realistic and do the impossible”.
Saya berasa PSM boleh mencapai yang “mustahil”, jika kita sedia bersikap realistik dan meneliti isu-isu yang terkandung dalam ucapan dasar ini, dan mencari jawapan/ program yang berpatutan terhadap setiap isu. Barulah kita berpotensi mencapai yang “mustahil”.
Salam berkongres!! We have a world to win!!
==========
Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).
=========
Nota
- Gaji minimum di California, Amerika Syarikat adalah USD 16.90 sejam
USD 16.90 x 8 jam x 26 hari x 3.95 = RM13,885 sebulan: 13,885 dibahagi 1700 = 8.16
Gaji minimum di Kanada, Jerman, Australia dan United Kingdom juga lebih kurang sama –
6 hingga 8 kali ganda lebih tinggi berbanding gaji minimum Malaysia
- Nilai sebenar = selepas mengambil kira kesan inflasi
- Starbiz 14/2/26
- Malaysia memerlukan satu akta baharu yang menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pelantikan untuk melantik ketua institusi yang memainkan peranan semak dan imbang di negara kita. Akta itu perlu menjelaskan komposisi jawatankuasa ini dan caranya ditubuhkan. Mungkin bekas Ketua Hakim Negara, seorang ahli parlimen daripada kerajaan, seorang ahli parlimen daripada pembangkang, Presiden Majlis Peguam, bekas Pengerusi SUHAKAM dan beberapa orang lagi harus menganggotai Jawatankuasa Pelantikan ini. Perlembagaan perlu diubah suai untuk memperuntukkan bahawa Jawatankuasa ini yang menasihatkan Yang di-Pertuan Agong berkaitan pelantikan ketua institusi tersebut. (Pada masa ini, Perdana Menteri yang menasihati Yang di-Pertuan Agong.)
- Tarikh persidangan pertama DUN Melaka selepas Pilihan Raya Negeri pada bulan November 2021 ialah 27 Disember 2021. Mengikut Perlembagaan Persekutuan, mana-mana DUN akan dibubarkan sendiri apabila genap 60 bulan selepas persidangan pertama. Dan selepas dibubarkan, pilihan raya harus diadakan dalam tempoh masa 60 hari. Jadi, Pilihan Raya Negeri Melaka harus diadakan selewat-lewatnya sebelum hujung bulan Februari 2027.
PRU-15 pula telah diadakan pada 19 November 2022, dan persidangan Parlimen pertama selepas itu adalah pada 19 Disember 2022. Jadi, PRU-16 harus diadakan sebelum pertengahan bulan Februari 2028.
- Perbelanjaan parti untuk Pilihan Raya Kecil Ayer Kuning pada bulan April 2025 adalah RM70,000.
- Tidak perlu terlalu formal. Debriefing boleh diadakan dalam sesi minum teh tarik selepas sesi lawatan.
- Sebagai hitungan kasar, jika kita buat andaian (assumption) bahawa satu pertiga daripada barangan eksport Malaysia dijual di negara “maju” dengan markup 100% berbanding harga ia dibeli daripada pengeluar di Malaysia, ini bererti RM535 bilion telah diperas daripada bumi dan pekerja kita tanpa dibayar cukai.
Jumlah eksport Malaysia = RM1,607 bilion pada tahun 2025 (Sumber: investmalaysia.gov.my)
1/3 jumlah ini adalah = RM535.6 bilion (Tetapi ia ditokok tambah 100% dan dijual dengan jumlah harga RM1,071 bilion di negara maju). Pendapatan syarikat asing sebanyak RM535.6 bilion tidak dikenakan cukai.
Jika jumlah ini dikenakan cukai korporat sebanyak 24%, cukai tambahan yang harus dikutip = RM128.56 bilion
Untuk perspektif menyeluruh
– defisit dalam Belanjawan untuk tahun 2026 = RM77 bilion
– belanjawan untuk melaksanakan Skim Pencen Warga Emas = RM12 bilion.
- Samir Amin (1931–2018) adalah seorang Marxis yang berasal dari Mesir. Beliau telah menulis beberapa buah buku yang menganalisis bentuk imperialisme pada zaman ini. Salah satu konsep yang dibawanya ialah negara-negara Dunia Ketiga harus “de-link” ataupun menarik diri sedikit daripada penglibatan yang terlalu rapat dengan negara-negara Barat. Syor Samir Amin adalah untuk memperkasakan ekonomi serantau seperti ASEAN, Afrika Barat dan sebagainya supaya dapat memupuk pasaran serantau, perkembangan penyelidikan dan teknologi tempatan.
- Antara hak istimewa yang dinikmati oleh syarikat-syarikat asing –
– “National Treatment” – ini bererti syarikat asing harus diberi layanan yang sama taraf dengan mana-mana syarikat tempatan. Kerajaan kita tidak boleh memintanya untuk memindahkan teknologi kepada syarikat tempatan. Tidak boleh memintanya memberi latihan kemahiran kepada pekerja kita.
– Sistem Hak Cipta Intelek – di mana syarikat asing diberi hak monopoli terhadap barangan yang dilindungi oleh paten. Ubat-ubatan yang dilindungi paten kadangkala dijual dengan harga 20 kali ganda berbanding kos sebenar mereka.
– Sistem ISDS (Investor State Dispute Settlement) – membuka jalan untuk syarikat asing mendakwa kerajaan di tribunal antarabangsa jika mana-mana dasar kerajaan menyekat keuntungan syarikat asing itu.
- Lebih kurang 3.5 juta orang rakyat Nepal (14% jumlah populasi Nepal, ataupun 28% daripada jumlah dewasa) sedang bekerja di luar negara (www.mideq.org)
Populasi Nepal = 30 juta orang pada tahun 2024
- Hutang kerajaan Nepal adalah lebih kurang 50% KDNK negara itu dan separuh daripada jumlah ini adalah hutang asing.
- Hantaran di media sosial yang memberi gambaran bahawa anak-anak Menteri sedang hidup secara mewah, amat menyakiti hati orang ramai di Nepal dan menjadi satu lagi punca perasaan kecewa dan marah yang meletup dalam pemberontakan pada bulan September 2025.
- Mengikut perlembagaan Mexico, seorang Presiden hanya boleh memegang jawatan itu untuk satu penggal selama 6 tahun sahaja. Selepas itu dia harus berundur dan tidak boleh bertanding lagi.
