
Barisan Nasional (BN) merampas semula kuasa pemerintahan di Negeri Sembilan melalui kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 2026. Pakatan Harapan (PH) menerima satu lagi tamparan hebat di Negeri Sembilan selepas kekalahannya dalam PRN Johor baru-baru ini.
Pengundian untuk PRN Negeri Sembilan telah diadakan pada 1 Ogos 2026, dengan peratusan keluar mengundi mencecah 72.64%, meningkat sebanyak 4.29 titik peratusan berbanding tahun 2023. BN memenangi 18 daripada 36 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, bertambah 4 kerusi berbanding 14 kerusi yang dimenanginya pada tahun 2023 apabila bekerjasama dengan PH. Daripada 18 kerusi yang dimenangi oleh BN, 16 kerusi dikuasai oleh UMNO, sementara 2 kerusi lagi dipegang oleh MCA. BN bertanding 25 kerusi dalam PRN Negeri Sembilan kali ini, dengan 11 kerusi yang lain ditandingi oleh PN setelah kedua-dua gabungan itu membentuk kerjasama pilihan raya. Gabungan BN dan PN meraih sebanyak 56.00% undian yang sah.
PN memenangi 7 kerusi, bertambah sebanyak 2 kerusi berbanding tahun 2023, dengan 4 kerusi dimenangi oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan 3 kerusi lagi dimenangi oleh calon daripada Parti Wawasan Negara (WAWASAN), iaitu mereka di bawah kepimpinan Hamzah Zainudin yang berpecah keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU). BERSATU yang bertanding dengan logo sendiri untuk 24 kerusi DUN kali ini gagal memenangi apa-apa kerusi.
PH yang bertanding untuk kesemua 36 kerusi DUN hanya memenangi 11 kerusi dalam PRN Negeri Sembilan kali ini, berkurangan sebanyak 6 kerusi berbanding tahun 2023 apabila ia bekerjasama dengan BN. Calon-calon PH yang terkandas dalam PRN kali ini, termasuklah Aminuddin Harun, penyandang jawatan Menteri Besar yang kalah di kawasan DUN N32 Linggi, dan Anthony Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan yang gagal mempertahankan kerusi DUN N01 Chennah. PH hanya meraih 40.16% undian yang sah.
Dengan kemenangan BN-PN di Negeri Sembilan, Ismail Lasim daripada UMNO-BN yang memenangi kerusi DUN N15 Juasseh, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu pada 2 Ogos 2026. Kemenangan BN-PN dalam PRN Negeri Sembilan 2026 sudah pasti memberi keyakinan kepada kepimpinan BN untuk menggunakan formula politik yang sama dalam Pilihan Raya Umum (PRU) peringkat Persekutuan yang akan datang supaya ia terus mengekalkan kuasa pemerintahannya. Kepimpinan UMNO-BN mungkin juga akan menggunakan kesempatan kemenangannya di Johor dan Negeri Sembilan untuk mendesak pilihan raya awal di peringkat Persekutuan supaya pemimpin UMNO boleh merampas semula jawatan Perdana Menteri.
Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang bertanding untuk satu kerusi sahaja, iaitu di kawasan DUN N22 Rahang, dengan meletakkan Tinagaran Subramaniam @ Cikgu Tina sebagai calon, walaupun tewas seperti yang dijangkakan, undi yang diperoleh oleh PSM di kawasan DUN N22 Rahang adalah lebih tinggi berbanding dengan BERSATU dan menduduki tempat ketiga dalam pertandingan empat penjuru di situ.

Keputusan penuh untuk kerusi DUN N22 Rahang yang ditandingi oleh PSM adalah seperti di bawah:
Siau Meow Kong (DAP-PH) – 7,896 undi (59.0%) – PEMENANG
Cikgu Tina (PSM) – 400 undi (3.0%)
Yap Siok Moy (MCA-BN) – 4,921 undi (36.8%)
Tang Jay Son (BERSATU) – 160 undi (1.2%)
Walau bagaimanapun, kempen pilihan raya PSM di kawasan DUN N22 Rahang telah menawarkan nafas baharu kepada suasana politik yang tepu dengan perebutan kuasa antara gabungan-gabungan parti utama. PSM sentiasa mengetengahkan isu rakyat yang sebenar dan menawarkan alternatif yang progresif. Cabaran yang dihadapi oleh PSM dan Blok Progresif adalah sangat hebat dalam keadaan politik di tanah air hari ini. Oleh itu, usaha membina alternatif politik baharu tidak terhad kepada penglibatan dalam pilihan raya, tetapi turut melibatkan perjuangan rakyat yang berterusan untuk menegakkan keadilan sosial.
