Resolusi Kongres Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ke-28

23 Ogos 2026, Batu Caves

1. Tingkatkan gaji minimum supaya ia selaras dengan gaji untuk sara hidup. Kerajaan hendaklah mengkaji semula Perintah Gaji Minimum sekurang-kurangnya sekali dalam tiap-tiap dua tahun seperti yang diperuntukkan dalam Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732).

2. Selamatkan sistem kesihatan awam dan hentikan penswastaan perkhidmatan kesihatan. Bantah langkah pengurangan perbelanjaan kerajaan dalam perkhidmatan kesihatan. Kerajaan harus membina lebih banyak hospital awam dan mengenakan moratorium terhadap pembinaan hospital swasta baharu untuk lima tahun akan datang. Kerajaan harus memperkasakan sistem kesihatan awam dengan meningkatkan belanjawan kesihatan awam, bukannya mengharapkan dana melalui penswastaan.

3. Kerajaan harus mengawal harga rumah dan kadar sewa rumah. Kerajaan perlu meningkatkan pembinaan rumah program perumahan rakyat (PPR) dan rumah mampu milik yang berkualiti. Kerajaan perlu mengambil tanggungjawab yang lebih besar dalam penyelenggaraan dan pemuliharaan rumah pangsa kos rendah.

4. Lindungi dan perkukuhkan keterjaminan makanan. Hentikan ancaman pengusiran terhadap petani dan penternak. Utamakan petani kecil yang mengeluarkan makanan, melalui subsidi bersasar, jaminan harga dan akses tanah pertanian. Pinda undang-undang tanah untuk melindungi petani, penternak dan Orang Asli. Tanah pertanian untuk makanan yang sedia ada tidak harus ditukar kepada kegunaan lain. Tanah terbiar atau tanah simpanan perlu diagihkan kepada petani yang boleh mengusahakannya. Kerajaan harus mengurangkan kebergantungan pada sayur-sayuran import.

5. Tingkatkan perkhidmatan pengangkutan awam di kawasan bandar dan luar bandar dengan kadar segera. Kerajaan harus mengehadkan pembinaan lebuh raya baharu dan meningkatkan pelaburan dalam pengangkutan awam. Pelaburan tersebut perlu memberi tumpuan kepada penambahbaikan perkhidmatan pengangkutan awam, ketersambungan first-mile dan last-mile serta pelaksanaan dan penguatkuasaan laluan khas bas yang lebih meluas. Biayai sistem pengangkutan awam dengan dana yang dijimatkan daripada pengurangan subsidi petrol. Batalkan sokongan kepada kenderaan elektrik persendirian (EV). Pihak berwajib harus melindungi keselamatan pejalan kaki dan penunggang motosikal.

6. Tingkatkan cukai terhadap golongan kaya dan badan korporat, dengan cukai korporat yang dikutip itu digunakan untuk kebaikan rakyat. Kerajaan harus melaksanakan sistem percukaian yang lebih progresif bagi mengurangkan ketidaksamaan dalam pengagihan kekayaan, dengan memperkenalkan cukai pusaka, cukai kekayaan dan cukai ke atas rumah kedua atau rumah yang dibiarkan kosong.

7. Kawal harga barangan asas.

8. Laksanakan pendidikan percuma dari peringkat pra-sekolah hingga ijazah pertama. Bantah pengurangan perbelanjaan kerajaan dalam pendidikan awam. Kerajaan harus melaksanakan program sarapan percuma di semua sekolah rendah dan sekolah menengah. Kerajaan harus memansuhkan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), dan menarik balik sekatan perjalanan yang dikenakan terhadap peminjam PTPTN. Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tidak harus menawarkan program/kursus yang tidak mempunyai skop pekerjaan dan tidak menyumbang kepada pembangunan nilai kemanusiaan. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) disarankan untuk mewujudkan mata pelajaran atau modul pendidikan mengenai pembanterasan rasuah di sekolah rendah dan sekolah menengah bagi membentuk budaya integriti sejak usia muda.

9. Pertahankan kedaulatan undang-undang dan kebebasan kehakiman. Kerajaan perlu mereformasi sistem kehakiman dan memastikan proses pemilihan hakim dijalankan secara bebas, telus dan tanpa campur tangan politik.

10. Tingkatkan integriti dan kebertanggungjawaban institusi awam. Menteri Kabinet dan pegawai pentadbiran kerajaan tidak dibenarkan untuk terlibat dalam aktiviti perdagangan saham. Hapuskan amalan pemberian Dana Pembangunan Kawasan sekarang yang hanya disalurkan kepada wakil rakyat kerajaan, dan gubal undang-undang yang memastikan ketelusan dalam penggunaan dana awam.

11. Gubal undang-undang yang mewajibkan semua calon pilihan raya untuk mengisytihar harta secara terbuka melalui sistem pengisytiharan harta yang seragam di bawah pantauan Suruhanjaya Pilihan Raya dan boleh disemak oleh rakyat secara mudah untuk memastikan pilihan raya berjalan secara bebas dan telus serta membolehkan rakyat untuk mengundi secara bijak.

12. Kerajaan harus memperkasakan penguatkuasaan Akta Kerja dan tindakan terhadap majikan yang melanggar undang-undang, dengan menyemak dan meminda Akta Kerja supaya memperketatkan hukuman majikan yang melanggar undang-undang pekerjaan, termasuk kegagalan membayar gaji, diskriminasi, eksploitasi pekerja dan pelanggaran hak pekerja yang lain. Kerajaan juga perlu memastikan penguatkuasaan yang lebih berkesan melalui tindakan denda, penalti dan pendakwaan yang setimpal supaya ia menjadi pengajaran kepada majikan serta menjamin keadilan dan kebajikan semua pekerja di Malaysia. Jabatan Tenaga Kerja (JTK) perlu mengambil tindakan penguatkuasaan yang lebih segera terhadap majikan yang gagal membayar gaji dan mengenakan penalti terhadap pembayaran gaji yang lewat.

13. Hapuskan sistem kontrak untuk pekerjaan tetap.

14. Hapuskan diskriminasi terhadap minoriti gender. Kerajaan Malaysia harus menghapuskan amalan penjenayahan terhadap pemakaian silang serta menilai semula peruntukan undang-undang yang memberi kesan diskriminatif terhadap golongan minoriti gender. Kerajaan juga perlu memastikan hak setiap individu untuk mendapat peluang pekerjaan yang adil dan saksama tanpa diskriminasi berdasarkan identiti atau ekspresi gender, serta memperkukuh usaha membanteras stigma dan layanan tidak adil yang menjejaskan akses kepada pekerjaan, perkhidmatan dan penyertaan dalam masyarakat.

15. Perkasakan demokrasi tempatan dengan mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan. Kerajaan perlu memperkasakan penduduk setempat di kawasan perumahan dengan memastikan mereka mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan mengenai bagaimana kawasan perumahan dan persekitaran mereka dirancang dan dibangunkan. Kerajaan perlu mewujudkan jawatankuasa penduduk di setiap kawasan perumahan, termasuk kawasan yang tidak diwartakan, dan menyediakan kemudahan dewan orang ramai untuk penduduk mengadakan mesyuarat, perbincangan, perhimpunan, acara awam dan lain-lain.

16. Kerajaan harus mengkaji semula mekanisme klasifikasi pendapatan isi rumah (B40, M40 dan T20) agar ia lebih jitu dalam mencerminkan kos sara hidup dan realiti ekonomi semasa.

    17. Kerajaan harus memperluaskan pelaksanaan “Making School Streets Safer” di seluruh negara dengan mengutamakan keselamatan kanak-kanak melalui pelaksanaan had kelajuan 30 km/j di kawasan sekolah, lintasan pejalan kaki dan laluan basikal yang lebih selamat untuk mengurangkan risiko kemalangan di kawasan sekolah.

    18. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu memperketatkan penguatkuasaan terhadap majikan yang gagal membuat caruman pekerja mengikut undang-undang. Caruman KWSP oleh majikan hendaklah dibuat bermula dari bulan pertama pekerjaan dan tidak ditangguhkan selama beberapa bulan.

    19. Hentikan segala pembangunan yang tidak mampan, tidak adil dan tidak bermanfaat bagi komuniti setempat.

    20. Hentikan Perang Amerika Syarikat-Israel terhadap Iran. Kerajaan Malaysia harus menolak kehadiran Duta Amerika Syarikat di Malaysia sehingga perang terhadap Iran ditamatkan dan kerajaan Israel berhenti daripada menindas rakyat Palestin.

    21. Hentikan sekatan terhadap Kuba.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *