
Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang diadakan pada 11 Julai 2026 menyaksikan Barisan Nasional (BN) mengekalkan kuasanya dengan majoriti dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dengan sokongan pengundi yang lebih besar dan kerusi yang lebih banyak berbanding PRN pada tahun 2022. Pakatan Harapan (PH), yang membentuk Kerajaan Perpaduan bersama BN di peringkat Persekutuan, gagal meningkat kerusi dalam DUN Johor, malah Parti Tindakan Demokratik (DAP) gagal mempertahankan 4 kerusi yang dimenanginya dalam PRN Johor 2022.
Peratusan keluar mengundi dalam PRN Johor 2026 mencatatkan 68.73%, meningkat sebanyak 13.81 titik peratusan berbanding PRN Johor 2022 yang hanya 54.92%. BN memenangi sebanyak 48 daripada 56 kerusi dalam DUN Johor. BN yang bertanding untuk kesemua 56 kerusi DUN Johor berjaya meraih sebanyak 1,118,559 undi, bersamaan 59.66% undian yang sah. Ini merupakan satu peningkatan yang ketara, iaitu sebanyak 16.55 titik peratusan berbanding 43.11% pada tahun 2022. Kerusi DUN yang dikuasai oleh BN juga meningkat sebanyak 16 berbanding 40 kerusi pada tahun 2022.
PH yang juga bertanding untuk kesemua 56 kerusi DUN Johor hanya memenangi 8 kerusi, dengan meraih sebanyak 611,983 undi, bersamaan 32.64% undian yang sah. Walaupun undian yang diperoleh PH meningkat 6.22 titik peratusan berbanding 26.42% pada tahun 2022, ia telah kekurangan 4 kerusi berbanding 12 kerusi yang dimenangi pada tahun 2022.
Perikatan Nasional (PN) yang hanya bertanding untuk 33 kerusi DUN gagal memenangi apa-apa kerusi, dengan hanya meraih sebanyak 102,090 undi, bersamaan 5.45% undian yang sah, satu penurunan undian yang ketara, sebanyak 20.97 titik peratusan berbanding 26.42% pada tahun 2022. PN memenangi 3 kerusi dalam PRN Johor 2022.
Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) yang diambil alih oleh Rafizi Ramli dan Nik Nazmi yang berpecah keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertanding buat pertama kali dalam PRN Johor dengan meletakkan 15 orang calon. BERSAMA hanya meraih sebanyak 28,816 undi, bersamaan 1.54% undian sah.
Kemenangan besar BN dalam PRN Johor kali ini menunjukkan bahawa pengaruh BN masih kuat di negeri di selatan Semenanjung Malaysia itu. Satu lagi faktor yang membawa kepada peningkatan sokongan undi kepada BN ialah pemimpin PN menyeru penyokong-penyokongnya untuk mengundi BN di kawasan DUN yang tidak ditandingi oleh PN.
Blok Progresif yang dibentuk oleh Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) tetapi hanya bertanding untuk 5 kerusi DUN, hanya meraih 11,200 undi secara keseluruhan, bersamaan 0.6% undian sah. Ini menunjukkan bahawa cabaran untuk Blok Progresif adalah besar dalam usaha memajukan perjuangan politik progresif di negara kita.
Keputusan penuh untuk kawasan DUN N48 Skudai yang ditandingi oleh PSM adalah seperti di bawah:
Tan Hiang Kee (BN-MCA) – 24,541 (36.20%)
Kartiyaini Jeyapalan (PH-DAP) – 39,821 undi (58.74%) – PEMENANG
Eugene Chua Meng Chong (BERSAMA) – 2,471 (3.64%)
Amir Syafiq Ameer Soekre (PSM) – 964 (1.42%)

