oleh Cecilia Anthonysamy

Keuntungan selepas cukai (PAT) Perbadanan Johor (JCorp), sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dimiliki oleh Kerajaan Negeri Johor dan dipengerusikan oleh Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi, bagi tahun kewangan 2025 telah meningkat lebih dua kali ganda kepada RM703 juta berbanding tahun sebelumnya. (The Star, 22 Jun 2026).

KPJ Healthcare Berhad milik Jcorp memperoleh hasil kewangan sebanyak RM4.26 bilion dalam tahun kewangan 2025, peningkatan sebanyak 9% berbanding tahun kewangan 2024. KPJ memiliki sekurang-kurangnya 30 buah hospital swasta di seluruh Malaysia, termasuk 6 buah hospital pakar di negeri Johor sahaja. 

Soalan saya adalah, kebanyakan kakitangan utama yang bekerja di hospital-hospital swasta milik KPJ ini datang dari mana? Sudah pastinya kebanyakan doktor pakar yang sebelum ini dididik sebagai doktor pelajar, doktor siswazah, doktor sarjana dan doktor sub-pakar dan membina kerjaya mereka di hospital awam terlebih dahulu,  dibimbing  oleh doktor-doktor pakar hospital awam, dan mengumpul pengalaman daripada pesakit-pesakit yang berkeadaan rumit di hospital awam. 

Ya, doktor pakar berhak untuk berhijrah ke hospital swasta. Ya, memang tekanan kerja yang tinggi dan gaji yang tidak mencukupi dalam sistem perkhidmatan awam menjadi faktor utama yang mendorong doktor-doktor pakar untuk berhijrah ke hospital-hospital swasta. 

Walau apa pun, sekarang wujud krisis kekurangan kakitangan di hospital-hospital awam. Johor memerlukan sekurang-kurangnya 4,600 orang petugas kesihatan bagi menangani krisis tenaga kerja sektor kesihatan yang terdiri daripada pelbagai kategori kritikal, termasuk doktor pakar, pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan, jururawat serta anggota sokongan lain. (Berita Harian, 16 Julai 2026). Kita perlukan penyelesaian.

Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi, merayu untuk pengisian kekosongan jawatan di Hospital Pasir Gudang yang mengalami kekurangan kakitangan sebanyak 1,192 orang. (Berita Harian, 5 Ogos 2026) Apa Menteri Besar Johor boleh lakukan untuk membantu selesaikan masalah ini?

KPJ ialah syarikat milik Kerajaan Negeri Johor (GLC)  yang meraih keuntungan lumayan yang mencurah-curah.

Adakah salah jika keuntungan JCorp diagihkan sedikit dan digunakan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan hospital awam di Johor? Contohnya, sumbangan untuk peralatan perubatan, keselesaan kakitangan atau untuk “top up” gaji pelbagai kategori kakitangan, termasuk doktor-doktor pakar supaya mereka terus bekerja di hospital-hospital awam di Johor?

Salahkah jika kita agihkan sebahagian kecil kewangan hospital swasta JCorp (milik Kerajaan Negeri Johor) untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat Johor serta untuk meningkatkan kualiti hospital awam di negeri Johor?

 Bukankah kepentingan rakyat harus didahulukan daripada kepentingan pihak pelabur swasta yang meraih keuntungan yang bukan sedikit?

Ini prinsip sosialisme. Keuntungan syarikat negeri harus dikongsi dengan rakyat yang memerlukannya. Sistem ekonomi sekarang, iaitu kapitalisme, hanya mengutamakan keuntungan pelabur. 

Bolehkah kita berfikir di luar kotak? Bolehkah kita mengubah sistem ini sedikit supaya ia lebih menguntungkan rakyat jelata?

Menteri Besar Johor Dato’ Onn Hafiz Ghazi yang juga merupakan pengerusi GLC milik Kerajaan Negeri Johor mempunyai kuasa yang besar untuk berbuat demikian. 

==========

Cecilia Anthonysamy ialah Ahli Jawatankuasa Kempen Selamatkan Sistem Kesihatan Awam PSM.

Kempen Selamatkan Sistem Perkhidmatan Awam ialah sebuah inisiatif Parti Sosialis Malaysia (PSM). Tandatangani petisyen dalam talian untuk kempen “Selamatkan Sistem Kesihatan Awam” di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *