
IPOH, PERAK: Perbicaraan kes pendakwaan terhadap Chong Yee Shan, Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang cuba mempertahankan petani-petani kecil di kawasan Kanthan daripada diusir secara paksa, telah mula diadakan di Mahkamah Majistret Ipoh pada 12 Ogos 2026.
Pada 24 Oktober 2023, Chong Yee Shan telah dikasari dan dicederakan oleh pegawai penguatkuasa tanah negeri Perak apabila dia bersama-sama petani-petani di situ dan aktivis-aktivis PSM yang lain untuk mempertahankan pemusnahan tanaman oleh pihak penguatkuasa tanah yang bertindak bagi pihak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dalam pengusiran paksa terhadap petani kecil itu. Namun, Chong Yee Shan kemudiannya didakwa pada 27 Disember 2023, di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas pertuduhan kesalahan “menggalang penjawat awam dalam menjalankan fungsi jawatannya”, yang boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai 2 tahun atau dengan denda yang boleh sampai RM10,000 atau kedua-duanya.
Selepas menunggu hampir tiga tahun, kes perbicaraan terhadap Chong Yee Shan mula diadakan pada hari ini, dengan pihak pendakwaan memanggil pengadu utama yang juga merupakan saksi pertama kes ini untuk memberi keterangan di hadapan majistret. Namun, semasa ditanya oleh pihak pendakwaan, saksi pertama yang merupakan pegawai pembantu awam daripada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak gagal mengecam orang yang kena tuduh di dalam mahkamah majistret.
Perbicaraan ini kemudiannya ditangguhkan sehingga tarikh baharu yang ditetapkan pada 7-8 Disember 2026.
Peguam-peguam pembelaan yang bertindak bagi Chong Yee Shan sebagai defendan ialah Ramkarpal Singh, Bawani KS, K. Kunasekaran, Sandeep dan Chan Yen Hui. Pihak pendakwaan pula diwakili oleh Zarris Sofea selaku Timbalan Pendakwa Raya di Perak.
Turut hadir bersolidariti bersama Chong Yee Shan di Mahkamah Majistret Ipoh pada 12 Ogos 2026 termasuk S. Arutchelvan selaku Timbalan Pengerusi Nasional PSM, Soh Sook Hwa selaku Bendahari Nasional PSM dan petani-petani di kawasan Kanthan serta tempat-tempat lain.
Selain daripada kes pendakwaan terhadap Chong Yee Shan, empat orang yang ditangkap pada 24 Oktober 2023 semasa pengusiran paksa terhadap petani-petani kawasan Kanthan juga telah dimaklumkan baru-baru ini bahawa mereka akan didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan. Empat orang ini ialah Dr. Jeyakumar Devaraj yang merupakan Pengerusi Nasional PSM, Kartiges Rajamanickam yang merupakan Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, Kesavan Parvathy yang merupakan aktivis PSM di kawasan Hulu Kinta dan Ho Po Tien yang merupakan seorang petani di kawasan Kanthan. Pemberitahuan tentang pendakwaan terhadap empat orang ini hanya dibuat hampir tiga tahun selepas penangkapan polis.
“Kenapa pendakwaan ini hanya dibuat selepas hampir tiga tahun? Adakah ini satu bentuk peras ugut politik?” ujar S. Arutchelvan mengenai keputusan pihak berkuasa untuk mendakwa empat orang lagi dalam kes pengusiran paksa terhadap petani Kanthan. “Kami menggesa pihak berkuasa supaya menarik balik pendakwaan ini. Meneruskan kes pendakwaan selepas lebih dua tahun ini tidak memberi apa-apa manfaat kepada kepentingan awam, sebaliknya hanya membazir sumber-sumber awam dan berisiko untuk mempersendakan sistem kehakiman kita.”
