
Walaupun diserang secara ganas oleh pihak berkuasa, gelombang protes anak muda dan pelajar di India yang hebat berjaya memaksa Menteri Pendidikan di negara itu untuk meletak jawatan.
Gelombang protes besar-besaran yang tercetus di India baru-baru ini dimulakan oleh Parti Rakyat Lipas (CJP), sebuah gerakan politik satira yang diterajui oleh golongan anak muda. Kemunculan CJP merupakan respons kepada kenyataan Surya Kant, Ketua Hakim India, yang membuat kenyataan kontroversi pada bulan Mei 2026, di mana dia menyamakan golongan anak muda yang menganggur dan mengkritik institusi kekuasaan itu dengan “lipas”. Nama singkatan Parti Rakyat Lipas, CJP, merupakan permainan kata yang memparodikan parti pemerintah yang dipimpin oleh Perdana Menteri Narendra Modi, iaitu Parti Bharatiya Janata (BJP).
Gelombang protes yang diterajui oleh CJP tercetus berikutan berlakunya skandal yang berkaitan dengan peperiksaan kerajaan, termasuk kebocoran kertas Ujian Kelayakan Kemasukan Kebangsaan bagi Pengajian Prasiswazah (NEET-UG) dan penyelewengan dalam proses pemarkahan dan penilaian semula Lembaga Pendidikan Menengah Pusat yang menyebabkan ribuan orang pelajar terpaksa menunggu penjelasan mengenai keputusan akhir mereka. Golongan anak muda dan pelajar tidak berpuas hati dengan Dharmendra Pradhan, Menteri Pendidikan India, yang gagal menangani kepincangan yang wujud dalam sistem pendidikan awam di negara itu.
NEET-UG telah dilanda pelbagai kontroversi, termasuk struktur birokrasinya yang berpusat, budaya bimbingan yang dikomersialkan dan tekanan psikologi besar yang dikenakan ke atas golongan pelajar yang hendak melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat tertiari. Kebocoran kertas NEET yang terbaru telah menyebabkan peperiksaan pada 3 Mei 2026 untuk lebih 2.27 juta orang pelajar yang ingin memasuki program pengajian perubatan dan pergigian dibatalkan pada 12 Mei 2026. Lebih 12 orang pelajar membunuh diri selepas pembatalan peperiksaan terbaru itu, menambah kepada 93 kes bunuh diri oleh pelajar yang berkaitan dengan NEET sejak tahun 2021.
Protes jalanan yang dilancarkan oleh CJP bermula pada awal bulan Jun 2026, apabila golongan demonstran berhimpun dan mendirikan kem protes di Jantar Mantar, sebuah balai cerap astronomi yang dibina di New Delhi sejak abad ke-18. Aksi protes ini mendapat perhatian yang meluas di media sosial menjelang penghujung bulan Jun 2026. Aksi protes ini juga disokong oleh organisasi-organisasi pelajar berhaluan kiri seperti Persekutuan Pelajar Seluruh India (AISF), Persatuan Pelajar Seluruh India (AISA) dan Persekutuan Pelajar India (SFI).
Pada 20 Julai 2026, puluhan ribu orang berprotes di New Delhi, ibu negara India, dengan perarakan dari Jantar Mantar menuju ke Parlimen India untuk menuntut peletakan jawatan Dharmendra Pradhan sebagai Menteri Pendidikan. Namun, perarakan rakyat itu diserang secara ganas oleh pihak berkuasa yang menggunakan gas pemedih mata dan belantan, dengan puluhan orang dicederakan. Keganasan polis terhadap demonstran itu telah dikecam oleh pelbagai pihak. Aksi solidariti bersama demonstran di New Delhi turut diadakan di bandar-bandar lain di seluruh India, termasuk Ahmedabad, Bengaluru, Goa, Kolkata, Mumbai, Patna, Surat, Thiruvananthapuram dan Varanasi.
Dengan tekanan yang semakin hebat kerana aksi protes besar-besaran, Dharmendra Pradhan meletak jawatannya sebagai Menteri Pendidikan India. Walaupun aksi protes CJP berkisar pada isu penyelewengan dalam sistem pendidikan awam, ia juga merupakan cabaran politik yang terbesar kepada parti pemerintah BJP yang berkuasa di peringkat pusat sejak tahun 2014.
Aksi protes CJP terbaru ini merupakan manifestasi kebangkitan anak muda untuk menentang pemerintahan nasionalis pelampau kanan BJP yang menghakis hak demokratik dan menindas rakyat pelbagai lapisan termasuk anak muda. Gerakan protes terbaru ini telah mempolitikkan generasi anak muda yang baharu, dan mencetuskan perdebatan mengenai masa hadapan pendidikan di negara India. Kemenangan gerakan protes yang berjaya mendesak peletakan jawatan Menteri Pendidikan India ini bukannya penamat tetapi permulaan kepada perjuangan anak muda yang baharu untuk menentang pemerintahan BJP yang semakin anti-demokratik.
