Penangkapan semasa pemusnahan kebun di Kanthan pada 24 Oktober 2023. (gambar fail)

Parti Sosialis Malaysia (PSM) berasa hairan dan kecewa dengan keputusan Pendakwa Raya untuk meneruskan pertuduhan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan terhadap 3 orang ahli PSM dan seorang petani yang ditahan pada 24 September 2023 dalam peristiwa pemusnahan kebun enam orang petani di Kanthan, Chemor, Perak.

Tiga orang ahli PSM yang akan didakwa di mahkamah ialah Dr. Jeyakumar Devaraj (Pengerusi Nasional PSM), Karthigesu (Setiausaha PSM Cawangan Sungai Siput) dan Kesavan (Setiausaha PSM Unit Hulu Kinta), sementara seorang lagi petani, Ho Pon Tien, juga akan didakwa. Mereka telah menerima panggilan telefon daripada IPD Ipoh pada 28 Julai 2026 dan diberitahu bahawa mereka berempat harus hadir ke mahkamah untuk dituduh di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.  

Kami ingin bertanya, adakah Pendakwa Raya mengambil kira fakta-fakta yang berikut:

1) Keseluruhan 800 ekar tanah pertanian di sebelah Jalan Chemor – Sungai Siput telah dilupuskan oleh Kerajaan Negeri Perak kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPl) pada sekitar tahun 2010, walaupun masyarakat Kampung Baru Kanthan telah mengusahakan kebun-kebun sayur di kawasan tersebut sejak zaman sebelum Perang Dunia Kedua.

2) Pada tahun 2011 dan 2012, PKNPk telah menawarkan pajakan selama 30 tahun kepada petani yang berkenaan, termasuk 6 orang petani yang diusir secara paksa pada 24 Oktober 2023. Hampir semua petani telah menerima tawaran tersebut, tetapi pihak PKNPk tidak meneruskan dengan cadangan itu, sebaliknya berjanji bahawa akan memberi tanah gantian.

3) Pada pertengahan tahun 2023, PKNPk telah menfailkan kes di Mahkamah Tinggi Ipoh untuk mengusir keluar 6 orang petani. Petani yang terlibat telah melantik peguam (En. Kunasekaran) untuk membela mereka di mahkamah.

4) Pada bulan Oktober 2023, PKNPk telah menarik balik kes terhadap 6 orang petani tersebut  tetapi Pejabat Tanah Kinta telah mengeluarkan notis di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) dan mengarahkan 6 orang petani tersebut untuk mengosongkan tanah mereka jika tidak mahu didakwa di Mahkamah. Pada 24 Oktober 2023, pihak PKNPk telah datang bersama Pejabat Tanah Kinta untuk merobohkan kebun-kebun di Kanthan dengan menggunakan kekerasan.

5) Peguam untuk petani, En. Kunasekaran dan En. Rabinder Singh, telah mendapatkan Perintah Interim Penggantungan daripada Mahkamah Tinggi Ipoh pada 26 Oktober 2023 terhadap notis di bawah Seksyen 425 KTN. Walaupun dokumen-dokumen berkaitan Perintah Interim Penggantungan telah diserahkan kepada PKNPk, mereka masih berkeras dan telah meneruskan pemusnahan kebun-kebun pada 01 November 2023.

Kami daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) ingin menyoal sama ada isu-isu berikut telah dipertimbangkan oleh Pendakwa Raya:

a) Adakah ianya “sah” dari segi undang-undang dan juga prinsip-prinsip pentadbiran negara untuk EXCO Tanah Negeri Perak (yang ditubuhkan dan dipengerusi oleh Menteri Besar Perak) untuk melupuskan tanah sebegitu luas kepada PKNPk (yang juga dipengerusikan oleh Menteri Besar Perak) terutama sekali apabila –

    • Pendapatan utama 130 petani kecil diancam oleh keputusan ini;
    • Petani tersebut telah mengusahakan tanah ini dengan pengetahuan dan/atau keizinan pihak berkuasa, iaitu Pentadbiran British hingga tahun 1957 dan Kerajaan Malaysia selepas tahun 1957.
    • Pembekalan sayur, jagung, buah-buahan, ikan air tawar dan bahan makanan lain dihentikan dan keterjaminan makanan rakyat Malaysia terjejas;
    • Lebih daripada 120 orang penduduk di taman perumahan di kawasan hilir Sungai Pari pernah membantah cadangan kerajaan untuk menukar kegunaan tanah kawasan ini daripada pertanian kepada perindustrian kerana masalah banjir. Penduduk yang membantah itu khuatir bahawa kekerapan dan keseriusan banjir.  

        b) Adakah ia adil untuk mengusir keluar petani-petani yang pernah ditawarkan pajakan 30 tahun bagi tanah mereka (oleh PKNPk dan PTG) dan selepas itu dijanji lot gantian?

        c) Adakah ia “sah” dari segi undang-undang untuk menggunakan Seksyen 425 KTN untuk mengusir petani dari sebidang tanah yang telah pun dilupuskan kepada sebuah syarikat (PKNPk)? Pada dasarnya, Seksyen 425 dan 426, hanya boleh digunakan terhadap setinggan di atas tanah kerajaan.

        d) Adakah ia “sah” dari segi undang-undang untuk memusnahkan tanaman petani manakala Seksyen 426 KTN hanya memperuntukkan bahawa orang-orang yang tidak mematuhi arahan Pejabat Tanah boleh didakwa di mahkamah. Seksyen 425 dan 426 KTN tidak memberi kuasa kepada PKNPk untuk memusnahkan tanaman dan bersikap kasar terhadap golongan petani.

        e) Adakah ia merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 186 untuk seorang rakyat Malaysia menyoal tindakan PKNPk serta Kerajaan Negeri yang memecah amanah dan tidak mematuhi peraturan-peraturan berkaitan pengurusan tanah kerajaan seperti dihuraikan di atas?

        Daripada kronologi pengurusan bidang tanah ini, adalah jelas bahawa wujudnya beberapa pertikaian terhadap ketelusan pihak Pentadbir Tanah di Perak dalam hal pengurusan tanah pertanian di Kanthan. Mengapakah pihak Pendakwa Raya tidak mengambil berat terhadap ketidakketelusan ini tetapi memilih untuk mendakwa pihak yang mencuba membantu petani yang dianiayai oleh rampasan tanah oleh PKNPk?

        PSM menyeru pihak Pendakwa Raya untuk menarik balik keputusan untuk mendakwa aktivis PSM dan petani demi keadilan untuk petani dan pejuang masyarakat!

        Leave a Reply

        Your email address will not be published. Required fields are marked *