KUALA LUMPUR: Parti Sosialis Malaysia (PSM) bersama-sama 63 buah organisasi menyuarakan bantahan terhadap rancangan Kementerian Kewangan Malaysia yang hendak memotong belanjawan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga 10% atau RM4.65 bilion. Bantahan ini telah disampaikan oleh aktivis-aktivis PSM dan wakil-wakil masyarakat sivil dalam memorandum bersama yang diserahkan kepada ahli-ahli parlimen pada 23 Jun 2026.

Memorandum bersama yang dirangka oleh Jawatankuasa Kempen Selamatkan Sistem Kesihatan Awam mendesak kerajaan untuk mengemukakan pecahan terperinci dan telus mengenai bentuk pemotongan yang dicadangkan, termasuk kategori perbelanjaan yang terlibat dan jumlah penjimatan bagi setiap kategori. Kempen Selamatkan Sistem Kesihatan Awam ialah inisiatif PSM untuk mempertahankan kesihatan sebagai hak asasi rakyat dan menentang dasar-dasar kerajaan yang menggadaikan hak asasi itu.

“Ketelusan amat penting supaya alasan ‘penjimatan’ tidak dijadikan asas untuk mengurangkan perkhidmatan awam yang penting kepada rakyat,” kata Gandipan Nanda Gopalan, Ahli Jawatankuasa Pusat PSM yang juga merupakan Penyelaras Kempen Selamatkan Sistem Kesihatan Awam. “Sebarang penjimatan yang diperoleh kerajaan mesti disalurkan semula kepada sektor perkhidmatan asas seperti kesihatan dan pendidikan, bukannya dikeluarkan daripada sektor tersebut.”

“Langkah penjimatan negara harus bermula daripada golongan atasan dan elit politik, bukannya dengan mengurangkan peruntukan sektor awam yang memberi perkhidmatan kepada rakyat biasa,” ulas Gandipan. “Pengurangan pembaziran, projek mega yang tidak mendesak, perbelanjaan mewah kerajaan serta ketirisan institusi harus diberi keutamaan sebelum sebarang pemotongan dilakukan terhadap sektor kesihatan dan pendidikan.”

Turut hadir dalam aksi penyerahan memorandum ini kepada Parlimen pada 23 Jun 2026 ialah Muhammad Sha’ani Abdullah daripada Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Jayanath Appadurai daripada Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM), Ridwan Yusoff daripada PT Foundation, Kennteh Cheng yang mewakili Jawatankuasa Hak Sivil Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, Dr. Lim Chee Han daripada Persatuan Agora Malaysia, Puspa Doraisamy daripada Persatuan Sahabat Wanita Selangor (PSWS), Nur Sakeenah Omar daripada Greenpeace Malaysia, Edward Low daripada Positive Malaysian Treatment Access & Advocacy Group (MTAAG+), Joel Chong daripada Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Dr. Jeyakumar Devaraj selaku Pengerusi Nasional PSM, M. Sivaranjani selaku Setiausaha Agung PSM dan ramai lagi.

Ahli-ahli Parlimen yang keluar menerima memorandum bersama ini termasuk Young Syefura Othman (Ahli Parlimen Bentong), Wong Chen (Ahli Parlimen Subang), Ahmad Tarmizi Sulaiman (Ahli Parlimen Sik) dan Ahmad Yunus Hairi (Ahli Parlimen Kuala Langat).

Selain mendesak kerajaan supaya membatalkan rancangan memotong belanjawan KKM, memorandum bersama yang disokong oleh 64 buah organisasi ini juga menggesa kerajaan untuk membekukan kenaikan caj hospital universiti, mempertimbangkan peningkatan cukai terhadap hospital swasta yang mengaut keuntungan lumayan daripada pelancongan perubatan.

==========

Tandatangani petisyen dalam talian untuk kempen “Selamatkan Sistem Kesihatan Awam” di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *