Berikut ialah isi kandungan memorandum bersama daripada Jawatankuasa Kempen Selamatkan Sistem Kesihatan Awam yang diserahkan kepada Parlimen pada 23 Jun 2026.

Jawatankuasa Kempen Selamatkan Sistem Kesihatan Awam memandang serius cadangan pemotongan peruntukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga RM4.65 bilion bagi tahun 2026. Walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa sektor kesihatan dan pendidikan tidak akan terjejas, pemotongan sebesar ini tetap menimbulkan kebimbangan besar terhadap masa depan sistem kesihatan awam negara yang sememangnya telah lama mengalami kekurangan dana, tenaga kerja, fasiliti dan peralatan asas.

Kerajaan menyatakan bahawa langkah penjimatan ini melibatkan “perbelanjaan berlebihan” seperti kursus luar negara, acara di hotel mewah dan projek pembangunan yang melampaui keperluan sebenar. Namun begitu, kami sukar mempercayai bahawa jumlah perbelanjaan sedemikian boleh mencecah sehingga RM4.65 bilion. Oleh itu, kerajaan perlu mengemukakan pecahan terperinci dan telus mengenai bentuk pemotongan yang dicadangkan, termasuk kategori perbelanjaan yang terlibat dan jumlah penjimatan bagi setiap kategori. Ketelusan amat penting supaya alasan “penjimatan” tidak dijadikan asas untuk mengurangkan perkhidmatan awam yang penting kepada rakyat.

Kami juga menegaskan bahawa sebarang penjimatan yang diperoleh kerajaan mesti disalurkan semula kepada sektor perkhidmatan asas seperti kesihatan dan pendidikan, bukannya dikeluarkan daripada sektor tersebut. Sistem kesihatan awam negara memerlukan pelaburan yang lebih besar, bukannya pengurangan peruntukan. Malaysia sendiri masih membelanjakan jumlah yang rendah untuk kesihatan awam berbanding keperluan sebenar rakyat, sedangkan pelbagai pihak termasuklah kami telah lama mencadangkan agar peruntukan kesihatan awam ditingkatkan sekurang-kurangnya kepada 5% daripada KDNK.

Kami turut membantah sebarang pengurangan peruntukan kepada hospital universiti. Kenaikan caj sehingga 233% oleh Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM/UMMC) pada 1 Januari tahun lalu telah memberi tekanan besar kepada rakyat yang memerlukan rawatan pada kos yang munasabah. Hospital universiti memainkan peranan penting sebagai alternatif yang lebih murah berbanding hospital swasta, khususnya di kawasan bandar. Oleh itu, kenaikan caj hospital universiti perlu dibekukan sehingga kerajaan mampu menyediakan alternatif hospital awam yang mencukupi di kawasan terlibat.

Dalam masa yang sama, kerajaan seharusnya mempertimbangkan peningkatan cukai terhadap hospital swasta yang meraih keuntungan besar daripada industri pelancongan perubatan. Pulau Pinang sahaja merekodkan lebih 527,000 pesakit asing pada tahun 2025 dengan hasil melebihi RM1.1 bilion. Ketika hospital kerajaan berdepan kekurangan dana dan kakitangan, sektor swasta pula terus menikmati keuntungan besar. Adalah munasabah untuk kerajaan memperkenalkan cukai atau levi khas terhadap keuntungan pelancongan perubatan dan menyalurkan hasil tersebut kepada sistem kesihatan awam.

Kami juga menegaskan bahawa langkah austeriti dan penjimatan negara mesti bermula daripada golongan atasan politik dan elit ekonomi, bukannya dengan mengurangkan peruntukan sektor awam yang memberi perkhidmatan kepada rakyat biasa. Pengurangan pembaziran, projek mega yang tidak mendesak, perbelanjaan mewah kerajaan serta ketirisan institusi harus diberi keutamaan sebelum sebarang pemotongan dilakukan terhadap sektor kesihatan dan pendidikan.

Jawatankuasa Kempen Selamatkan Sistem Kesihatan Awam menyeru kerajaan supaya menarik balik cadangan pemotongan besar terhadap KKM dan memastikan sistem kesihatan awam negara diperkukuhkan demi kepentingan rakyat.

Memorandum ini disokong oleh:

Organisasi

  1. Agora Society Malaysia
  2. Aliran
  3. Angkatan Kesatuan Siswa Sosialis (AKSI)
  4. Care for Older Persons in Malaysia
  5. CCM Malaysia
  6. Center to Combat Corruption and Cronyism (C4 Center)
  7. Citizens’ Health Initiative
  8. Consumers’ Association of Penang (CAP)
  9. Gabungan Marhaen
  10. Greenpeace Malaysia
  11. Health Equity Initiatives
  12. Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (HARAM)
  13. Independent Advocate and Activist of Access Affordable.Medicine Malaysia (AAMM)
  14. ISLAH
  15. Islamic Renaissance Front
  16. Jaringan Kg Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM)
  17. Jawatankuasa Hak Sivil KLSCAH (KLSCAH-CRC)
  18. JEJAKA
  19. Johor Indian Innovation Hub
  20. Justice for Sisters
  21. Karunjattai Ilaingar Padai
  22. Klima Action Malaysia (KAMY)
  23. Kolektif Iklim
  24. Kolektif Mahasiswa UiTM (KMUiTM)
  25. Life Under Umbrella
  26. Liga Mahasiswa Malaysia
  27. Malaysian Women’s Action for Tobacco Control and Health (MyWATCH)
  28. Movement for Change, Sarawak (MoCS)
  29. North South Initiative
  30. Oriental Hearts and Mind Study Institute
  31. Parti MUDA
  32. Parti Rakyat Malaysia
  33. Parti Sosialis Malaysia
  34. Pemuda Sosialis
  35. Persahabatan Semparuthi
  36. Persatuan Kebudayaan dan Sosial India Bandar Baru Kangkar Pulai
  37. Persatuan Penduduk Jalan Papan, Pandamaran
  38. Persatuan Sahabat Wanita Selangor
  39. Pertubuhan Kebajikan Ar Riqab Kuala Lumpur
  40. Pertubuhan SiraguGal
  41. Positive Malaysian Treatment Access & Advocacy Group (MTAAG+)
  42. PT Foundation
  43. Reproductive Rights Advocacy Alliance Malaysia (RRAAM)
  44. Ruang Lawan Malaysia
  45. Rumah Rakan Islah
  46. Rural Malaysia
  47. Sahabat Alam Malaysia
  48. Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM)
  49. SEED Malaysia
  50. Seovangers
  51. Suara Siswa UiTM
  52. Support Each Other
  53. Tanjong Bungah Residents’ Association Penang TBRATBRA
  54. Tenaganita
  55. The Global Funds
  56. Third World Network
  57. Treat Every Environment Special (TrEES)
  58. Undi18
  59. URIMAI
  60. Victory de home
  61. Women 4 Women
  62. Women’s Aid Organisation
  63. Women for Equality Association (WEA)
  64. Zero Waste Sabah

==========

Kempen Selamatkan Sistem Perkhidmatan Awam ialah sebuah inisiatif Parti Sosialis Malaysia (PSM). Tandatangani petisyen dalam talian untuk kempen “Selamatkan Sistem Kesihatan Awam” di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *