
oleh Roziah Mohd. Hashim dan Sarasvathy Muthu
Majlis Jawatankuasa Kerja (MJK) Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital-Hospital Kerajaan dan Jabatan-Jabatan Kerajaan Semenanjung Malaysia (NUWHSAS) telah mengadakan satu mesyuarat khas bagi membincangkan laporan berita mengenai isu keselamatan pekerja pembersihan di Hospital Seri Manjung.
Pihak Kesatuan dengan ini membantah keras kenyataan yang tidak adil dan berat sebelah oleh EXCO Sumber Manusia Perak, YB A. Sivanesan, sebagaimana dilaporkan dalam Sinar Harian bertarikh 26 Mei 2026 bertajuk “Hospital Seri Manjung tiada kaitan isu pekerja pembersihan”, laporan Free Malaysia Today (FMT) bertarikh 28 Mei 2026 bertajuk “Sivanesan rejects PSM’s ‘pro-employer’ claim over hospital worker dispute”, serta laporan Malaysiakini bertarikh 29 Mei 2026 bertajuk “Perak exco rejects PSM claim of pro-employer bias in hospital cleaner dispute”.
Kenyataan tersebut dilihat mengelirukan orang ramai serta memberi gambaran seolah-olah pihak institusi boleh melepaskan tanggungjawab terhadap keselamatan pekerja yang menjalankan tugas di dalam premis hospital kerajaan.
Tuduhan tentang dana kesatuan digunakan untuk piket dan kepentingan politik tidak berasas dan berunsur fitnah
Kesatuan menolak sekeras-kerasnya dakwaan bahawa dana Kesatuan digunakan untuk membiayai piket atau tujuan tidak sah dan kepentingan politik.
Dana Kesatuan diurus secara telus mengikut perlembagaan Kesatuan, hasil kutipan yuran ahli serta Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) digunakan untuk tujuan latihan, pendidikan dan kebajikan pekerja.
Tuduhan tersebut adalah tidak berasas, bersifat fitnah, serta mencemarkan nama baik Kesatuan dan ahli-ahlinya.
Sehubungan itu, Kesatuan mencabar YB Sivanesan untuk mengemukakan bukti bahawa dana Kesatuan telah disalahgunakan. Sekiranya tiada bukti dikemukakan, kenyataan tersebut adalah tuduhan melulu yang tidak bertanggungjawab.
Kesatuan memandang serius perkara ini dan akan mendapatkan nasihat undang-undang bagi melindungi integriti serta nama baik organisasi.
EXCO tidak berjumpa dengan pihak Kesatuan
Semasa lawatan ke Hospital Seri Manjung pada 26 Mei 2026, YB Sivanesan tidak berjumpa dengan Ahli Jawatankuasa Kesatuan Tempatan di Hospital Manjung mahupun Kesatuan Nasional.
Sebaliknya, beliau hanya mengadakan sidang media bersama pihak pengurusan hospital dan syarikat tanpa mendengar cerita sebenar daripada pihak Kesatuan.
Tindakan ini menimbulkan persoalan sama ada semua pihak telah didengar sebelum kenyataan dibuat kepada umum.
Cadangan lokasi piket oleh Sivanesan adalah tidak munasabah dan tidak masuk akal
Dalam laporan Sinar Harian bertarikh 26 Mei 2026 bertajuk “Hospital Seri Manjung tiada kaitan isu pekerja pembersihan”, YB A. Sivanesan dilaporkan menyatakan bahawa isu pekerja pembersihan adalah pertikaian antara pekerja dan syarikat konsesi, serta mencadangkan supaya sebarang tindakan atau piket dilakukan di ibu pejabat syarikat dan bukannya di hospital.
Kesatuan menegaskan bahawa cadangan tersebut adalah tidak munasabah dan tidak mencerminkan realiti sebenar di tempat kejadian.
Insiden yang melibatkan ugutan dan cubaan menumbuk pekerja wanita itu berlaku di dalam Hospital Seri Manjung, iaitu lokasi sebenar pekerja menjalankan tugas harian mereka.
Oleh itu, bantahan aman yang dilakukan di lokasi kejadian adalah wajar, relevan dan berasas kerana ia berkait secara langsung dengan tempat berlakunya insiden serta persekitaran kerja yang terlibat.
Piket berlaku akibat kegagalan majikan menangani aduan
Pada 30 April 2026, Kesatuan telah mengemukakan aduan rasmi kepada Edgenta UEMS berhubung insiden melibatkan penyelia lelaki.
Pada 15 Mei 2026, pihak syarikat menafikan dakwaan dan mengaitkan isu dengan keadaan kesihatan pekerja.
Jawapan tersebut tidak menangani isu keselamatan yang dibangkitkan, menyebabkan Kesatuan mengadakan piket pada 18 Mei 2026 sebagai langkah terakhir untuk mempertahankan keselamatan dan maruah pekerja wanita.
Isu ini adalah isu keselamatan, bukan pertikaian biasa
Kesatuan menolak gambaran bahawa insiden ini hanyalah pertikaian kerja biasa.
Kejadian pada 27 Mac 2026 melibatkan dakwaan tindakan agresif terhadap pekerja wanita sehingga memerlukan campur tangan rakan sekerja.
Ini merupakan isu keselamatan di tempat kerja yang tidak boleh dipandang ringan.
Kenapa EXCO mengelirukan orang ramai mengenai status laporan polis?
Dakwaan YB Sivanesan bahawa kes ini tiada unsur jenayah dan telah diserahkan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) adalah tidak tepat. Kes ini masih dalam siasatan pihak polis dan belum ditutup.
Pekerja wanita yang terlibat telah membuat laporan polis pada hari yang sama kejadian berlaku, dan bukannya beberapa hari kemudian seperti yang didakwa oleh YB Sivanesan.
Kronologi kejadian adalah seperti berikut:
- 27 Mac 2026 – Mangsa membuat laporan polis pada hari yang sama di Balai Polis Sitiawan (No. Laporan: SITIAWAN/002986/26).
- 9 April 2026 – Regional Manager Edgenta UEMS dari Ipoh datang jumpa pekerja wanita tersebut dan berkata, “Ini tidak ada masalah, sahaja ambil tangannya”.
- 30 April 2026 – Kesatuan menghantar surat aduan rasmi kepada pihak majikan Edgenta UEMS.
- 15 Mei 2026 – Majikan membalas surat dengan menolak kesalahan daripada pihak syarikat dan menyalahkan faktor kesihatan pekerja.
- 18 Mei 2026 – Kesatuan mengadakan piket kerana tidak berpuas hati dengan tindakan syarikat.
- 19 Mei 2026 – Pihak Kesatuan hadir ke Balai Polis Manjung bersama pekerja wanita tersebut untuk memberi penjelasan, dan pihak polis memaklumkan bahawa siasatan masih berjalan di bawah seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
- 25 Mei 2026 – Pihak polis telah memanggil semula mangsa pada jam 8.30 malam untuk meneruskan rakaman percakapan rasmi berhubung aduan yang dibuat. Dalam sesi tersebut, pihak polis memaklumkan kepada mangsa bahawa tindakan lanjut akan diambil berdasarkan hasil siasatan yang sedang dijalankan.
Oleh itu, bagaimana YB boleh menyatakan pada 26 Mei 2026 bahawa kes ini telah selesai atau tiada unsur jenayah sedangkan siasatan polis masih berjalan? Sehingga kini, tiada sebarang notifikasi rasmi bahawa kes ini telah diklasifikasikan tiada tindakan lanjut (No Further Action, NFA) atau ditutup oleh pihak polis.
Biar polis menjalankan tugas
Penentuan sama ada sesuatu kes mempunyai unsur jenayah adalah bidang kuasa polis, pihak pendakwaan dan mahkamah, bukannya YB Sivanesan. Kesatuan menegaskan bahawa semua pihak perlu menghormati proses siasatan dan tidak membuat kenyataan yang boleh menjejaskan persepsi awam.
Hak berpiket mesti dihormati
Kesatuan menolak dakwaan bahawa piket yang diadakan adalah “haram”. Hak pekerja untuk berpiket secara aman berkaitan isu keselamatan dan kebajikan adalah dilindungi di bawah undang-undang. Tindakan menakut-takutkan pekerja hanya akan menjejaskan hak berpersatuan.
Hospital tiada kaitan? Perbandingan sikap Sivanesan dan Khairy Jamaluddin
YB Sivanesan bertegas bahawa Hospital Seri Manjung langsung tiada kaitan dengan pekerja pembersihan kerana mereka dibayar gaji oleh syarikat konsesi UEM Edgenta.
Sikap ini amat berbeza dengan pendirian mantan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, yang dalam pertemuan rasmi bersama Kesatuan pada 8 Februari 2022 secara terbuka mengiktiraf pekerja pembersihan hospital kerajaan sebagai “Frontliner” (Barisan Hadapan) negara yang turut memainkan peranan penting dalam sistem kesihatan.
Di bawah kepimpinan beliau, Kementerian menegaskan bahawa walaupun pekerja ini berada di bawah syarikat swasta, pihak hospital dan Kementerian tetap mempunyai tanggungjawab moral untuk memastikan kebajikan, keselamatan dan perlindungan mereka kerana mereka bekerja di dalam premis hospital kerajaan.
Desakan Kesatuan – Tuntutan surat hitam putih
Sekiranya benar Hospital Seri Manjung tidak mempunyai kaitan dengan pekerja pembersihan, Kesatuan mencabar pihak hospital dan pihak berkaitan untuk mengeluarkan kenyataan rasmi bertulis kepada Kesatuan bahawa mereka tidak mempunyai tanggungjawab terhadap keselamatan pekerja di dalam kawasan hospital.
Kesatuan menegaskan bahawa tanggungjawab menjaga keselamatan, kebajikan dan maruah pekerja tidak boleh dilepaskan secara sehala, sebaliknya merupakan tanggungjawab institusi bersama antara pihak hospital sebagai pemilik premis dan pihak syarikat konsesi Edgenta UEMS sebagai majikan langsung.
Oleh itu, sebarang insiden yang berlaku di dalam kawasan hospital melibatkan pekerja pembersihan perlu dilihat dalam kerangka tanggungjawab bersama, termasuk aspek keselamatan di tempat kerja, pemantauan operasi, serta perlindungan terhadap pekerja wanita daripada sebarang bentuk ugutan atau gangguan.
Kesatuan menegaskan bahawa isu ini bukan sekadar pertikaian pekerjaan, tetapi melibatkan maruah, keselamatan dan hak pekerja wanita untuk bekerja dalam persekitaran yang selamat, terjamin dan bebas daripada sebarang bentuk ugutan atau gangguan.
==========
Roziah Mohd. Hashim ialah Pengerusi Nasional Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital-Hospital Kerajaan dan Jabatan-Jabatan Kerajaan Semenanjung Malaysia (NUWHSAS).
Sarasvathy Muthu ialah Setiausaha Eksekutif NUWHSAS.
