
Berikut ialah kenyataan bersama Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mengenai isu peruntukan Ahli Parlimen.
Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengambil maklum pendedahan Ahli Parlimen Subang, YB Wong Chen, berhubung dakwaan bahawa pejabat beliau telah disekat daripada mengakses sistem berkaitan pengurusan dana pembangunan kawasan.
Dana pembangunan kawasan atau Constituency Development Fund (CDF) diwujudkan bagi membolehkan wakil rakyat menangani keperluan masyarakat setempat seperti sekolah, persatuan komuniti, program kebajikan, infrastruktur kecil dan pelbagai keperluan pembangunan lain yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
Peruntukan pembangunan kawasan bukan milik Perdana Menteri, mana-mana menteri atau parti pemerintah. Ia adalah wang rakyat yang diperuntukkan untuk pembangunan rakyat. Oleh itu, akses kepada dana pembangunan kawasan tidak seharusnya bergantung kepada hubungan politik, kedudukan dalam kerajaan atau pertimbangan yang tidak telus.
Perkara ini bukan sekadar kebimbangan teori. Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, sendiri telah membawa perkara ini ke mahkamah melalui semakan kehakiman selepas Parlimen Muar dinafikan akses kepada peruntukan kawasan selepas MUDA meninggalkan blok kerajaan. Hakikat bahawa pertikaian mengenai dana pembangunan kawasan kini perlu diputuskan oleh mahkamah menunjukkan betapa perlunya reformasi institusi yang lebih menyeluruh.
Malaysia tidak sepatutnya berada dalam keadaan di mana wakil rakyat terpaksa merayu, berunding atau mengambil tindakan mahkamah semata-mata untuk mendapatkan akses kepada dana yang diperuntukkan bagi rakyat di kawasan mereka.
Atas sebab itu, MUDA dan PSM menggesa Kerajaan Persekutuan untuk membentangkan Akta Peruntukan Kawasan (CDF Act) yang menjamin:
- Formula pengagihan dana yang telus dan adil kepada semua kawasan Parlimen dan DUN;
- Hak akses yang sama kepada dana pembangunan tanpa mengira kedudukan politik wakil rakyat;
- Mekanisme pemantauan dan audit yang telus;
- Perlindungan undang-undang yang menghalang mana-mana kerajaan daripada menggunakan dana pembangunan kawasan sebagai alat ganjaran atau hukuman politik.
MUDA dan PSM turut menyeru semua parti pembangkang serta Ahli Parlimen yang komited kepada reformasi institusi untuk bersama-sama mendukung usaha mewujudkan Akta Peruntukan Kawasan.
Peruntukan kawasan bukan isu partisan. Ia adalah isu keadilan, akauntabiliti dan hak rakyat untuk mendapat akses yang sama kepada pembangunan tanpa mengira parti yang mereka undi.
Peruntukan kawasan bukan milik kerajaan. Ia adalah hak rakyat.
