oleh Sivaranjani Manickam

Parti Sosialis Malaysia (PSM) amat terkejut dengan layanan dua darjat di mana pekerja diminta untuk menanggung sepenuhnya caruman tambahan sementara majikan dilepaskan daripada membuat sumbangan kepada Perlindungan PERKESO 24 jam.

Perlindungan 24 jam, yang akan dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mulai 1 Jun 2026, merupakan satu langkah yang positif dan progresif dalam memperkukuh perlindungan sosial untuk pekerja di Malaysia. PSM telah lama berkempen untuk perubahan ini dan kami mengalu-alukan pelaksanaannya. Melalui skim ini, pekerja yang mengalami kemalangan di luar waktu kerja juga akan mendapat perlindungan PERKESO.

Namun begitu, kami kecewa dengan keputusan bahawa perlindungan ini ditanggung sepenuhnya oleh pekerja dari segi peningkatan caruman, sedangkan majikan tidak perlu meningkatkan kadar caruman mereka walaupun majikan ialah pihak yang dapat mengaut keuntungan daripada hasil buruh pekerja.

Di bawah skim baharu ini, caruman pekerja akan dinaikkan secara berperingkat dalam tiga fasa: 0.75% bagi dua tahun pertama, 1.0% bagi tiga tahun berikutnya dan 1.25% mulai tahun keenam dan seterusnya. Sebaliknya, kadar sumbangan majikan kekal tanpa sebarang peningkatan. Kami tidak mempersoalkan peningkatan caruman pekerja, tetapi mengapa peningkatan caruman ini tidak dikongsi bersama oleh majikan?

Pekerja sudahpun berdepan tekanan kos sara hidup

Di Malaysia, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), 50% daripada pekerja memperoleh pendapatan di bawah gaji median bulanan sekitar RM3,000 pada tahun 2025. Jumlah ini lebih rendah daripada anggaran gaji sara hidup sebanyak RM3,100 sebulan. Jangan lupa, gaji minimum kita sekarang ialah RM1,700, di mana masih berada di bawah paras garis kemiskinan negara, iaitu RM2,705, mengikut Pendapatan Nasional Garis Kemiskinan 2024.

Hakikatnya, 70% isi rumah di Malaysia sudah pun bergelut untuk menampung perbelanjaan harian, bahkan sebelum berlakunya sebarang krisis. (sumber: Dr Suraya Ismail, KRI, 4 Mei 2026)

Keadaan ini menunjukkan bahawa sebahagian besar pekerja masih berdepan dengan kesukaran untuk menampung kos kehidupan harian yang semakin meningkat.

Pada masa yang sama, pertumbuhan pendapatan pekerja tidak seiring dengan pertumbuhan ekonomi negara. Menurut laporan Malaysia Economic Monitor: Raising the Ceiling, Raising the Floor (14 Mei 2026), gaji median sebenar meningkat daripada RM1,300 kepada RM1,864 antara tahun 2010 hingga 2024, manakala gaji purata meningkat daripada RM1,792 kepada RM2,570. Ini bersamaan peningkatan sebanyak 43%.

Sebaliknya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia meningkat sebanyak 82% dalam tempoh yang sama. KDNK industri MSME (Micro, Small and Medium Enterprise) di mana jumlah pekerja adalah 48.7% daripada keseluruhan pekerja di Malaysia, meningkat sebanyak  5.8% pada tahun 2024, menyumbang nilai sebanyak RM652.4 billion, atau 39.5% KDNK Malaysia. MSME mencatat peningkatan yang lebih tinggi daripada peningkatan KDNK seluruh Malaysia, iaitu 5.1% pada tahun  2024 (DOSM). Malah, ekonomi Malaysia terus berkembang pada kadar 5.4% bagi suku pertama tahun 2026.

Jelas bahawa pertumbuhan ekonomi negara tidak diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan pekerja yang setimpal.

Sebenarnya, siapa yang menikmati hasil pertumbuhan ekonomi?

Jika pekerja tidak menikmati hasil pertumbuhan ekonomi secara adil, maka siapakah yang mendapat manfaat terbesar? Jawapannya adalah syarikat dan pemilik modal.

Sebagai contoh, syarikat yang mencatat keuntungan tertinggi di Malaysia ialah Malayan Banking Bhd (Maybank) dengan pendapatan bersih sebanyak USD2.523 bilion dalam tempoh 12 bulan yang lalu. Ia diikuti oleh CIMB Group Holdings Bhd dan Public Bank Bhd. Malah Maybank dan CIMB Bank adalah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Namun, menurut Khazanah Research Institute, pekerja di Malaysia hanya menerima sekitar 30% daripada keuntungan yang dijana oleh syarikat. Sebagai perbandingan, pekerja di United Kingdom menerima 49.8%, manakala pekerja di Jerman menerima 54.7% (sumber: Dr. Suraya Ismail, 4 Mei 2026).

Data ini menunjukkan bahawa bahagian yang diterima oleh pekerja di Malaysia jauh lebih rendah berbanding negara-negara maju, walaupun keuntungan syarikat terus meningkat. Dalam erti kata lain, hasil pertumbuhan ekonomi lebih banyak mengalir kepada pemilik syarikat berbanding pekerja yang menghasilkan nilai tersebut.

Ini bermaksud syarikat di Malaysia memberikan bahagian yang kurang dalam bentuk gaji, maka  adalah rasional bahawa syarikat patut memberikan lebih melalui cara lain seperti menyumbang kepada caruman PERKESO 24 jam. Maka, kenapa majikan tidak dipertanggungjawabkan untuk menyumbang kepada kebajikan pekerja?

Majikan mempunyai tanggungjawab sosial

Selain mengaut keuntungan yang besar, banyak syarikat turut menerima pelbagai bentuk insentif dan pengecualian cukai daripada kerajaan. Melalui skim seperti Taraf Perintis (Pioneer Status), Elaun Cukai Pelaburan (Investment Tax Allowance), pelepasan cukai bagi aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta pelbagai insentif sektor tertentu, kerajaan melepaskan sebahagian hasil cukainya untuk menyokong pertumbuhan sektor korporat. Ini bermakna syarikat bukan sahaja mendapat manfaat daripada tenaga kerja pekerja, tetapi juga daripada sokongan awam yang dibiayai oleh rakyat. Jika kerajaan boleh melepaskan hasil cukai berbilion ringgit untuk membantu syarikat meningkatkan keuntungan dan daya saing mereka, mengapa majikan tidak boleh menyumbang sedikit lagi untuk memastikan pekerja yang menjana keuntungan tersebut mendapat perlindungan yang sewajarnya?

Majikan hanya perlu menyumbang peratusan yang sangat kecil berbanding keuntungan yang diperolehi mereka. Tambahan caruman untuk perlindungan 24 jam tidak akan menjejaskan keuntungan syarikat secara ketara, tetapi akan memberikan jaminan keselamatan yang lebih baik kepada jutaan pekerja.

Pekerja merupakan sumber utama kepada keuntungan syarikat. Tanpa tenaga kerja mereka, keuntungan tersebut tidak mungkin dapat dijana. Oleh itu, majikan mempunyai tanggungjawab moral dan sosial untuk turut menyumbang kepada perlindungan dan kebajikan pekerja.

PSM menyokong sepenuhnya pelaksanaan perlindungan 24 jam oleh PERKESO. Namun, kami berpandangan bahawa kos perlindungan ini tidak seharusnya dipindahkan sepenuhnya kepada pekerja.

Dalam keadaan gaji masih rendah, kos sara hidup terus meningkat dan bahagian keuntungan yang diterima pekerja semakin kecil, adalah wajar majikan turut menyumbang kepada perlindungan ini.

Jika keuntungan syarikat boleh meningkat kerana hasil sumbangan tenaga kerja pekerja, maka majikan juga harus memainkan peranan yang lebih besar dalam memastikan pekerja mendapat perlindungan sosial yang sewajarnya.

Perlindungan 24 jam tidak sepatutnya menjadi tanggungjawab pekerja semata-mata.

==========

Sivaranjani Manickam ialah Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *