
Jutaan orang pekerja dan petani di seluruh negara India mengambil bahagian dalam aksi mogok besar-besaran pada 12 Februari 2026 untuk membantah dasar kerajaan pusat pimpinan Narendra Modi yang anti-pekerja, anti-petani, anti-rakyat dan pro-korporat.
Aksi mogok umum yang juga dikenali sebagai “Bharat Bandh” ini dianjurkan secara bersama oleh gabungan-gabungan kesatuan pekerja yang utama di India, termasuk Kongres Kesatuan Sekerja Seluruh India (AITUC), Pusat Kesatuan Sekerja India (CITU), Majlis Pusat Kesatuan Sekerja Seluruh India (AICCTU), Hind Mazdoor Sabha (HMS) dan sebagainya. Gerakan petani seperti Samyukt Kisan Morcha (SKM), Kesatuan Petani Seluruh India (AIKS), Kesatuan Pekerja Pertanian Seluruh India (AIAWU) dan sebagainya juga memobilisasi anggota mereka untuk menyertai aksi Bharat Bandh demi memperjuangkan hak mereka. Parti-parti berhaluan kiri yang utama di India, seperti Parti Komunis India (CPI), Parti Komunis India (Marxis) [CPI(M)], dan Parti Komunis India (Marxis-Leninis) Pembebasan juga menyokong aksi mogok besar-besaran ini.
Aksi Bharat Bandh pada 12 Februari 2026 menyuarakan bantahan pekerja dan petani terhadap undang-undang buruh yang anti-pekerja, dasar penswastaan yang menghakis hak rakyat dan perjanjian perdagangan bebas yang menggadaikan kedaulatan negara. Pihak penganjur aksi ini mengatakan bahawa terdapat 300 juta orang menyertai mogok besar-besaran yang dikatakan bersejarah ini. Kebanyakan aktiviti ekonomi dilumpuhkan selama sehari di negeri-negeri seperti Kerala, Tamil Nadu, Assam, Odisha, Puducherry, Bengal Barat dan Punjab.

Salah satu tuntutan yang dikemukakan oleh gerakan pekerja dan petani dalam aksi mogok ini ialah pembatalan perjanjian perdagangan yang dipersetujui oleh India dengan Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU). Pelbagai pihak mengkritik bahawa perjanjian perdagangan yang bersifat “ekspedisi neokolonial” itu menggadaikan kedaulatan negara kepada kuasa korporat asing dan menjejaskan kepentingan jutaan petani kerana syarikat korporat asing yang mengeluarkan barangan pertanian memperoleh akses terbuka terhadap pasaran India.
“Perjanjian perdagangan dengan AS akan membawa bencana kepada petani-petani,” demikian kata Rajan Kshirsagar, Presiden AIKS. “Mereka di Kashmir, Uttarakhand dan Himachal Pradesh yang menanam epal dan kacang pokok seperti walnut dan badam, akan mengalami kerugian hebat. Duti import telah dikurangkan kepada sifar ke atas produk-produk daripada petani-petani AS yang mendapat subsidi besar. Ia akan menjadi lebih murah untuk membeli import ini berbanding hasil tanaman tempatan. Pada masa yang sama, duti eksport ke atas kapas, minyak masak (produk soya) dan makanan ternakan lembu telah ditetapkan pada kadar 18%, yang akan menjejaskan pengeksport.”
Kesatuan-kesatuan pekerja juga menuntut untuk membatalkan empat buah undang-undang buruh baharu yang diperkenalkan oleh kerajaan Modi walaupun ditentang hebat oleh kesatuan pekerja, dan penarikan balik beberapa rang undang-undang (RUU) yang hanya menguntungkan syarikat korporat tetapi menggadaikan hak rakyat, seperti RUU Benih dan RUU Elektrik Pindaan.
Aksi mogok besar-besaran ini merupakan satu amaran kepada kerajaan berhaluan kanan pimpinan Modi supaya jangan berdegil untuk terus melaksanakan dasar-dasar yang menggadaikan hak rakyat kepada pihak korporat yang hanya mementingkan keuntungan.

