oleh Kirisna Veni Singham 

Masyarakat kini berdepan dengan pelbagai isu sosial yang semakin membimbangkan, termasuk kes rogol berkumpulan terhadap seorang pelajar di Melaka, peningkatan kes buli di sekolah, penyebaran kandungan lucah digital, isu keselamatan pelajar, serta tekanan emosi dan mental. 

Kami menyokong pendekatan dan komitmen Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, yang menekankan keselamatan pelajar, usaha menangani isu buli, dan perhatian terhadap kesihatan mental di sekolah. Namun begitu, kami berpandangan bahawa langkah ini perlu diperluaskan dan diperkukuhkan melalui pembaharuan struktur yang lebih mendasar. Isu-isu seperti keganasan seksual, ketidaksamarataan gender, tekanan emosi dan penyebaran kandungan lucah digital bukanlah masalah individu semata-mata, tetapi ia adalah manifestasi budaya rogol – masyarakat atau persekitaran yang sikap sosialnya meremehkan keganasan dan gangguan seksual. Berikut adalah contoh nyata yang berlaku di sekolah, tempat kerja dan juga di rumah:

Pelajar lelaki tidak mengalami kawalan dan kritikan yang sama seperti pelajar perempuan dalam hal tingkah laku dan sikap mereka di sekolah. Layanan tidak sama rata ini menjadikan perempuan sebagai objek yang wujud untuk menghiburkan atau melayani lelaki dan bukan sebagai manusia yang bermaruah. Situasi sosial ini dikenali sebagai “patriarki”. Itulah sebabnya kebanyakan pemandiri keganasan seksual adalah wanita dan kanak-kanak perempuan, dan kebanyakan pelakunya adalah lelaki.

Oleh itu, kami menyeru agar dasar pendidikan disusun semula berasaskan prinsip keadilan sosial, termasuk pelaksanaan pendidikan seks yang inklusif, kesedaran gender, perkhidmatan kesihatan mental percuma, serta sistem sokongan komuniti yang kukuh supaya pendidikan benar-benar berfungsi untuk membebaskan manusia, bukan sekadar menyesuaikan mereka dalam sistem yang menindas.

1. Kegagalan sistem pendidikan dalam menangani patriarki dan ketidaksamarataan jantina

Sistem pendidikan Malaysia gagal mengajarkan konsep persetujuan (consent), kesedaran gender dan hak asasi manusia secara mendalam. Budaya “tutup mulut” terhadap mangsa kekal subur kerana ruang selamat untuk bersuara amat kurang ataupun tidak dapat diakses. Kerajaan harus melaksanakan pendidikan seks yang inklusif dan progresif, iaitu pendekatan moden yang mengajar tentang aspek emosi, fizikal dan sosial seksualiti dengan cara yang sesuai dengan umur. Kerajaan juga perlu memperkukuhkan undang-undang perlindungan mangsa keganasan seksual.

2. Peningkatan kes buli dan tekanan sosial pelajar

Kes buli mencerminkan masyarakat kita yang mengutamakan persaingan dan penguasaan lebih daripada sokongan, saling membantu dan solidariti di bawah sistem kapitalisme. Penyelesaiannya memerlukan pendekatan pendidikan holistik dan inklusif yang menekankan kesejahteraan emosi, empati dan solidariti sosial dalam kalangan pelajar.

3. Eksploitasi kapitalisme digital dan isu kandungan lucah

Walaupun teknologi banyak membawa kemajuan, namun, teknologi seperti AI dan deepfake sering disalahgunakan membahayakan orang lain. Ini berpunca daripada masyarakat yang masih bersifat patriarki,  kurang mampu berfikir secara kritis dan tidak beretika. Kerajaan perlu memperkenalkan rancangan literasi digital di seluruh negara untuk meningkatkan pemikiran sivik masyarakat, dan memperkenalkan undang-undang yang tegas terhadap jenayah digital demi memupuk generasi muda yang celik digital serta membentuk insan holistik.

4. Kesihatan mental dan tekanan emosi pelajar

Kerajaan perlu menyediakan perkhidmatan kesihatan mental yang komprehensif, percuma dan mudah diakses di sekolah serta komuniti, termasuk menambah bilangan kaunselor, meningkatkan latihan guru dan memperluas program sokongan rakan sebaya (peer support).

Contoh amalan terbaik antarabangsa

1. Sweden – Pendidikan seks inklusif sejak sekolah rendah yang fokus pada persetujuan dan kesamarataan jantina, telah mengurangkan kes keganasan seksual. Sepanjang beberapa dekad yang lalu, Sweden telah mengurangkan kadar jangkitan HIV, remaja hamil dan perkahwinan bawah umur.

2. Finland – Program anti-buli KiVa yang melibatkan seluruh komuniti sekolah, menekankan empati dan keadilan sosial. Hasil kajian menunjukkan bahawa kes buli  sekolah dalam kalangan kanak-kanak berumur 9 hingga 12 tahun menurun sebanyak 30-40% pada tahun pertama program ini dilaksanakan.

3. New Zealand – Undang-undang tegas dan pusat sokongan mangsa keganasan seksual, serta pendidikan kesedaran hak asasi. Pendekatan New Zealand menunjukkan bahawa undang-undang ketat boleh dilaksana dengan adil apabila ia disokong oleh kehakiman bebas, media bebas dan budaya politik yang menghormati hak asasi. Ia mengelakkan penyalahgunaan yang menekan pembangkang atau aktivis sosial.

4. Korea Selatan – Pendidikan literasi digital yang kuat dan undang-undang ketat mengawal penyebaran kandungan tidak sesuai. Walaupun undang-undang digital mereka ketat, terdapat ketelusan dan semakan awam supaya tidak disalahgunakan untuk menyekat kebebasan bersuara. Hasilnya, rakyat dilindungi daripada jenayah siber tanpa mengorbankan hak demokrasi.

5. Kanada – Sistem sokongan kesihatan mental di sekolah dengan kaunseling dan program peer support, mengurangkan stigma terhadap isu emosi.

Rangka tindakan sosial dan pendidikan berasaskan keadilan sosial

1. Peranan kerajaan

Melaksanakan pendidikan inklusif, undang-undang tegas terhadap keganasan gender, perkhidmatan kesihatan mental percuma, dan kempen kesedaran nasional.

Tambahan lagi, kerajaan perlu melihat masalah tekanan sosial yang berpunca daripada kemiskinan dan kelemahan sistem keselamatan sosial secara lebih menyeluruh. Usaha ini bukan sekadar soal dasar ekonomi, tetapi tentang kesejahteraan rakyat. Kerajaan perlu menambah bilangan pekerja sosial di kawasan berisiko tinggi, memperkukuh sokongan komuniti, dan mengurangkan beban pentadbiran guru supaya mereka dapat memberi tumpuan kepada pengajaran dan perkembangan emosi pelajar. Langkah-langkah ini penting supaya sistem pendidikan kita bukan hanya mengejar angka dan keperluan pasaran, tetapi benar-benar membentuk manusia yang berperikemanusiaan, adil dan seimbang

2. Peranan ibu bapa

Ibu bapa memainkan peranan besar dalam membentuk nilai dan sikap anak-anak, bukan sekadar sebagai penjaga tetapi sebagai rakan penting kepada sekolah dalam usaha menangani isu buli, gangguan dan tekanan emosi pelajar. Pendedahan kepada pendidikan kesedaran gender dan emosi amat diperlukan agar ibu bapa dapat menjadi contoh dalam mendidik anak-anak tentang rasa hormat, empati dan keadilan sosial. Pada masa yang sama, ibu bapa digalakkan untuk mewujudkan komunikasi terbuka di rumah supaya anak-anak berani meluahkan perasaan dan berkongsi pengalaman sukar tanpa rasa takut atau malu. Penglibatan aktif ibu bapa dalam aktiviti sekolah dan komuniti pula penting bagi membina suasana yang selamat, inklusif dan penuh kasih sayang, asas kepada perkembangan anak-anak yang sihat dan seimbang, dari segi emosi mahupun sosial.

3. Peranan sekolah

Membina budaya hormat dan empati, memperkukuh latihan guru, menyediakan sokongan emosi pelajar, serta pendidikan literasi digital dan gender.

4. Peranan komuniti

Menggerakkan pemberdayaan komuniti, kempen kesedaran awam, dan pusat sokongan gender serta mental di peringkat tempatan.

Kesimpulan

Selain daripada melaksanakan kempen dan program untuk mengikis keganasan seksual dan fizikal di sekolah, penyelesaian sebenar ialah perubahan sistemik dan reformasi sosial menyeluruh yang berpaksikan keadilan sosial, kesedaran gender dan solidariti kelas. Hanya melalui pendekatan sosialis yang menekankan hak asasi manusia, empati dan kesamarataan, pendidikan di Malaysia dapat benar-benar menjadi asas kepada masyarakat yang adil, progresif dan berperikemanusiaan.

==========


Kirisna Veni Singham ialah Ahli Jawatankuasa Pemuda Sosialis PSM.
  

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *