Berikut ialah kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) dengan seruan kepada Dewan Negara supaya mengkehendakkan Dewan Rakyat untuk menilai semula RUU Perolehan Kerajaan 2025.

oleh Mohana A.P. Ravindra

Jaringan Pekerja Kontrak Kerajan (JPKK) membantah sekeras-kerasnya keputusan Dewan Rakyat yang meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 pada 28 Ogos lalu selepas bacaan kedua dan ketiga dijalankan dengan tergesa-gesa. RUU ini amat penting kepada pekerja kontrak di seluruh negara. Selama bertahun-tahun, kami melihat bagaimana kontrak kerajaan diberikan kepada syarikat-syarikat kroni yang kemudian mengupah pekerja kontrak dengan gaji rendah, tanpa jaminan kerja, dan tanpa perlindungan sosial yang mencukupi. Kesan langsungnya adalah penderitaan berterusan golongan pekerja B40 yang terperangkap dalam sistem kontrak yang tidak adil. Sebagai sebuah undang-undang yang begitu penting dalam menentukan tatakelola perbelanjaan awam, RUU ini telah gagal mencapai objektif asal yang digariskan sendiri oleh Kementerian Kewangan, iaitu memastikan sistem perolehan kerajaan dilaksanakan secara profesional, telus, dan amanah. JPKK sendiri telah dijemput untuk menghadiri sesi libat urus bersama Kementerian Kewangan. Dalam sesi itu, pihak Kementerian menekankan bahawa undang-undang baharu ini bertujuan mewujudkan mekanisme semak dan imbang serta mengawal selia pematuhan perolehan kerajaan. Namun, selepas meneliti teks RUU ini, kami mendapati perkara sebaliknya berlaku.

RUU ini memberi autoriti berlebihan kepada Menteri. Melalui Seksyen 10 hingga 13, Menteri boleh meluluskan kontrak mega tanpa had siling, malah berkuasa mengetepikan keputusan Lembaga Perolehan sebagaimana diperuntukkan dalam Seksyen 12(8) dan 13(3). Lebih membimbangkan, Seksyen 12(7) memperuntukkan bahawa keputusan Menteri tetap sah walaupun bercanggah dengan prosedur yang ditetapkan. Hal ini menimbulkan konflik kepentingan yang serius kerana Menteri bertindak sebagai pembuat dasar, pelulus kontrak dan pihak yang mengawal lembaga pelaksanaan. Struktur sebegini menafikan prinsip asas tadbir urus yang baik, iaitu pemisahan fungsi dan semak imbang institusi.

Selain itu, RUU ini membuka ruang yang luas kepada monopoli dan kronisme. Melalui Seksyen 2(2) dan 24, Menteri boleh mengecualikan entiti daripada pemakaian akta. Tambahan pula, Seksyen 28 hingga 32 membenarkan kaedah rundingan terus dan tatacara darurat digunakan untuk memintas proses tender terbuka. Keadaan ini hanya mengukuhkan lagi dominasi syarikat besar atau syarikat kroni yang mempunyai hubungan politik, sekali gus menafikan peluang kepada syarikat lain yang lebih layak dan berdaya saing.

Dari aspek pemantauan pula, RUU ini jelas lemah dan tidak bebas. Seksyen 61 menetapkan aduan perlu dihantar kepada Lembaga Perolehan atau Menteri, sedangkan siasatan dijalankan oleh Tribunal Rayuan yang dilantik serta ditadbir oleh Menteri sendiri. Mekanisme seperti ini menafikan prinsip ketelusan kerana ia meletakkan proses pengawasan di bawah pengaruh pihak yang berkepentingan langsung. Ia bukan sahaja menjejaskan keyakinan awam, malah menutup ruang keadilan bagi kontraktor kecil dan pekerja yang ingin membuat aduan terhadap pelanggaran peraturan. JPKK sebelum ini telah mencadangkan agar diwujudkan jawatankuasa bebas yang merangkumi agensi luar dan wakil masyarakat sivil sebagai badan pemantau, namun cadangan ini langsung tidak diambil kira.

Tambahan pula, RUU ini menafikan hak rakyat untuk mendapat akses maklumat. Walaupun Seksyen 36 menyebut perolehan kerajaan akan dijalankan melalui sistem berkomputer, tiada tahap akses awam diperuntukkan. Seksyen 39 hingga 44 pula hanya memperuntukkan audit dalaman oleh KSP (Ketua Setiausaha Perbendaharaan) atau pihak berkuasa kewangan negeri, tanpa penglibatan badan bebas seperti Jabatan Audit Negara. Audit bebas yang dilaporkan terus kepada Parlimen adalah syarat asas untuk memastikan ketelusan, namun ia digugurkan. Cadangan JPKK supaya semua rekod, arahan dan dokumen rasmi yang digunakan oleh Menteri dalam proses perolehan dijadikan dokumen awam juga tidak dimasukkan ke dalam RUU ini.

Keseluruhannya, RUU Perolehan Kerajaan 2025 gagal memenuhi prinsip profesional, telus dan amanah. Ia bukan sahaja memberi autoriti berlebihan kepada Menteri, malah melemahkan mekanisme semak imbang, membuka ruang kepada kronisme, dan akhirnya mengekalkan sistem kontrak yang menindas pekerja.

Sehubungan itu, JPKK menggesa Dewan Negara untuk menilai semula RUU ini secara menyeluruh dan menggunakan kuasa mereka untuk menuntut agar ia dikembalikan kepada Dewan Rakyat. Undang-undang perolehan kerajaan mestilah dibina atas asas ketelusan, akauntabiliti, dan keadilan sosial, bukannya dijadikan instrumen untuk memperkukuhkan kuasa politik-ekonomi segelintir pihak berkepentingan.

==========

Mohana A.P. Ravindra ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK).

One thought on “RUU Perolehan Kerajaan beri kuasa berlebihan kepada Menteri dan buka ruang lebih lanjut kepada kronisme

  1. The article highlights unfair contract systems harming B40 workers and lacks transparency. The new bill gives excessive power to ministers, undermining checks and balances, which raises serious concerns about accountability and fairness in government procurement.GrowaGardencodes

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *